Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku - bab 4 (sebelum diedit)


Eika dan Lizz kelihatan riang gembira. Mereka saling menyimbah-nyimbah air laut ke badan masing-masing. Sementara itu, Atin, Sue dan Eida pula asyik berenang. Manakala Sheila pula leka membina istana pasir. Mereka mahu bersuka-ria dengan sepuas-puasnya.

“Wah! Cantik istana pasir buatan saudari!” Tegur seseorang dari arah belakang Sheila.

Sheila yang terkejut dengan teguran tersebut terus berpaling ke belakang. Kelihatan empat orang jejaka telah tercegat di situ. Mereka tersengih-sengih seperti kerang busuk. Sheila mempamerkan riak wajah bosan.
“Eh, muka awak lagi! Dah tak ada muka lain ke??”

“Memanglah tak ada muka lain. Sebab muka saya ni ialah muka yang paling handsome kat dunia! Tak tahu lagi ke? Bertuah awak dapat menatapnya.” Shahirul Hazami mula menyakat. Bibirnya mengukir sebuah senyuman gatal.

Yak... nak muntah aku dengar. Muka paling handsome kat dunia konon. Eh, awak tahu tak? Wajah awak tu serupa macam badut kat tepi jalan tu tau!” Balas Sheila hampir tergelak.

Sahabat-sahabat Sheila yang menyedari situasi tersebut terus berlari mendapatkan Sheila. Mereka kelihatan seperti dua kumpulan pasukan yang telah bersedia untuk ber‘perang’ sekali lagi. Sheila memandang Shahirul Hazami dengan pandangan sinis di samping rakan-rakannya. Shahirul Hazami juga menunjukkan reaksi yang sama. Memang sengaja dia meniru gaya Sheila. Biar Sheila rasa bagaimana bertemu buku dengan ruas.

“Saya nak tanya awak sikit boleh tak?” Ujar Shahirul Hazami selepas itu.

“Suka hati awaklah. Tapi, saya tak janji nak jawab,” balas Sheila acuh tak acuh. Malas mahu melayan mamat seorang itu.

“Siapa nama awak?”

“Kenapa saya mesti beritahu awak? Itukan hal peribadi saya!” Sengaja Sheila jual mahal. Mahu melihat apakah reaksi Shahirul Hazami seterusnya.

“Sebab saya nak tahulah.”

Sheila merenung wajah Shahirul Hazami. ‘Macam pernah aku lihat wajah lelaki ini. Tapi di mana ya?’ Detik hati Sheila. Dia terus membisukan diri. Membiarkan Shahirul Hazami merenung wajahnya.

Sementara itu Shahirul Hazami resah menunggu jawapan. ‘Ai... nak beritahu nama pun payah ke?’ Fikir Shahirul Hazami. ‘Nak cakap ke tak ya? Eh, tak naklah. Manalah tahu dia cuma nak kenakan aku je!’ Fikir Sheila pula. ‘Dia ni nak reka nama ke?’ Shahirul Hazami meneka pula.

Cepat-cepat Sheila melarikan pandangan matanya tatkala menyedari lelaki itu juga sedang merenung wajahnya. Alamak.... Terasa malu pula. Kemudian dia memandang ke arah rakan-rakannya. Mahu meminta pandangan mereka.

“Apalah kau ni, Sheila. Dah ada orang berkenan pun kau tak nak. Cakap sajalah nama kau tu. Lepas tu, kau tanyalah nama dia pula. Macam tu barulah syok sikit!” Cadang Atin penuh bersemangat walaupun dengan cara berbisik.

“Pandailah kau cakap ya! Nanti kalau aku beritahu, dia ingat aku suka kat dia pula. Tak naklah!!” Bantah Sheila. Dia tidak bersetuju.

Atin dan mereka yang lain hanya mengangkat bahu mendengar kata-kata Sheila. Namun, Eika tidak pula memberi sebarang reaksi. Sheila hairan melihat kelakuan sahabat yang paling rapat dengannya itu.

Biasanya, Eikalah yang paling sibuk merancang itu dan ini. Dia bertambah terkejut apabila mendapati Eika asyik merenung ke arah Shahirul Hazami sejak tadi. Seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Kenapa agaknya??

“Tak payahlah! Jom kawan-kawan. Kita pergi sana pula. Maaf ya saudara-saudara sekalian!” Jerit Sheila kemudian ke arah sekumpulan pemuda tersebut.

Sheila terus menarik tangan Eika yang masih berkhayal. Eika amat terkejut dengan tindakan Sheila. Dia tidak berpeluang untuk menarik tangannya. Mereka yang lain juga turut mengekori langkah Sheila dan Eika.

Mereka sudah meninggalkan kumpulan Shahirul Hazami. Shahirul Hazami pula masih termangu-mangu kerana ditinggalkan begitu sahaja oleh Sheila. Soalannya tadi masih belum berjawab. Tidak berapa lama kemudian, Zaini, Am dan Mamat ketawa terbahak-bahak. Spontan dahi Shahirul Hazami berombak kecil. Berkerut.

“Apa yang kau orang ketawa-ketawa pula ni? Kelakar sangat ke ‘drama’ tadi tu? Aku tahulah, aku ni memang tak pandai pikat orang perempuan!” Ujar Shahirul Hazami separuh merajuk. Seperti budak kecil sahaja lagaknya.

“Eh Zami, bukannya kau tak pandai pikat orang perempuan. Tapi, kalau kau nak tahu, budak perempuan yang tadi tu memang susah sikit. Kau tak kenal lagi group dia orang. Ha, nama kumpulan dia orang ialah ‘Group Pengusik’,” beritahu Mamat.

“Betul tu, kita orang ni satu sekolah dengan dia orang. Memang dah masak sangatlah dengan perangai group budak-budak tu. Itulah kau, siapa suruh belajar kat sekolah lain. Ha... kan dah melepas!” Am seolah-olah berleter.

“Ni hah, cuba kau tengok cermin. Perhati muka kau dalam-dalam. Dengan rambut besar kau ni, siapalah yang akan suka? Cuba kau tanggalkan!” Cadang Am sambil cuba menarik rambut Shahirul Hazami.

“Hei, apa kau ni!” Jerit Shahirul Hazami sambil menepis tangan Am. Namun dia terlambat kerana rambut palsu yang dipakainya itu telah terlucut dari atas kepala.

“Fuhh.... handsome gilalah! Kalau macam ni, barulah si Sheila tu buka besar sikit biji mata dia,” ujar Zaini sambil ketawa.

“Apa kau sebut tadi? Sheila?” Tanya Shahirul Hazami inginkan kepastian.

“Kenapa? Ha... kau dah jatuh hati kat dia ya!” Usik Zaini.

“Taklah, apalah kau ni. Aku tanya jelah! Kenapa? Tak boleh ke?”

Ha’ah... betul tu! Nama dia Sheila,” jelas Mamat.

“Eh, kau orang nak tau tak? Dia orang tu pernah malukan aku tau. Masa tu aku lalu kat depan dia orang. Sebenarnya aku cuma nak tengok budak perempuan yang ada tahi lalat kat atas bibir kiri dia tu. Alih-alih, aku pula yang kena! Malunya aku, nasib baiklah aku ni bijak sikit. Cepat-cepat aku cari alasan nak pergi dari situ. Huhh... taubat aku!” Cerita Zaini bersungguh-sungguh.

Shahirul Hazami mendengarnya dengan khusyuk. Tiba-tiba mereka ketawa serentak. Zaini mengerut kening kehairanan

“Apasal kau orang ketawa pula? Aku rasa cerita aku ni tak kelakar pun!”

“Hei... siapa budak perempuan yang ada tahi lalat kat atas bibir kiri dia tu? Kawan sheila tu ke?” Tanya Shahirul hazami kurang sabar.

“Yalah!” Pendek sahaja jawapannya.

“Eh, setahu akulah, kau tu kan juara perancang. Lagi-lagi pasal mengurat. Macam mana boleh jadi macam ni pula? Aduh.... rosak... rosak...” Soal Am dalam nada tawa yang masih bersisa.

“Kau orang janganlah ketawakan aku. Sebenarnya aku cuma pandai merancang je. Tapi, lidah aku ni kelu bila dah berhadapan dengan orangnya. Aku peliklah, mulut aku ni ada kunci ke?” Sempat lagi Zaini bergurau.

“Memang ada, kunci yang tidak boleh dilihat. Lepas tu apa yang berlaku?”

“Apa lagi, kena gelak sakanlah aku. Malu beb! Geram betul!” Luah Zaini lagi disambut dengan deraian ketawa rakan-rakannya.

“Zami, baru aku perasan.... muka kau ni sebiji sama macam Kimi ya?” luah Mamat tiba-tiba.

“Sebiji? Kenapa tak dua biji ke... tiga biji ke. Nama pun adik-beradik. Apalah kau ni. Dah, meh sini rambut palsu aku tu!” Laju tangan Shahirul Hazami merampas rambut palsu kesayangannya.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan