Jumaat, 2 Ogos 2013

Mari dapatkan mini novel Alahai Siti Idora versi cetak

Assalamualaikum semua.
Berjumpa lagi kita di sini.
Saya nak memperkenalkan mini novel Alahai Siti Idora versi cetak.
Sesiapa yang berminat hendak membelinya,
bolehlah tinggalkan emel/nombor handphone anda di ruangan komen.
Saya akan hubungi anda kembali.


Mini Novel: Alahai Siti Idora
Harga: RM10(sem.malaysia) RM13(sabah/sarawak)
Jumlah muka surat: 62
Kos pos: Percuma (pos biasa)

Sedikit sedutan mini novel ini:

“Ada masalah ke??” soal Ilham Helmi dengan reaksi wajah seperti orang tidak bersalah langsung.

Siti Idora sudah menunjukkan riak wajah jelmaan singa mengaum. Marah!

“Masalah besar sangat. Kau ni siapa? Apa kau buat dekat sini??” Bertalu-talu Siti Idora menyoal Ilham Helmi.

Lelaki di dalam kereta Myvi SE itu sudah menjadi seperti jelmaan semut sahaja pada pandangan Siti Idora. Tunggu masa untuk ditenyeh-tenyeh sahaja, biar mampus terus semut itu. Barulah akan puas hati Siti Idora.

“Aku oranglah. Ada kau nampak aku ni macam robot? Kau ni, dahlah datang tak bagi salam. Ketuk-ketuk tingkap kereta orang sesedap rasa. Suruh orang itu ini. Lepas tu, sibuk tanya benda yang bukan-bukan. Aku tengah duduk layan lagu dalam keretalah. Kau tak nampak ke? Lain kali pakai cermin mata. Kacau penghayatan betullah.” Panjang berjela bebelan Ilham Helmi. Masih tidak habis-habis dengan penghayatan lagu Siti Nurhalizanya.

‘Amboi... sepatah yang ditanya, berpatah-patah pula dia menjawab. Dasar pencari pasal betullah.’ Hati Siti Idora bertambah panas.

“Eh.... aku tak kenal kau. Kau tau tak yang dekat depan kau ni, rumah siapa? Rumah aku, tau! Dia yang mangganggu gugat ketenteraman orang lain, sedap pula mengata kita yang kacau dia.” Nada suara Siti Idora semakin tinggi.

Tersirap darah Siti Idora melayan kata-kata lelaki yang masih tidak sedar diri itu. Dia mula mengesat peluh yang semakin merecik. Bahang mentari kian terasa.

Manakala Ilham Helmi pula enak duduk di atas kerusi empuk bertemankan hawa dingin di dalam keretanya.

“Ini rumah kawan baik aku. Asrizal nama dia.” Pantas Ilham Helmi menjawab soalan Siti Idora. Kemudian tangannya mematikan terus radio di dalam kereta. Letih pula dia terjerit-jerit melawan suara kekasih angkatnya nan seorang itu untuk bercakap dengan Siti Idora.

Terbeliak biji mata Siti Idora. Nama siapa pula yang baru didengarnya sebentar tadi?

“Asrizal? Sejak bila rumah aku ni jadi rumah kawan baik kau? Banyak cantik muka dia! Aku yang berhempas pulas bayar sewa, dia pula yang dapat nama?” Siti Idora mendengus kasar.

Kali ini biji mata Ilham Helmi pula yang terbeliak. Dia sudah mula menggelabah. ‘Woo... tak mungkin aku salah rumah.’ Matanya tiba-tiba sahaja menangkap nombor lima pada pintu rumah Siti Idora. 

******

         "Mana bakal menantu kesayangan mak? Tak sampai-sampai pun? Siti dah kata, perangai dia bukannya elok sangat. Cuba tengok sekarang ni, tak menepati janji. Bukannya rumah ni jauh sangat. Sengaja nak tunjuk lagaklah itu. Mentang-mentanglah mak yang ajak dia makan tengah hari kat sini, sengaja datang lambat. Sukalah dia dapat makan percuma. Mak ni, buat apa nak baik-baik sangat dengan dia? Ingat tau mak, kita tak kenal dia.” Mulut Siti Idora membebel tanpa henti sambil menuruni anak tangga di dalam rumahnya.

“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Jaga sikit mulut kamu tu, Siti. Eh... kenapa kamu pakai baju ni? Dah rupa macam bangunan tak siap pula mak tengok. Janganlah pakai seluar dengan baju-T. Kamu ingat kamu tu nak pergi bersukan ke?” Kali ini Puan Madiha pula yang membebel.

Patutlah mulut Siti Idora begitu petah berbicara, rupa-rupanya ibunya juga begitu. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi? Memang sah bakat membebel yang ada pada Siti Idora itu merupakan warisan turun temurun.

“Tak boleh ke pakai macam ni?” soal Siti Idora dengan riak wajah tidak bersalahnya.

“Dah... dah... pergi tukar. Pakai baju kurung. Tudung tu pinlah betul-betul. Jangan main ikat-ikat macam tu aje! Mak cik nak pergi pasar pun tak pakai macam kamu ni. Pakai kemas-kemas sikit!” Puan Madiha mula menggunakan kuasa vetonya. Tidak boleh tidak, anaknya itu wajib menurut perintahnya.

Terpamer cebikan pada bibir Siti Idora. Adakah patut dibandingkan mak cik yang mahu ke pasar dengan dirinya?

“Mana boleh bandingkan Siti dengan mak cik-mak cik nak pergi pasar. Siti muda lagilah. Mak cik-mak cik tu dah tua,” sangkal Siti idora.

Ada sahaja yang mahu dilawan akan kata-kata ibunya.

“Masalahnya, cara kamu berpakaian tu dah macam orang tua. Kalau tukar seluar kamu tu dengan kain batik, dengan baju-T yang besar, tak ada gaya orang umur 25 tahun, tau! Itu ha... orang zaman sekarang dah tak ikat tudung macam ikat plastik kuih macam yang kamu buat tu,” tegur Puan Madiha.

Siti Idora mengeluh. Dia tergaru-garu kepala sendiri yang tidak gatal. Jika dengan orang lain, dia boleh menang berlawan kata-kata. Tetapi jika dengan ibunya, dia sukar untuk menang. Maklumlah, protege mana boleh lawan mentor.

“Yalah... yalah... Siti pergi tukar. Tapi Siti malas nak seterika baju. Siti pakai aje baju kurung yang dah berkedut sejuta tu.” Akhirnya Siti Idora mengalah.

“Tak kisahlah baju tu dah berkedut sejuta ke... sepuluh juta ke... yang penting, pakai baju kurung. Cepat. Kejap lagi bakal menantu mak sampai,” desak Puan Madiha.

Amboi Puan Madiha... sudah berkenan betul nampaknya dengan lelaki yang bernama Ilham Helmi itu, ya? Bertuahnya badan Ilham Helmi. Namun sengsaralah bagi Siti Idora. Memang sejak awal, penceroboh halaman rumahnya itu langsung tidak disenangi.

Baru sahaja Siti Idora melangkah setapak daripada tempat dia berdiri, tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam. Spontan perhatian Siti Idora dan ibunya teralih. Kelibat Ilham Helmi yang berseluar panjang hitam, berkemeja kosong warna hijau pucuk pisang dengan rambut yang tersisir rapi itu sudah tercegat di muka pintu. Bibirnya mengorak senyuman manis.

Terpana Siti Idora melihat penampilan Ilham Helmi. Jika tidak kuat iman, boleh tergoda. Tidak dinafikan, memang Ilham Helmi mempunyai aura yang menarik.

Cepat-cepat Siti Idora menyedarkan dirinya yang kian tenggelam dalam keasyikan matanya menatap Ilham Helmi. Ya... Siti Idora tertarik dengan Ilham Helmi. Tetapi, tertarik bukan bermakna cinta. Sesiapa yang melihat penampilan Ilham Helmi ketika itu pasti akan tertarik juga.

Siti Idora melihat penampilan dirinya pula. Selekeh, dia akui itu. Ah.. aku peduli apa? Tak ada maknanya aku nak pakai cantik-cantik depan lelaki sebelah rumah ni. Sempat hati Siti Idora berbisik.

Puan Madiha sudah memandang semacam kepada Siti Idora, memberi isyarat agar Siti Idora cepat-cepat pergi menukar pakaian.

“Dah terlambatlah, mak. Tak sempat nak tukar baju. Lain kali, Siti pakai cantik-cantik ya!” ujar Siti Idora dekat di telinga Puan Madiha. Berbisik.

Kelu lidah Puan Madiha mendengarnya.

“Waalaikumussalam, encik....” Siti Idora menanti Ilham Helmi menyambung ucapannya.

“Ilham Helmi. Panggil saja Ilham, tak payah berencik-enciklah,” sambung Ilham Helmi yang memahami maksud Siti Idora.

“Sila masuk, Ilham.”

Lembut suara Siti Idora menjemput Ilham Helmi masuk. Sengaja dia berlemah lembut. Jika tidak, bernanah pula nanti telinganya menahan bebelan Puan Madiha.

“Terima kasih. Cantik baju dan tudung awak. Unik.” Tiba-tiba terlontar sebuah pujian dari mulut Ilham Helmi.

Hah? Berubah riak wajah Siti Idora. Serta merta senyuman Siti Idora mati. Cantikkah penampilan begini? Hmm... lurus bendul juga rupanya Siti Idora ini.

Oh... tidak! Dia tengah perli aku! Mujur sahaja lurus bendul Siti Idora itu tidak lama. Otaknya kembali ligat mentafsir.

“Mari... mari makan. Tunggu lama-lama nanti sejuk pula makanan tu,” ajak Puan Madiha tatkala menyedari yang perang dingin sudah mula mengibarkan benderanya.

Mata Siti Idora dan Ilham Helmi saling bertentang. Tanpa menunggu lama, Puan Madiha terus menarik lengan Siti Idora. 

***jemputlah dapatkan mini novel ini untuk membaca kisah mereka***