Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku - bab 3 (sebelum diedit)





“Mama, Zami pergi dululah ya?” Shahirul Hazami meminta izin ibunya. ‘Tak sabar rasanya nak pergi. Mesti seronok!’ Jerit Shahirul Hazami di dalam hati.

“Yalah, jalan baik-baik tau,” lembut suara Datin Seri Rosleenda memberi nasihat.


“Bang! Bang! Jangan lupa tau. Bila balik nanti bawa ole-ole yang boleh bercakap ya?” Usik Nazirah.

Shahirul Hazami membulatkan matanya. Dia faham akan maksud adik kesayangannya itu. Nazirah hanya tersenyum nakal.

“Ada apa ni? Mana ada ole-ole yang boleh bercakap,” ujar Datin Seri Rosleenda kehairanan mendengar perbualan dua beradik tersebut.

“Alah mama, nanti kalau abang Zami bawa… mama tahulah! Pasti mama akan suka!” Balas Nazirah.

Ha’ah... yalah tu! Nanti Zami bawak monyet hidup ya, mama. Bagi monyet tu kat Nazirah. Biar habis muka dia kena cakar ha…ha…ha....!”

“Ada-ada sajalah kau orang ni,” kata Datin Seri Rosleenda.

Shahirul Hazami menggeleng-geleng. Datin Seri Rosleenda tersenyum penuh makna sambil mengiringi Shahirul Hazami yang sedang memasuki kereta dengan ekor matanya. Sebenarnya dia faham dengan maksud Nazirah sebentar tadi. Cuma pura-pura tidak mengerti.

Shahirul Hazami telah dikecewakan oleh seorang wanita baru-baru ini. Pada mulanya dia tidak dapat menerima hakikat bahawa teman wanitanya itu telah curang. Rupa-rupanya selama ini Azura mencintai lelaki lain. Apa kurangnya dia? Dia tertanya-tanya sendiri. Namun begitu, dia cuba tabahkan hati.

Akhirnya dia membelokkan kereta dan berhenti betul-betul di hadapan rumah Mamat. Kelihatan Mamat sedang berbual-bual dengan Am dan Zaini. Mereka bertiga merupakan sahabat karibnya walaupun dia tidak belajar di sekolah yang sama dengan mereka. Semuanya berpunca daripada Hakimi. Jika bukan Hakimi yang memperkenalkan kepadanya, tentu dia tidak akan mengenali mereka.

Shahirul Hazami menekan hon kereta sebagai isyarat supaya mereka segera masuk ke dalam kereta. Zaini, Am dan Mamat membalas dengan melambai ke arahnya. Shahirul Hazami faham akan maksud lambaian tersebut. Kemudian dia terus turun dari kereta. ‘Kata nak terus masuk dalam kereta. Alih-alih, aku pula yang kena turun,’ desisnya di dalam hati.

“Eh, kau orang kata nak terus pergi! Kenapa suruh aku turun pula?”

“Ala Zami... duduklah kejap,” ujar Mamat separuh memujuk.

Ha’ahlah Hazami, baru pukul berapa. Tak larinya tempat tu nanti! Eh, kau seorang aje? Mana si Hakimi?” Tambah Zaini dan disokong oleh Am.

Shahirul Hazami terpaksa akur dengan kehendak rakan-rakannya. Dia melabuhkan punggung di sebelah Zaini.

“Entah, dia kata tak nak ikut. Ada program kat sekolah. Katanyalah, tak tau betul ke tidak. Oh ya, dia ada pesan. Kalau jumpa awek yang cun melecun tu, jangan lupa simpan-simpankanlah untuk dia seorang,” kata Shahirul Hazami.

“Hai..... apalah nak jadi dengan budak ‘seekor’ tu! Tak habis-habis dengan rancangan bodohnya. Aku rasalah kan, tak ada faedahnya kalau dia terus dengan sikap peliknya tu. Tambah orang benci dan bagi anggapan buruk kat dia adalah,” keluh Mamat.

“Betul juga cakap kau tu, Mamat. Kalau tak silap aku, dia dah dicop sebagai playboy. Kesian pula aku tengok,” balas Am pula.

“Alahai kawan, tak payahlah nak kesian-kesian. Dia pun tak kesian dengan diri dia sendiri. Buat apa kita nak sibuk-sibuk,” protes Shahirul Hazami.

“Ini lagi seorang. Pelik.... pelik... perangai kau orang berdua ni memang tak pernah dibuat orang. Ada ke patut adik sendiri buat rancangan bodoh, si abangnya pula menyokong! Haishhy.... sungguh pelik bin ajaib betullah kau orang berdua ni! Patutnya, dialah kena bagi nasihat kat Kimi tu,” bebel Mamat sambil menggeleng-geleng.

“Biarlah dia Am, Mamat. Aku dah penat dah. Kalau dia kata hitam, hitamlah. Kalau dia kata putih, putihlah juga. Kepala dia tu keras mengalahkan batu berlian!” Luah Shahirul Hazami. Menyebabkan Am dan Mamat terdiam.

“Hazami, aku ada satu kemusykilan sikitlah pasal kau dengan Kimi. Kau kata Kimi tu adik kau. Kimi sekarang tingkatan 5. Tapi... kenapa kau tak habis sekolah lagi??” Sudah lama soalan itu bertapak di dalam minda Am. Shahirul Hazami sedikit tersentak dengan soalan yang baru diutarakan kepadanya.

“Err..... aku ni tak pandai macam Kimi. Dulu Kimi lompat dari darjah 3 terus ke darjah 5,” jawab Shahirul Hazami sekadar melengkapkan soalan Am. Dia tidak peduli sama ada jawapan itu logik atau tidak. Apa yang pasti, jawapan sebenarnya hanya Shahirul Hazami dan Hakimi sahaja yang tahu. Biarlah ia tetap menjadi rahsia. Tidak perlu dihebahkan satu dunia.

Keluhan kasar keluar daripada mulut Shahirul Hazami. Wajahnya kelihatan lesu dan tidak bermaya. Dialihkan pandangannya ke arah Am, Zaini dan Mamat silih berganti. Kemudian tangannya menguis-nguis hujung lengan bajunya pula. Semua gelagatnya itu disaksikan oleh mereka dengan penuh tanda tanya.

“Kau ni kenapa sebenarnya Zami? Macam ada masalah je!” Tanya Mamat risau melihat keadaan rakannya itu.

“Yalah Zami, kau patut beritahu kita orang. Manalah tahu kot-kot kita orang boleh tolong ke. Kalau kau pendam seorang-seorang, susah jadinya nanti tau! Lebih buruk akibatnya,” nasihat Am separuh memujuk.

Shahirul Hazami masih membatu. Patutkah dia memberitahu mereka? Tidakkah ia akan menyusahkan mereka nanti? Ahh.... dia berasa ragu. Tapi... menyusahkan apa pula? Shahirul Hazami menyesali kebodohan sendiri. Sementara itu, mereka bertiga sedang memerhati wajahnya dengan penuh minat dan rasa ingin tahu yang kuat. Sinar mata mereka seolah-olah mendesak supaya dia segera meluahkan segala perasaan yang terpendam di dalam jiwanya.

Tiba-tiba terbit rasa terharu. Terharu kerana rakan-rakannya begitu mengambil berat akan dirinya. ‘Tapi... untuk apa aku nak memperkatakan perkara yang dah lepas? Segala-galanya dah tamat. Sekarang aku nak mulakan hidup baru!’ Azamnya penuh semangat.

“Sebenarnya..... aku...”

Dia tidak dapat meneruskan kata-kata. Hatinya dilanda perasaan sebak secara tiba-tiba. Ternyata dia gagal melawan emosi.

“Sebenarnya apa Zami? Fasal si Azura tu ke?” Teka Zaini.

Shahirul Hazami sekadar mengangguk. Dia tidak mampu untuk menyangkal tekaan itu meskipun baru sebentar tadi dia berazam mahu melupakannya. Rakan-rakannya saling berpandangan. Setahu mereka, hubungan di antara Shahirul Hazami dengan Azura tiada sebarang masalah. Cuma.....!

“Kau orang tahu tak? Azura tu.... curang!!” Getusnya geram. Tinggi nada suaranya.

“Hah!! Curang?” Mereka kelihatan amat terkejut. Mamat dan Zaini saling berpandangan. Seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

Sorrylah Zami, sebenarnya hari tu kita orang ada nampak Azura berjalan dengan seorang lelaki. Aku ingatkan kawan dia ke? Abang dia ke? Atau cousin dia ke? Sebab tulah kita orang biarkan je!” Zaini bersuara setelah agak lama mendiamkan diri.

“Zami, kalau kau nak tau, sebenarnya sejak dulu lagi aku dah rasa. Si Azura tu bukannya baik sangat. Kau tu aje yang tak makan nasihat!” Bebel Am.

“Sudahlah. Jangan cakap fasal dia lagi! Aku dah fed up dengan dia!! Pergi jahanamlah!” Luah Shahirul Hazami keras. Rasa geramnya memuncak secara tiba-tiba.

“Sabar Zami, sabar.... aku rasa kejap lagi mesti kau dapat girlfriend baru yang lagi cantik, lagi pandai dan lagi baik daripada dia. Kau tunggu aje,” Mamat memberi semangat. Seolah-olah tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari.

“Eh, dah lewat ni. Jomlah kita berangkat!” Ajak Shahirul Hazami.

Ha’ahlah, terlupa pula.” Boleh pula terlupa. Apa-apa sahajalah mereka ini.

Mereka mengangkat beg masing-masing lalu memasukkannya ke dalam kereta. Kereta Wira berwarna merah metalik yang sentiasa baru itu terus meluncur dengan gagahnya menyusuri jalan raya. Shahirul Hazami memandu kereta kesayangannya itu dengan penuh hati-hati.

Dalam perjalanan, Mamat, Am dan Zaini rancak berbual. Sesekali, Shahirul Hazami turut tertawa mendengar lawak mereka. Kepoh sungguh mulut mereka menceritakan itu dan ini. Jika mahu dinilai, kalah agaknya orang perempuan.

Tiba-tiba kereta yang dipandu oleh Shahirul Hazami itu berhenti secara mengejut. Tersentak semua penumpang yang berada di dalamnya. Sampai melalut cerita yang mahu disampaikan oleh Zaini. Shahirul Hazami pantas tersenyum melihat gelagat mereka.

“Eh! Kenapa ni? Kenapa Zami??” Soal Mamat terpinga-pinga.

It’s okaylah, no hal punya. Aku tak perasan lampu isyarat tu warna merah tadi. Nasib baik aku sempat break. Kalau tak, berkelah kat HPLlah jawabnya ya!” Sempat lagi Shahirul Hazami membuat lawak.

“Huh!!! Lemah semangat aku ini. Apa kau kata tadi? HPL? Apa ke bendanya tu Zami? Tak pernah pun aku dengar selama ni?”

“HPL tu ialah bahasa yang aku cipta sendiri. Kalau kau nak belajar, itu maknanya hospital. Ada faham??”

“Faham tuk!!” Balas Zaini berjenaka.

Mereka meneruskan perjalanan menuju destinasi dituju. Hanya tinggal beberapa meter sahaja lagi mereka akan sampai. Keceriaan jelas terpancar pada wajah setiap orang. Malahan, Shahirul Hazami juga tidak semuram tadi. Kini, signboard ‘LUMUT’ jelas terpampang di hadapan mata. Mereka akan bertolak ke Pulau Pangkor dengan menaiki feri yang telah disediakan di Jeti Lumut ini.

“Zami, kau parkinglah kereta kat situ!” Cadang Mamat.

Shahirul Hazami mengikut sahaja cadangan yang dikemukakan oleh Mamat itu. Kelihatan sekumpulan gadis remaja sedang bergelak ketawa di bahu jalan. Shahirul Hazami masih sempat memerhatikan mereka. Tiba-tiba, dia terpusing stereng lalu terlanggar sedikit beg balik kampung kepunyaan mereka. Dia terperanjat. Sepantas kilat dia menekan break. Hampir sahaja hidung Am dan Zaini mencium tempat duduk hadapan kereta.

Nampaknya gadis-gadis tersebut juga terkejut. Pantas pandangan masing-masing dialihkan ke arah kereta Wira yang berhenti tepat di hadapan mereka. Cermin kereta pantas diturunkan. Shahirul Hazami menjengukkan kepala ke luar tingkap. Salah seorang daripada gadis-gadis tersebut melangkah ke hadapan sedikit mendahului rakan-rakannya. Wajahnya jelas membayangkan kemarahan.

“Maaf ya saudari-saudari sekalian! Saya tak sengaja!” Selamba sahaja Shahirul Hazami meminta maaf daripada mereka. Namun masih kedengaran sopan.

“Amboi.... amboi!! Senangnya awak nak mintak maaf ya?? Habis tu, barang-barang yang dah penyek kat dalam beg aku tu, siapa nak ganti??” Marah Sheila dengan wajah yang bengis. Sebutan perkataan penyek itu ditekan sepuas hati Sheila.

Bahasa yang dituturkan terhadap orang yang baru dikenalinya itu juga kedengaran agak kurang sopan. Selamba sahaja dia membahasakan dirinya sebagai ‘aku’. Lagaknya seperti sudah mengenali Shahirul Hazami sahaja.

Sememangnya dia merupakan seorang yang panas baran. Pandangannya tajam merenung mata milik Shahirul Hazami. ‘Aduh! Tajamnya mata dia. Macam mata pedang!’ Shahirul Hazami menelan liur melihat ketegasan gadis di hadapannya itu.

“Maaflah! Saya betul-betul tak sengaja!” Kali ini nada suara Shahirul Hazami lebih lembut sedikit.

“Hei, awak tahu tak? Saya dengan kawan-kawan saya ni ada rancangan penting tau. Barang-barang dalam beg saya tu amat diperlukan! Macam mana awak bawak kereta hah?!” Sheila masih tidak mahu mengalah.

‘Hissy.... perempuan ni, becok betul mulut dialah! Ni yang membuatkan aku naik darah ni. Orang dah minta maaf dahlah. Banyak pula mulut dia!’ Rungut hati Shahirul Hazami. Malas rasanya mahu melayan amarah Sheila. Seperti singa lapar.

“Hei mulut becok! Jaga sikit mulut awak tu. Awak ingat saya ni tak pandai pandu kereta ke ha?” Shahirul Hazami mula menunjukkan rasa berang.

“Memang!!” Balas Sheila dengan senyum sinis. Berkerut dahi Shahirul Hazami. ‘Oh, menjawab perempuan ni ya!’ Shahirul Hazami tidak menyangka itu jawapan yang keluar daripada mulut Sheila.

“Eh, aku peduli apa barang kau tu nak penyek ke, nak lonjong ke, nak bulat ke, nak petak ke, suka hati dialah! Siapa suruh kau letak beg kat line kuning ni. Ini bukan tempat letak beg. Faham?”

Shahirul Hazami meninggikan suara. Dia juga nampaknya telah membahasakan diri dengan panggilan ‘aku’ dan ‘kau’. Dua kali lima sahaja Shahirul Hazami dengan Sheila.

“Hei! Rambut macam sarang tebuan! Sudahlah rambut kat atas kepala tu mengalahkan kumpulan Aleycats. Pandu kereta pun macam orang mabuk! Ada hati nak marah-marah orang pula!” Balas Sheila seakan mengutuk.

“Apa kau kata??” Terjegil bola mata Shahirul Hazami. Kuat dia menggigit bibir.

‘Ada ke patut dia cakap macam tu? Kau belum tengok rambut sebenar aku lagi. Ini cuma rambut palsulah. Aku sebenarnya Handsome tau!’ Suara hati Shahirul Hazami juga terus-terusan memprotes.

Manakala, Zaini, Am dan Mamat pula hanya menggeleng-geleng kepala di dalam kereta. Shahirul Hazami dan Sharifah Shahila atau Sheila, kedua-duanya sama keras kepala. Bagai pepatah anjing dengan kucing.

“Eh.... apa lagi gaduh-gaduh ni? Sudahlah! Bawak berdamai sikit boleh tak?” Tegur Am sebaik sahaja menurunkan cermin kereta.

Eida yang turut berada di dalam kelompok Sheila amat terkejut dengan kemunculan Am. Serta-merta matanya membulat. Manakala Am hanya tersenyum kambing membalas pandangan tersebut. Asalnya, Am tidak mahu menunjukkan diri. Tetapi dia terpaksa juga memandangkan kedua-dua belah pihak yang ber‘perang’ itu tidak menunjukkan tanda-tanda mahu menyerah. Semakin teruk pula jika dibiarkan.

“Eh! Kenapa kau boleh ada kat sini ha, malaun??” Spontan pertanyaan tersebut keluar daripada mulut Eida.

“Siapa malaun?” Soal Am kembali.

“Kaulah, siapa lagi!!” Jawab Eida selamba.

Sementara itu, wajah Sheila kelihatan masam mencuka. Manakala Shahirul Hazami pula telah masuk semula ke dalam kereta. Dia menutup cermin tingkap dengan serapat-rapatnya. Hatinya berasa amat geram. Selama ini, tiada siapa yang berani mengutuk dirinya di hadapan mata dan secara terang-terangan pula itu. Kelebihan rupa parasnya yang kacak sering sahaja menjadi igauan orang lain. Berani sungguh perempuan di luar kereta itu menyindirnya.

Secara tidak langsung, kemunculan Am itu telah meleraikan pertengkaran di antara mereka. Di dalam kereta, Zaini dan Mamat berusaha menyembunyikan wajah masing-masing supaya tidak dapat dilihat oleh Lizz dan Eida. Zaini segan untuk bersemuka dengan Lizz. Ini kerana dia telah dimalukan oleh Atin di hadapan gadis itu tempoh hari.

Tika itu Eika hanya menjadi penonton ‘drama sebabak’ yang berlangsung di hadapan matanya. Malas mahu masuk campur. Ada sesuatu yang berdetik di hati kecil Eika tatkala menatap wajah Shahirul Hazami. Sesuatu yang membuatkannya terdiam membisukan diri. Otaknya juga ligat memikirkan sesuatu yang tidak pasti.

Mamat pula tidak mahu mengacau Am. Ini adalah disebabkan oleh kelakuan Am yang kelihatan berminat dengan gadis bernama Syeril Aida atau Eida itu. Sebenarnya, Mamat juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Eida. Cuma perasaan itu hanya mampu dipendamkan sahaja. Demi Am sahabat karibnya.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

2 ulasan: