Rabu, 26 September 2012

Video himpunan karyaku



video


Sebenarnya, tidak pernah rancang pun mahu membuat video ini. Semuanya terjadi dengan spontan. Jemputlah tonton ya.

Ahad, 24 Jun 2012

Novel: Mencari Yang Pertama - Bab 1, part 1

Bab 1
 Part I

      “Nanti majlis kahwin Diana, mama sekalikan dengan majlis kahwin kakak!”

            Hah?! Spontan mulutku terlopong luas. Apa kena dengan mama ni? Huwaa....  tak mahulah macam itu. Aku memandang Kak Liana. Boleh pula kakak aku nan seorang itu buat-buat tidak tahu. Memandang aku pun tidak. Dok kusyuk sangatlah itu kononnya menonton televisyen. 

Aku mencebik. Macamlah aku tidak tahu yang dia itu cuma pura-pura sahaja. Dengan orang lain bolehlah kau tipu, tapi dengan aku jangan kau haraplah. Ini Diana Amir tau. Eh, apa pula nama pelakon perempuan itu yang keluar. Nama aku Diana Nur Aisyah, orang panggil aku Diana.  Inilah padahnya apabila mendengar kenyataan mama. Buat jantung aku berdegup tidak mengikut rentak yang betul. Tak keruan. Bercakap pun berterabur tak tentu kata.

Mama sudah berlalu dari ruang tamu. Meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.

“Kak! Apa kakak dah cakap kat mama?” soal aku pantas. Tak puas hati ni.

“Mana kakak ada cakap apa-apa. Mama yang memang nak sekalikan majlis kahwin kita. Bukan kakak yang cucuk mama, tau,” bela Kak Liana.

Tajam mata aku memandang wajah Kak Liana. Boleh percayakah kata-kata dia?

“Kakak dah ada boyfriend. Dah memang plan nak kahwin dah pun. Yang Diana ni ada apa? Diana tak ada siapa-siapa pun yang boleh digelarkan sebagai boyfriend. Habis tu Diana nak kahwin dengan siapa?” luah aku bersungguh-sungguh.

“Carilah boyfriend,” usul Kak Liana bersahaja.

Mata aku terbeliak. Ewah, senangnya kakak aku ini berkata-kata.

“Kakak ingat, nak cari boyfriend tu macam nak cari ikan kat pasar malam ke? Kalaulah semudah itu kak, dah lama Diana kahwin, tahu!” protes aku.

Kak Liana tergelak. Hisy, orang tengah serius ni boleh pula dia gelak-gelak macam orang senang hati. Tahu tak hati aku ini dah tak senang? Kepala berserabut.

“Itulah Diana, dah lama mama bagi hint. Suruh cari calon suami, kenalkan kat dia. Tapi Diana buat apa? Buat bodoh aje, kan? Mama dah lama sangat tunggu. Mama dah penat nak membebel, itu sebab dia bagi arahan terus. Ha, sekarang, padanlah dengan muka tu,” bebel Kak Liana. Dia seperti menyalahkan aku pula.

Huwaaa.... kenapalah semua orang tak mahu faham dengan keadaan aku?

“Kakak pujuk la mama. Tak payah sekalikan majlis kahwin tu. Diana janji, lepas majlis kahwin kakak, Diana mesti kenalkan calon suami Diana. Pleaseee.....” rayu aku kepada Kak Liana. Bahunya aku goncang-goncangkan dengan kuat, sampai terdorong badannya yang kurus itu ke hadapan.

“Kakak tak nak masuk campur. Kalau Diana nak, Diana cakap sendiri dengan mama,” balas Kak Liana.

“Alaaa... susah laaa...”

Aku terus bangun dan masuk ke bilik dengan fikiran yang berkecamuk. Mama.... kenapa buat Diana macam ni? Diana belum puas jadi anak manja mama. Belum puas nak hidup enjoy sebagai orang bujang. Lagipun, Diana belum bersedia nak kahwinlah, mama.

Memasak pun aku tak reti, tahunya masak nasi, masak air, masak maggi dan goreng telur. Kalau aku kahwin sekarang, tak ke kesian pada suami aku. Kurus kering jadinya nanti dek tak cukup makan. Kan dah menganiaya anak orang namanya tu?

Lagu dendangan Ayushita bertajuk Tuhan Beri Aku Cinta tiba-tiba sahaja menerjah pendengaran. Lagu ni best, sebab itu aku setkan sebagai lagu mesej pada telefon bimbit aku. Pantas aku buka mesej yang datang.

“Diana Nur Aisyah, sudikah Diana 
menjadi isteri Aaron?” - Aaron

Hampir terjojol biji mata aku membaca mesej tersebut.

Hai... Diana, tadi kata tiada boyfriend. Habis tu, siapa jejaka si penghantar mesej yang sangat romantik itu?

bersambung dalam bab 1, part II.... akan disambung nanti...

Sabtu, 7 April 2012

Cover suka suki, Kisah Hati & Puncak Kasih

Assalamualaikum semua....
Nampaknya, mood saya pada kali ini masih dalam bab design-design cover. 
Jadi, ini adalah cover novel terbaru yang saya buat iaitu berjudul Kisah Hati. 
Cerita ini ditulis oleh Mia Kaftiya. 
Ini pula ialah cover novel berjudul Puncak Kasih. Cerita ini ditulis oleh Syima Syawal.

Khamis, 5 April 2012

Cover Suka-Suki

Hai... hai.. hai...

Malam ni saya nak kongsi cover-cover yang pernah saya buat.
cover di atas ni... baru beberapa minit saya buat
cover di bawah ni pula... cover yang saya buat sebelum ni
















 



Sabtu, 31 Mac 2012

Anak Panah Cinta - Bab 5


“HAHAHA.... aku tak tahan betullah dengan si Afira tu. Kau tau tak, dia terjerit-jerit macam ini, tolong... tolong...  aku tak bersalah, aku dianiaya! Ha..ha..ha...!” Tidak sudah-sudah lagi Irfan mentertawakan kelakuan Afira semasa di bilik sakit pada pagi tadi.
Sudah setengah jam Irfan bercerita mengenai Afira. Ikram yang merupakan sahabat karib merangkap rakan sebilik Irfan juga ketawa terkekeh-kekeh. Irfan kelihatan serius di hadapan semua orang, terutama apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar baru. Keseriusannya itu sudah termaktub di dalam senarai tugasnya sebagai seorang pembantu mahasiswa. Tetapi hakikatnya Irfan adalah seorang yang gila-gila.
“Eh, macam mana kau boleh masuk dalam bilik sakit tu? Bukan ke lelaki tak boleh masuk ke bilik sakit perempuan?” Ikram bertanya hairan.
“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu kenapa? Rahsialah!” jawab Irfan sambil tersenyum meleret.
“He’eleh... dengan aku pun nak rahsia-rahsia ke?” balas Ikram tidak puas hati.
“Mestilah!” Irfan bertegas.
“Suatu hari nanti aku mesti tahu punya.” Ikram masih tidak mahu mengalah.
“Ha... kalau macam tu kau tunggulah suatu hari nanti kau tu,” ujar Irfan tanpa perasaan.
“Kurang asam la kau. Okey... aku tunggu!” Ikram berazam.
Irfan masih terus tersenyum-senyum kerana mengingati Afira. Dia kini sudah hanyut di dalam lamunan. Kata-kata Ikram seterusnya sudah tidak singgah lagi di telinganya. Biarlah Ikram membebel sendiri. Kasihan Ikram....
Irfan sebenarnya sudah tidak sabar menunggu hari esok. Dia suka melihat wajah Afira yang comel terutamanya apabila gadis itu berada dalam keadaan kalut. Dan disebabkan itu jugalah semangatnya semakin kuat untuk ‘beramah mesra’ dengan gadis nan seorang itu.
Afira... Afira.... nama itu seperti sudah sebati di dalam jiwa Irfan.
***

“SEMUA dah ada? Tengok kawan-kawan di sekeliling kamu. Kalau tak ada beritahu saya sekarang. Kita dah nak gerak ni. Jangan pula bila dah sampai di fakulti nanti, ada pelajar yang tak ada.” Kedengaran suara lantang Ikram sedang mengingatkan pelajar baru yang menghuni kolej kediaman tersebut.
Mereka kini sudah diasingkan mengikut fakulti. Ikram akan menguruskan segala urusan pendaftaran kursus untuk semester pertama bagi pelajar baru di Fakulti Ekonomi.
Afira tidak melihat kehadiran Irfan. Jika Irfan tiada di sini, bermakna Irfan bukanlah pelajar Fakulti Ekonomi. Yahooo!!!! Afira mula menjerit suka di dalam hati. Kini dia berasa bebas daripada segala pembulian Irfan.
Dengan penuh semangat Afira memastikan keberadaan rakan-rakan sefakulti di sekelilingnya seperti yang diarah oleh Ikram. Semua orang ada. Beres!
“Pastikan juga kamu membawa dokumen-dokumen yang perlu untuk proses pendaftaran kursus. Semak senarai dokumen yang telah diberi. Jangan lupa bawa bersama buku panduan kursus fakulti. Pastikan nanti kamu mendaftar kursus yang betul seperti yang tertera di dalam buku panduan tersebut. Sesiapa yang tertinggal dokumen di dalam bilik, cepat pergi ambil sekarang. Segera!” Ikram bersuara lagi mengingatkan mereka yang kebanyakannya masih kebingungan.
Mereka berdebar-debar. Bimbang terpisah daripada rakan-rakan, nanti susah pula mahu ke fakulti yang mereka sendiri belum tahu di mana kedudukannya. Mereka juga risau jika tersalah mendaftar kursus. Kelihatan wajah masing-masing sudah beriak cuak.
Afira membuka beg sandang untuk menyemak dokumen yang perlu dibawa. Pada awalnya dia berasa malas mahu menyemak kerana yakin bahawa semua dokumen tersebut telah sedia dimasukkan ke dalam beg. Semalam dia sudah memasukkan semuanya ke dalam satu fail sebelum tidur.
“Eh, mana fail tu??” Afira sudah kecut perut. Alamak!!!
Tanpa membuang masa Afira terus berlari meninggalkan rakan-rakannya untuk ke blok kediamannya. Dari tadi tidak mahu semak, kan dah lambat. Afira memarahi dirinya sendiri. Afira lihat sudah ada yang kembali daripada mengambil dokumen yang tertinggal. Sebaliknya dia pula baru terhegeh-hegeh mahu bergerak ke bilik.
Masuk ke dalam bilik sahaja, Afira terus menangkap kelibat fail kesayangannya yang terdampar di atas katil. Huh! Macam mana aku boleh lupa nak masukkan ke dalam beg ni? Rasanya macam dah masukkan.
Hmm.... lantaklah, yang penting fail sudah berada di tangan, fikir Afira. Tergesa-gesa dia mengunci kembali pintu biliknya dan berlari ke tempat berkumpul.
“Aik! Mana dia orang ni?!” Afira terjerit kuat dengan nafas yang termengah-mengah kerana penat naik turun tangga blok kediamannya sebentar tadi.
Huwaaa!! Mahu menangis guling-guling rasanya Afira apabila melihat tempat berkumpul yang tadinya penuh kini sudah kosong. Tiada seorang pun yang berada di situ.
Macam mana aku hendak ke fakulti? Kat mana letaknya Fakulti Ekonomi?? Tolonggggg! Afira merintih di dalam hati.
Di kejauhan Afira dapat melihat segerombolan pelajar sedang berarak. Sudah pasti mereka juga mahu ke fakulti. Dengan pantas Afira membuka langkah seribu mengejar kumpulan pelajar tersebut. Akhirnya  sampai juga diadi bahagian belakang kumpulan tersebut.
“Tumpang tanya, kumpulan ni mahu ke fakulti mana ya?” Tanpa perasaan malu Afira terus sahaja menegur seorang pelajar lelaki yang berbaris di belakang sekali.
Afira tidak boleh malu-malu lagi. Kalau malu bertanya nanti sesat jalan, nanti dia juga yang susah. Berdasarkan baju seragam yang dipakai oleh kumpulan pelajar itu, Afira tahu bahawa mereka berasal dari kolej kediaman lain.
“Fakulti Perniagaan,” jawab lelaki tersebut ringkas  riak wajahnya mempamerkan perasaan terkejut. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dia ditegur dari belakang. Setahunya dialah orang terakhir yang beratur di situ. Sudah pasti dia tertanya-tanya dari manakah munculnya Afira yang baru menegurnya itu.
“Oh, terima kasih!” ucap Afira laju.
Ini tidak boleh jadi. Afira harus mencari kumpulannya yang mahu ke Fakulti Ekonomi. Rasanya tadi tidaklah terlalu lama masa yang diambil untuk mengambil fail. Sudah cukup pantas dia berlari. Tapi... tup... tup... apabila sampai di bawah semula, semua orang sudah menghilang. Macam magik pula.
Afira kembali memecutkan diri dengan berlari selaju mungkin. Dia memintas kumpulan pelajar yang mahu ke Fakulti Perniagaan itu. Afira sedar bahawa kumpulan itu sedang memandang pelik ke arahnya.
Kenapa pelajar perempuan itu bergerak seorang-seorang? Berlari pula tu. Orang lain semuanya bergerak secara berkumpulan.  Afira tahu pasti itu yang sedang bermain di fikiran kumpulan pelajar yang dipintasnya itu. Ahh, Afira tidak peduli!
Afira harus cepat-cepat mendapatkan kumpulannya kembali kerana dia tidak tahu jalan ke Fakulti Ekonomi. Jika dia gagal sampai ke fakulti, bagaimana dia mahu mendaftar kursus untuk semester pertamanya? Dia yakin kumpulannya itu belum bergerak jauh.
Itu pun mereka! Afira dapat mengecam baju seragam kumpulannya. Kejar!
Sepanjang perjalanan Afira dapat melihat banyak monyet saling bergayutan di atas pokok yang merimbun di tepi jalan. Tidak sangka di sini pun ada monyet. Jangan ingat monyet hanya ada di kampung sahaja. Sekali sekala monyet-monyet itu mengeluarkan bunyi nyaring yang menakutkan. Risau juga Afira berlari seorang diri di situ. Adakalanya suara monyet itu kedengaran seperti bunyi ketawa mengekek. Agaknya monyet-monyet itu juga sedang mentertawakan Afira yang sedang kalut. Jangan main-main, monyet di universiti ini bijak-bijak.
Mujurlah Afira bekas pelari pecut sekolah. Sudah biasa lari laju-laju. Jika orang lain yang tidak biasa berlari, sudah pengsan agaknya.
Legaaaa..... Afira bersyukur. Akhirnya dia bersatu kembali setelah tercicir dari kumpulannya.
“Awak dari mana?”
Hampir terloncat Afira mendengar soalan yang baru menerjah ke gegendang telinganya. Terkejut. Baru sahaja dia mahu menarik nafas lega, sudah ada pula yang membuat darahnya berderau. Pantas dia menoleh.
Kelihatan Ikram sedang memandang Afira. Fuh... lagi sekali Afira menarik nafas lega. Mujurlah bukan Irfan yang menegur. Afira tahu bahawa Ikram tidak segarang Irfan. Sebab itulah dia tidak takut sangat dengan Ikram.
“Maafkan saya, PM Ikram. Tadi saya pergi ambil dokumen yang tertinggal di dalam bilik. Bila saya datang balik, tak sangka kumpulan ni dah bergerak,” terang Afira. Semoga sahaja Ikram tidak memarahinya.
“Lain kali cepat sikit. Mujur kitorang belum gerak jauh sangat,” balas Ikram.
“Baik... baik!” suara Afira sambil mengangguk-angguk. Kemudian Ikram terus meninggalkan Afira.
Semenjak Afira memasuki kawasan universiti ini, dia kelihatan seperti budak nakal yang selalu sahaja membuat hal. Tetapi Afira langsung tidak sengaja atas segala perbuatannya. Dia bukanlah seorang yang suka mencari publisiti murahan. Bukan sama sekali!
Cuma Irfan sahaja yang suka mencari peluang bagi mengenakan Afira. Nasib baik Irfan tiada di dalam kumpulan fakulti ini. Fuh, selamat aku!! Jerit hati Afira buat ke sekian kali.

Jumaat, 30 Mac 2012

Perubahan Jadual Karya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua....

Saya ingin membuat perubahan kepada jadual karya yang telah saya buat sebelum ini. Ini dia jadualnya: 
Setiap hari, saya akan menaip cerita yang berlainan. Belum cuba belum tahu. Tetapi setelah beberapa hari saya cuba mengaplikasikan jadual ini, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan otak saya. Takut pula watak atau jalan cerita antara satu cerita dengan satu cerita yang lain akan bercampur. 

Jadi.... akhirnya saya membuat satu keputusan. Selepas ini, saya akan menaip dua cerita iaitu 'Anak Panah Cinta' dan 'Faezah Hani & Daniel Faizi' sehingga habis.  Selepas itu barulah saya akan menaip cerita yang lain iaitu 'Ops! Jangan Main Cinta' dan 'Sudikah Kau Terima?'. Mengikut perancangan, saya mahu menyiarkan bab baru pada setiap hari. Tapi takut pula saya tidak sempat menaipnya. Jadi bila siap satu bab saja saya akan terus memasukkannya ke dalam blog ini. Dua cerita ni sebenarnya ialah mini novel. Tetapi jika had muka suratnya sudah terlebih, saya akan menjadikannya novel.

Untuk cerpen pula, saya tetap akan menaipnya, jika tiada aral melintang cerpen akan disiarkan di blog ini dan di laman penulisan2u.my pada hari sabtu atau ahad. 

Harap maklum ya semua..... terima kasih. 

Salam sayang teristimewa,
Noraz Ikha

Rabu, 28 Mac 2012

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 4


BUNYI ketukan pintu yang berselang seli dengan bunyi siren pembesar suara kini bergema di seluruh kolej kediaman. Serta-merta tidur Afira yang amat lena itu terganggu. Mata yang tadinya terpejam rapat kini sudah  terbuka luas tidak berkelip. Begitu juga dengan Hani dan Iza, rakan sebiliknya. Seperti terkena kejutan elektrik Afira pantas bangkit dari katil.
Seketika kemudian mereka cepat-cepat mencapai baldi kecil masing-masing dan berlari ke bilik air. Persis lipas kudung mereka cuba mempersiapkan diri untuk turun ke gelanggang perhimpunan minggu haluansiswa.
Takut-takut Afira, Hani dan Iza bergerak mendekati gelanggang. Kelihatan pelajar baru yang lain sudah bersiap sedia beratur mengikut kumpulan masing-masing. Terdapat juga tiga orang pelajar berdiri di hadapan gelanggang. Sudah pasti Afira dan rakan-rakan sebiliknya itu akan menyertai mereka yang berada di hadapan gelanggang itu.
“Dipersilakan tuan puteri dan dayang-dayang sekalian. Sudilah kiranya tuan puteri mengepalai perhimpunan ini,” ucap Irfan sambil berjalan mengiringi langkah Afira, Hani dan Iza.
Irfan sengaja memanggil mereka dengan gelaran terhormat tersebut. Bukan ke biasanya tetamu-tetamu terhormat sahaja yang diberi keistimewaan untuk menjadi orang terakhir yang tiba dalam satu-satu majlis? Kiranya mereka tetamu terhormatlah itu.
 Spontan riak wajah Afira berubah dengan tindakan Irfan. Apa pula yang Irfan mahu lakukan pada kali ini? Soalan itu mula berlegar di dalam fikiran Afira.
Terkulat-kulat Afira bergerak menghampiri pentas kecil di hadapan gelanggang. Langkahnya agak kurang stabil kerana masih terasa kesan bangun mengejut. Kepalanya pening.
 Malang apa pula yang bakal menimpa aku pada kali ini?? Dalam diam Afira meratapi nasib diri semenjak dia memasuki universiti penuh kebanggaan ini.
Tiba-tiba sahaja pandangan Afira berubah. Pembantu-pembantu mahasiswa yang elok berbaris berdekatan pentas gelanggang perhimpunan itu sudah berubah wajah menjadi seperti hakim di dalam mahkamah. Pelajar-pelajar baru yang kemas berbaris mengikut kumpulan masing-masing itu pula sudah berubah karakter menjadi penonton di dalam mahkamah. Mereka seperti sedang khusyuk menyaksikan Afira yang sedang berjalan menuju ke kandang pesalah.
Arghh!! Kenapa dengan penglihatan aku? Di mana aku sekarang? Afira seakan berada di dalam dunianya sendiri. Pandangan Afira semakin berbalam sehingga akhirnya dia bertukar tempat lagi ke dalam dunia yang gelap gelita....... pengsan?! 

***

“NUR Afira Nadia, kamu dijatuhkan hukuman penjara dua ratus tahun!” Bergema suara itu di dalam mahkamah, terngiang-ngiang di telinga Afira. Bagai mahu pecah rasanya gegendang Afira sewaktu mendengar hukuman itu.
“Tolong... tolong! Aku tak bersalah, aku dianiaya!!” Afira tidak peduli, dia menjerit sekuat hati. Bagai mahu terkeluar anak tekaknya.
Hukuman apakah itu? Penjara dua ratus tahun? Teruknya! Logikkah manusia akan menginjak usia sehingga dua ratus tahun? Tidak logik, tidaaakk! Jantung Afira sudah berdebar-debar tidak keruan.
Empangan air matanya mula pecah dan merembes deras. Bibirnya pula tercebik menahan perasaan sambil memerhatikan manusia-manusia di dalam mahkamah yang sungguh pelik itu. Keluarga Afira pula dilihat sedang saling erat berpelukan seperti sedang melampiaskan rasa kesedihan yang melampau.
“Tolong Fira, ibu, ayah! Fira tak bersalah,” rengek Afira dalam kebingitan suasana di situ. Tenggelam timbul suaranya, entah-entah hanya dia seorang sahaja yang mampu mendengar rengekannya.
Di satu sudut mahkamah tersebut, Afira melihat sekumpulan manusia yang sedang sakan bergelak ketawa. Ada yang mempamerkan isyarat ‘padan muka’ kepadanya, dan ada juga yang sedang tersenyum mengejek.
Eh... eh... apa hal? Air mata Afira terus terhenti dan berubah terus riak wajahnya. Mengapa mereka terlalu gembira? Adakah hukuman yang aku terima ini merupakan angkara mereka? Jika benar, tunggulah kalian akan pembalasan yang aku akan lakukan. Aku akan membuat perhitungan selepas aku keluar dari penjara nanti! Tunggulah!
“Aku akan balas dendam!!” jerit Afira sesungguh hati. Tekadnya sudah bulat.
“Aku akan balas dendam! Kau orang tunggulah!” laungnya lagi buat kali kedua, kali ini suaranya lebih kuat hinggakan tiba-tiba sahaja semua orang menjadi kaku.
Afira mengepal-ngepal penumbuknya ke tapak tangan. Dia melepaskan dirinya daripada pegangan pengawal keselamatan yang sudah menjadi ala-ala patung itu. Kemudian dia merenung gari yang mencengkam kedua-dua belah tangannya. Tidak semena-mena segaris cahaya laser berwarna biru muncul menerusi sinar matanya dan dengan pantas menyuluh ke arah gari tersebut. Serta-merta gari itu pun terbuka, jatuh dan terus lenyap ditelan lantai. Fuh! Sejak bila aku mempunyai kuasa?
Afira terkebil-kebil melihat keajaiban yang berlaku. Dilihatnya sekumpulan manusia yang tadinya bergelak ketawa dan mengejek dirinya masih lagi kaku. Inilah peluang Afira untuk melepaskan geram. Tanpa membuang masa Afira terus berlari dan satu penumbuk padu dihadiahkan ke arah pipi salah seorang daripadanya. Sekali lagi Afira terpana melihat manusia yang baru ditumbuknya itu melayang tinggi hingga menembusi siling mahkamah, dan manusia itu tidak turun kembali selayaknya tarikan graviti.
“Kuasa apakah ini?” Afira menyoal dirinya sendiri sambil membelek-belek penumbuknya. Selama ini mahu menolak ayahnya pun dia tidak berdaya. Dia semakin dihantui perasaan pelik.
Ah... aku sudah ada kuasa! Hati Afira berdetik. Mereka sudah kaku. Inilah peluang untuk dia melarikan diri. Tidak perlu dia  menjalani hukuman gila penjara dua ratus tahun itu. Baru sahaja dia mahu mengangkat kakinya, tiba-tiba semua orang yang berada di dalam mahkamah itu mula bergerak.
Belum sempat Afira bertindak, satu tamparan kuat singgah di pipi Afira dan pandangannya mula berpinar. Bintang dan bulan sudah berlegar-legar di atas kepalanya.
“Aduh!! Sakitnya!!” Afira meraung kesakitan.
Seketika kemudian Afira cuba membuka matanya perlahan-lahan. Kelopak matanya semakin terbuka dan wajah bengis lelaki bernama Irfan sudah terpapar di ruang matanya.
Irfan? Diakah yang telah menghadiahkan tamparan yang amat kuat itu? Kedua-dua bola mata Irfan terus memandang wajah Afira tanpa berkelip. Manakala bibir Irfan pula serius tidak tersenyum langsung.
Sudah bertukar menjadi robotkah dia ini? Sebelum ini adalah juga dia tersenyum walaupun hanya bertahan selama dua saat sahaja, detik Afira di dalam hati.
“Kenapa awak tumbuk muka saya sampai lebam? Padan muka awak, kan dah kena tampar!” tegur Irfan sambil menggosok-gosok pipinya.
Hah? Aku tumbuk Irfan ke? Tapi... manusia yang aku tumbuk tadi tu tak nampak macam muka Irfan pun? Fikir Afira. Biji matanya sudah terkebil-kebil seperti mata cicak.
“Siapa yang aniaya kau? Aku ke?” soal Irfan lagi walaupun segala soalannya sebentar tadi tidak dijawab oleh gadis di hadapannya itu.
Irfan tersenyum. Dia sudah tidak tahan melihat gelagat Afira yang sangat kelakar sebentar tadi. Sudahlah pengsan di hadapan semua orang. Apabila sudah sedar, merapu yang bukan-bukan pula.
Lawak betullah perempuan ini. Fikir Irfan. Dia cepat-cepat mematikan senyumannya apabila tersedar bahawa senyuman yang terukir di bibirnya itu kini sudah semakin meleret.
Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Afira. Ternyata dia masih berada dalam keadaan bingung dan biji matanya masih berpinar dek penangan tamparan kuat Irfan. Setelah pandangannya jelas, dia memerhatikan keadaan persekitaran.
Kini Afira faham, rupa-rupanya dia hanya bermimpi ketika pengsan.
Jadi yang aku terjerit-jerit di dalam mahkamah tadi tu..... Irfan dengar ke?? Dan manusia yang aku tumbuk dengan kuasa magik aku tadi itu..... Irfan ke? Alamak!!
Afira menatap wajah irfan dengan rasa bersalah. Dia ingin meminta maaf tetapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Irfan pula sudah terasa seperti hendak ketawa sambil berguling-guling ketika itu. Namun cuba ditahannya seboleh mungkin. Dia tidak boleh berbuat begitu di hadapan Afira.Tugasnya dalam sesi orientasi ini tidak membenarkannya berkelakuan mesra.
Mimpi apakah Afira tadi? Tiba-tiba sahaja Irfan terasa ingin tahu.
“Awak nak balas dendam kepada saya ke? Kenapa? Awak tak puas hati dengan denda hari tu ke?” Sekali lagi Irfan mengungkit apa yang keluar dari mulut Afira sewaktu pengsan.
Mulut Afira ternganga luas. Sah... memang sah, Irfan telah mendengar semua butir bicaranya sewaktu di dalam mahkamah mimpi tadi. Irfan terus tersenyum di dalam hati. Suka benar dia menyakat Afira. Irfan tahu bahawa Afira tidak akan berani untuk melawannya. Takut kena denda. He.. he.. he..

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 3


KAKI Afira sudah terasa lenguh kerana berdiri dengan agak lama. Dia memerhatikan Irfan. Entah apalah yang lelaki itu sedang berbincang di tepi dewan. Lama betul.
Dibuatnya aku macam tunggul di atas pentas ini. Sudahlah semua orang pandang aku. Agaknya Irfan ingat aku ini boneka yang boleh dibuat pameran, yang tiada perasaan dan boleh dibiarkan lama-lama macam orang bodoh di hadapan orang ramai. Huh! Buat malu sahaja! Bebel hati Afira berbaur perasaan bengang.
Irfan menoleh kepada Afira. Seakan tersedar bahawa gadis itu sedang menyumpah seranah dirinya. Laju Irfan mendekati Afira kembali.
“Oleh kerana ini kesalahan pertama, saya hanya akan mengenakan hukuman ringan,” ujar Irfan kemudian. Wajahnya tetap serius.
Bulat mata Afira mendengar kata-kata Irfan. Dia mula dapat mengagak sesuatu. Mungkinkah tadi Irfan telah berbincang mengenai hukuman yang bakal dikenakan kepadanya? Bibirnya mula bergerak seperti mahu memperkatakan sesuatu.
“Tapi... bukan ke peraturan itu baru dijelaskan tadi. Sepatutnya kesalahan yang dilakukan sebelum peraturan dijelaskan, boleh dimaafkan,” Afira cuba membela diri. Dia mengutarakan alasan kukuh. Dilihatnya Irfan sedang mengerut kening. Afira tidak tahu apakah yang sedang bermain di benak Irfan.
“Oh, belum apa-apa lagi dah pandai melawan, ya?” gertak Irfan tanpa diduga.
Afira menelan air liur. Ah... bencinya!! 
Afira hanya mampu mendiamkan diri seribu bahasa kerana tidak berani lagi membalas kata-kata yang keluar dari mulut Irfan. Hanya mata Afira sahaja yang berani merenung tajam ke wajah Irfan. Bagai ada makna pula pada renungan Afira itu. Hmmm... sudah semestinya pandangan itu membawa maksud perasaan geram yang teramat.
Irfan tetap seperti tadi, serius dan seperti orang tidak mempunyai perasaan. Berbeza sungguh perwatakan Irfan pada ketika ini. Afira terpaksa menerima hakikat bahawa Irfan yang ditemuinya pada siang tadi dengan Irfan yang berada di hadapannya kini adalah orang yang sama. Sama tetapi tidak serupa. Perbezaannya bagai langit dengan bumi.
“Sebagai hukuman, awak nampak tak mereka yang berdiri di sekeliling dewan ni?” tanya Irfan sambil tangannya diarahkan ke sekeliling dewan itu.
“Nampak!” cepat-cepat Afira menjawab.
Bukan apa, Afira sekadar tidak mahu mendengar bebelan Irfan jika dia tidak mengikut arahan.
Irfan tersenyum. Namun seperti tadi, senyuman Irfan itu hanya bertahan selama dua saat sahaja. Sungguh pelik Afira melihat sikap Irfan itu.
“Okey... mereka ialah pembantu mahasiswa, PM-PM. Sekarang awak ikut saya!” arah Irfan lalu dia terus melangkah.
Seperti anak kecil Afira mengekori langkah Irfan.
Dia ingat aku ini siapa? Suka-suka hati aje nak arah-arah! Marah Afira di dalam hati. Namun diturutkan juga kemahuan Irfan itu.
Apa lagi agaknya yang Irfan mahu lakukan? Afira tertanya-tanya di dalam hati. Kejutan demi kejutan melanda dirinya. Tidak pernah dia menghadapi situasi seperti ini pada sepanjang hidupnya.
Akhirnya Irfan berhenti mengejut di hadapan salah seorang pembantu Mahasiswa. Hampir sahaja hidung Afira terhenyak pada belakang badan Irfan. Terkial-kial Afira cuba  menghentikan langkahnya yang laju sebentar tadi.
Kedengaran suara tawa pelajar-pelajar lain tatkala melihat aksi Afira yang tidak disengajakan itu. Irfan menoleh ke arah pelajar-pelajar baru yang sedang ketawa. Serta merta suara tawa itu mati begitu sahaja. Kemudian semua orang buat-buat tidak nampak akan aksi lucu Afira.
Irfan memandang mereka dengan pandangan yang tajam. Sebenarnya Irfan tidak faham, kenapa tiba-tiba suasana lucu boleh timbul? Dia juga berasa pelik apabila menyedari rakan-rakan pembantu mahasiswanya juga ada yang cuba menahan tawa.
Irfan semakin diburu kehairanan. Namun dibiarkannya sahaja perasaan itu. Mana mungkin Irfan akan dapat menangkap apa yang baru terjadi. Irfan berjalan di hadapan. Tidak mungkin dia akan menoleh ke belakang semata-mata untuk melihat Afira berjalan. Maruahnya perlu dijaga.
“Sekarang awak tanya nama, fakulti mana, dan asal mana kepada PM ini,” sekali lagi Irfan mengeluarkan arahan. Afira merapatkan diri ke arah pembantu mahasiswa yang dimaksudkan oleh Irfan.
“Siapa nama abang? Eh.. maaf, siapa nama PM?” Ternyata Afira masih janggal untuk menggunakan panggilan PM.
Afira dapat menangkap perubahan wajah Irfan sebaik sahaja dia menyebut perkataan ‘abang’.
“Nanti... nanti.. nanti!” celah Irfan sebelum soalan Afira itu  sempat dijawab oleh pembantu mahasiswa terbabit.
“Kalau baru jumpa orang, takkanlah nak main sergah aje. Bagilah salam dulu. Macam ini, ehem..ehem.. selamat malam, siapa nama PM? Belajar di fakulti mana? Asal PM dari negeri mana? Lembut sikit. Cuba lagi!” Arah Irfan lengkap dengan contoh yang diberikan.
Afira terus menggerutu di dalam hati. Dalam diam Afira terus mengutuk tindakan Irfan.
“Selamat malam, siapa nama PM? Belajar di fakulti mana? Asal PM dari negeri mana?” Afira mengulangi bulat-bulat contoh soalan yang diberikan oleh Irfan sebentar tadi kepada pembantu mahasiswa di hadapannya.
“Ops! Apa ni? Tanyalah satu-satu. Tanya banyak-banyak macam mana dia nak jawab?” tegur Irfan sekali lagi. Agak mendatar nada suaranya.
Hati Afira semakin membengkak. Ada sahaja yang tidak kena tentang dirinya di mata Irfan.
“Selamat malam. Siapa nama PM?” soal Afira kemudian. Tertahan-tahan lontaran suaranya. Mahu balik rumah pada masa ini juga rasanya.
“Ikram,” jawab Pembantu Mahasiswa itu sepatah.
Afira terlongo seketika. Punyalah Afira sopan bagi salam, hanya itu jawapan yang diperolehi? Tak berbaloi langsung. Fikirnya lagi.
“PM Ikram belajar di fakulti mana?” tanya Afira lagi.
“Fakulti Ekonomi,” sepatah juga jawapan yang keluar. Tidak mesra ‘alam’.
“PM Ikram berasal dari negeri mana?” Afira melengkapkan soalannya.
“Kuala Lumpur,” jawab Ikram.
Setelah habis semua pertanyaannya dijawab oleh Ikram, Afira memandang Irfan kembali. Pandangan yang penuh makna tersirat. Dia harap Irfan akan memperkatakan sesuatu.
“Okey... okey... sekarang perkenalkan PM Ikram ini kepada rakan-rakan awak yang lain.” Irfan meneruskan arahannya.
Dia ingat aku ini budak sekolah ke apa? Afira berasa semakin geram.
“Kawan-kawan, ini PM Ikram. Dia belajar di Fakulti Ekonomi. Dan dia berasal dari Kuala Lumpur!” lantang suara Afira menggunakan mikrofon yang diberikan oleh Irfan kepadanya.
Afira sudah malas untuk menyusun ayat cantik-cantik. Biarlah kata-katannya itu kedegaran seperti pelajar darjah satu, dia tidak peduli.
Irfan mengukir sebuah senyuman lagi. Namun cepat-cepat senyuman itu dimatikan tatkala menyedari Afira sudah menjadikan wajahnya sebagai sasaran kembali.
Afira mengerutkan kening. Masuk kali ini, sudah tiga kali dia melihat Irfan tersenyum sebegitu rupa. Senyuman yang dia boleh klasifikasikan sebagai senyuman dua saat. Ada juga orang begitu. Fikir Afira dalam diam.
“Bagus! Semua PM kat sini ada enam puluh orang. Awak tanya satu-satu macam tadi. Lepas itu perkenalkan balik kepada kawan-kawan awak. Sama macam tadi... senang saja, kan? Ini merupakan hukuman bagi awak. Mulakan sekarang.” Irfan menyudahkan arahannya.
Semua? Enam puluh orang? Gila ke mamat ini? Ini betul-betul satu pembulian! Protes Afira sepuas hati.
Afira cuba mengukir senyuman. Sungguh kelat senyuman yang terukir. Panasnya di dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sudahlah telefon bimbit telah dirampas. Tidak bolehlah dia mengadu kepada keluarganya. Langsung tiada peluang untuk menghubungi dunia luar.
Baru hari pertama sudah macam-macam yang terjadi. Bagaimana Afira mahu menghabiskan pengajian selama tiga tahun di tempat ini? Adeh.. lemah semangat Afira.
Hati Afira menjadi bertambah sebal tatkala terpandangkan Irfan yang masih kelihatan serius.
Ibu... ayah.... Fira nak balik!!!

Sedikit Pengumuman Mengenai APC & OJMC

Assalamualaikum dan selamat malam kepada semua pembaca tersayang.


Ada sedikit perubahan di sini. Disebabkan Anak Panah Cinta bab 2 terlalu panjang, saya telah memecahkannya kepada dua bab (bab 2 & bab 3) dan saya telah mengeditnya kembali.


Berdasarkan jadual, sepatutnya hari ini saya post Ops! Jangan Main Cinta bab 1 kan? Hehe.. tapi disebabkan tangan saya tengah gatal mengedit Anak Panah Cinta, jadi saya terpaksa menangguhkan Ops! Jangan Main Cinta.


Malam ini, saya akan post Anak Panah Cinta bab 3 & bab 4. Dan jika sempat saya akan post Ops! Jangan Main Cinta (kalau tak sempat, hari khamis la ya)


Terima kasih semua, selamat membaca.


Salam sayang teristimewa,
Noraz Ikha

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 2


MAHU tidak mahu, Afira terpaksa bersesak-sesak duduk di dalam dewan kolej kediaman itu. Minggu orientasi telah bermula.
“Peraturan pertama... sepanjang minggu orientasi ini, awak semua tidak dibenarkan memanggil fasilitator atau pembantu mahasiswa dengan panggilan abang, kakak, adik, mak cik, pak cik atau sebagainya. Sebaliknya awak dikehendaki memanggil mereka dengan panggilan PM, iaitu singkatan kepada Pembantu Mahasiswa. Bukan abang PM atau kakak PM. Hanya PM sahaja. Ingat, awak semua belum rasmi lagi jadi pelajar kat universiti ni. So, jangan nak tunjuk pandai dan jangan nak berlagak kat sini. Ikut peraturan. Faham!” Seorang lelaki di atas pentas memberi arahan dengan suara yang amat tegas.
Glup! Afira menelan air liur tatkala mendengar lontaran suara lelaki itu. Dia masih ingat, lelaki itulah yang menjadi sasarannya pada siang tadi. Tiba-tiba Afira teringat akan panggilan yang telah digunakannya kepada lelaki itu.
Abang, tumpang tanya. Kat sini ada kedai fotostat tak? Kat mana ya?” Terngiang-ngiang pertanyaan yang pernah diucapkan Afira kepada lelaki itu.
Afira telah memanggilnya ‘abang’. Nampaknya, siang-siang lagi Afira telah melanggar peraturan. Mata Afira hampir berair tatkala menyedari bahawa lelaki itu sedang memandang tajam ke arahnya. Perkataan ragging mula bermain di dalam fikiran. Namun Afira berasa lega apabila teringat bahawa ragging di semua universiti telah pun diharamkan.
Dalam ramai-ramai macam ni pun, dapat juga dia cari muka aku! Adehh...! Hati Afira berkeluh kesah.
Tidak senang duduk Afira dibuatnya. Adakah Afira akan dihukum kerana keterlanjuran kata-katanya pada siang tadi? Risau sungguh dia.
Tapi siang tadi kita orang baru sampai. Tak diterangkan lagi tentang peraturan itu. Sepatutnya bolehlah dimaafkan, Afira bermonolog. Sekadar menyedapkan hatinya.
Namun Afira terus diburu resah. Seakan ada sesuatu pada pandangan lelaki di atas pentas itu. Afira sangat berharap lelaki itu tidak akan mengingati wajahnya.
“Nama saya Alif Irfan. Boleh panggil saya PM Irfan. Sebelum saya memperkenalkan PM-PM yang lain, dengan segala hormatnya saya mempersilakan... Nur Afira Nadia untuk naik ke atas pentas ini!”
Hah!! Bukan main terkejut lagi Afira mendengar namanya dipanggil.
Betul ke nama aku yang abang tu panggil? Eh, silap... PM... bukan abang. Nama orang lain kut! Afira membiarkan sahaja arahan Irfan itu berlalu bagai angin, dengan harapan akan ada orang lain tampil ke hadapan. Kalau benar-benar bukan dia, bukankah buat malu sahaja jika dia keluar? Afira tersenyum sendiri mengenangkan apa yang sedang bermain di dalam fikirannya pada ketika ini.
Setelah beberapa ketika, tiada seorang pun yang tampil ke atas pentas. Mata Irfan pula terus terarah ke wajah Afira.
Aduhai... kenapa pula kau pandang aku? Bukan aku kan yang kau panggil? Pandanglah tempat lain! Alahaiii.... Afira buat-buat tidak tahu dan pura-pura memandang ke tempat lain. Resah gelisah di dalam diri Afira pada waktu ini hanya Tuhan yang tahu.
“Siapa di sini yang bernama Nur Afira Nadia? Hai... takkan tak nak mengaku nama sendiri? Penat mak  dan ayah awak bagi nama cantik-cantik. Pelajar baru bernama Nur Afira Nadia, saya nampak awak di situ! Keluar sekarang sebelum awak ditarik keluar!” arah Irfan sekali lagi.
Memang sah memang nama Afiralah yang dipanggil. Bertambah laju degupan jantung Afira. Ibu... ayah... saat ini Afira hanya teringatkan kedua-dua orang tuanya. Tanpa membuang masa, Afira mula mengatur gerak perlahan-lahan dari tempat duduknya.
“Cepat sikit!” sergah Irfan.
Dengan riak muka yang sangat kelat, Afira tergesa-gesa mempercepatkan langkahannya.
 Sabarlah! Sempat  Afira merungut di dalam hati kecilnya. Selama ini, belum ada seorang pun di dalam dunia ini yang pernah berbicara kasar sebegitu terhadapnya.
Macam mana orang nak hormat kepada dia kalau dia sendiri tak mahu hormat kepada orang lain?! Afira terus mengomel di dalam hati. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh lelaki itu.
Afira menyedari bahawa pelajar-pelajar baru yang lain sedang memandangnya dengan riak wajah yang sungguh pelik. Mungkin juga mereka tertanya-tanya mengapa Afira dipanggil sedangkan Afira juga pelajar seperti mereka yang baru tiba di universiti ini. Namun Afira tidak hairan. Dia tahu bahawa dia telah melakukan kesalahan tanpa sengaja. Diingatkan sekali lagi... TANPA SENGAJA!
Afira sempat menoleh ke arah mereka yang sedang berdiri di tepi dewan. Kesemua mereka berpakaian seragam, sama seperti Irfan. Mungkin mereka juga ialah pembantu mahasiswa. Namun wajah mereka amat serius. Tiada seorang pun yang sudi memaniskan wajah Afira.
Malang sungguh nasib yang Afira rasakan. Belum apa-apa lagi sudah menjadi perhatian. Afira tidak berani memandang tepat ke wajah Irfan yang kini sudah berada betul-betul di hadapannya.
“Awak tahu tak kenapa saya panggil?” soal Irfan. Tidak ubah bagai seorang anggota polis.
“Err… tak tahu!” jawab Afira teragak-agak.
Afira sengaja jawab tidak tahu. Afira mula membayangkan wajahnya yang buruk dalam keadaan begini. Di hadapan orang ramai pula tu. Haisyy! Malu!
“Betul awak tak tahu? Okey... saya bagi peluang kedua. Saya tanya lagi sekali... awak tahu kenapa saya panggil?” Irfan mengulangi soalannya.
Terkebil-kebil mata Afira kerana diperlakukan begitu. Terasa sungguh dirinya kini sedang berada di dalam kandang bersalah sebuah mahkamah. Afira memberanikan diri untuk memandang tepat ke wajah Irfan.
Tiba-tiba sahaja hati Afira terasa panas. Afira merasakan dia sedang dibuli oleh lelaki bernama Irfan itu. Takkanlah hanya kerana kesalahan kecil yang tidak disengajakan itu, Afira terpaksa menanggung malu seisi dewan besar? Afira mengetap bibir.
Demi terlihat sahaja wajah Irfan yang amat serius tanpa secalit kemesraan, Afira terpaksa akur dengan keadaan dirinya. Kini bukan masanya untuk Afira memberontak. Afira tiada pilihan lain, dia terpaksa mengikut rentak Irfan. Alahai.... nasib badan!
“Saya tahu... saya bersalah. Saya minta maaf,” mendatar sahaja suara Afira mengakui kesalahannya.
Barulah kelihatan Irfan tersenyum sedikit. Namun cepat-cepat pula Irfan mematikan senyumannya. Afira tidak tahu kenapa Irfan berubah serius kembali secara tiba-tiba.
“Bagus! Macam nilah ciri-ciri orang yang berani mengakui kesalahan. Beritahu saya, apakah kesalahan yang telah awak buat?” soal Irfan dihujung ucapannya.
Sekali lagi hati Afira mendidih.
Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Sengaja aje, nak kenakan akulah tu! Memang sah aku kena buli! Hati Afira terus mengomel. Namun tiada seorang pun yang dapat mendengar omelan hatinya itu.
“Saya panggil awak... err... saya panggil PM Irfan dengan panggilan abang,” jelas Afira dengan tergagap-gagap. 
Afira perasan akan jegilan mata Irfan apabila dia terlanjur mengucapkan perkataan ‘awak’ sebentar tadi. Pelajar-pelajar lain yang duduk bersila di dalam dewan itu mula mengeluarkan bunyi seperti lebah. Berbisik-bisik sesama sendiri.
“Heii... hei... siapa suruh awak semua bising? Ada saya suruh awak semua bisik-bisik? Kalau teringin sangat nak bercakap, naiklah atas pentas ni. Saya boleh bagi mikrofon kat awak. Macam tu barulah berani. Cakap-cakap orang berbisik ni cara orang pengecut saja. Dah masuk universiti mestilah kena berani! Peraturan kedua, dilarang bercakap kecuali ditanya. Faham?!” jerit Irfan. Lantang sungguh nada suaranya. Sudah kedengaran seperti suara komander askar.
Kecut perut Afira menahan telinga di sebelah Irfan. Afira memang cukup benci melihat manusia yang suka terjerit-jerit. Macam orang lain pekak sahaja lagaknya.
Dalam sekelip mata suasana di dalam dewan besar itu sudah menjadi senyap sunyi bagai tiada orang langsung. Wajah masing-masing sudah seperti udang kena bakar. Tidak kurang juga ada yang beriak wajah blur. Mungkin masih terkejut dengan suasana dan persekitaran baru di universiti itu. Sejujurnya Afira juga berasa terkejut.
“Kalau saya tanya faham ke tidak tu, jawablah faham... janganlah diam saja! Tadi saya tak tanya boleh pula awak semua bising-bising. Satu dewan ni bergema dengan suara-suara awak. Peraturan kedua, dilarang bercakap kecuali ditanya, faham?” ulang Irfan. Sempat juga dia membebel.
“Faham,” jawab pelajar-pelajar baru tersebut.
“Kuatlah sikit, tak bersemangat langsung!” Irfan tidak berpuas hati.
“Faham!!” Kali ini bergema suluruh isi dewan. Irfan mengangguk-angguk tanda dia puas hati.
Kemudian Irfan meninggalkan Afira seorang diri di atas pentas. Dia melangkah ke arah salah seorang pembantu mahasiswa yang berada di tepi dewan.
Terlopong mulut Afira melihat tindakan Irfan. Apa aku nak buat seorang-seorang di atas pentas ini? Hati Afira berdetik bimbang. Perasaan Afira sudah mula tidak tentu arah.

Jumaat, 23 Mac 2012

Novel: Sudikah Kau Terima? - Bab 1

          “Leena, sebenarnya.... saya... saya...”

          Lama Aleena menunggu Taufiq menghabiskan ayat. Namun semakin lama dia menunggu, semakin sesak pula nafasnya. Penat Aleena menahan nafas demi mahu mendengar kata-kata Taufiq, tapi kesudahannya kata-kata itu tetap tergantung di situ.

          “Sebenarnya saya apa, wahai Encik Taufiq?” Sengaja Aleena bertanya.

          “Saya cintakan awak, Leena!” Tiba-tiba laju pula Taufiq menuturkan kata-kata itu.

          Mata Aleena terbeliak. Bergetar juga rasa hatinya apabila ada seorang lelaki berkata begitu kepadanya. Sepantas itu juga Aleena menggeleng. Gagal! Pada pendapat Aleena, lelaki di hadapannya itu telah gagal. Tapi alang-alang sedang berlakon, lebih baik aku layankan sahaja si Taufiq ini, detik hati Aleena.

          Hai... Taufiq... Taufiq... kau yang mahu mengurat anak dara orang, aku pula yang menjadi mangsa. Apalah salahnya kalau kau terus meng‘ayat’ wanita pujaan hati kau itu? Ini tidak, aku pula yang kena menyamar jadi si dia untuk memudahkan kau berlatih. Sempat lagi Aleena merungut di dalam hati. Tapi jangan salah faham pula. Aleena memang ikhlas mahu membantu Taufiq. Cuma hati dan mulutnya sahaja yang suka membebel macam mak nenek.

          “Hei, awak ni dah gila ke? Awak ni siapa? Tiba-tiba saja awak kata cintakan saya. Dah buang tabiat ke?” balas Aleena bersungguh-sungguh.

          “Sampai hati kau kata aku macam tu. Tak nak berlatih lagi la kalau macam ni.” Taufiq merajuk. Sesi latihan yang mereka sedang jalani itu terus tamat.

          “Laaa.... takkanlah itupun kau nak merajuk. Taufiq, kau kena sedar. Kau tak boleh la tiba-tiba saja kata kau cintakan dia. Dia tak kenal kau, tahu. Mula-mula kau kenalah berkawan dengan dia dulu. Lepas tu barulah kau boleh luahkan perasaan cinta tu. Kalau kau terus cakap macam tadi, tak mustahil la dia pun akan kata kau gila,” terang Aleena separuh membebel.

          Taufiq menggaru kepala sambil berfikir. Oh, tak boleh ke? Tapii.....

          “Sebenarnya, dia pun dah lama kenal aku. Cuma aku tak tahu apa perasaan dia terhadap aku,” bongkar Taufiq kemudiannya.

          “Ohh, kenapa kau tak cakap awal-awal? Buang air liur aku aje la terangkan tadi.” Aleena sudah membebel kembali.

          Agaknya memang membebel itu sudah menjadi hobi Aleena. Hai... nasiblah kau Taufiq. Redha sahajalah.

          “Kau tak tanya, kau yang suka-suka hati anggap dia tak kenal aku. Apa kata kita berlatih sekali lagi. Nak tak?” ajak Taufiq.

          “Tak naklah! Sebenarnya aku tak ada kaitan pun dalam perhubungan antara kau dengan dia. Apa kata kau terus saja beritahu perasaan kau pada dia. Lagipun, kau orang dah lama kenal kan? Apa lagi masalahnya?” Aleena cuba mengelak.

          “Alaa.... pleaseee... aku belum cukup berani nak berterus terang dengan dia. Aku kena berlatih dulu. Tolonglah jadi partner latihan aku,” rayu Taufiq.

          Aleena mula menongkat dagu. Dipandang wajah Taufiq sehingga lelaki itu kelihatan serba salah. Aleena tersenyum, suka benar dia menyakat Taufiq.

          Taufiq memang seorang yang pemalu. Aleena sendiri tidak sangka dia akan berkawan rapat dengan Taufiq. Bagaimana mereka boleh berkenalan? Haa... mereka merupakan rakan sekolah. Cuma di sekolah dahulu persahabatan mereka tidaklah serapat hari ini. Kini masing-masing sudah bekerja. Jika dilihat pada umur mereka, memang sudah layak sangat untuk berkahwin. Cuma pasangan masing-masing sahaja yang belum ada.

          “Hmmm.... okey, aku akan tolong. Tapi, boleh aku tanya satu soalan?” Aleena bersuara setelah mempertimbangkan permintaan Taufiq.

          Kasihan pula Aleena melihat Taufiq yang tidak pandai memikat wanita idamannya. Taufiq... Taufiq...

          “Tolong jangan tanya siapakah perempuan yang aku tengah pikat tu,” putus Taufiq kemudian.

          “Alaaa...” Spontan Aleena mengeluh panjang.

          Aleena menyedut air minuman di hadapannya sehingga habis. Melepaskan perasaan geram kerana Taufiq tidak mahu memberitahunya.

          “Macam mana kau boleh tahu yang aku nak tanya soalan tu? Kau boleh baca hati orang ya?” usik Aleena.

          “Tak adalah. Kalau aku boleh baca hati orang, mesti aku dah tahu apa perasaan perempuan tu terhadap aku,” luah Taufiq dalam nada sedih. Tangkap lelehlah pula...

          Hmm... kasihannya Taufiq, detik hati Aleena. Memendam perasaan adalah lebih menyiksakan berbanding meluahkan. Tetapi jika hati sudah tidak berani berterus terang, apa lagi yang boleh dibuat? Ternganga sahajalah gamaknya.

          “Mesti perempuan tu adalah seorang yang istimewa kan? Hisyy, cemburulah aku macam ni!”

          Kata-kata Aleena itu membuatkan Taufiq tersentak.

          “Kau cemburu? Maksudnya... kau sukakan aku ke?” Laju Taufiq bertanya tanpa ragu-ragu.

          “Eh... eh... tolong sikit. Kau adalah kawan aku. Friend forever. Aku cemburu sebab... sebab nanti mesti kau kahwin dulu daripada aku. Kau dah ada calon, aku belum ada. Tapi aku tak kisah pun. Kalau dah jodoh tak ke mana,” jawab Aleena.

          Taufiq memandang tepat ke arah anak mata Aleena.

          Hisy... apa pasal pula Taufiq ni pandang aku macam nak telan? Aku bukannya makanan yang boleh ditelan-telan, tahu. Tak selesa betullah. Bebel hati Aleena sambil melarikan pandangannya ke arah lain.

          Haa... pandang jalan raya kat luar tu lagi bagus daripada pandang muka Taufiq pada waktu sekarang. Menakutkan! Kata hati Aleena lagi.

          “Betul tu. Kalau dah jodoh, tak ke mana. Kadang-kadang jodoh kita dah ada depan mata, tapi kita tak sedar,” ucap Taufiq.

          Kening Aleena berkerut. Apabila difikirkan, lain macam pula maksud ayat Taufiq itu. Haa... Aleena sudah faham.

          “Sedarlah Taufiq, jodoh kau dah ada kat depan mata kau tu. Kau saja yang tak berani nak luahkan perasaan. Cepat la Taufiq, luahkan sebelum dia jadi hak milik orang lain. Masa tu nanti mulut kau juga yang terlopong,” nasihat Aleena.

         Taufiq menepuk dahi, nampaknya dia sudah termakan oleh kata-kata sendiri.

          “Mulalah nak buat muka blur tu. Sudahlah, aku nak balik rumah. Dah petang sangat ni. Lain kali aku tolong kau berlatih lagi ya. Oh ya, nanti jangan lupa perkenalkan wanita idaman kau tu pada aku ya. Teringin jugak nak tau siapa orangnya. Mesti cun meletop punya, kan? Hehe... okey, Papaiii!” Aleena mematikan perbualan.

          Belum sempat Taufiq membalas apa-apa, Aleena sudah berlalu dari kedai makan tersebut. Dia hanya mampu menggeleng melihat tingkah laku Aleena.

          “Aleena... Aleena... dari dulu, perangai dan karakter kau tu tak pernah berubah.” Tanpa sedar Taufiq menuturkan ayat itu sambil tersenyum.

          “Abang, kenapa abang senyum seorang-seorang?” Satu teguran tiba-tiba menerjah ke telinga Taufiq.

          Serta-merta Taufiq menoleh. Kelihatan Zaim, pembantu kedai di situ sudah tercegat di tepi meja. Baru tiga minggu Zaim bekerja di kedai makan itu dan dia sudah biasa menerima kunjungan Taufiq yang menjadi pelanggan tetap. Zaim sebenarnya sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Daripada dia duduk ‘tanam anggur’ di rumah, lebih baiklah dia bekerja buat sementara. Bolehlah juga mendatangkan pendapatan.

          “Mana ada abang senyum seorang-seorang. Agaknya Zaim tak perasan kut yang muka abang ni memang jenis muka senyum. Kalau abang tak senyum pun orang akan ingat abang senyum,” balas Taufiq, sengaja mencipta alasan.

          “Perasanlah abang ni. Dah senyum seoang-seorang, tapi tak nak mengaku pula. Abang, saya nak tanya sikit ni, siapa perempuan tadi tu? Teman wanita abang ya? Cantiklah! Selalu nampak dia keluar makan dengan abang,” ujar Zaim secara tiba-tiba.

          “Eh... eh... yang Zaim menyibuk ni kenapa? Dah... dah... lebih baik Zaim bagi bil,” suruh Taufiq, malas dia mahu melayan Zaim.

          Akur dengan arahan pelanggan, tanpa membuang masa Zaim terus berlalu ke kaunter dan mengambil bil yang dimaksudkan. Taufiq pula menggeleng-geleng.

          “Buat lawak pulak si Zaim ni. Kalau la si Aleena tu dengar apa yang Zaim cakap tadi, mahu aku kena gelak guling-guling.” Taufiq berkata sendiri.

          Jangan orang lain ingat dia gila sudah. Jatuh saham!