Selasa, 13 Julai 2010

Novel: Ops! Pintu Hatiku - Bab 2 (sebelum diedit)


“Baiklah, saya mahu kamu buat apa yang saya suruh. Boleh? Hah... Nur Elliya Shafeika, awak faham?” Soal Cikgu Ruzairi.

Eika kelihatan selamba sambil menulis sesuatu di atas kertas. Langsung tidak menghiraukan pertanyaan cikgu di hadapan kelas.

“Hei.. hei, Eika! Cikgu tanya kaulah! Kau buat apa tu?” Teguran Lizz yang duduk di sebelah mengejutkan dirinya yang sedang khusyuk menulis.

“Hah? Cikgu tanya aku? Apa cikgu tanya?” Tanya Eika yang masih dalam keadaan terkejut.

“Cikgu tanya, kau faham tak dengan apa yang cikgu suruh buat tadi,” jawab Lizz.

‘Alamak! Apa yang aku faham? Satu apa pun aku tak dengar apa dia cakap. Hai... apa aku nak jawab ni?!’

“Nur Elliya Shafeika, apa awak buat tu?” Tanya Cikgu Ruzairi lagi kehairanan.

“Ah! Tak ada apa-apalah cikgu. Saya... saya tak buat apa-apa.” Eika mati akal.

“Habis tu, kenapa awak tak jawab soalan saya tadi?” Risik Cikgu Ruzairi. Dia masih tidak berpuas hati.

“Err...err... apa soalannya tadi cikgu? Saya terlupalah....,” ujar Eika menyebabkan rakan-rakan sekelasnya ketawa geli hati.

“Hah?? Terlupa? Apalah yang seronok sangat sampai tak ingat apa yang saya soal? Sudah! Sudah! Lain kali jangan buat lagi. Hai, bertuahnya siapa yang dapat bini macam awak nanti. Makan periuklah jawabnya!”

Satu kelas ketawa terbahak-bahak mendengar lawak Cikgu Ruzairi yang memang tidak pernah tidak jadi itu. Dia merupakan seorang guru yang memang digemari oleh kebanyakan pelajarnya. Dia suka melawak dan pandai pula mengambil hati para pelajar.

“Kenapa pula kena makan periuk cikgu?” Tanya Eida. Spontan Cikgu Ruzairi memandang wajahnya.
“Yalah... terlupa nak masak! Asyik lupa saja kerja dia. Betul tak?”

“Err.... cikgu, isteri cikgu kerja apa?” Tiba-tiba Lizz bertanya.

Tanpa disedari oleh orang lain, ‘Group pengusik’ saling memberi isyarat untuk merancang sesuatu. Eika berasa amat geram kerana telah dimalukan sebentar tadi. Tiba masa untuk dia ‘menyaman’ malu kepada Cikgu Ruzairi.

“Kenapa pula saya kena beritahu awak?” Cikgu Ruzairi curiga.

“Ermm... tak ada apa-apa cikgu. Sengaja kami nak tahu!” Sokong Eika penuh semangat.

“Isteri saya.... dia... kerja suri rumah! Kenapa?”

“Isteri cikgu pernah bagi cikgu makan periuk tak?” Soal Atin sambil tersenyum.

“Hissy... apa awak semua tanya saya yang bukan-bukan ni?”

“Tak ada apa cikgu. Sebab, hari tu isteri cikgu pernah cakap dengan emak saya. Dia terlupa nak masak sebab penat sangat. Jadi, cikgulah orang yang bertuah tu yek?” Suara Sheila pula.

Terbahak-bahak rakan sekelasnya ketawa. Sementara itu, ‘Group pengusik’ tersenyum puas. Jerat sudah mengena.

“Hai, dah... dah! Cikgu mengalah dengan kamu. Kalau dilayan boleh jadi gila cikgu dibuatya,” akhirnya Cikgu Ruzairi mengalah.

“Cikgu kena berhati-hati sikit dengan ‘Group pengusik’ tu. Kalau cikgu nak duduk pun kena tengok-tengok dulu kerusi tu,” nasihat Hakimi selaku ketua kelas tingkatan 5 Cerdik.

Serta merta Eika memandang tajam ke arah Hakimi. Harap-harap mimpinya malam tadi tidak akan menjadi kenyataan. Sungguh dia tidak berkenan dengan perangai milik lelaki nan seorang itu. Menyampah... meluat.... benci... dan segala macam perkataan yang seangkatan dengannya. Perangai buruk yang menjatuhkan maruah perempuan. Itulah anggapan Eika terhadap Hakimi.

Hakimi tersenyum sinis sambil membalas pandangan Eika itu. Lantas Eika mengerutkan kening dan membulatkan bola matanya. Sebagai tanda protes. Sempat dia menjeling sebelum mengalihkan pandangannya. Nampaknya, budak ‘seekor’ ni seperti mahu mengisytiharkan perang dunia dengan aku. Nantilah! Desis hati kecilnya lagi. Tak habis-habis prasangka buruknya muncul.... macamlah si Hakimi tu teruk sesangat.

“Okey... okey... walau apa pun, cikgu nak ucapkan tahniah kepada awak semua kerana telah lulus mata pelajaran Sejarah. Markah tertinggi ialah 94% iaitu Nurul Lizzyani. Markah paling rendah pula ialah 40% iaitu Mohd. Nazri. So, saya ucapkan tahniah kepada Nurul Lizzyani. Nazri, sampai bila kamu nak kekal dengan 40% tu?” Cikgu Ruzairi memandang Mohd. Nazri.

“Alamak... cikgu, janganlah cakap macam tu. Malu saya cikgu,” balas Mohd. Nazri.

Cikgu Ruzairi sekadar tersenyum sambil menggeleng kepala. Tangannya lincah mengemas buku dan kertas-kertas di atas meja guru. Tanpa disuruh, semua pelajar kelas tingkatan 5 Cerdik bangun dan mengucapkan ucapan “terima kasih cikgu”.

Hari ini Cikgu Salmah tidak dapat hadir ke sekolah. Habis riuh-rendah kelas dibuatnya. Tiba-tiba Shah Reza berjalan ke hadapan kelas. Dia membuat gaya seorang badut. Pusing sana pusing sini. Lompat sana lompat sini. Pelajar-pelajar yang menyaksikannya ketawa terbahak-bahak. Gembira dengan reaksi penonton merangkap rakan-rakan sekolahnya itu, dia berlari sambil mengangguk-anggukkan kepalanya pula. Sementara itu, Eika dan Lizz saling berpandangan dan tersenyum. Kemudian mereka ketawa kerana tidak tahan melihat aksi Shah Reza.

“Eh, kenapa dengan Reza tu hah?” Soal Lizz.

“Entah! Macam orang tak betul je aku tengok!” Sahut Eika.

“Dia tu suka sangat menarik perhatian orang. Habis semua gaya badut ditirunya. Tak ada kerja lain apa ke budak tu?” Ujar Lizz seolah-olah berleter.

“Kalau macam tu, kerja jadi badut sarkis je kan senang. Tak payah nak susah-susah belajar kat sekolah ni. Cuba kau bayangkan dia kerja macam tu. Ha… ha.. ha…” Eika ketawa terbahak-bahak.

“Hei, apa yang kau orang ketawakan tu hah?!” Sergah seseorang dari belakang secara tiba-tiba.

Pantas Eika dan Lizz menoleh ke belakang. ‘Alamak! Dia dengar ke tadi?’ Fikir mereka apabila mendapati orang yang menyergah mereka itu ialah Shah Reza.

“Eh, tak ada apa-apalah! Kau tak ada kelas ke? Sejak bila pula kelas ni jadi kau punya?” Eika cuba menukar topik perbualan.

“Macam tak biasa pula! Kelas ni kan dah jadi kelas kedua aku. Kau orang jangan kutuk aku tau!”

“Eh, tak... tak adalah!” Dalih Lizz.

“Okey!” Balas Shah Reza sambil berlalu dari situ.

        Kemudian Eika dan Lizz juga berlalu menuju ke arah kelompok rakan-rakan ‘Group pengusik’. Ada sesuatu yang perlu dibincangkan.

“Eida, kau dah cakap dengan emak kau ke belum?” Tanya Eika kurang sabar.

“Tanya apa pula ni?” Eida sengaja buat-buat tidak faham.

“Eleh… buat-buat tak tau pula budak seorang ni! Fasal kita nak pergi berkelah tulah! Boleh ke tidak?” Tanya Atin pula.

“Oh… fasal tu… fasal tu?? Alah.. sorrylah, emak aku kata, aku kena duduk rumah baca buku, tahun ni nak SPM!” Ujar Eida dalam nada sedih.

“Alah… habis tu macam mana? Kena cancel ke rancangan kita tu?” Tanya Sue ghairah.

“Apasal pula tak boleh? Lagipun kan masa tu kita tengah cuti semester. Bagilah peluang kita nak release tension kejap!” Rungut Eika.

Tanpa diduga Eida terus tersenyum. Rakan-rakannya saling berpandangan. Hairan melihat kelakuan Eida yang tidak kena tempat. ‘Aik… apasal pula dengan budak ni? Pelik aku tengok!’ Mereka tertanya-tanya di dalam hati.

“Sebenarnya….”

“Eh! Kau ni kenapa hah? Kau suka ke kita tak jadi pergi Pulau Pangkor tu?” Lizz memotong percakapan Eida.

“Kau orang ni… tak menyabarlah! Kalau ya pun tunggulah aku habis cakap dulu! Sebenarnya… emak aku bagilah. Tadi tu aku tipu jer ha.. ha.. ha..” Ujar Eida sambil ketawa kuat.

“Kau… kau tipu kita orang ya? Teruklah kau!” Jerit Eika sedikit marah.

“Alah.. takkan itu pun nak marah kot,” Eida berkata sambil tersenyum sinis.

Rakan-rakannya masih bermasam muka. ‘Alamak, dia orang betul-betul marah ke ni? Aku main-main jelah!’ Suara Eida di dalam hati. Risau dia dibuatnya.

“Kau orang marah ke? Janganlah macam ni. Aku minta maaf ya?” Pujuk Eida. Tiba-tiba mereka ketawa serentak. Eida tergamam.

“Ha… tahu pun takut! Lain kali kenakanlah kita orang lagi. Siap kau aku kerjakan!” Tegas Eika.
Mereka ketawa gembira. Tidak sabar mahu ke Pulau Pangkor. Sememangnya mereka merupakan sahabat yang sehati dan sejiwa.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan