Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku! - bab10 (sebelum diedit)


Kakinya mula terasa lenguh akibat duduk terlalu lama. Minuman juga sudah hampir habis disedutnya. Sementara hatinya pula terus resah menunggu ketibaan sang puteri yang masih belum mahu menunjukkan wajah. Namun, dia akan tetap menanti dengan penuh kesetiaan.

Seorang gadis ayu berbaju kurung biru muda kelihatan tergesa-gesa memasuki restoran terkemuka berkenaan. Langkahnya semakin laju tatkala melihat seorang jejaka handsome masih menunggunya.

“Assalamualaikum! Maaflah, saya terlambat!” Sheila pantas bersuara sambil menarik kerusi di hadapan Shahirul Hazami.

“Waalaikumussalam..... tak apalah. Lagipun tadi, saya terserempak dengan kawan saya. Jadi, taklah rasa bosan di sini.” Shahirul Hazami berbohong. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sheila menganggukkan kepala. Dia tersenyum di dalam hati mendengar ucapan tersebut. Sebenarnya kelewatan itu memang disengajakan. Niat di hati mahu menguji sejauh manakah kesabaran Shahirul Hazami. Walaupun Shahirul Hazami berkata demikian, dia tahu pasti Shahirul Hazami telah lama menanti. Lebih bijak, dia juga sedar bahawa Shahirul Hazami telah berbohong. Bagaimana dia tahu? Itu adalah rahsia.

“Sheila, awak dah beritahu mereka bahawa saya ialah abang Hakimi?” Shahirul Hazami memulakan perbualan. Serta merta Sheila memandang wajah Shahirul Hazami.

“Ohh... belum lagi! Saya ingat mahu beritahu masa di sekolah esok,” jawab Sheila.

“Boleh tak awak tolong jangan beritahu mereka?”

“Apa? Mana boleh, antara kami memang tiada rahsia. Lagipun, macam mana kalau mereka ternampak saya keluar dengan awak? Tentu mereka fikir yang saya ni ada hubungan dengan adik awak tu!” Bantah Sheila bersungguh-sungguh benar.

“Tidak! Walau apa sekalipun awak tetap tak boleh beritahu. Terutamanya kepada Eika.” Shahirul Hazami masih tetap dengan pendiriannya.

“Awak.... awak kenal Eika??”

“Hai... dah lupa ke saya pernah jumpa dengan dia kat rumah awak dulu?” Shahirul Hazami mengingatkan.

“Ohh.... maaf! Saya terlupa. Tapi.... apa salahnya? Sampai awak bersungguh-sungguh tak mahu saya dedahkan perkara ini?” Sheila ingin tahu lebih lanjut.

“Sebab, ini adalah permintaan daripada Kimi sendiri,” jelas Shahirul Hazami jujur.

“Kenapa permintaan Kimi tu pelik sangat? Saya rasa tak ada salahnya kan!” Balasnya.

“Saya sendiri pun tak tahu kenapa dia minta begitu. Tapi, saya rasa mungkin dia ada hati kat Eika kot!” Shahirul Hazami cuba serkap jarang.

Terbeliak biji mata Sheila mendengarnya. Mahu tergelak pun ada. Kelakar pula rasanya.

“Awak cakap Kimi suka kat Eika? Ya ALLAH.... awak tahu tak? Eika dengan si Kimi tu tak boleh berjumpa. Pantang nenek moyang dia orang. Mesti ada sahaja perkara yang nak digaduhkan. Maklumlah, dahulu Kimi tu kan playboy! Oppss... maaf!!”

“Tak apa, saya faham,” ujar Shahirul Hazami.

“Kimi mahu awak berjanji. Boleh kan?” Shahirul Hazami seperti mendesak.

“Baiklah! Jangan risau,” sahut Sheila.

“Terima kasih!”

“Sama-sama. Zami, kalau saya nak tanya sikit boleh?”

“Apa salahnya. Apa dia?” Balas Shairul Hazami.

“Awak ke.... orang yang saya jumpa kat Pulau Pangkor dulu?” Soalan inilah yang telah lama terpendam di benak fikiran Sheila.

“Ya, sayalah tu. Dari situlah saya kenal awak! Tapi masa tu, wajah awak betul-betul garang. Sekarang, wajah awak manis macam aiskrim!” Shahirul Hazami cuba berseloroh.

“Issyy, awak ni teruk betullah. Ada ke muka manis macam aiskrim? Awak tu pula, masa tu tak ubah macam kumpulan Aleycats,” balas Sheila. Terhibur pula rasa hatinya.

“Sekarang?” Sengaja Shahirul Hazami bertanya.

“Tak nak jawab!” Sahut Sheila.

“Minta maaflah. Saya dah terkasar bahasa masa kat sana,” ikhlas Sheila memohon maaf.

“Tak apa. Saya pun terkasar bahasa juga. Maaf ya,” balas Shahirul Hazami. Sheila tersenyum.

Kemudian mereka tertawa serentak. Terimbau kenangan di Pulau Pangkor. Asalnya Shahirul Hazami mahu bertanya tentang perasaan Sheila terhadapnya. Namun tiba-tiba dia berrasa malu dan sedikit ragu. Dia tidak mahu hubungan persahabatan yang baru terjalin ini terputus kiranya dia mengungkit soal itu. Sungguh dia tidak sanggup kehilangan Sheila.

**********

“EHH!! Kau ni tak faham Bahasa Melayu ke? Kalau aku kata tak nak, aku tak naklah!! Aku cakap Bahasa Jawa karang melopong terus. Nak paksa-paksa orang pula. Menyampah!” Jerit Eika. Marahnya tidak terkira.

Hakimi hanya mampu menelan liur mendengar setiap butir bicara yang keluar daripada mulut comel Eika. Dia sudah hilang punca. Tidak tahu apa lagi yang patut diperkatakan agar dia mendapat persetujuan daripada gadis degil itu.

“Ala.... bolehlah!” Hakimi cuba berbaik lagi.

“Tak nak! Kau faham tak maksud tak nak?”

“Hei, bukan senang tau nak berpasangan dengan aku. Cuba kau tengok budak-budak perempuan tu. Kalau aku jentik sekali je, sure berduyun-duyun dia orang datang. Apalah kau!!” Suara Hakimi sedikit tinggi. Kesabarannya semakin menipis. Namun untuk mengalah tidak sama sekali.

“Amboi-amboi.... Hei, cik abang oii!! Kau ingat kau tu bagus sangat ke?? Eh... kalau kau nak tahu, daripada aku nyanyi dengan kau, lebih baik aku nyanyi dengan beruk tau! Lagi best!” Balas Eika geram.

Hakimi menelan liur sekali lagi. Matanya terbeliak. Terasa tidak percaya Eika boleh berkata begitu. Selama ini, dialah yang menjadi buruan para gadis. Baru kali ini dia menerima cacian daripada insan bergelar perempuan. ‘Aku dibandingkan dengan beruk? Geramnya! Nanti kau! Aku takkan lepas kau, Eika. Suatu hari nanti...kau akan tahu siapa aku. Aku yang telah berubah. Aku yang ingin mengenalimu....’

Sempena hari kebudayaan, pihak sekolah akan mengadakan pertandingan nyanyian. Hakimi mahu mengambil Eika sebagai pasangan duetnya. Entah mengapa keinginan tersebut begitu tinggi. Tetapi sayang gadis itu telah menolak dengan sekeras-kerasnya. ‘Group pengusik’ juga tidak dapat memujuk Eika.

Alasan Eika ialah dia tidak suka kepada Hakimi yang dianggap playboy. Itulah saja yang dikatakannya berulang-ulang sejak dahulu. Pastinya dia tetap membenci lelaki itu walaupun sikap Hakimi tidak lagi seliar dahulu.

Kelakuan Hakimi sejak akhir-akhir ini agak berlainan. Seolah-olah cuba memikat Eika. Situasi ini mengingatkan Sheila terhadap kata-kata yang telah diucap oleh Shahirul Hazami sebelum ini. Nampaknya tekaan tersebut memang tepat. Setiap kali ada yang mengatakan bahawa Eika dan Hakimi ialah pasangan yang secocok, Eika hanya mencebikkan bibir tanda meluat.

Hakimi tidak faham mengapa Eika begitu membencinya. Tidak seperti perempuan lain. Dia tercari-cari adakah dia ada membuat kesilapan yang tidak disedari hingga menyinggung perasaan Eika. Namun tiada. Dia tidak pernah menyakiti hati Eika.

**********

KELIHATAN Eika sedang berjalan seorang diri di sebuah pusat membeli belah. Dia sekadar window shopping sahaja. Pandangan matanya tiba-tiba sahaja menangkap kelibat sesorang yang amat dikenali. Orang itu ialah Hakimi. Cepat-cepat dia menyorokkan diri di celah-celah rak barangan sabun. Namun dia terlewat. Lelaki itu telah melihatnya terlebih dahulu.

Laju sahaja Hakimi menghayun langkah ke arahnya. Bibirnya menguntum sebuah senyuman manis. Eika langsung tidak membalas. Dia sengaja menoleh ke arah lain seolah-olah tidak menyedari akan kehadiran Hakimi.

Hakimi tidak mudah patah semangat. Jika abangnya iaitu Shahirul Hazami boleh memikat Sheila, mengapa dia tidak boleh memikat Eika? Sikap Eika yang melayannya dengan kasar membuatkan hatinya meronta agar segera memenangi hati gadis manis tersebut. Selagi Eika terus membenci, selagi itulah dia akan terus mendekati.

“Hai, seorang saja ke?” Tegur Hakimi semesra mungkin.

Eika tidak mempedulikan teguran tersebut. Tangannya terus ligat membelek sabun di hadapannya.

“Janganlah macam ni? Eika tak suka kat saya ke?” Tambahnya dengan sopan. Masih mahu mencuba.

Meluat sungguh Eika melihat lakonan sopan lelaki itu. Dia memusingkan badan dan berhadapan dengan Hakimi. Mata bertentang mata.

“Hei pak cik!! Mata awak tak nampak ke saya seorang saja ni? Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Lagi satu, memang..... memang aku tak suka kat kau! Sekarang puas hati??” Luah Eika. Dia terus berlalu meninggalkan Hakimi yang masih terlopong. Mungkin terkejut dengan jawapan yang diberikannya tadi.

“Tidak!! Aku tak akan puas hati selagi kau bagi jawapan yang sama macam tu! Kalau kau mampu, berilah sepuluh kelemahan aku yang boleh dijadikan alasan kenapa kau tak suka aku!!” Cabar Hakimi sambil menjerit kuat. Dia tidak peduli lagi dengan anggapan orang lain di sekelilingnya. Janji dia puas.

Manakala Eika terus melangkah laju. Tidak kuasa mahu mendengarnya lagi. Langkahan Eika itu diiringi oleh ekor mata Hakimi. Hakimi sendiri berasa hairan. Tidak dinafikan memang dia berasal daripada keluarga yang kaya raya lagi terhormat.

Hakimi juga boleh mencari gadis lain yang kaya dan setaraf dengannya. Namun dia tetap menyukai gadis bernama Nur Elliya Shafeika. Semua bermula sejak dia meninggalkan sikap playboynya. Dia sedar mungkin hubungannya dengan Eika akan mendapat tentangan daripada keluarga. Tetapi untuk melepaskan gadis itu tidak sama sekali. Itulah tekadnya yang tidak mungkin akan terhapus begitu sahaja.

Hakikatnya Hakimi memang tidak begitu mengenali Eika. Tidak tahu latar belakang keluarga Eika juga. Sikap liarnya selama ini telah menutup kehadiran gadis itu. Hakimi tidak mahu gadis yang menggilai harta bendanya. Dia sudah serik. Gadis-gadis yang mendampinginya selama ini semua materialistik. Kini Hakimi serius mahu menjalin hubungan cinta. Cinta sejati. Masih adakah cinta sejati untukku? Setelah aku insaf berfoya-foya, masih sudikah cinta sejati itu hadir?

Eika menarik nafas lega kerana Hakimi tidak mengekorinya lagi. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya terhadap Hakimi. Benci?? Cinta?? Ahh....!!! Pening. Malas mahu memikirkannya lagi. Dan PSH? Eika begitu ingin tahu siapakah gerangan lelaki misteri tersebut.

Sedang Eika berfikir-fikir itulah tiba-tiba dia terserempak sekali lagi dengan Hakimi. Namun penampilannya kali ini sungguh jauh berbeza. Bersih, kemas dan tampak segak. Tidak seperti tadi yang yang kelihatan agak selekeh. Dia berasa hairan. Tidak mungkin Hakimi sempat menukar imej dalam masa yang amat singkat.

Kemudian Hakimi melintas di hadapan Eika. Walaupun jarak di antara tempat dia berdiri dengan laluan yang dilalui oleh Hakimi itu tidak jauh, namun Hakimi seperti tidak perasan akan kehadirannya. Hakimi langsung tidak mengendahkan dirinya. Eika berjalan cuba mendampingi Hakimi. Hakimi menoleh ke arahnya, namun dia terus berlalu.

Langkah Eika terhenti serta-merta. Tidak jadi mahu mendampingi Hakimi. Dia bertambah pelik apabila mendapati lelaki itu seolah-olah langsung tidak mengenalinya. ‘Ooh.. macam mana Hakimi nak kenal aku? Aku peluk beg sandang ni sampai tertutup muka aku. Tapi, takkan Hakimi tak kenal beg dan baju yang aku pakai? Baru tadi jumpa,’ Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengekori Hakimi. Sesekali Hakimi terhenti dan menoleh ke belakang. Sepantas kilat Eika akan menyorokkan dirinya.

Akhirnya mereka sampai di Cyber Restaurant. Eika hanya melihat gerak-geri Hakimi dari jauh. Alangkah terkejutnya Eika apabila terlihat Sheila sedang menyambut ketibaan Hakimi. Bukankah selama ini Sheila suka memperkatakan lelaki itu sebagai ‘pakwe’ Eika? Mengapa Sheila perlu berjumpa dengan Hakimi secara rahsia? Tiba-tiba Eika teringat akan pertemuannya dengan Hakimi semasa berkunjung ke rumah Sheila dahulu. Oppss....! Adakah mereka ada hubungan? Adakah Sheila juga cuba mempermainkannya?

Eika menggigit bibir. Terbit semacam perasaan tidak senang tiba-tiba. Walaupun dia sering bergaduh dengan Hakimi, namun jauh di sudut hatinya terpendam satu perasaan yang aneh. Amat sukar untuk ditafsirkan. Kerana itulah dia tidak faham dengan perasaannya sendiri. Dan... entah sejak bila dia berasa cemburu dengan pertemuan itu.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan