Isnin, 24 Oktober 2011

Slideshow Novel Ops! Pintu Hatiku

Assalamualaikum & selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog saya yang tidak seberapa ini.

Saya ingin berkongsi slideshow novel Ops! Pintu Hatiku yang telah dibuat oleh Penerbitan Kaki Novel Enterprise.

Jemput klik pautan di bawah ini dan tonton ya. 

<3 (^_^) <3 Saya sayang anda semua <3 (^_^) <3


Ahad, 25 September 2011

Novel: Ops! Jangan Main Cinta - imbasan dalam novel Ops! Pintu Hatiku

(cover by Ilya Abdullah)
OPS! JANGAN MAIN CINTA, kesinambungan novel OPS! PINTU HATIKU.
Apabila si gadis berkata, "Sorry, aku takkan jatuh cinta dengan kau," 
lantas si jejaka membalas, "Really? Jangan sombong sangat, nanti tak laku."

SEDUTAN KISAH PUTERA FAIZAL AZHAR DAN PUTERI NUR ELLIYA NATASHA DALAM NOVEL OPS! PINTU HATIKU:
(cover Ops! Pintu Hatiku by Penerbitan Kaki Novel & cover Ops! Jangan Main Cinta by Ilya Abdullah)

"Mainan ni kita punya la!" jerit Puteri Nur Elliya Natasha sambil menjeling tajam ke arah Putera Faizal Azhar.

                      
"Bukan! Ini mainan kita!" balas Putera Faizal Azhar tidak mahu mengaku kalah. Dia merampas kembali model kapal terbang besar tersebut dari genggaman Puteri Nur Elliya Natasha.

"Tak boleh!" bantah Nur Elliya Natasha.

Sekali lagi model tersebut beralih tangan.

***

"Ala... la.. la... sayang mama. Kenapa tu? Mari sini sayang,"  panggil Eika kepada anaknya.

"Azhar, sini sayang!" panggil Sheila pula.

Tangisan Puteri Nur Elliya Natasha kedengaran semakin kuat. Terus sahaja dia masuk ke dalam pelukan ibu tersayang.

Manakala Putera Faizal Azhar selamba sahaja lagaknya. Seakan-akan tidak mendengar panggilan ibunya. Hanya setelah Sheila menjegilkan matanya barulah dia perlahan-lahan mendekati Sheila.

"Degil ya, Azhar?" Sheila pura-pura marah.

Putera Faizal Azhar memuncungkan mulutnya.

Kenapa nangis ni? Siapa buat?" soal Eika dengan lembut.

"Dia!" jawab Puteri Nur Elliya Natasha sambil menudingkan jari telunjuknya ke arah Putera Faizal Azhar.

"Ha! Azhar buat Tasha menangis, ya? Kenapa buat macam tu? Tasha kan kawan Azhar. Tak baik tau!" marah Sheila.

"Dia pukul Azhar dulu!" balas Putera Faizal Azhar cepat-cepat, tanda tidak mahu mengaku kalah terhadap Puteri Nur Elliya Natasha.

"Sebagai lelaki, Azhar nak tunjuk herolah tu ya? Tak elok Azhar buat orang lain menangis tau. Ingat, Azhar kena belajar menyayangi perempuan tau," nasihat Sheila.

"Apa yang Sheila ajar kat Azhar tu?" tanya Lizz dengan muka yang pelik.

"Eh... suka hati akulah. Melentur buluh biar dari rebungnya," jawab Sheila.

***

"Mama, Tasha ada bunga yang cantik!"

Jeritan Puteri Nur Elliya Natasha mengejutkan Eika dari lamunan. Suami yang sedang duduk membaca surat khabar ditolehnya. Kemudian barulah dia mendapatkan Puteri Nur Elliya Natasha.

"Cantiknya... mana Tasha dapat bunga ni?" soal Eika sambil tersenyum.

"Tasha ambil kat rumah sebelah." Petah sungguh patah bicara anak kecil itu.

"Minta kebenaran tak bila nak ambil bunga ni tadi?" tanya Eika lagi.

"Minta. Tasha ingat pesanan mama. Mama kata, kalau nak ambil barang yang bukan kita punya, kita kena minta kebenaran. Tadi, Tasha dah minta kebenaran dengan pokok bunga ni."

Kedengaran tulus dan ikhlas sahaja setiap butir bicara yang keluar dari mulut Puteri Nur Elliya Natasha itu.

Minta kebenaran dengan pokok? Eika menepuk dahinya sendiri.

Suami Eika hanya menjongketkan bahu.

"Anak kita ni ikut perangai mama dia," usik suami Eika kemudian. Dia tergelak besar mendengarkan kata-kata Puteri Nur Elliya Natasha. 

"Ikut perangai papa dia la. Tasha sayang, kita tak boleh minta kebenaran dengan pokok. Sebab pokok bukan manusia. Pokok tak boleh bercakap. Kita kena minta kebenaran dengan tuan punya pokok ini. Faham tak sayang?" Lembut sahaja suara Eika menerangkan perkara tersebut.

"Faham mama!" Anak kecil itu terjerit kecil. Entah faham ke tidak... tak tahulah.

Eika tersenyum.

Puteri Nur Elliya Natasha tersengih comel.

(MAHU TAHU KESINAMBUNGAN KISAH HERO DAN HEROIN KECIL INI SETELAH MEREKA MENINGKAT REMAJA DAN DEWASA? IKUTINYA DALAM KARYA SAYA SETERUSNYA BERTAJUK "OPS! JANGAN MAIN CINTA" - DALAM PROSES MENGUMPUL IDEA & MENGARANG)

Selasa, 20 September 2011

Himpunan Nukilan Serikandi 4

"Pilihan sentiasa ada. Usah kata kita 'tidak punya pilihan' lantas kita terpaksa berbuat sesuatu yang tidak kita rela. Berkatalah 'ini pilihan terbaik'." - nukilan serikandi.



"Buta dalam terang." - nukilan serikandi.


"Senyuman tulus ikhlas itu amat membahagiakan. Senyumlah selalu tanpa paksaan." - nukilan serikandi.


"Jadilah diri sendiri seadanya kerana kita tidak mungkin hidup dalam kepura-puraan buat selama-lamanya." - nukilan serikandi.


"Keserasian dalam perbezaan." - nukilan serikandi.


"Cinta itu perasaan yang diiringi harapan." - nukilan serikandi.


"Usah berharap orang lain akan menghargai diri anda andai anda tidak menghargai diri sendiri dan orang lain." - nukilan serikandi.


Jumaat, 5 Ogos 2011

Selasa, 28 Jun 2011

Himpunan Nukilan Serikandi 3


"Luaskan akalmu tajamkan mindamu, dan kau akan temui sesuatu." - nukilan serikandi.


"Tuhan menjadikan manusia pelbagai rupa, bangsa dan karakter untuk kita belajar saling mengenali." - nukilan serikandi.
"Impian yang besar itu bermula dengan impian yang kecil. Seribu langkah itu bermula dengan langkah yang pertama." - nukilan serikandi.


"Usah berselindung di sebalik kata, hakikat terbukti lewat tingkah." - nukilan serikandi.


"Tinggalkan aku sinar.
Biar aku renang laut harapan" 
- nukilan serikandi.


"Berjalan di atas air.
Menyelam di bawah darat."
 - nukilan serikandi.


"Dua jiwa satu rasa" - nukilan serikandi.

Selasa, 14 Jun 2011

Himpunan Nukilan Serikandi 2


"Cinta tak perlu dipersoal,
Cinta hadir pelbagai cara,
Tanpa terduga masanya,
Tanpa terduga tempatnya,
Tanpa terduga siapa."
- nukilan serikandi.


"Seni itu indah..... bagi si pentafsir,
Seni itu indah..... bagi si penutur,
Seni itu indah..... bagi di pendengar,
Seni itu indah..... bagi si pengarang,
Seni itu indah..... bagi semua."
- nukilan serikandi.


"Keseimbangan itu adalah kesempurnaan" - nukilan serikandi.


"Mengharap dalam samar, mungkinkah ada sinar?" - nukilan serikandi.



"Kegagalan yang meniti perjalanan akan lebih memahami setiap cabang perjuangan, yang akhirnya mendakap gemilang kemenangan" - nukilan serikandi.


"Kugenggam semangat diri, takkan ku lepas ia pergi" - nukilan serikandi.


"Belajar daripada realiti, bukannya daripada fantasi" - nukilan serikandi.


"Masa depan gemilang, Impian terbilang
Diri pun terbang, Menggapai awan"
-nukilan serikandi.


"Hatiku menangis lara, mengenang sia-sia kudratku terbuang"
"Kuseru semangat yang menjauh"
- nukilan serikandi.

Jumaat, 3 Jun 2011

Promosi Novel Ops! Pintu Hatiku - Bermula 3 Jun - 4 Ogos 2011 (Semenanjung Malaysia) & 24 Jun - 25 Ogos 2011 (Sabah & Sarawak)


Rebat 20% untuk ahli Kad Popular.
Promosi ini sah di semua Kedai Buku POPULAR dan HARRIS di seluruh Malaysia kecuali cawangan Mini POPULAR.
Sah sementara stok masih ada.


Novel: Ops! Pintu Hatiku
Cinta Eika dan Hakimi bertambah mekar. Namun keintiman tersebut membawa keresahan kepada keluarga Eika. Kemunculan Dato' Zaiful Anuar dan Datin Alleeya memaksa mereka untuk membongkar rahsia identiti Eika yang telah tersimpan sekian lama.

Bermula 3 Jun - 4 Ogos 2011 (Semenanjung Malaysia) & 24 Jun - 25 Ogos 2011 (Sabah & Sarawak)
(Sumber: Berita Harian - 3 Jun 2011)



Eika dan Hakimi merupakan rakan sekelas yang pantang berjumpa. Jika bersua, mereka pasti akan bertekak kerana berpunca daripada kisah silam Hakimi yang tidak disenangi oleh Eika. Timbul keinginan di hati Hakimi untuk memancing hati Eika kerana Hakimi tertarik dengan sikap dan layanan Eika terhadapnya yang tidak seperti rakan-rakan yang lain. Juga kerana rasa tercabar kerana tidak dipedulikan oleh Eika.

Dalam masa yang sama, Eika sering menerima surat misteri daripada PSH yang mengaku menyintai dirinya. Walhal Eika langsung tidak mengenali siapakan PSH itu. 

Kewujudan Shahirul Hazami sebagai pasangan kembar Hakimi mengundang salah faham di antara Eika dan Sheila berikutan persamaan pada wajah kedua-dua kembar tersebut. Namun pasangan kembar tersebut masih merahsiakan identiti sebenar. Hakimi hanya memperkenalkan Shahirul Hazami sebagai abangnya sahaja dan bukan sebagai kembarnya. Buat pertama kalinya Eika menerima Hakimi sebagai sahabat.

Selepas lima tahun mereka dipertemukan kembali. Pertemuan ini menyemarakkan lagi perasaan masing-masing sehingga akhirnya mereka jatuh cinta. Namun, kehadiran Tengku Anis akhirnya berjaya merobohkan benteng kepercayaan Eika terhadap Hakimi. Dengan bantuan seseorang, Tengku Anis merancang untuk menghapuskan Eika agar Eika tidak lagi menjadi penghalang kepada cintanya terhadap Hakimi. Malangnya, rancangan yang diatur oleh Tengku Anis tidak berjalan dengan lancar kerana rancangannya untuk menghapuskan Eika telah membuatkan Hakimi hilang ingatan. Perasaan dendam Tengku Anis bertambah kuat apabila cinta Hakimi kepada Eika terus wujud meskipun telah kehilangan ingatan.

Cinta Eika dan Hakimi bertambah mekar. Namun keintiman tersebut membawa keresahan kepada keluarga Eika. Kemunculan Dato’ Zaiful Anuar dan Datin Alleeya memaksa mereka untuk membongkar rahsia identiti Eika yang telah tersimpan sekian lama.


Dapatkah Eika menerima identiti sebenarnya? Bagaimana pula dengan Tengku Anis? Dapatkah dia memiliki hati Hakimi? Siapa sebenarnya PSH itu?


Judul : Ops! Pintu Hatiku 
Penulis : Noraz Ikha
Penerbit : Kaki Novel
Semenanjung : RM18
Sabah / Sarawak : RM21

Jumaat, 27 Mei 2011

Blurb novel Ops! Pintu Hatiku



EIKA: Perasaan cinta yang berakar umbi terhadap Hakimi cuba dinafikan. Biarlah semua orang menganggapnya ego. Dalam masa yang sama, kehadiran seseorang tanpa wajah, tanpa suara dan tanpa jasad bernama PSH telah membuka pintu hatinya. Unik sungguh.

“Hee... budak tu? Hai.... sorrylah beb. Kalau dah dasar playboy tu playboy juga. Kirim salam jelah kat dia yek!”

HAKIMI:  Dia sibuk ber’perang’ dengan Eika. Apakah yang dia cuba lakukan? Identitinya sering dibayangi seseorang hingga ramai yang tidak menyedari bahawa satu wajah itu mempunyai dua jiwa yang berlainan.

“Kalau kau mampu, berilah sepuluh kelemahan aku yang boleh dijadikan alasan, kenapa kau tak suka aku?!”

TENGKU ANIS: Cinta yang mahu dihulurkannya itu tulus. Namun sayang, emosi dirinya sering melampaui akal warasnya.

“Kenapa? Tak puas hati ke? Hei... perempuan, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi tau. Sia-sia saja menepuk angin!”

Bagaimana mungkin Eika menyintai PSH? Siapakah yang sebenarnya beraja di hati? 

Pembelian secara online, klik pautan di bawah:
http://kakinovel.com/index.php?page=shop.product_details&flypage=flypage.tpl&product_id=106&category_id=1&option=com_virtuemart&Itemid=9

Khamis, 19 Mei 2011

Himpunan Nukilan Serikandi 1

"Hati-hati dengan hati, kerana hati itu nadi." - nukilan serikandi.

"Secebis keikhlasan mendatangkan seribu kebahagiaan, secebis keterpaksaan mendatangkan seribu penyeksaan." - nukilan serikandi.

"Isi hati terluah tatkala mata berbicara, meskipun tanpa terzahirnya suara." - nukilan serikandi.

"Kebenaran pasti terungkai, kerana mata itu jujur menyuluh sinar perasaan." - nukilan serikandi.

"Selagi ada rasa bertamu, selagi itu ada bicara berlagu." - nukilan serikandi.

Jumaat, 29 April 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku - Menemui anda MEI 2011

MENEMUI ANDA
MEI 2011


NOVEL: OPS! PINTU HATIKU
SEMENANJUNG: RM 18.00 / AHLI : RM 14.00
SABAH/SARAWAK: RM 21.00 / AHLI : RM 17.00
ISBN: 978-967-5067-72-3


Eika dan Hakimi merupakan rakan sekelas yang pantang berjumpa. Jika bersua, mereka pasti akan bertekak kerana berpunca daripada kisah silam Hakimi yang tidak disenangi oleh Eika. Timbul keinginan di hati Hakimi untuk memancing hati Eika kerana Hakimi tertarik dengan sikap dan layanan Eika terhadapnya yang tidak seperti rakan-rakan yang lain. Juga kerana rasa tercabar kerana tidak dipedulikan oleh Eika.

Dalam masa yang sama, Eika sering menerima surat misteri daripada PSH yang mengaku menyintai dirinya. Walhal Eika langsung tidak mengenali siapakah PSH itu.

Kewujudan Shahirul Hazami sebagai pasangan kembar Hakimi mengundang salah faham di antara Eika dan Sheila berikutan persamaan pada wajah kedua-dua kembar tersebut. Namun pasangan kembar tersebut masih merahsiakan identiti sebenar. Hakimi hanya memperkenalkan Shahirul Hazami sebagai abangnya sahaja dan bukan sebagai kembarnya. Buat pertama kalinya Eika menerima Hakimi sebagai sahabat.

Selepas lima tahun mereka dipertemukan kembali. Pertemuan ini menyemarakkan lagi perasaan masing-masing sehingga akhirnya mereka jatuh cinta. Namun, kehadiran Tengku Anis akhirnya berjaya merobohkan benteng kepercayaan Eika terhadap Hakimi. Dengan bantuan seseorang, Tengku Anis merancang untuk menghapuskan Eika agar Eika tidak lagi menjadi penghalang kepada cintanya terhadap Hakimi. Malangnya, rancangan yang diatur oleh Tengku Anis tidak berjalan dengan lancar kerana rancangannya untuk menghapuskan Eika telah membuatkan Hakimi hilang ingatan. Perasaan dendam Tengku Anis bertambah kuat apabila cinta Hakimi kepada Eika terus wujud meskipun telah kehilangan ingatan.

Cinta Eika dan Hakimi bertambah mekar. Namun keintiman tersebut membawa keresahan kepada keluarga Eika. Kemunculan Dato’ Zaiful Anuar dan Datin Alleeya memaksa mereka untuk membongkar rahsia identiti Eika yang telah tersimpan sekian lama.
Dapatkah Eika menerima identiti sebenarnya? Bagaimana pula dengan Tengku Anis? Dapatkah dia memiliki hati Hakimi? Siapa sebenarnya PSH itu?

Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku! - bab10 (sebelum diedit)


Kakinya mula terasa lenguh akibat duduk terlalu lama. Minuman juga sudah hampir habis disedutnya. Sementara hatinya pula terus resah menunggu ketibaan sang puteri yang masih belum mahu menunjukkan wajah. Namun, dia akan tetap menanti dengan penuh kesetiaan.

Seorang gadis ayu berbaju kurung biru muda kelihatan tergesa-gesa memasuki restoran terkemuka berkenaan. Langkahnya semakin laju tatkala melihat seorang jejaka handsome masih menunggunya.

“Assalamualaikum! Maaflah, saya terlambat!” Sheila pantas bersuara sambil menarik kerusi di hadapan Shahirul Hazami.

“Waalaikumussalam..... tak apalah. Lagipun tadi, saya terserempak dengan kawan saya. Jadi, taklah rasa bosan di sini.” Shahirul Hazami berbohong. Dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sheila menganggukkan kepala. Dia tersenyum di dalam hati mendengar ucapan tersebut. Sebenarnya kelewatan itu memang disengajakan. Niat di hati mahu menguji sejauh manakah kesabaran Shahirul Hazami. Walaupun Shahirul Hazami berkata demikian, dia tahu pasti Shahirul Hazami telah lama menanti. Lebih bijak, dia juga sedar bahawa Shahirul Hazami telah berbohong. Bagaimana dia tahu? Itu adalah rahsia.

“Sheila, awak dah beritahu mereka bahawa saya ialah abang Hakimi?” Shahirul Hazami memulakan perbualan. Serta merta Sheila memandang wajah Shahirul Hazami.

“Ohh... belum lagi! Saya ingat mahu beritahu masa di sekolah esok,” jawab Sheila.

“Boleh tak awak tolong jangan beritahu mereka?”

“Apa? Mana boleh, antara kami memang tiada rahsia. Lagipun, macam mana kalau mereka ternampak saya keluar dengan awak? Tentu mereka fikir yang saya ni ada hubungan dengan adik awak tu!” Bantah Sheila bersungguh-sungguh benar.

“Tidak! Walau apa sekalipun awak tetap tak boleh beritahu. Terutamanya kepada Eika.” Shahirul Hazami masih tetap dengan pendiriannya.

“Awak.... awak kenal Eika??”

“Hai... dah lupa ke saya pernah jumpa dengan dia kat rumah awak dulu?” Shahirul Hazami mengingatkan.

“Ohh.... maaf! Saya terlupa. Tapi.... apa salahnya? Sampai awak bersungguh-sungguh tak mahu saya dedahkan perkara ini?” Sheila ingin tahu lebih lanjut.

“Sebab, ini adalah permintaan daripada Kimi sendiri,” jelas Shahirul Hazami jujur.

“Kenapa permintaan Kimi tu pelik sangat? Saya rasa tak ada salahnya kan!” Balasnya.

“Saya sendiri pun tak tahu kenapa dia minta begitu. Tapi, saya rasa mungkin dia ada hati kat Eika kot!” Shahirul Hazami cuba serkap jarang.

Terbeliak biji mata Sheila mendengarnya. Mahu tergelak pun ada. Kelakar pula rasanya.

“Awak cakap Kimi suka kat Eika? Ya ALLAH.... awak tahu tak? Eika dengan si Kimi tu tak boleh berjumpa. Pantang nenek moyang dia orang. Mesti ada sahaja perkara yang nak digaduhkan. Maklumlah, dahulu Kimi tu kan playboy! Oppss... maaf!!”

“Tak apa, saya faham,” ujar Shahirul Hazami.

“Kimi mahu awak berjanji. Boleh kan?” Shahirul Hazami seperti mendesak.

“Baiklah! Jangan risau,” sahut Sheila.

“Terima kasih!”

“Sama-sama. Zami, kalau saya nak tanya sikit boleh?”

“Apa salahnya. Apa dia?” Balas Shairul Hazami.

“Awak ke.... orang yang saya jumpa kat Pulau Pangkor dulu?” Soalan inilah yang telah lama terpendam di benak fikiran Sheila.

“Ya, sayalah tu. Dari situlah saya kenal awak! Tapi masa tu, wajah awak betul-betul garang. Sekarang, wajah awak manis macam aiskrim!” Shahirul Hazami cuba berseloroh.

“Issyy, awak ni teruk betullah. Ada ke muka manis macam aiskrim? Awak tu pula, masa tu tak ubah macam kumpulan Aleycats,” balas Sheila. Terhibur pula rasa hatinya.

“Sekarang?” Sengaja Shahirul Hazami bertanya.

“Tak nak jawab!” Sahut Sheila.

“Minta maaflah. Saya dah terkasar bahasa masa kat sana,” ikhlas Sheila memohon maaf.

“Tak apa. Saya pun terkasar bahasa juga. Maaf ya,” balas Shahirul Hazami. Sheila tersenyum.

Kemudian mereka tertawa serentak. Terimbau kenangan di Pulau Pangkor. Asalnya Shahirul Hazami mahu bertanya tentang perasaan Sheila terhadapnya. Namun tiba-tiba dia berrasa malu dan sedikit ragu. Dia tidak mahu hubungan persahabatan yang baru terjalin ini terputus kiranya dia mengungkit soal itu. Sungguh dia tidak sanggup kehilangan Sheila.

**********

“EHH!! Kau ni tak faham Bahasa Melayu ke? Kalau aku kata tak nak, aku tak naklah!! Aku cakap Bahasa Jawa karang melopong terus. Nak paksa-paksa orang pula. Menyampah!” Jerit Eika. Marahnya tidak terkira.

Hakimi hanya mampu menelan liur mendengar setiap butir bicara yang keluar daripada mulut comel Eika. Dia sudah hilang punca. Tidak tahu apa lagi yang patut diperkatakan agar dia mendapat persetujuan daripada gadis degil itu.

“Ala.... bolehlah!” Hakimi cuba berbaik lagi.

“Tak nak! Kau faham tak maksud tak nak?”

“Hei, bukan senang tau nak berpasangan dengan aku. Cuba kau tengok budak-budak perempuan tu. Kalau aku jentik sekali je, sure berduyun-duyun dia orang datang. Apalah kau!!” Suara Hakimi sedikit tinggi. Kesabarannya semakin menipis. Namun untuk mengalah tidak sama sekali.

“Amboi-amboi.... Hei, cik abang oii!! Kau ingat kau tu bagus sangat ke?? Eh... kalau kau nak tahu, daripada aku nyanyi dengan kau, lebih baik aku nyanyi dengan beruk tau! Lagi best!” Balas Eika geram.

Hakimi menelan liur sekali lagi. Matanya terbeliak. Terasa tidak percaya Eika boleh berkata begitu. Selama ini, dialah yang menjadi buruan para gadis. Baru kali ini dia menerima cacian daripada insan bergelar perempuan. ‘Aku dibandingkan dengan beruk? Geramnya! Nanti kau! Aku takkan lepas kau, Eika. Suatu hari nanti...kau akan tahu siapa aku. Aku yang telah berubah. Aku yang ingin mengenalimu....’

Sempena hari kebudayaan, pihak sekolah akan mengadakan pertandingan nyanyian. Hakimi mahu mengambil Eika sebagai pasangan duetnya. Entah mengapa keinginan tersebut begitu tinggi. Tetapi sayang gadis itu telah menolak dengan sekeras-kerasnya. ‘Group pengusik’ juga tidak dapat memujuk Eika.

Alasan Eika ialah dia tidak suka kepada Hakimi yang dianggap playboy. Itulah saja yang dikatakannya berulang-ulang sejak dahulu. Pastinya dia tetap membenci lelaki itu walaupun sikap Hakimi tidak lagi seliar dahulu.

Kelakuan Hakimi sejak akhir-akhir ini agak berlainan. Seolah-olah cuba memikat Eika. Situasi ini mengingatkan Sheila terhadap kata-kata yang telah diucap oleh Shahirul Hazami sebelum ini. Nampaknya tekaan tersebut memang tepat. Setiap kali ada yang mengatakan bahawa Eika dan Hakimi ialah pasangan yang secocok, Eika hanya mencebikkan bibir tanda meluat.

Hakimi tidak faham mengapa Eika begitu membencinya. Tidak seperti perempuan lain. Dia tercari-cari adakah dia ada membuat kesilapan yang tidak disedari hingga menyinggung perasaan Eika. Namun tiada. Dia tidak pernah menyakiti hati Eika.

**********

KELIHATAN Eika sedang berjalan seorang diri di sebuah pusat membeli belah. Dia sekadar window shopping sahaja. Pandangan matanya tiba-tiba sahaja menangkap kelibat sesorang yang amat dikenali. Orang itu ialah Hakimi. Cepat-cepat dia menyorokkan diri di celah-celah rak barangan sabun. Namun dia terlewat. Lelaki itu telah melihatnya terlebih dahulu.

Laju sahaja Hakimi menghayun langkah ke arahnya. Bibirnya menguntum sebuah senyuman manis. Eika langsung tidak membalas. Dia sengaja menoleh ke arah lain seolah-olah tidak menyedari akan kehadiran Hakimi.

Hakimi tidak mudah patah semangat. Jika abangnya iaitu Shahirul Hazami boleh memikat Sheila, mengapa dia tidak boleh memikat Eika? Sikap Eika yang melayannya dengan kasar membuatkan hatinya meronta agar segera memenangi hati gadis manis tersebut. Selagi Eika terus membenci, selagi itulah dia akan terus mendekati.

“Hai, seorang saja ke?” Tegur Hakimi semesra mungkin.

Eika tidak mempedulikan teguran tersebut. Tangannya terus ligat membelek sabun di hadapannya.

“Janganlah macam ni? Eika tak suka kat saya ke?” Tambahnya dengan sopan. Masih mahu mencuba.

Meluat sungguh Eika melihat lakonan sopan lelaki itu. Dia memusingkan badan dan berhadapan dengan Hakimi. Mata bertentang mata.

“Hei pak cik!! Mata awak tak nampak ke saya seorang saja ni? Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Lagi satu, memang..... memang aku tak suka kat kau! Sekarang puas hati??” Luah Eika. Dia terus berlalu meninggalkan Hakimi yang masih terlopong. Mungkin terkejut dengan jawapan yang diberikannya tadi.

“Tidak!! Aku tak akan puas hati selagi kau bagi jawapan yang sama macam tu! Kalau kau mampu, berilah sepuluh kelemahan aku yang boleh dijadikan alasan kenapa kau tak suka aku!!” Cabar Hakimi sambil menjerit kuat. Dia tidak peduli lagi dengan anggapan orang lain di sekelilingnya. Janji dia puas.

Manakala Eika terus melangkah laju. Tidak kuasa mahu mendengarnya lagi. Langkahan Eika itu diiringi oleh ekor mata Hakimi. Hakimi sendiri berasa hairan. Tidak dinafikan memang dia berasal daripada keluarga yang kaya raya lagi terhormat.

Hakimi juga boleh mencari gadis lain yang kaya dan setaraf dengannya. Namun dia tetap menyukai gadis bernama Nur Elliya Shafeika. Semua bermula sejak dia meninggalkan sikap playboynya. Dia sedar mungkin hubungannya dengan Eika akan mendapat tentangan daripada keluarga. Tetapi untuk melepaskan gadis itu tidak sama sekali. Itulah tekadnya yang tidak mungkin akan terhapus begitu sahaja.

Hakikatnya Hakimi memang tidak begitu mengenali Eika. Tidak tahu latar belakang keluarga Eika juga. Sikap liarnya selama ini telah menutup kehadiran gadis itu. Hakimi tidak mahu gadis yang menggilai harta bendanya. Dia sudah serik. Gadis-gadis yang mendampinginya selama ini semua materialistik. Kini Hakimi serius mahu menjalin hubungan cinta. Cinta sejati. Masih adakah cinta sejati untukku? Setelah aku insaf berfoya-foya, masih sudikah cinta sejati itu hadir?

Eika menarik nafas lega kerana Hakimi tidak mengekorinya lagi. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu apakah perasaannya terhadap Hakimi. Benci?? Cinta?? Ahh....!!! Pening. Malas mahu memikirkannya lagi. Dan PSH? Eika begitu ingin tahu siapakah gerangan lelaki misteri tersebut.

Sedang Eika berfikir-fikir itulah tiba-tiba dia terserempak sekali lagi dengan Hakimi. Namun penampilannya kali ini sungguh jauh berbeza. Bersih, kemas dan tampak segak. Tidak seperti tadi yang yang kelihatan agak selekeh. Dia berasa hairan. Tidak mungkin Hakimi sempat menukar imej dalam masa yang amat singkat.

Kemudian Hakimi melintas di hadapan Eika. Walaupun jarak di antara tempat dia berdiri dengan laluan yang dilalui oleh Hakimi itu tidak jauh, namun Hakimi seperti tidak perasan akan kehadirannya. Hakimi langsung tidak mengendahkan dirinya. Eika berjalan cuba mendampingi Hakimi. Hakimi menoleh ke arahnya, namun dia terus berlalu.

Langkah Eika terhenti serta-merta. Tidak jadi mahu mendampingi Hakimi. Dia bertambah pelik apabila mendapati lelaki itu seolah-olah langsung tidak mengenalinya. ‘Ooh.. macam mana Hakimi nak kenal aku? Aku peluk beg sandang ni sampai tertutup muka aku. Tapi, takkan Hakimi tak kenal beg dan baju yang aku pakai? Baru tadi jumpa,’ Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengekori Hakimi. Sesekali Hakimi terhenti dan menoleh ke belakang. Sepantas kilat Eika akan menyorokkan dirinya.

Akhirnya mereka sampai di Cyber Restaurant. Eika hanya melihat gerak-geri Hakimi dari jauh. Alangkah terkejutnya Eika apabila terlihat Sheila sedang menyambut ketibaan Hakimi. Bukankah selama ini Sheila suka memperkatakan lelaki itu sebagai ‘pakwe’ Eika? Mengapa Sheila perlu berjumpa dengan Hakimi secara rahsia? Tiba-tiba Eika teringat akan pertemuannya dengan Hakimi semasa berkunjung ke rumah Sheila dahulu. Oppss....! Adakah mereka ada hubungan? Adakah Sheila juga cuba mempermainkannya?

Eika menggigit bibir. Terbit semacam perasaan tidak senang tiba-tiba. Walaupun dia sering bergaduh dengan Hakimi, namun jauh di sudut hatinya terpendam satu perasaan yang aneh. Amat sukar untuk ditafsirkan. Kerana itulah dia tidak faham dengan perasaannya sendiri. Dan... entah sejak bila dia berasa cemburu dengan pertemuan itu.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.