Ahad, 5 September 2010
Sinopsis e-novel Anak Panah Cinta
Nur Afira Nadia..... dia meneruskan pengajian di universiti membawa harapan keluarga untuk melihatnya menggenggam segulung ijazah. Namun dia mempunyai tujuan lain, iaitu untuk mencari cinta sejati atau pasangan hidup. Justeru, sebaik melangkah masuk ke universiti, dia sudah bersiap sedia dengan ‘anak panah cinta’ di tangan. Dia mencari mangsa tusukan anak panah cintanya itu.... tanpa sedar bahawa ia sudah tertusuk kemas di hati sang jejaka. Hati milik siapakah yang telah menjadi landasan untuk anak panah cinta Afira itu mendarat? Mendarat tanpa kebenaran.....!
Alif Irfan..... pertemuan pertamanya dengan Afira telah membuahkan suatu perasaan sayang. Justeru, dia sentiasa cuba mencari jalan untuk mendekati Afira hingga tidak sengaja telah terbuli gadis itu seawal usia perkenalan. Mampukah dia menambat hati Afira selepas pembulian yang dia hadiahkan sebagai tanda perkenalan?
Risya Aina..... dia dihantar oleh abang sepupunya untuk mendekati Afira. Dia diamanahkan untuk menjadi sahabat sejati yang sanggup bersusah senang bersama Afira. Dia yang masih tidak mempunyai sahabat menerima sahaja arahan abang sepupunya itu walaupun terbit persoalan di hati kecilnya. Apakah motif abang sepupunya itu?
Ahmad Rizal..... seorang jejaka berperwatakan misteri. Dia sentiasa cuba menjauhkan Afira daripada Irfan. Namun sebab dia berbuat begitu bukanlah kerana cinta ataupun cemburu. Lantas, untuk apakah dia berbuat seperti itu? Memang misteri....!
Nur Elina Izzati..... merupakan sahabat Afira yang kuat mengambil kesempatan ke atas Afira. Namun Afira tetap rela bersahabat dengannya. Afira tidak mampu menjauhkan diri daripada Elina.... kerana akan terbit perasaan ‘rindu’..... mengapa boleh jadi begitu?
Kemalangan yang meragut nyawa Encik Mazdan dan Puan Marini telah menjadikan Afira hidup sebatang kara. Lantas dia mengambil upah menjaga seorang kanak-kanak untuk mengisi kesunyian di hatinya. Kehadiran diari lama milik keluarganya mengundang sejuta persoalan kepada Afira.... hingga akhirnya ‘anak panah cinta’ Afira berjaya merungkai segala rahsia yang selama ini tersimpul rapi. Apakah kaitan diari lama itu dengan ‘anak panah cinta’ Afira?
Ikuti “ANAK PANAH CINTA” di http://noraz-ikha.blogspot.com dan http://www.penulisan2u.my/tag/noraz-ikha/
Labels:
Anak Panah Cinta,
Novel
Rabu, 18 Ogos 2010
Datanglah Pujuk Diriku
Selautan ilmu terbentang di hadapan
Beronak ranjau lagi berduri
Sekelip alpa musnah semuanya
Tiada berguna usaha lalu
Wahai semangat
Datanglah pujuk diriku
Teguhkan kekuatan jati diriku
Jauhkan diriku dari parasit
Julangkan api pembakar semangat
Yang kini seakan sirna dalam jiwaku
Sedarlah wahai diri
Realiti kini bukan fantasi
Kembalikan kemahuan cita-citamu
Pandanglah....!
Firasat tersirat di lubuk penglihatanmu
Fikirkan positif bukan negatif
Jangan kau kalah pada perasaan
Perhatianmu jangan dipersia
Kalau sayang diri terjerat
Usah kau cuba menolak hakikat
Betapa perit perjuanganmu
Kemanisan jua bakal menjelma
Sedarlah wahai diri
Kejayaan itu ada digenggaman
Cengkamlah ia jangan terlepas!
Labels:
Nukilan
Jumaat, 30 Julai 2010
Cahaya Hati
Jauh di lubuk hati
Terpancar segaris cahaya
Suluhannya mendamai jiwa
Bisa melemah kunci hatiku
Terbukanya lembaran baru
Menuju fasa hadapan
Meniti tangga demi tangga
Mematang fikiranku
Apakah cahaya sebenar?
Cahaya yang jarang-jarang kita sedar
Terjaga tatkala ia sudah membesar
Entah bila terbitnya
Entah bila putiknya
Sungguh... inilah keajaiban mengasyikkan
Bijaknya fikiran dan terangnya hati merungkai segala
Membawa cahaya ke jalan kebenaran
Itulah ‘cahaya’ hati yang terbit dari jiwa
Cahaya bernama cinta.
Labels:
Nukilan
Selasa, 13 Julai 2010
Novel: Ops! Pintu Hatiku - Bab 2 (sebelum diedit)
“Baiklah, saya mahu kamu buat apa yang saya suruh. Boleh? Hah... Nur Elliya Shafeika, awak faham?” Soal Cikgu Ruzairi.
Eika kelihatan selamba sambil menulis sesuatu di atas kertas. Langsung tidak menghiraukan pertanyaan cikgu di hadapan kelas.
“Hei.. hei, Eika! Cikgu tanya kaulah! Kau buat apa tu?” Teguran Lizz yang duduk di sebelah mengejutkan dirinya yang sedang khusyuk menulis.
“Hah? Cikgu tanya aku? Apa cikgu tanya?” Tanya Eika yang masih dalam keadaan terkejut.
“Cikgu tanya, kau faham tak dengan apa yang cikgu suruh buat tadi,” jawab Lizz.
‘Alamak! Apa yang aku faham? Satu apa pun aku tak dengar apa dia cakap. Hai... apa aku nak jawab ni?!’
“Nur Elliya Shafeika, apa awak buat tu?” Tanya Cikgu Ruzairi lagi kehairanan.
“Ah! Tak ada apa-apalah cikgu. Saya... saya tak buat apa-apa.” Eika mati akal.
“Habis tu, kenapa awak tak jawab soalan saya tadi?” Risik Cikgu Ruzairi. Dia masih tidak berpuas hati.
“Err...err... apa soalannya tadi cikgu? Saya terlupalah....,” ujar Eika menyebabkan rakan-rakan sekelasnya ketawa geli hati.
“Hah?? Terlupa? Apalah yang seronok sangat sampai tak ingat apa yang saya soal? Sudah! Sudah! Lain kali jangan buat lagi. Hai, bertuahnya siapa yang dapat bini macam awak nanti. Makan periuklah jawabnya!”
Satu kelas ketawa terbahak-bahak mendengar lawak Cikgu Ruzairi yang memang tidak pernah tidak jadi itu. Dia merupakan seorang guru yang memang digemari oleh kebanyakan pelajarnya. Dia suka melawak dan pandai pula mengambil hati para pelajar.
“Kenapa pula kena makan periuk cikgu?” Tanya Eida. Spontan Cikgu Ruzairi memandang wajahnya.
“Yalah... terlupa nak masak! Asyik lupa saja kerja dia. Betul tak?”
“Err.... cikgu, isteri cikgu kerja apa?” Tiba-tiba Lizz bertanya.
Tanpa disedari oleh orang lain, ‘Group pengusik’ saling memberi isyarat untuk merancang sesuatu. Eika berasa amat geram kerana telah dimalukan sebentar tadi. Tiba masa untuk dia ‘menyaman’ malu kepada Cikgu Ruzairi.
“Kenapa pula saya kena beritahu awak?” Cikgu Ruzairi curiga.
“Ermm... tak ada apa-apa cikgu. Sengaja kami nak tahu!” Sokong Eika penuh semangat.
“Isteri saya.... dia... kerja suri rumah! Kenapa?”
“Isteri cikgu pernah bagi cikgu makan periuk tak?” Soal Atin sambil tersenyum.
“Hissy... apa awak semua tanya saya yang bukan-bukan ni?”
“Tak ada apa cikgu. Sebab, hari tu isteri cikgu pernah cakap dengan emak saya. Dia terlupa nak masak sebab penat sangat. Jadi, cikgulah orang yang bertuah tu yek?” Suara Sheila pula.
Terbahak-bahak rakan sekelasnya ketawa. Sementara itu, ‘Group pengusik’ tersenyum puas. Jerat sudah mengena.
“Hai, dah... dah! Cikgu mengalah dengan kamu. Kalau dilayan boleh jadi gila cikgu dibuatya,” akhirnya Cikgu Ruzairi mengalah.
“Cikgu kena berhati-hati sikit dengan ‘Group pengusik’ tu. Kalau cikgu nak duduk pun kena tengok-tengok dulu kerusi tu,” nasihat Hakimi selaku ketua kelas tingkatan 5 Cerdik.
Serta merta Eika memandang tajam ke arah Hakimi. Harap-harap mimpinya malam tadi tidak akan menjadi kenyataan. Sungguh dia tidak berkenan dengan perangai milik lelaki nan seorang itu. Menyampah... meluat.... benci... dan segala macam perkataan yang seangkatan dengannya. Perangai buruk yang menjatuhkan maruah perempuan. Itulah anggapan Eika terhadap Hakimi.
Hakimi tersenyum sinis sambil membalas pandangan Eika itu. Lantas Eika mengerutkan kening dan membulatkan bola matanya. Sebagai tanda protes. Sempat dia menjeling sebelum mengalihkan pandangannya. Nampaknya, budak ‘seekor’ ni seperti mahu mengisytiharkan perang dunia dengan aku. Nantilah! Desis hati kecilnya lagi. Tak habis-habis prasangka buruknya muncul.... macamlah si Hakimi tu teruk sesangat.
“Okey... okey... walau apa pun, cikgu nak ucapkan tahniah kepada awak semua kerana telah lulus mata pelajaran Sejarah. Markah tertinggi ialah 94% iaitu Nurul Lizzyani. Markah paling rendah pula ialah 40% iaitu Mohd. Nazri. So, saya ucapkan tahniah kepada Nurul Lizzyani. Nazri, sampai bila kamu nak kekal dengan 40% tu?” Cikgu Ruzairi memandang Mohd. Nazri.
“Alamak... cikgu, janganlah cakap macam tu. Malu saya cikgu,” balas Mohd. Nazri.
Cikgu Ruzairi sekadar tersenyum sambil menggeleng kepala. Tangannya lincah mengemas buku dan kertas-kertas di atas meja guru. Tanpa disuruh, semua pelajar kelas tingkatan 5 Cerdik bangun dan mengucapkan ucapan “terima kasih cikgu”.
Hari ini Cikgu Salmah tidak dapat hadir ke sekolah. Habis riuh-rendah kelas dibuatnya. Tiba-tiba Shah Reza berjalan ke hadapan kelas. Dia membuat gaya seorang badut. Pusing sana pusing sini. Lompat sana lompat sini. Pelajar-pelajar yang menyaksikannya ketawa terbahak-bahak. Gembira dengan reaksi penonton merangkap rakan-rakan sekolahnya itu, dia berlari sambil mengangguk-anggukkan kepalanya pula. Sementara itu, Eika dan Lizz saling berpandangan dan tersenyum. Kemudian mereka ketawa kerana tidak tahan melihat aksi Shah Reza.
“Eh, kenapa dengan Reza tu hah?” Soal Lizz.
“Entah! Macam orang tak betul je aku tengok!” Sahut Eika.
“Dia tu suka sangat menarik perhatian orang. Habis semua gaya badut ditirunya. Tak ada kerja lain apa ke budak tu?” Ujar Lizz seolah-olah berleter.
“Kalau macam tu, kerja jadi badut sarkis je kan senang. Tak payah nak susah-susah belajar kat sekolah ni. Cuba kau bayangkan dia kerja macam tu. Ha… ha.. ha…” Eika ketawa terbahak-bahak.
“Hei, apa yang kau orang ketawakan tu hah?!” Sergah seseorang dari belakang secara tiba-tiba.
Pantas Eika dan Lizz menoleh ke belakang. ‘Alamak! Dia dengar ke tadi?’ Fikir mereka apabila mendapati orang yang menyergah mereka itu ialah Shah Reza.
“Eh, tak ada apa-apalah! Kau tak ada kelas ke? Sejak bila pula kelas ni jadi kau punya?” Eika cuba menukar topik perbualan.
“Macam tak biasa pula! Kelas ni kan dah jadi kelas kedua aku. Kau orang jangan kutuk aku tau!”
“Eh, tak... tak adalah!” Dalih Lizz.
“Okey!” Balas Shah Reza sambil berlalu dari situ.
Kemudian Eika dan Lizz juga berlalu menuju ke arah kelompok rakan-rakan ‘Group pengusik’. Ada sesuatu yang perlu dibincangkan.
“Eida, kau dah cakap dengan emak kau ke belum?” Tanya Eika kurang sabar.
“Tanya apa pula ni?” Eida sengaja buat-buat tidak faham.
“Eleh… buat-buat tak tau pula budak seorang ni! Fasal kita nak pergi berkelah tulah! Boleh ke tidak?” Tanya Atin pula.
“Oh… fasal tu… fasal tu?? Alah.. sorrylah, emak aku kata, aku kena duduk rumah baca buku, tahun ni nak SPM!” Ujar Eida dalam nada sedih.
“Alah… habis tu macam mana? Kena cancel ke rancangan kita tu?” Tanya Sue ghairah.
“Apasal pula tak boleh? Lagipun kan masa tu kita tengah cuti semester. Bagilah peluang kita nak release tension kejap!” Rungut Eika.
Tanpa diduga Eida terus tersenyum. Rakan-rakannya saling berpandangan. Hairan melihat kelakuan Eida yang tidak kena tempat. ‘Aik… apasal pula dengan budak ni? Pelik aku tengok!’ Mereka tertanya-tanya di dalam hati.
“Sebenarnya….”
“Eh! Kau ni kenapa hah? Kau suka ke kita tak jadi pergi Pulau Pangkor tu?” Lizz memotong percakapan Eida.
“Kau orang ni… tak menyabarlah! Kalau ya pun tunggulah aku habis cakap dulu! Sebenarnya… emak aku bagilah. Tadi tu aku tipu jer ha.. ha.. ha..” Ujar Eida sambil ketawa kuat.
“Kau… kau tipu kita orang ya? Teruklah kau!” Jerit Eika sedikit marah.
“Alah.. takkan itu pun nak marah kot,” Eida berkata sambil tersenyum sinis.
Rakan-rakannya masih bermasam muka. ‘Alamak, dia orang betul-betul marah ke ni? Aku main-main jelah!’ Suara Eida di dalam hati. Risau dia dibuatnya.
“Kau orang marah ke? Janganlah macam ni. Aku minta maaf ya?” Pujuk Eida. Tiba-tiba mereka ketawa serentak. Eida tergamam.
“Ha… tahu pun takut! Lain kali kenakanlah kita orang lagi. Siap kau aku kerjakan!” Tegas Eika.
Mereka ketawa gembira. Tidak sabar mahu ke Pulau Pangkor. Sememangnya mereka merupakan sahabat yang sehati dan sejiwa.
**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.
**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.
Labels:
Novel,
Ops Pintu Hatiku
Novel: Ops! Pintu Hatiku - Bab 1 (sebelum diedit)
Lari!! Lari cepat! Aku mesti selamatkan diri. Ya ALLAH! Apa dah jadi dengan mamat seorang ni?? Dah gila ke? Aku menoleh ke belakang sekali lagi. Kelihatan lembaga yang menyerupai seorang lelaki masih mengejarku. Aku tidak dapat mengecam siapakah gerangannya. Keadaan persekitaranku begitu gelap dan hanya sesekali muncul cahaya. Namun cuma samar-samar. Apakah ini? 0hh! Sungguh aku tidak faham. Situasi ini sungguh menakutkan. Kecut perut aku dibuatnya.
Aku memberanikan diri untuk menoleh lagi. Mengharap lembaga itu sudah tiada. Alamak! Jangankan sudah hilang, malah semakin dekat pula denganku. Ya ALLAH.... tolonglah hambaMu ini. Eh, apakah objek yang dipegang oleh lembaga itu? Kelihatan seperti kayu panjang. Cahaya yang tadinya hanya samar-samar semakin cerah.... cerah.... dan terus cerah menerangi segenap pelosok tanah airku yang tercinta.
Kali ini aku dapat melihat lembaga itu dengan jelas. Tidak syak lagi lembaga itu ialah seorang lelaki yang umurnya barangkali sebaya denganku. Aku menoleh ke arah tangannya. Alangkah terkejutnya aku tatkala menyedari bahawa objek yang digenggamnya itu merupakan sebilah parang. Eh, silap... sebilah pedang sebenarnya. Apabila kuperhatikan lagi, nampak seperti kayu pula. Ahh!! Entahlah. Otakku sudah tidak dapat berfikir lagi. Ketakutan sudah mula menguasai diriku. Adakah lelaki itu mahu membunuhku? Apa pula salahku??
Aku cuba perhatikan wajahnya pula. Hah!! Itu bukankah Hakimi? Ketua kelasku di sekolah? Mengapa pula wajahnya begitu bengis seperti mahu menerkamku hidup-hidup?
“Kimi!!!” Sambil berlari aku cuba menjerit sekuat hati memanggil namanya. Sedarlah Hakimi.... Tolong sedar apa yang kau mahu lakukan ini.
Namun jeritanku seperti tidak dapat melepasi kerongkong. Aku cuba menjerit sekali lagi. Tidak berjaya juga. Mengapa begini? Adakah aku sudah bisu? Tak mungkin!!!! Aku sudah tidak berdaya lagi. Sudah terlalu lama aku berlari. Namun Hakimi tetap tidak penat. Kenapa? Sedangkan aku telah letih separuh mati.
“Aduh!!” Aku terlanggar sebatang pokok yang entah dari mana munculnya. Sungguh aku tidak sedar. Tidak mungkin dalam sekelip mata tumbuh sebatang pokok yang sebegitu besar di hadapanku. Apakah ini realiti atau khayalan sahaja? Entah... bingung aku jadinya.
Akhirnya aku terjelepok di bawah pokok tersebut. Badanku terasa amat lemah. Tidak berdaya mahupun untuk mengangkat tangan. Dan disaat genting ini, Hakimi sudah berada tepat di hadapanku sambil menghayun senjata di tangannya. Aku pejamkan mataku rapat-rapat.
“Jangan!!! Kimi!! Kimi....!!” Barulah aku dapat mendengar suaraku.
“Eika! Eika... kenapa ni? Sakit ke?”
Eh, suara siapa pula tu? Badanku sengal dan terasa digoyang-goyangkan. Aku membuka mata perlahan-lahan. Bayangan Hakimi yang ganas itu sudah menghilang serentak dengan suara tersebut. Mama? Mama... terima kasih kerana menyelamatkanku. Tanpa sedar air mataku mengalir deras.
“Eika, kenapa menangis pula ni? Ya ALLAH! Sedarlah Eika, kau mengigau ni,” suara Datin Sarina lagi.
“Mengigau? Betul ke mama? Ya ALLAH, syukurlah.” Eika terus memeluk Datin Sarina.
“Yalah, mengigau. Siapa Kimi?” Tanya Datin Sarina.
“Hah? Eika ada sebut nama Kimi ke? Kimi tu ketua kelas Eika. Entah macam mana boleh masuk dalam mimpi,” ujar Eika.
“Ehm, sudahlah. Pergi tidur, awal lagi ni. Ha... sebelum tu jangan lupa, basuh kaki tu dulu. Nanti tak pasal-pasal terjerit-jerit macam orang kena histeria lagi,” nasihat Datin Sarina separuh menyindir sambil melangkah keluar dari bilik Eika.
Eika terus bangkit lalu melangkah ke arah bilik air.
**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.
**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.
Labels:
Novel,
Ops Pintu Hatiku
Langgan:
Catatan (Atom)