PUAN NANI sedang memerhati para pekerja yang sedang elok berbaris di
hadapannya. Beginilah rutin harian yang dilakukan mereka sebelum memulakan
tugas. Seketika, pandangan Puan Nani jatuh ke wajah Laili.
“Laili, hari ni Syafiq
cuti kecemasan. Nanti awak tolong bersihkan tempat dia sekali, ya!” arah Puan
Nani, penyelia bagi kumpulan kerja yang disertai oleh Laili.
Laili yang baru seminggu
bekerja di situ pantas mengangguk laju.
“Baik, puan! Saya akan
bekerja sebaik mungkin,” sahutnya dengan penuh semangat palsu.
Penyapu jerami di tangannya
digenggam sekuat hati. Jiwa Laili mahu memberontak, namun cuba ditahan
perasaannya.
Puan Nani pantas tersenyum sebaik sahaja mendengar
kata-kata Laili.
“Bagus! Saya suka dengan
semangat awak. Pekerja-pekerja lain harus mencontohi semangat yang ada pada
Laili,” puji Puan Nani sambil memandang anak-anak buahnya yang lain.
Oh... tidak! Puan Nani
sudah tersalah sangka. Hati Laili terus menjerit. Genggaman eratnya pada
penyapu jerami itu bukanlah membawa maksud yang positif. Sebaliknya penyapu
jerami itu hanya menjadi mangsanya untuk melepaskan perasaan tidak senang. Laili
tidak suka dengan pekerjaannya sekarang. Langsung tidak suka!
Syafiq pun satu,
waktu-waktu macam inilah mahu bercuti. Entah-entah cuti kecemasan tipu.
Bukannya Laili tidak tahu, sahabatnya yang bernama Syafiq itu memang kerap
bangun lewat. Hendak-hendak pula malam tadi terdapat siaran langsung perlawanan
bola sepak di kaca televisyen. Sibuk berjaga sampai pagilah agaknya.
‘Hai... Syafiq...
Syafiq.... kalau aku jumpa kau nanti, siaplah! Aku cuci kau cukup-cukup,’ bebel
Laili dalam hati.
“Baiklah, jika tiada apa-apa
masalah, kamu semua boleh mula bekerja. Ingat ya, jika bangunan kolej ini
bersih, bersihlah imej kamu. Sebaliknya kalau kotor, kotorlah imej kamu.
Selamat bertugas!” Jelas ucapan Puan Nani itu pada telinga setiap orang yang
mendengar. Lontaran suara Puan Nani memang lantang.
“Baik, Puan Nani!” balas
pasukan kerja pencuci bangunan kolej itu hampir serentak.
“Bagus. Terima kasih!” Setelah
mengakhiri ucapannya, Puan Nani melangkah meninggalkan anak-anak buahnya.
Laili menarik nafas lega
sebaik kelibat Puan Nani hilang daripada pandangan. Sebenarnya dia sudah mula
bosan mendengar ucapan merangkap amanat daripada Puan Nani yang hampir sama sahaja
setiap pagi. Bagaimana agaknya mereka yang sudah bertahun-tahun kerja di situ
mampu bertahan mendengar ucapan Puan Nani itu?
Dilihatnya rakan-rakan
sejawat yang lain sudah mula bergerak mahu ke kawasan kerja masing-masing.
Tanpa menunggu lama, Laili juga terus berlalu mahu melaksanakan tugasnya. Tugas
apa? Tugas apa lagi.... tugas cuci mencuci dan gosok menggosoklah.
Gosok... jangan tak
gosok...
Gosok sampai berkilat...
Gosok sampai kau nampak
wajahmu...
Ah.... Laili benci
tatkala teringat lagu dendangan kumpulan Spider
yang dia tidak ingat tajuknya itu. Sejak dia bergelar tukang cuci, lagu itu
selalu dinyanyikan oleh adik beradiknya yang nakal sewaktu di rumah.
Bukannya Laili tidak
cuba mencari pekerjaan lain yang lebih baik. Tetapi sudah puas dia mencari.
Namun sukar untuk dia mendapatkannya. Zaman sekarang, persaingan untuk
mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan pendidikan terlalu sengit. Pencari
kerja sepertinya perlu berusaha lebih kuat.
Ada sejarahnya yang
tersendiri bagaimana Laili boleh tercampak di situ sebagai tukang cuci.
Semuanya gara-gara Syafiq. Sewaktu mereka sedang berbincang mengenai pekerjaan
sambil menunggu makanan di sebuah restoran, Laili telah memarahi seorang
pencuci wanita yang bertugas di situ.
* *
*
Imbas
kembali…
“Laili, apa rancangan
kau lepas ni? Kau nak minta kerja kat mana?” soal Syafiq dengan penuh rasa ingin
tahu.
“Entahlah Syafiq.....
aku tak tahu nak cari kerja kat mana lagi. Semua syarikat tak nak ambil aku.
Nak kata aku tak ada kelayakan pendidikan.... ada. Ijazah sarjana muda yang ada
dalam genggaman aku ni, tak cukup ke bagi dia orang? Dan lagi satu, nak kata
aku ni tak cantik.... cantik. Apa lagi yang dia orang nak?” Jawapan yang keluar
dari mulut Laili sudah kedengaran seperti satu bebelan.
Dahi Syafiq berkerut
seribu mendengar bahagian hujung kata-kata Laili sebentar tadi.
“Eh, apa kena mengena
cantik atau tak cantik dengan kerja? Kau kata apa tadi, kau cantik? Hahaha...”
Sebaik menghabiskan kata-katanya, Syafiq terus ketawa berdekah-dekah.
“Lainlah kalau kau nak
jadi peragawati ke.... artis ke... pramugari ke... barulah kecantikan itu akan
diambil kira. Aku tak sangkalah pula kalau-kalau kau ada impian untuk menjawat
kerja-kerja yang macam aku cakap tu. Hahaha!” Syafiq menyambung kata-katanya
dalam tawa yang semakin galak.
Berubah terus riak wajah
Laili. Keningnya berkerut dan hampir bercantum. Giginya diketap penuh
kemarahan.
‘Kurang asam punya kawan.
Berani kau memperlekeh kecantikan aku, ya?’ gumam hati Laili dengan perasaan
yang panas membara.
Laili mengangkat tinggi
tangannya, mahu menepuk meja bagi menghentikan ketawa Syafiq yang sudah
kedengaran seperti orang gila terlepas dari Tanjung Rambutan. Buruk sungguh
bunyinya.
Namun belum sempat tapak
tangan Laili menyentuh meja, gelas air tembikai di hadapannya itu terlebih
dahulu menjadi sasaran tangannya.... tanpa sengaja. Lalu berhamburanlah air
berwarna merah di atas meja dan lantai. Bunyi gelas yang jatuh melantun
berdentingan menarik perhatian sekalian yang ada di dalam restoran itu.
Seorang pencuci dengan
peralatan membersihnya tergesa-gesa merapati meja yang diduduki mereka. Laili menekup
mulutnya sendiri mengenang apa yang telah dilakukannya.
Mulut Syafiq terlopong
melihat sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Laili sepanjang dia mengenali
gadis itu. Seketika, mereka berpura-pura tidak mengendahkan pandangan sinis
daripada pengunjung lain di restoran tersebut. Malu!
Laili dan Syafiq hanya
duduk mematung diri sambil memerhati tukang cuci melakukan kerja-kerja
membersih. Setelah selesai melakukan tugasnya, tukang cuci wanita itu mahu melayangkan
kain lap ke atas bahu. Namun entah bagaimana silapnya, kain lap itu boleh pula
terlayang ke muka Laili. Tersilap sasaran, terlebih tenaga sewaktu melayangkan
kain lap tersebut.
Arghh! Wajah Laili merah
padam menahan perasaan malu bercampur marah. Sekali lagi hati Syafiq dijentik
kegelian. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia ketawa sepuas-puasnya. Namun
terpaksa ditahannya apabila melihat sudah ramai pengunjung lain yang ketawa
geli hati. Kasihan pula Syafiq kepada Laili.
“Maaf. Saya tak
sengaja!” ucap tukang cuci wanita yang tidaklah terlalu tua itu. Barangkali
umurnya dalam lingkungan awal 40-an. Tanpa membuang masa, tukang cuci wanita
itu mengambil kain lapnya dari wajah Laili.
“Macam mana kau buat
kerja, ni? Kau ada masalah rabun ke sampai tak dapat bezakan antara penyidai kain
dengan muka aku? Kain lap kau tu kotor, tahu tak? Hisy! Rosakkan solekan akulah
kau ni!” marah Laili sebelum tukang cuci itu sempat menggerakkan kakinya untuk
berlalu dari situ. Laili sibuk menggosok-gosok pipinya sendiri.
Terkedu tukang cuci
wanita itu mendengar kata-kata kurang sopan yang begitu lancang keluar dari
mulut Laili. Maruahnya seperti sedang dicarik-carik dan dipijak-pijak oleh
mulut Laili yang memang ternyata tidak berinsuran itu. Wajah Laili di hadapannya
dipandang tajam. Baginya, manusia tidak bersopan seperti Laili itu perlu diajar
beradab.
Riak wajah Syafiq juga
terus berubah. Tiada lagi rasa ingin ketawa. Sungguh dia tidak menyangka Laili
tergamak berkata sekasar itu. Lebih dia tidak percaya lagi apabila Laili
tergamak menghina peralatan kerja tukang cuci itu. Ternyata rakan
sepermainannya sewaktu kecil dahulu sudah berubah.
Perpisahan selama lima
tahun demi menyambung pelajaran masing-masing telah mengubah sikap Laili.
“Cik... belajarlah
mengenal kehidupan.” Dalam maksud kata-kata yang baru diucap oleh tukang cuci
itu.
Tanpa menunggu balasan
daripada Laili, tukang cuci itu terus berlalu mahu menyambung kerja-kerjanya
yang lain di Restoran Indah Maya.
Sedikit pun tukang cuci
itu tidak melenting. Jauh sekali mahu membalas setiap perkataan yang menghiris
hatinya. Tipulah jika dia mengatakan bahawa hatinya tidak tersentap tatkala
gegendang telinganya menyerap setiap lantunan butir bicara Laili sebentar tadi.
Jauh di sudut hatinya, ada tangisan yang sedang mengalir. Namun tidak akan
sesekali dia menunjukkan kesedihan atau kelemahan dirinya di hadapan orang
lain.
Dia mahu menjadi orang
yang terhormat. Ya.... tukang cuci terhormat. Tukang cuci juga punya maruah dan
kehormatannya yang tersendiri. Pekerjaan sebagai tukang cuci adalah pekerjaan
yang mulia walaupun ramai yang memperlekeh dan memandang negatif terhadapnya.
Hanya mereka yang pernah
menjadi tukang cuci sahaja akan memahami betapa pekerjaan itu tidak harus
dipandang hina. Betapa mereka juga punya hati dan perasaan yang perlu dijaga.
Tidak pernah wujud
peraturan yang menyatakan bahawa tukang cuci boleh dimarah dan dicerca sesuka
hati. Bukan pujian membukit yang mereka harapkan. Namun cukuplah sekadar
sekelumit rasa saling menghormati antara insan yang sama-sama menumpang teduh
di muka Bumi kurniaan Allah ini.
“Apa yang perempuan tu
cakap tadi, Syafiq? Aku tak faham langsung! Aku tanya dia tu ada masalah rabun,
ke? Lain pula yang dijawabnya,” omel Laili seperti manusia tidak berperasaan.
Syafiq tidak membalas
pertanyaan Laili. Dia hanya memandang wajah Laili yang memang tidak dinafikan
kecantikannya. Tadi dia hanya mahu mengusik Laili dengan mempersoalkan
kecantikan gadis itu. Dia memang sengaja berkata begitu. Namun kecantikan yang
terpamer di hadapannya kini seakan pudar sedikit demi sedikit ditelan buruk
laku si pemilik wajah itu. Sayang sahabat, Syafiq harus melakukan sesuatu.
“Muka aku ni ada
terlekat biji tembikai ke? Kenapa kau pandang aku macam nak telan?” tegur Laili
dengan kuat.
"Biji tembikai tu
tak ada la. Tapi, biji mata ada!” balas Syafiq.
Terjegil biji mata Laili
mendengarnya.
Syafiq cuma tersenyum
melihat reaksi Laili yang memang sudah diduganya itu.
“Main-main pula! Orang
tengah panas hati ni, tahu tak?” marah Laili. Sungguh dia tidak puas hati
melihat ketidakseriusan Syafiq.
“Baik! Aku serius. Aku
rasa, kau tak patut marah tukang cuci tu tadi.” Syafiq bersuara penuh
hati-hati.
“Kenapa pula? Muka aku ni
dah kena selimut dengan kain lap kotor dia tu, mestilah aku marah!” luah Laili
dalam nada suara yang makin meninggi.
Hmm..... sudah Syafiq
agak. Laili akan melenting mendengar tegurannya.
“Kan dia tak sengaja.
Bukan dia suka-suka nak sidai kain lap tu kat muka kau. Kau sendiri pun nampak
yang dia sebenarnya nak letak kain tu kat bahu dia. Apa salahnya kau maafkan
saja dia,” nasihat Syafiq.
“No way!” balas Laili.
Syafiq menggeleng. Laili
tidak boleh terus berperangai begini.
“Laili, kau belum dapat
kerja lagi, kan? Apa kata kalau aku tolong kau carikan kerja?” usul Syafiq
secara tiba-tiba. Mengubah topik. Tetapi dia punya tujuan tersendiri dengan
pertanyaannya itu.
Mata Laili bersinar
mendengar tawaran Syafiq. Senyumannya melebar.
“Mestilah nak. Kerja apa
yang kau nak tolong carikan ni?” Laili terus bertanya dengan perasaan teruja.
Syafiq bersyukur melihat
reaksi positif yang ditonjolkan oleh Laili. Dia amat berharap, rancangan yang
sudah tersemat kemas di dalam kotak fikirannya akan mampu direalisasikan dengan
jayanya. Dia tidak suka Laili yang berada di hadapannya kini. Sebaliknya dia mahukan
Laili yang dahulu, seorang wanita yang bersopan santun dan mempunyai nilai
kemanusiaan yang tinggi. Jadi, dia mesti lakukan sesuatu.
“Hmm.... buat masa ni,
aku tak boleh beritahu kerja apa. Sampai masanya nanti, kau akan tahulah. Tapi
ada satu syarat,” ujar Syafiq. Jari telunjuknya mula mengetuk perlahan meja
restoran itu.
Kecil mata Laili melihat
wajah Syafiq. Keningnya berkerut memikirkan syarat yang mahu dikenakan
kepadanya.
“Apa syaratnya?” Tidak mahu
berteka teki, laju Laili bertanya.
“Syaratnya... kau tak
boleh tolak kerja tu nanti. Setuju?” Itulah syarat Syafiq.
Terherot mulut Laili
mendengar syarat itu. Hmm..... macam mana, ya? Saat ini otak Laili sibuk
berfikir. Mahu ditolak, menolak tuah namanya. Mahu diterima, dia tidak tahu
apakah kerjanya.
Susah Laili mahu membuat
keputusan. Kali ini jari jemari Laili pula yang mula mengetuk meja. Lagak orang
sedang memikirkan masalah Negara.
“Macam mana aku nak
setuju kalau aku sendiri tak tahu apa kerjanya?” Laili meluahkan rasa
ketidakpuasan hatinya.
“Terpulanglah kepada
kau. Aku tak paksa,” balas Syafiq tanpa ada tanda-tanda mahu mendedahkan butir
pekerjaan yang mahu ditawarkannya.
Riak kecewa mula
terpamer di wajah Laili. Nampaknya memang tiada harapan untuk dia mencungkil
maklumat.
“Bukan kerja sebagai
tukang cuci macam perempuan tadi, kan? Kalau kau tawarkan gaji sejuta pun belum
tentu aku nak terima. Tak sesuai tau. Apa kelas jadi tukang cuci?” Laili masih
tidak berputus asa untuk mendapatkan maklumat. Sempat dia menghina pekerjaan
itu.
Hai... Laili...
Laili.... sudah ada orang mahu membantu mendapatkan pekerjaan pun masih lagi
banyak ‘bunyi’. Tapi, benar juga apa yang dikata oleh Laili itu. Mana boleh dia
bersetuju secara hentam keromo sahaja. Dibuatnya pekerjaan sebagai pelayan
kelab malam, macam mana? Bukan ke menganiaya diri namanya nanti.
“Terpulanglah kepada kau
nak fikir apakah jenis pekerjaan yang aku maksudkan. Sekarang ni yang aku nak
tau, kau setuju atau pun tak? Itu saja.” Kata-kata Syafiq terus mematikan
harapan Laili untuk terus melakukan desakan.
Mulut Laili terkunci.
“Kau janganlah risau
sangat. Aku takkan jual kau punya. Niat aku baik.” Bersungguh-sungguh Syafiq
cuba meyakinkan Laili.
“Oh ya, lupa aku nak
tanya. Dulu kau ambil ijazah apa?” soal Syafiq kemudian.
“Ijazah Sarjana Muda
Perakaunan.” Pantas Laili menjawab.
“Bagus!” suara Syafiq.
Tiba-tiba senyuman
terukir di bibir Laili. Pasti Syafiq akan mendapatkan pekerjaan yang sesuai
dengan ijazah yang disandangnya. Jawatan Pegawai Akaun.... mungkin? Hatinya
mula berbunga riang. Imej wanita berbaju kot sambil memegang fail berwarna
hitam sedang bermain-main di ruang fikirannya.
“Erm..... baik! Aku
setuju! Aku akan terima apa saja kerja yang kau carikan. Aku tak kisah. Terima
kasih!” Akhirnya Laili membuat keputusan.
Mulut Laili sahaja yang
mengatakan dia tidak kisah. Namun hakikatnya, di dalam kotak fikirannya itu
hanya ada satu jawatan sahaja, iaitu Pegawai Akaun. Entah bagaimana dia boleh
terlalu yakin yang Syafiq akan mendapatkan jawatan itu untuknya. Tunggu dan
lihat sahajalah.
Seminggu kemudian Syafiq
mengajaknya kembali ke Restoran Indah Maya.
“Laili, aku nak ucapkan
tahniah kat kau. Sebab hari ni, kau dah boleh mula kerja.” Tanpa bertangguh
Syafiq terus memberitahu berita yang dibawanya.
Mulut Laili ternganga
luas. Terkejut. Apakah kata-kata Syafiq itu menandakan bahawa dia sudah
mendapat pekerjaan? Ya.... dia bukan penganggur lagi. Yahooo! Tapi.....
“Eh, tak payah temuduga
dulu ke?” Laili bertanya sangsi.
“Tak payah. Kau
anggaplah aku yang temuduga kau masa kita berbual hari tu,” jawab Syafiq dengan
nada selamba.
“Hahaha...... kiranya
kau bos akulah ni?” soal Laili dengan tujuan mengusik Syafiq.
“Ya, aku bos kau. Kau
pekerja aku,” ujar Syafiq. Tenang sahaja gayanya.
Amat sukar untuk
dipastikan sama ada Syafiq itu sedang bergurau atau sememangnya serius dalam
setiap patah perkataan yang diucapkannya.
“Sudahlah tu, Syafiq.
Mulut aku ni dah tak larat nak ketawa banyak-banyak. Penatlah. Buat lawak saja
la kau ni. Kau bos aku? Oh! No
way! Kalau aku kawan kau, itu barulah betul,” kata Laili
bersungguh-sungguh.
Syafiq hanya tersengih.
“Eh Syafiq, hari ni kau
tak kerja ke? Boleh ajak-ajak aku keluar pula. Entah-entah kau pun tak kerja
macam aku tak? Kau nak main-mainkan aku ya pasal aku dapat kerja yang kau cakap
tu?” Sambil menyuap nasi goreng pattaya, mulut Laili sibuk bertanya itu dan ini
tanpa sempat Syafiq menjawabnya terlebih dahulu satu demi satu.
Syafiq menghirup air
milo ais yang sememangnya menjadi minuman paling digemarinya.
“Aku kerjalah. Sedapnya
mulut kau mengata aku main-mainkan kau, ya? Muka aku ni tak cukup ikhlas ke nak
yakinkan kau?” bidas Syafiq.
Laili mencebik. Tidak
percaya.
“Okey! Jom kita pergi kerja!” ajak Syafiq.
Berkerut kening Laili
mendengar ajakan Syafiq. Jom kita pergi kerja? Maknanya, pergi kerja sekarang,
ke? Perkataan ‘kita’ tu maksudnya, Laili
dengan Syafiq pergi kerja sama-sama? Riak wajah Laili kelihatan blur.
“Tunggu apa lagi? Nak
kerja ke tak nak ni?” Teguran Syafiq itu membuatkan Laili terperanjat.
“Kejap.... kejap....
maksudnya, aku kerja sama-sama dengan kau? Dekat mana?” Tidak jemu-jemu Laili
melontarkan soalan demi soalan. Tetapi sayang, tidak ada satu pun jawapan yang
diperolehi.
“Ya, memang kita kerja
sama-sama. Tapi kau jangan risaulah, aku takkan jadi bos kau punya. Kita cuma
rakan sejawat. Aku peliklah, kenapa kau tak suka kalau aku jadi bos kau? Best apa,
nanti kau mesti jadi anak buah aku yang paling aku sayang,” ujar Syafiq dengan
sengihan yang makin meleret.
“Yak! Untuk pengetahuan kau, aku tak rela jadi anak buah kau.
Malulah! Kau kan kawan aku, mana boleh jadi bos aku. Tapi, kat mana tempat
kerja tu? Hisy... kau ni, takkanlah masih nak rahsia, kut!” Laili bertanya
soalan yang satu itu sekali lagi.
Laili terlalu ingin tahu
dengan lebih lanjut perihal pekerjaan yang baru diperolehinya tanpa temuduga
itu.
Syafiq tersenyum
panjang. Hai... syafiq ini asyik tersenyum dan tersengih sahaja. Apa agaknya
yang ada dalam fikiran dia?
“Malu kenapa? Kalau
kawan tak boleh jadi bos, ke?” Sengaja Syafiq bertanya.
Sambil itu, Syafiq
menghabiskan sisa air milo ais di dalam gelasnya. Syafiq perlu lekas-lekas
membawa Laili ke tempat kerjanya. Tetapi banyak pula soalan Laili yang
menangguh-nangguhkan masanya. Syafiq pun silap juga, yang dia pergi melayan
kerenah Laili itu siapa suruh? Bukankah itu namanya cari penyakit?
Laili memejamkan matanya
rapat-rapat. Argh.... sakit hati Laili mendengar soalan Syafiq. Geramnya....
sungguh-sungguh dia geram. Sejak bila si Syafiq ini tidak faham Bahasa Melayu?
Lain yang Laili tanya, lain pula yang Syafiq jawab. Malah dirinya pula yang
disoal kembali. Tekanan perasaan betullah kalau macam ini.
“Heee...... kau memang
sengaja main tarik tali dengan aku, kan? Arghh! Malaslah layan kau. Aku nak
balik. Aku tak nak kerja!” Laili membentak keras.
“Eh.... nanti....
nanti..... ok... ok... aku akan terangkan... aku akan terangkan!”
Cepat-cepat Syafiq
menahan gerakan Laili yang sudah mencapai beg tangannya yang cantik seperti beg
tangan datin-datin. Alah... nampak sahaja mahal. Tapi beli kat pasar malam
sahaja.
Mendengar kata-kata
Syafiq, Laili membetulkan kembali duduknya di atas kerusi. Tangannya pula
mengemas-ngemas baju blaus berwarna ungu dan seluar panjang hitam yang
dipadankan bersamanya.
Setelah itu Laili
meleretkan senyuman seraya meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas riba.
Dia mengangguk perlahan sebagai arahan agar Syafiq meneruskan penerangan
seperti yang sudah dijanjikannya sebentar tadi.
Gulp! Apa aku nak terangkan, ni? Telan liur Syafiq melihat Laili yang
sudah bersedia mahu mendengar penerangannya. Mengenangkan Laili yang semakin
panas baran, nampaknya dia wajib memberi penerangan.
“Cepatlah terangkan!”
Laila mendesak. Bertambah sakit hati pula dia apabila melihat Syafiq yang hanya
terkebil-kebil seperti tertelan cicak.
“Okey... okey... relaks!
Tempat kerja tu kat Kolej Kristal. Itu saja maklumat yang aku boleh bagi. Jomlah
kita pergi. Dah lambat ni!” jawab Syafiq, mengajak Laili sekali lagi.
Biji mata Laili
membulat.
“Kolej? Kerja sebagai
pensyarah, ke?” Laili masih tidak penat untuk meneka.
Syafiq ketawa spontan
mendengar tekaan Laili yang seratus peratus salah itu.
‘Kau akan tahu juga
nanti Laili. Masa tu kau tak boleh tolak lagi kerja tu. Sebabnya, kau dah janji
akan terima apa sahaja pekerjaan yang aku tawarkan,’ kata hati Syafiq.
“Sudah... sudah... tak
payahlah kau nak teka-teka lagi. Buat penat otak kau saja. Kalau kau nak kerja,
cepat ikut aku.” Seusai ayat itu, Syafiq terus bangun.
Melihat Syafiq yang
sudah semakin jauh berjalan, Laili cepat-cepat bangun dan mengejar lelaki itu.
Syafiq yang perasan akan pergerakan Laili itu sempat tersenyum panjang. Yes!!!
* *
*
“OH! Ini ke pekerja baharu tu, Syafiq?” soal Puan Nani dengan mimik
muka tidak senangnya. Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki, Puan Nani memerhatikan
Laili.
“Ya, Puan. Inilah dia
orangnya,” jawab Syafiq.
Kelihatan Puan Nani mengangguk.
Beberapa orang pekerja
lain yang berada berhampiran mesin perakam waktu pejabat itu kelihatan
menjeling-jeling melihat kehadiran Laili yang baru tiba bersama Syafiq.
Terdapat dua orang
pekerja lain sedang berjalan. Mata masing-masing terlekat kepada wajah Laili
yang tidak pernah mereka kenali itu. Siapakah dua orang pekerja itu? Merekalah
Bunga dan Cempaka. Wow! Klasiknya nama mereka. Cantik namanya semanis orangnya.
Tetapi perangainya bagaimana pula? Lihat sahajalah nanti, ya!
“Siapa tu?” Terdengar
soalan Bunga dalam nada bisikan.
“Entah! Aku
dengar-dengar, ada pekerja baharu nak masuk hari ni. Perempuan tulah agaknya.
Tapi pagi tadi tak ada pula,” jawab Cempaka dengan bibir yang tercebik seperti
orang tidak puas hati.
“Eh, waktu rehat dah nak
tamat ni. Habis kita nanti kalau Puan Nani nampak kita masih berlegar-legar kat
sini,” ucap Bunga secara tiba-tiba. Gaya percakapannya ala-ala pekerja
cemerlang gitu.
Pantas wajah Bunga
ditatap seketika sebelum Cempaka bersuara. “Tak payah nak berlagak baiklah, weh!”
Cempaka pura-pura tidak
mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Suara Puan Nani yang tiba-tiba
menerjah gegendang telinga Cempaka dan Bunga mengalihkan perhatian. Mereka mula
memasang telinga.
“Awak ni..... nak pergi
kerja kat sini ke atau nak pergi temuduga sebagai pegawai bank?” tanya Puan
Nani. Garang betul. Sekali lagi dia memandang tubuh Laili dari atas ke bawah.
Laili berasa serba salah
apabila diperhatikan begitu rupa. Dahinya berkerut seribu. Apa yang tidak kena
dengan penampilan aku? Fikir Laili.
“Nak... nak ker... kerja
kat sini, puan,” tergagap-gagap Laili menjawab.
“Baik. Esok jangan pakai
macam ni lagi. Tak sesuai. Cempaka! Mari sini!” arah Puan Nani seraya memanggil
Cempaka yang dilihatnya masih tercegat berhampiran mesin perakam waktu.
Riak terkejut jelas
kelihatan pada wajah Cempaka dan Bunga. Secepat mungkin mereka mula menghampiri
Puan Nani.
“Ya, puan?” sapa Cempaka
sesopan yang mungkin.
“Ini ada pekerja baharu.
Err... siapa nama, awak?” soal Puan Nani kepada Laili.
“Laili... Laili Arifah
binti Ahmad Nazim.” Laili memberitahu nama penuhnya. Puan Nani mengangguk dan
pandangannya kembali terarah kepada Cempaka.
“Laili akan masuk team Cempaka.
Nanti awak tunjuk ajar dia apa yang patut,” arah Puan Nani.
Spontan Cempaka dan
Bunga memandang wajah Laili. Dahi kedua-dua sahabat baik itu berkerut. Entah apa
yang sedang difikirkan mereka. Laili cuba senyum. Namun cepat-cepat senyumannya
itu mati apabila tiada balasan. Renungan tajam daripada Bunga dan Cempaka
menyeramkan dirinya. Sungguh!
“Laili, Cempaka merupakan
team leader awak. Dan Bunga adalah pembantunya. Setiap team mempunyai
lebih kurang lima hingga sepuluh orang. Nanti awak berkenal-kenalanlah dengan
mereka. Awak ada apa-apa soalan?” tanya Puan Nani di hujung penerangannya.
“Err.... apa kerja yang
saya perlu buat?” Terpacul soalan tersebut dari mulut comel Laili.
Bulat mata Puan Nani,
Bunga dan Cempaka mendengar soalan Laili. Masakan Laili tidak tahu? Fikiran
mereka diserbu persoalan yang kurang logik.
Seketika, baru mereka
teringat akan kehadiran Syafiq. Lelaki itu pasti ada jawapan kepada persoalan
yang sedang menghantui mereka. Namun didapati Syafiq sudah tiada. Entah bila
masa pula dia menghilang.
“Cleaner!” Puan
Nani, Bunga dan Cempaka menjawab serentak.
Serta merta mulut Laili
terlopong. Matanya membulat, lebih bulat daripada mata ketiga-tiga manusia yang
terkejut dengan soalannya sebentar tadi. Dia rasa seperti sedang berada di alam
mimpi. Terngiang-ngiang jawapan mereka di cuping telinganya.
‘Tidak! Aku tak percaya!
Syafiq!!’ Hati Laili menjerit berang. ‘Apa yang kau dah buat kepada aku ni,
Syafiq?’ Laili hanya mampu memberontak di dalam hati, kerana hakikatnya dia
hanya senyap dan berdiri tegak seperti patung.
“Awak tak tahu, ke?” Pantas
Bunga dan Cempaka bertanya. Hampir serentak bunyinya.
Biji mata Laili
terkebil-kebil sambil memandang wajah Bunga dan Cempaka.
“Err... tahu.. tahu,
cuma... kerja cleaner tu, macam mana?” Laili mengutarakan
soalan bodoh.
Sekali lagi tiga orang
manusia di hadapan Laili itu tercengang.
Bukannya Laili tidak
tahu bagaimana pekerjaan tersebut. Cuma soalan itu terbit kerana dia masih
tidak dapat menerima hakikat akan jawatan tukang cuci yang sedang disandangnya.
Sebenarnya Laili hanya
tidak mahu kelihatan kalah di hadapan mereka. Mereka tidak boleh tahu perkara
yang sebenar, sebab itulah Laili bertanyakan soalan bodoh secara tidak sengaja.
‘Aku harapkan kerja pegawai,
rupa-rupanya kerja cleaner yang aku dapat! Memang cari
nahaslah kau, Syafiq. Aku cincang-cincang kau lepas ni! Tanya aku mempunyai
ijazah apa konon. Takkanlah pekerjaan cleaner seperti ini
memerlukan ijazah dalam bidang akaun?’ Laili terkenang soalan Syafiq yang
ternyata langsung tidak relevan.
“Eh, kau biar betul tak
tahu kerja cleaner tu macam mana? Kau
ni orang bumi ke orang bulan?” Spontan Bunga bertanya.
Cempaka menyenggol siku
Bunga. Dia memberi amaran dengan ekor matanya supaya Bunga tidak terus bertanya
soalan yang bukan-bukan. Tetapi Bunga kelihatan selamba sahaja. Malah Bunga sendiri
tidak menyedari Puan Nani merenung tajam ke arah wajahnya sebaik mendengar
soalan kurang sopan yang baru dilontarkannya.
“Sudah... sudah, Laili
nanti awak ikut Cempaka,” lerai Puan Nani. Setelah itu Puan Nani terus berlalu
menuju ke arah mejanya di dalam pejabat itu.
“Jom!” ajak Cempaka
tanpa membazir masa lagi.
Bunga mengekori langkah
Cempaka dan Laili. Mata Bunga masih tidak lepas daripada memandang pelik ke
arah Laili. ‘Aneh sungguh perempuan ni,’ fikir Bunga. ‘Makhluk asing ke dia?
Aku rasa, budak kecil pun tahu kerja cleaner tu macam mana.’
Tidak habis-habis lagi Bunga bermain kata-kata di dalam hati.
“Eh, kat mana ni?” soal
Laili sebaik mereka tiba di dalam sebuah bilik yang yang dipenuhi perkakas
seperti sabun, penyapu, penyedut hampagas, mop dan bermacam-macam lagilah.
“Ini namanya stor.
Bunga, aku rasa aku tengah mengajar budak umur dua tahunlah.” Cempaka bersuara
kepada Bunga yang sejak tadi hanya berdiri di sebelahnya.
Mengekek Bunga ketawa
mendengar kata-kata Cempaka. Laili menjeling tajam ke arah mereka dengan kening
yang dikerutkan.
“Kau tau tak benda alah
ni, apa namanya?” soal Cempaka sambil memegang sarung tangan berwarna kuning
terang.
Kuat Laili menggigit
bibir. Namun matanya tetap melihat sarung tangan yang dikibar-kibarkan di
hadapan matanya.
“Taulah!!” Tidak ikhlas
Laili menjawabnya.
“Ingatkan tak tahu,”
balas Cempaka. Sekali lagi bilik stor itu bergema dengan suara tawa Bunga dan
Cempaka.
“Ni, tau tak?” Kali ini
Bunga pula yang bertanya.
Laili diam. Hati Laili
semakin panas membara. Bulat matanya memandang penyapu jerami yang dipegang
oleh Bunga. Laili menarik nafas dalam-dalam. Sabarlah wahai hati!
“Tak apa-tak apa, aku
tau kau tau. Pandai... pandai...” ucap Bunga sambil menahan tawanya daripada
meledak sekali lagi.
Cempaka pula sudah
menutup mulutnya, juga sedang menahan ketawa.
“Sekarang, kau ambil
sarung tangan, penyapu, sabun, berus tandas, kain lap, plastik sampah dan
masukkan semua tu ke dalam troli kuning. Lepas tu kau pergi tandas aras satu,
bersihkan tandas tu. Oh ya, jangan lupa ambil papan tanda yang ada tulis ‘Awas!
Pembersihan sedang dijalankan’ ni. Letak dekat pintu masuk tandas. Jangan bagi
orang masuk. Nanti tak pasal-pasal, kau kena kacau dengan lelaki miang pula,”
panjang lebar Cempaka memberi penerangan sambil mengunjukkan papan tanda yang
dimaksudkan kepada Laili.
‘Lelaki miang? Ada
lelaki miang ke kat sini? Basuh tandas? Oh, no!!’
Dalam terpaksa, Laili menyambut juga papan tanda dihulurkan oleh Cempaka.
“Sebelum aku lupa, aku
sebagai leader nak nasihatkan kau sikit. Esok pakai T-shirt saja. Tak payah nak pakai blaus
dan beg mak datin kau ni. Kau ingat kau kerja pensyarah ke kat Kolej Kristal,
ni?” sambung Cempaka.
Seperti biasa Bunga
sudah ketawa terkekeh-kekeh mendengar kata-kata Cempaka. Bunga membuka almari
yang terdapat di dalam stor tersebut. Dia mengeluarkan sehelai baju berwarna
hijau.
“Nah! Ini baju seragam
kita sebagai tukang cuci kat kolej ni. Ambil dan pakai. Baju blaus cantik kau
tu tak laku kat sini, tau,” ujar Bunga sambil menghulurkan baju seragam
ditangannya.
Bunga memang tidak
sayangkan mulut. Ucapannya selalu sahaja menyakitkan hati. Lebih kurang sahaja
sikapnya dengan Cempaka. Namun mulut Bunga lebih teruk daripada Cempaka.
‘Arghh! Geramnya!!’
jerit Laili dalam hati.
Hmmm..... begitulah
al-kisahnya yang membawa Laili ke tempat kerjanya sekarang.
* * *
“WOI... gila, ke?” Tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki memarahi
Laili.
Ah.... rupa-rupanya Laili
sedang berkhayal. Bayangan wajah Bunga dan Cempaka terus menghilang ditelan
suara lantang yang menengkingnya sebentar tadi. Terkebil-kebil dia memandang
wajah lelaki itu.
“Awak kata saya gila?”
soal Laili kembali kepada lelaki di hadapannya. Ada perasaan marah dalam
hatinya.
“Lain kali, kalau nak
kerja tu buatlah cara nak kerja. Cuba tengok, apa yang awak dah buat kat kasut
saya, ni?” marah lelaki itu.
Sepantas kilat pandangan
Laili terhala ke bawah. Memandang kasut lelaki itu yang sudah penuh dengan
sampah sarap dan debu halus. Serta merta Laili menjadi panik.
Kasut hitam berkilat itu
sudah bertukar menjadi warna kelabu kerana debu simen. Serpihan plastik
gula-gula juga elok tertenggek di atas kasut tersebut. Percikan air sirap
daripada sampah plastik minuman turut menjadi ‘perhiasan’ di sekitar lelaki itu.
Laili tidak sedar, bila
masa pula dia menyapu sampah sarap ke arah kasut lelaki itu? Inilah bahananya jika
suka berkhayal pada waktu kerja.
Laili cuba membersihkan kotoran
itu menggunakan penyapu jeraminya.
“Hei... awak ingat kasut
saya ni sampah, ke? Boleh pulak awak nak sapu-sapu kasut yang tengah saya pakai
ni dengan penyapu? Awak ni tak ada otak, ke?” Sekali lagi Laili disergah oleh
lelaki itu.
Laili terkebil-kebil. Ketika
ini otaknya langsung tidak dapat berfungsi dengan baik. Tiba-tiba terbit suatu
perasaan asing. Dia terasa seperti mahu menangis.
Hati Laili diterjah
perasaan sayu... sedih...
‘Tergamaknya lelaki itu
menengking aku sesuka hati. Bersepai rasanya maruah aku... sampainya hati dia,’
rintihnya dalam hati.
Laili berdiri tegak
tidak bergerak. Hanya deruan nafasnya sahaja yang kelihatan melalui turun naik
dadanya.
Entah bagaimana
tiba-tiba dia teringat akan tukang cuci wanita yang pernah dihinanya dahulu.
Mungkin inilah perasaan yang wanita itu alami. Sedih......
“Err... maafkan saya,
encik. Boleh tak encik boleh tinggalkan kasut kat sini? Nanti saya basuhkan
kasut encik.” Dalam kekalutan situasi itu, Laili cuba menyelesaikan masalah.
Kening lelaki itu
berkerut sebaik mendengar usul Laili yang baginya langsung tidak masuk akal.
“Awak nak saya tinggalkan
kasut dekat sini? Dan lepas tu awak nak suruh saya berjalan kaki ayam? Macam tu,
ke?” balas lelaki itu kembali.
Ya, tak ya juga. Masakan
lelaki itu akan berjalan kaki ayam. Laili menggaru-garu kepala. Fikirannya
benar-benar buntu. Macam mana, ni?
“Bagi saya pinjam
selipar awak,” kata lelaki itu tiba-tiba. Matanya melirik selipar jepun yang
elok terletak di dalam troli kuning milik Laili.
“Hah!” Laili terjerit
kecil. Mulutnya ternganga.
“Awak nak saya ulang
seratus kali, ke?” ucap lelaki itu.
Bukan Laili tidak mahu
memberikannya, tetapi Laili cuma tidak sampai hati mahu memberikan selipar
jepunnya kepada lelaki itu. Masakan tidak, selipar itu baru sahaja digunakan
untuk membersihkan tandas. Pastinya sisa air sabun masih melekat pada selipar
tersebut.
“Err.... tapi... encik
tak kisah, ke? Encik dah pakai baju elok-elok, tapi pakai selipar?” soal Laili
dalam ragu-ragu.
“Habis tu? Awak ada
cadangan lain?” soal lelaki itu kembali.
“Hmm....” Laili
menggeleng laju.
“So?” Lelaki itu
merenung mata Laili.
Laili terpana menatap
renungan tersebut. Sebelum terjadi adegan renung merenung, lebih baik Laili
mengalah. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya.
“Baik.. baik.. saya
ambil selipar sekarang.” Laili bersuara lantas mengambil seliparnya di dalam
troli kuning.
“Jangan lupa basuh
bersih-bersih. Ini kad saya, nanti hantarkan kasut saya ikut alamat dalam kad
ni.” Setelah menyarungkan selipar jepun dan memberikan kad namanya, lelaki itu
terus berlalu meninggalkan Laili.
Muhammad Akasyah Danish
Pensyarah
Jabatan Statistik
Kolej Kristal
Laili membaca kad yang
baru diterimanya. Macam tu gaya pensyarah? Pensyarah tak berbudi bahasa. Amboi
Laili, mengutuk nampak!
* *
*
SUDAH puas Laili bergolek-golek di atas katil. Bosan. Hari ini hari
cuti. Berkali-kali dia cuba menghubungi Syafiq. Namun panggilannya tidak
berjawab. Kenapa dengan Syafiq?
Sejak Laili bekerja sebagai
tukang cuci, Laili sudah jarang bertemu Syafiq. Memang Syafiq bekerja juga
sebagai tukang cuci di Kolej Kristal, tetapi Syafiq selalu sahaja cuti. Namun
yang peliknya, tiada pula Puan Nani marah.
Sejujurnya Laili belum
puas membebel kepada Syafiq kerana memberikannya pekerjaan sebagai tukang cuci.
Akibat sudah terlanjur berjanji, Laili terpaksa meneruskan pekerjaan itu. Itu
pun setelah Syafiq memberitahu bahawa Laili hanya perlu bekerja sebagai tukang
cuci selama tiga bulan. Selepas itu, Laili boleh meletakkan jawatan.
Telefon bimbit Laili
berbunyi menandakan ada mesej masuk. Syafiq hantar mesej? Cepat-cepat Laili
membukanya.
Aku
bercuti tanpa gaji selama dua bulan lebih. Jangan lupa janji kita. Aku akan bom
rumah kau kalau kau berhenti kerja – Syafiq
Kenapa
nak cuti? Kau nak pergi mana? – Laili
Jangan
tanya. Habis cuti nanti aku mesti beritahu – Syafiq
Ala....
beritahu la sekarang! – Laili
Syafiq tidak membalas mesej
Laili yang terakhir itu. ‘Huh!!’ Laili mengeluh kasar. Selepas dua bulan lebih
maka genaplah tempoh tiga bulan. Ini bermakna Laili dan Syafiq hanya akan
bertemu selepas Laili berhenti kerja. Laili tidak peduli, dia mesti berhenti
kerja selepas tempoh yang diberikan tamat.
* *
*
“OPSS! Sorryy.... tak sengaja!” ucap Bunga selepas dia
terlanggar bahu Laili.
Beg kertas yang tadinya
kemas dalam pegangan tangan Laili sudah terhempas di atas lantai. Isi beg
kertas yang sudah terkeluar itu menarik perhatian Bunga. Pantas Bunga
mencapainya untuk melihat lebih dekat.
“Kasut siapa, ni?” Soalan
itu meluncur keluar dari mulut Bunga.
Laili terkejut. Apakah
yang harus dijawabnya?
“Err.....” Laili tidak
mampu meneruskan kata-katanya. Sungguh dia tidak tahu alasan apakah yang patut
diberikan.
“Ini kasut lelaki. Awak
jangan buat onar kat sini.” Bunga memberi amaran.
Tersentak Laili
mendengar kata-kata berbaur tuduhan daripada Bunga. Cepat-cepat dia menggeleng.
“Eh... tak! Saya tak
buat apa-apa!” sangkal Laili.
“Betul ke? Habis tu,
kasut siapa ni?” sekali lagi Bunga bertanya.
“Errr.... kasut ayah
saya!” Meluncur alasan itu dari mulut Laili.
Kecil mata Bunga
mendengar alasan Laili itu.
“Hah? Buat apa bawa
kasut ayah awak pergi kerja?” Sudah seperti anggota polis pula Bunga melemparkan
soalan demi soalan.
Laili semakin mati kutu.
Tiba-tiba muncul satu akal dalam fikirannya.
“Ayah saya suruh
betulkan tapak kasut tu nanti bila dah habis kerja.” Laili menokok tambah
cerita.
Bunga membelek-belek
kasut hitam ditangannya. Kiri kanan depan belakang.
“Elok saja saya tengok
kasut ni. Macam tak ada apa-apa yang rosak pun!” duga Bunga kemudiannya.
“Dah tampal tapak tu kat
rumah tadi... tapi takut tak kuat, tu yang kena bawa pergi jumpa ‘doktor’ kasut
juga.” Semakin jauh Laili memutar belit ceritanya.
“Ya, ke?” Kelihatannya
Bunga masih tidak mahu percaya.
“Sudahlah. Yang awak
sibuk dengan kasut ayah saya tu, kenapa? Tak ada kena mengena dengan awaklah,”
kata Laili sambil merampas kembali kasut tersebut. Sepantas mungkin dia
meninggalkan Bunga.
“Tak ada kena mengena
dengan awaklah. Eleh.... gedik.”
Bunga mengajuk percakapan Laili sambil menjuihkan bibirnya.
* *
*
LAILI berhenti dari satu pintu ke satu pintu pejabat yang ada di Kolej
Kristal. Akhirnya dia menemui nama Muhammad Akasyah Danish pada salah satu
pintu. Perlahan-lahan diketuknya pintu tersebut. Tidak berapa lama kemudian
terdengarlah suara dari dalam yang memintanya masuk. Tanpa membuang masa Laili memulas
tombol pintu dan meloloskan diri ke dalam pejabat.
“Assalamualaikum, Encik Akasyah
Danish.” Laili mengucap salam.
Danish mendongakkan
wajah seraya menjawab, “Waalaikumussalam.”
“Maaf, saya terpaksa
mengganggu encik,” ucap Laili apabila melihat Danish yang seperti sedang asyik
bekerja. Mejanya penuh dengan kertas dan buku.
“Oh.. tak apa. Awak datang
ni, sebab nak hantar kasut saya, ke?” soal Danish sambil melirik ke arah beg
kertas yang dipegang Laili.
“Ya, Encik Akasyah
Danish. Saya minta maaf sekali lagi. Saya dah basuh bersih-bersih, tau. Dijamin
bersih berkilat dan boleh dibuat cermin muka.” Bersemangat Laili menuturkan
kata-katanya. Berani pula dia berseloroh.
Danish tergelak kecil,
menyerlahkan lesung pipit di pipi kanannya. Dia tidak menyangka Laili akan
mengeluarkan kata-kata seperti itu.
Laili pula terkejut
melihat reaksi Danish. Encik Akasyah Danish tergelak? Betul ke? Maksudnya, dia sudah
tidak marahkan Laili. Lama Laili memandang wajah Danish sehingga Danish menjadi
serba salah.
“Awak.... awak tak
apa-apa?” Teguran Danish mengejutkan Laili.
“Err.. tak.. saya tak
apa-apa. Encik Akasyah Danish, saya minta maaf atas kejadian semalam,” ujar
Laili kemudian.
Kelihatan Danish
menggeleng. Wajah Laili bertukar muram. Mungkinkah gelengan itu menandakan
bahawa Danish tidak mahu memaafkannya?
“Awak ni.... saya dah
lama maafkan awak. Perkara kecil sahaja tu. Saya pun minta maaf juga. Saya tak patut
marah-marah awak macam tu.” Kali ini Danish pula yang meminta maaf.
“Tak apa. Memang salah
saya pun,” balas Laili sambil menundukkan wajah.
Laili tidak pernah
berharap Danish akan meminta maaf dengannya. Sebaliknya dia yang harus
berterima kasih kepada lelaki itu. Kemarahan dan teguran Danish itulah yang
telah menyuntik kesedaran di dalam dirinya.
Laili menjadi sedar
bahawa seorang tukang cuci juga punya hati dan perasaan. Berpakaian seragam
hijau itu, Laili sentiasa berasa rendah diri apabila berjalan di mana-mana.
Untuk berbual-bual seperti sekarang ini bersama Danish juga dia berasa tidak
layak. Rasanya dia hanya layak untuk mencuci sahaja.
“Saya letak kasut ni kat
sini ya,” kata Laili lantas meletakkan kasut Danish di atas kerusi.
Kemudian Laili
mengeluarkan plastik hitam dari dalam poket baju seragam yang dipakainya. Lalu
dia memasukkan sampah yang terdapat di dalam bakul sampah di sebelah meja
Danish ke dalam plastik tersebut. Semua kelakuan Laili itu diperhatikan oleh
Danish.
“Terima kasih!” ucap
Danish tiba-tiba.
Laili mengerutkan
kening. “Terima kasih untuk apa?” Laili bertanya.
Kelihatan Danish
tersenyum. “Terima kasih untuk semuanya,” jawab Danish.
Bertambah berkerut
kening Laili. Tidak faham dengan ayat Danish itu.
“Terima kasih sebab
menjadi seorang yang bertanggungjawab dan..... terima kasih sebab ambil sampah
kat bakul sampah saya,” tambah Danish sambil tangannya ditunjukkan ke arah
bakul sampah.
Spontan Laili tersenyum.
“Sama-sama. Itu dah memang kerja saya,” balas Laili.
Perasaan gembira
menyelinap ke segenap pembuluh darah Laili. Dia seronok apabila Danish
mengucapkan terima kasih kepadanya. Terasa dirinya sungguh dihargai. Terasa hilang
segala penat lelahnya bekerja. Dia puas dengan apa yang dikerjakannya.
Hanya dengan ucapan
terima kasih, Laili memperoleh nikmat yang tidak pernah dirasainya. Selama ini
dia hanya buat bodoh tanpa mengucapkan terima kasih apabila terdapat tukang
cuci yang membersihkan meja makannya di mana-mana restoran.
Laili tidak akan
menghina apa-apa pekerjaan yang ada di dunia ini lagi. Baginya setiap pekerjaan
itu mempunyai kepuasannya yang tersendiri. Dalam diam Laili berazam untuk
meminta maaf kepada tukang cuci wanita yang pernah dihinanya dahulu.
“Cik... belajarlah
mengenal kehidupan.”
Tiba-tiba kata-kata
tukang cuci wanita sewaktu di Restoran Indah Maya bergema di ruang
ingatannya. Dahulu, Laili langsung tidak memahami maksudnya. Tetapi kini
dia semakin memahami. Hidup ini bagai putaran roda. Sekejap kita di atas,
sekejap kita di bawah. Dahulu dia menghina pekerjaan tukang cuci. Tetapi kini
dia sedang bekerja sebagai tukang cuci.
‘Minta maaf, kak....’
ucap Laili dalam hati. Tidak semena-mena air mata Laili jatuh setitis demi
setitis.
“Awak menangis?” tegur
Danish melihat perubahan mendadak Laili.
Laili tersentak.
Bagaimana dia boleh tidak sedar yang dia masih berada di dalam pejabat Danish?
“Eh.. tak ada la...
masuk habuk saja. Saya keluar dulu.” Cepat-cepat Laili meminta diri. Dia terus
meluru keluar tanpa menoleh ke arah Danish lagi.
Tanpa Laili sedari,
kehadirannya di pejabat Danish telah disaksikan oleh sepasang mata. Sepasang
mata milik Bunga.
* *
*
DARI hari ke hari, Laili semakin seronok bekerja. Dia sudah tidak
terpaksa lagi melakukan tugasnya. Apa yang penting, dia enjoy.
Apabila Laili tertekan
dengan sesuatu perkara, Laili akan mencuci sepuas-puas hatinya. Terasa hilang
segala tekanan yang dirasai apabila melihat apa yang dicucinya menjadi bersih
berkilat. Ya... mencuci dan mengemas memang dapat mengurangkan tekanan jika
dilakukan dengan seikhlas hati.
Dengan menggunakan penyedut
hampagas, Laili kelihatan leka menyedut segala kekotoran yang melekat pada
karpet yang terletak di hadapan pintu keluar pejabat. Dahulu dia sungguh malu
untuk membersihkan karpet yang berada di situ, kerana kedudukannya yang mudah
dilihat orang ramai. Tetapi kini dia sudah tidak malu-malu lagi. Dia sudah
biasa.
Entah apa yang silap, penyedut
hampagas yang digunakan mati secara tiba-tiba. Laili mengerutkan kening. Puas
dia menekan-nekan butang ‘on’ pada penyedut hampagas yang berwarna merah
jambu itu. Namun tidak ada sebarang perubahan yang berlaku.
‘Kenapa, ni?’ Dalam pada
dia berfikir-fikir itulah telinganya menangkap suara ketawa dari arah belakang.
Pantas dia menoleh.
“Awak? Kenapa matikan
suis elektrik tu?” marah Laili kepada Danish.
Kini mereka sudah
berkawan baik. Laili juga sudah tidak memanggil Danish dengan panggilan Encik.
Danish yang memintanya.
“Sengaja.” Mudah sahaja
jawapan Danish. Laili menjegilkan biji matanya.
“Hidupkan balik!” arah
Laili.
“Tak mahu,” balas Danish
dengan selambanya.
“Hidupkan!” Laili
menekan suaranya.
“Awak janganlah
marah-marah. Cuba awak jadi macam vacuum
awak tu. Senyum saja. Vacuum awak
memang tak pandai nak marah, ke?” soal Danish.
‘Vacuum aku senyum? Biar betul Danish ni.’ Serta merta Laili memandang penyedut
hampagas kesayangannya. Yalah.... terdapat lukisan mata, hidung dan mulut yang
sedang tersenyum pada badan penyedut hampagas itu. ‘Comelnya! Macam mana selama
ni aku boleh tak perasan?’ fikir Laili sambil senyum meleret.
“Sorry. Mana ada saya marah. Tertinggi suara sajalah,” ujar Laili.
“Okey. Kalau tak marah, jom ikut saya keluar makan,” ajak Danish.
Seperti dengar tidak
dengar sahaja Laili dengan ajakan Danish. Buang tabiat agaknya Danish ini. Tidak
pernah-pernah Danish ajak Laili keluar makan pada waktu kerja. Memanglah
sebentar lagi waktu rehat Laili akan tiba, tetapi masakan dia mahu keluar dengan
Danish. Dengan berbaju seragam tukang cuci berjalan di sisi Danish, tidak malu
ke Danish nanti?
“Laili!” Terdengar suara
seseorang memanggil nama Laili.
Laili pantas menoleh ke
arah suara tersebut. Senyumannya terus melebar dan matanya membulat.
“Syafiq!!” Laili
menjerit sebaik melihat kelibat Syafiq bersama seorang perempuan.
“Kau sihat? Macam mana
kerja?” soal Syafiq kemudiannya.
“Aku sihat-sihat saja.
Kau sihat?” Giliran Laili pula bertanya kepada Syafiq yang sudah lama tidak
ditemuinya, hampir dua bulan lebih.
Mungkin Syafiq sudah
kembali bekerja. Dan Laili pula sedang menghitung hari-hari terakhirnya sebagai
tukang cuci walaupun dia semakin serasi dengan pekerjaannya.
“Sihat juga,” jawab
Syafiq.
Jauh di sudut hati,
Syafiq bersyukur. Nampaknya Laili Arifah yang dahulu sudah kembali. Selamat
tinggal Laili Arifah yang angkuh. Syafiq merasakan bahawa sudah tiba masa yang
tepat untuk dia menyempurnakan rancangannya.
“Aku tak sangka kau
mampu bertahan sampai hari ni. Hmm.. bertahan sebagai tukang cuci. Laili si
tukang cuci,” ujar Syafiq sambil tersenyum.
Laili turut tersenyum.
Dia tidak marah Syafiq menggelarkannya ‘Laili si tukang cuci’.
“Aku patut berterima
kasih kat kau, Syafiq. Kalau bukan sebab kau yang paksa aku kerja sebagai tukang
cuci ni, mesti aku tak jadi macam sekarang. Banyak sangat yang aku belajar. Aku
dah faham dengan sesuatu yang aku tak faham sebelum ni,” luah Laili.
“Baguslah. Aku tumpang gembira. Ini barulah
kawan aku yang dulu,” kata Syafiq.
“Ini.... siapa?” soal
Laili sambil memandang seorang perempuan yang sejak tadi hanya berdiri di sisi
Syafiq.
“Oh.. maaf.. aku lupa
nak kenalkan. Ini staf di ibu pejabat. Aku sengaja bawa dia tengok-tengok cawangan
kita kat sini.” Syafiq menjawab tanpa ragu-ragu.
“Staf di ibu pejabat?
Cawangan?” Laili bertanya kembali. Dia tidak faham.
“Alamak!” Tiba-tiba
Syafiq menjerit sambil menekup mulutnya.
“Encik Syafiq ni memang
tak pandai simpan rahsia.” Perempuan itu bersuara setelah lama membisu.
“Kau ni siapa
sebenarnya, Syafiq?” soal Laili lagi.
“Aku... aku....” Kata-kata
Syafiq tergantung.
“Encik Syafiq ni adalah
salah seorang daripada ahli lembaga pengarah syarikat pembersihan kita ni.” Perempuan
itu membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama.
“Syafiq, kenapa kau tak
pernah beritahu aku?” Laili bertanya lagi.
“Aku minta maaf. Aku tak
boleh beritahu kau sebab.... sebab... haa, kau kan tak suka aku jadi bos kau.
Ingat lagi tak kau pernah cakap macam tu dulu?” Tiba-tiba Syafiq mendapat idea.
“Hai... kau ni... takkan
kau nak ambil serius dengan kata-kata aku yang tu? Aku main-main sajalah,” tegas
Laili.
“Aku harap kau rahsiakan
identiti aku. Semua pekerja kat sini tak tahu siapa aku yang sebenarnya, kecuali
Puan Nani dan Bunga,” beritahu Syafiq.
“Patutlah Puan Nani tak
pernah marah kau. Ponteng berhari-hari pun dia buat selamba saja. Rupa-rupanya
kau ni tukang cuci yang menyamar. Tapi, macam mana Bunga boleh tahu?” Banyak
benar persoalan yang keluar dari mulut Laili.
“Sayalah Bunga. Awak tak
perasan, ke? Irmalah nama sebenar saya,” bongkar Irma a.k.a Bunga.
Spontan Laili meneliti
wajah Irma yang mengaku sebagai Bunga. Betullah... wajah Irma memang seiras
dengan Bunga. Dia hampir tidak mengenali Bunga kerana selama ini dia hanya
mengenali Bunga yang berbaju seragam hijau dan tanpa solekan di wajah.
“Saya minta maaf kalau
selama ni saya dah menyinggung perasaan awak, Laili. Itu semua lakonan saja. Saya
ni sebenarnya baik orangnya.” Sempat Irma memuji diri sendiri.
“Tak apa. Saya tak ambil
hati pun. Tapi.... kenapa semua orang nak menyamar?” Laili mengutarakan soalan.
Otak Laili memang tidak mahu berhenti daripada berfikir tentang itu.
“Sebenarnya ini
merupakan prosedur biasa. Setiap tahun memang kami akan lakukan penyamaran
untuk menyelidik keadaan sebenar di setiap cawangan.” Syafiq memberi penerangan.
“Oh, macam tu,” ujar
Laili mulai faham.
“Jadi.... kau
benar-benar bercuti tanpa gaji atau....” Laili tidak sempat menghabiskan
kata-katanya kerana dipotong Syafiq.
“Aku buat lawatan ke cawangan
lain. Sama macam yang aku buat kat sini, menyamar. Kebetulan sekarang ni
giliran aku buat penyamaran. Nanti kalau dah ramai yang kenal aku, aku pakailah
jambang ke, misai ke... Peace! Hehe...” ucap Syafiq sambil menaikkan dua
jarinya sebagai isyarat ‘aman’. Dia tidak mahu Laili marah-marah.
“Ceh! Kau tipu aku?”
Laili melenting juga. Namun kedengaran seperti lentingan manja.
Laili teringat Danish
secara tiba-tiba. Alamak! Bukan sengaja dia mahu melupakan Danish. Laili
menoleh ke arah tempat Danish berdiri. Namun kelibat lelaki sudah tiada. Di
manakah dia? Mungkinkah dia berkecil hati kerana aku tidak menghiraukan dia
setelah bertemu dengan Syafiq? Danish.... minta maaf banyak-banyak, bukan itu
maksud aku. Aku janji, aku akan kenalkan kau kepada Syafiq.
* *
*
DI BILIK mesyuarat.......
“So... apa
pendapat kau tentang Laili?” soal Syafiq kepada sahabatnya, Danish.
“Hmmm... aku rasa... dia
okey. Dia seorang yang
bertanggungjawab, berani mengakui kesalahan diri, jujur, rajin, ceria,
cantik...” Semakin meleret pula jawapan yang diberikan oleh Danish.
“Stop.... stop....
lain macam saja bunyi hujung jawapan kau tu, Danish,” potong Syafiq sambil
tersengih.
Danish ikut tersengih.
“Irma? Awak rasa macam
mana?” Syafiq bertanya kepada Irma pula.
“Bagi saya, Laili
seorang yang tidak mudah mengalah dan sanggup menerima cabaran. Buktinya dia
tetap meneruskan kerjayanya sebagai tukang cuci sampai ke hari ni. Sedangkan
dia sebenarnya boleh berhenti bila-bila masa yang dia suka, kan? Dan lagi....
bukan mudah untuk orang yang ada Ijazah Sarjana Muda Perakaunan macam Laili
sanggup menjawat jawatan sebagai tukang cuci.
Mula-mula dulu memang
saya nampak dia macam tak suka. Tapi saya tak tahu apa yang telah merubah dia,
dan sekarang dia kelihatan gembira dengan tugasnya. Kalau saya jadi Encik
Syafiq, saya akan terima dia.” Irma memberikan pendapatnya yang panjang lebar.
“Kalau aku jadi kau pun,
aku akan terima Laili tu,” sampuk Danish pula.
“Kau orang nak tahu
kenapa Laili tak berhenti kerja? Sebab saya pernah ugut dia yang saya akan bom
rumah dia kalau dia berhenti kerja.” Selamba Syafiq berkata.
“Apa?” Hampir serentak
jeritan Irma dan Danish.
“Tapi saya gurau sajalah. Saya dah
lama kenal dia. Dia takkan ambil peduli dengan gurauan-gurauan saya. Tapi kalau
tentang dari tak gembira kepada gembira kerja tu, saya tak taulah apa pula
sebabnya. Agaknya dia ada terpikat kepada siapa-siapa kat sini tak?” seloroh
Syafiq kemudian.
Irma dan Danish ketawa. Masakanlah Laili terpikat kepada
siapa-siapa.
“Syafiq, kalau kau tak
nak terima Laili, aku akan terima dia.” Tiba-tiba Danish berkata seperti itu.
“Kau nak terima dia
sebagai apa? Sebagai pembantu penyelidikan kau?” soal Syafiq dalam nada
hairan.
“Taklah. Aku akan terima
dia sebagai isteri aku.” Danish tergelak-gelak selepas menuturkan kata-katanya.
Nampak sangat dia sedang bergurau.
“Ah... itu tak
menjejaskan apa-apa. Kalau aku terima dia pun kau tetap boleh pinang dia
sebagai isteri,” balas Syafiq laju.
“Betul ni, boleh?” tanya
Danish.
“Betul!” tegas Syafiq
sambil mengangguk-angguk.
“Encik Syafiq dengan
Encik Danish ni buat saya macam tak wujud kat sini pula, kan?” tegur Irma yang
sudah mula rasa terasing daripada perbualan dua orang lelaki itu.
“Sorry Irma!
Danish yang mulakan dulu. Baiklah, kembali kepada topik perbincangan. Dengan
ini saya memutuskan bahawa Laili Arifah binti Ahmad Nazim akan menjadi Pegawai Akaun
di syarikat pembersihan ini. Irma, nanti awak sediakan surat tawaran, ya. Terima
kasih banyak-banyak, Danish. Sebab kau dah tolong aku. Kaulah sahabat aku dunia
dan akhirat,” ucap Syafiq sekali gus membuat keputusan terhadap topik
perbincangan mereka.
“Baik, Encik Syafiq,”
sahut Irma. Manakala Danish hanya mengangguk.
Sungguh unik cara Syafiq
membuat pemilihan untuk mengambil pekerja di syarikat pembersihan milik ayahnya.
Kasihan Laili kerana dia tidak sedar bahawa dia sedang dinilai sewaktu bekerja.
Syafiq hanya mahu
membantu Laili mendapatkan pekerjaan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia
menawarkan terus jawatan pegawai itu kepada Laili. Namun jika difikirkan kembali,
mana mungkin seseorang yang membenci pekerjaan tukang cuci seperti Laili boleh
bekerja di syarikat pembersihan dengan baik.
Syafiq mahukan staf yang
menghargai produk dan perkhidmatan syarikat. Justeru dia mengambil Laili
sebagai tukang cuci terlebih dahulu agar gadis itu dapat belajar menghargai
pekerjaan yang pernah dilekehkannya dahulu. Syafiq mengutamakan minat dalam
segala-galanya. Baginya, berbekal minat yang ada, seseorang itu akan dapat
memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Hmm.... Syafiq, tak apa ke kalau aku pinang
Laili? Kau tak marah?” Sengaja Danish mahu menduga.
Tak habis-habis lagi
rupanya Danish memikirkan tentang itu.
“Nak marah buat apa?
Kalau kau pinang Laili, nanti aku pinang Irma. Apa susah?” Mudah sahaja jawapan
yang keluar dari mulut Syafiq.
Irma sudah malu-malu.
“Tapi Syafiq, kau jangan
pula bagitau yang kita pernah berpakat nak selidik dia. Depan Laili, kau
buat-buat tak kenal aku. Okey?” pinta Danish.
“Okey! No
problem!” balas Danish.
Bukan niat Danish juga
mahu marah-marah kepada Laili suatu waktu dahulu. Semuanya hanya lakonan
semata-mata. Demi menilai dan mengubah persepsi negatif Laili terhadap kerjaya
tukang cuci.
* *
*
Sedut jangan tak
sedut...
Sedut sampai hilang
semua debuuu...
Sedut jangan tak sedut..
Sedut sampai....
Nyanyian lagu daripada kumpulan Spider yang sesuka hati diubah liriknya
oleh Laili terus terhenti apabila penyedut hampagas yang digunakannya mati
secara tiba-tiba. Spontan Laili menyentuh dagunya menggunakan jari telunjuk.
Dia tahu kenapa alat yang sentiasa tersenyum itu boleh mati. Pasti angkara
Danish!
“Danish! Jangan
main-main boleh, tak?” Teriak Laili sambil mengalihkan posisi tubuhnya menghala
ke belakang.
“Danish?” tegur Syafiq.
Laili terpana melihat
kehadiran Syafiq yang mengenakan kemeja berwarna biru lembut. Sangkanya Danish
yang datang, kerana hanya Danish yang suka mematikan suis elektrik seperti
sekarang.
“Sorry, Syafiq!
Aku ingatkan.... Danish tadi...” Laili meminta maaf.
“Rindu kat Danish, ke?”
Sengaja Syafiq bertanya.
“Rindu!” Laju sahaja
mulut Laili mengucapkannya.
Biji mata Syafiq
terbeliak. Salah dengarkah telinganya ini?
“Betul kau rindukan dia?
Aku serius, ni!” tegas Syafiq kemudian.
Syafiq memberi isyarat
tangan supaya Laili turut duduk bersamanya di atas kerusi yang terdapat
berhampiran mereka. Laili menurutinya. Bukan senang bos nak ajak rehat-rehat
waktu kerja macam ini. Sekarang peluang dah datang. Apa lagi, kita enjoyyy!
Laili menyandarkan badan
ke belakang kerusi sambil memejamkan mata... Hmm... leganya... Laili seakan
terlupa untuk menjawab soalan Syafiq.
“Danish suka matikan
suis macam yang aku buat tadi, ke?” Syafiq mengutarakan soalan lain.
Terus sahaja Laili
menegakkan badan seraya membuka matanya luas-luas.
“Ha’ah.... banyak kali
dah aku terkena. Dia tu kelakar, kan? Mula-mula kenal dulu dia garang nak
mampus. Tapi rupa-rupanya, sweet juga perangai dia.” Laili
membuat penilaian terhadap karakter Danish.
Bibir Laili menguntum
senyuman manis.
“Kalau Danish pinang
kau, kau terima tak?” Syafiq menjalankan siasatan.
Terherot mulut Laili
memikirkan soalan Syafiq yang satu itu. Tiba-tiba pula Syafiq bertanya soalan
macam itu. Pelik juga Laili dibuatnya.
“Kita orang tak
bercinta. Macam buang tabiat pula kalau dia pinang aku.” Akhirnya Laili
menjawab.
“Aku kata kalau, kalau
dia pinang kau?” Syafiq menegaskan soalannya. Jelas dia tidak berpuas hati
dengan jawapan Laili.
Sekali lagi Laili mempamerkan
aksi berfikir masalah Negara. Khusyuk benar gayanya. Danish telah menyedarkan
diri Laili daripada terus memperlekeh pekerjaan sebagai tukang cuci. Danish jugalah
yang telah membuka mata dan membuatkan Laili menghargai sesuatu.
“Hmm... maybe...”
Perlahan perkataan itu keluar dari mulut Laili.
“Maybe?
Maksudnya, kau akan terima dia?” Syafiq inginkan kepastian.
Laili hanya mengangguk.
Syafiq tersenyum. Laili memang sudah berubah. Tiada lagi keegoan. Kini, masa
yang dinanti-nanti sudah tiba. Syafiq membuka fail yang dipegangnya sejak tadi.
“Aku ada berita baik
untuk kau. Kau anggaplah ini sebagai hadiah daripada aku,” ucap Syafiq sambil
menghulurkan sepucuk surat kepada Laili.
Laili menyambutnya
dengan kening yang berkerut. Hairan. Surat apakah? Tanpa membuang masa Laili
terus membuka dan membacanya. Dia hampir terloncat kegembiraan apabila habis
membaca isi surat tersebut. Syafiq seperti biasa, hanya tersenyum.
“Surat... tawaran...
pekerjaan... sebagai... Pegawai... Akaun?” Lambat-lambat Laili membaca satu per
satu perkataan yang tertera di dalam sura itu.
“Ya!” Syafiq mengiyakan.
“Ya Allah.... aku
bersyukur. Terima kasih, Syafiq!” ucap Laili dengan perasaan yang semakin
berbunga riang.
“Sama-sama. Ini rezeki
kau. Kau layak dapat pekerjaan ni,” balas Syafiq.
“Tapi.....” suara Laili
tiba-tiba. Wajahnya bertukar muram.
Syafiq mengerutkan dahi.
“Kenapa?” Tidak sabar,
Syafiq terus bertanya.
“Tapi, kalau aku terima
tawaran ni.... bermaksud... aku akan keluar dari kolej ni, kan?” teka Laili.
“Ya! Kau akan berpindah
ke ibu pejabat,” terang Syafiq.
“Maksudnya... aku akan
berpisah dengan Danish, kan?” Laili bersuara lagi.
Syafiq terpana mendengar
ayat Laili yang satu itu. Danish.... nampaknya Laili sudah benar-benar jatuh
cinta kepada Danish. Mungkin benar tekaan Syafiq tempoh hari. Laili gembira
bekerja di sini kerasa adanya Danish di sisi.
“Syafiq.... macam mana
kau boleh kenal Danish? Hari tu aku tak sempat nak kenalkan dia kat kau lagi,”
soal Laili tiba-tiba.
Soalan Laili itu pantas
mengingatkan Syafiq kepada janji yang telah dibuatnya bersama Danish. Janji
bahawa dia akan berpura-pura tidak mengenali Danish. Kelihatannya dia sudah
melanggar janji. Sungguh dia terlupa kerana tanpa sedar dia telah bertanya
mengenai Danish kepada Laili.
‘Mampuslah aku kali ni!’
detik hati Syafiq. Kulit wajah Syafiq
sudah mulai pucat.
Akhirnya Syafiq terpaksa
mendedahkan identiti Danish yang merupakan sahabat baiknya. Dan Laili berjanji tidak
akan bertanya apa-apa mengenai Syafiq kepada Danish. Syafiq yang meletakkan
syarat itu sebelum berterus terang mengenai Danish.
Namun kisah Laili yang
dijadikan bahan penyiasatan oleh Danish dan Irma a.k.a Bunga tetap menjadi
rahsia mereka bertiga. Kisah itu sudah tamat. Laili tidak perlu tahu jika hanya
akan menarik Laili kembali ke ‘belakang’. Biarkanlah Laili terus mengorak
langkah ke hadapan, menggapai impiannya.
* *
*
“LAILI, nanti awak masuk pejabat saya sekejap, ya!” arah Danish yang
muncul secara tiba-tiba.
Laili hampir terloncat
kerana terkejut dengan kehadiran Danish. Belum sempat Laili berkata apa-apa,
Danish sudah menghilang. Cepat-cepat Laili menyudahkan tugasnya.
Seperti yang dimahukan,
Laili sudah berada di dalam pejabat Danish.
“Laili.... kita kahwin?”
ucap Danish tanpa bertangguh.
“Hah?” Mulut Laili terlopong.
Apakah Danish sedang melamar Laili?
“Saya tahu kita tak
pernah bercinta. Tapi saya sudah memilih awak untuk menjadi permaisuri dalam
hati saya,” sambung Danish dengan seribu keyakinan.
Gulp. Laili menelan air liurnya sendiri.
“Awak tak malu ke....
memperisterikan seorang tukang cuci macam saya?” Sengaja Laili bertanya.
“Tukang cuci itu kan
pekerjaan yang halal. Saya akan malu kalau saya memperisterikan seorang wanita
yang mempunyai kerjaya hebat, tetapi dia mengabdikan diri kepada kerjayanya
hingga mengabaikan tanggungjawabnya yang lain. Bahagia itu bukan terletak kepada
paras rupa, bukan juga terletak kepada pangkat. Tetapi bahagia itu terletak kepada
hati kita. Hati yang sentiasa bersyukur akan segala nikmat dan anugerah yang
telah diberi olehNya.” Panjang lebar Danish berhujah. Mulut Laili semakin
terlopong.
Sesungguhnya Danish tidak
bertepuk sebelah tangan. Memang sudah lama Laili tertarik hati kepada lelaki
itu. Tiada keraguan lagi, Laili terus mengangguk bersama senyuman manis yang
terbit di bibirnya.
Maka bolehlah Laili
menerima tawaran pekerjaan sebagai Pegawai Akaun dengan senang hati, kerana dia
tidak akan berpisah dengan lelaki yang semakin mendapat tempat di dalam
hatinya.
Yahooo.... Danish bersorak
gembira dalam hati apabila melihat anggukan gadis di hadapannya!
“Terima kasih, sayang,”
ucap Danish nakal.
Terbeliak biji mata
Laili mendengar ucapan sayang itu. Gatal juga Muhammad Akasyah Danish ini
rupanya. Laili mempamerkan riak wajah marah. Namun, amatlah comel riak wajah
Laili itu pada pandangan mata Danish.
* *
*
LAILI dan Danish sudah selamat diijab kabul. Kini mereka hidup bahagia.
Manakala Syafiq sudah bertunang dengan Irma. Nampaknya Syafiq benar-benar mengotakan
apa yang pernah dikatakannya kepada Danish dahulu. Seandainya Danish meminang
Laili, Syafiq akan meminang Irma. Dan itulah yang telah berlaku.
Di seberang jalan, Laili
menangkap kelibat seseorang yang seakan dikenalinya. Oh ya, itulah tukang cuci
wanita yang pernah dihinanya dahulu. Laili memanjat rasa kesyukuran kepada Yang
Masa Esa.
Sudah lama Laili mencari
wanita itu. Namun tidak pernah bersua memandangkan wanita itu sudah tidak lagi bekerja
di restoran Indah Maya. Kali ini Laili akan berpeluang untuk memohon maaf atas
segala keterlanjuran perkataannya dahulu.
Wanita itu mahu melintas
jalan. Namun sebuah kereta berwarna merah yang meluncur laju telah melanggar
wanita tersebut. Spontan Laili menjerit sekuat hati. Namun kejadian itu berlaku sekelip
mata. Wanita itu sudah terlantar tidak bergerak di atas jalan raya. Terus air mata
Laili jatuh berlinangan. Dia tidak sempat memohon maaf.
‘Ya Allah, Kau
ampunkanlah dosaku. Layakkah aku untuk mendapat keampunan-Mu seandainya keampunan
daripada orang yang pernah aku sakiti di dunia ini tidak pernah aku perolehi? Sesungguhnya
aku lebih hina daripada wanita yang pernah aku hina itu. Aku insaf. Ya
Allah, aku insaf....’ Laili menangis teresak-esak. Badannya sudah terjelepok
di pinggir jalan. Sedu sedannya kian tidak terkawal.
“Sayang! Bangun sayang!”
Danish menggoncang bahu isterinya yang sedang menangis bagai tidak mahu
berhenti itu.
Menangis dalam tidur?
Danish berasa pelik. Dilihatnya Laili masih tidak sedarkan diri walaupun sedu
sedannya jelas kedengaran di cuping telinga Danish.
“Laili! Laili!”
Setelah Danish memanggil
berkali-kali, barulah Laili tersedar. Laili terus bangun dan memeluk Danish
yang sudah menjadi suaminya. Namun tidak berapa lama kemudian Laili cepat-cepat
meleraikan pelukannya.
“Aku kat mana, ni?”
Laili seakan bertanya kepada dirinya sendiri.
“Laili, ini abang sayang.
Sayang kat rumah kita.” Danish cuba menyedarkan isterinya.
Laili memandang semua
yang ada di persekitarannya. Lama kelamaan barulah dia sedar akan realiti yang
berada di hadapannya. Tiada tukang cuci wanita. Tiada juga jalan raya dan kereta berwarna merah. Rupa-rupanya sebentar dia
hanya bermimpi.
“Laili minta maaf,
abang. Laili dah mengganggu tidur abang,” ucap Laili perlahan.
“Laili mimpi apa?” soal
Danish ingin tahu.
“Laili.... mimpi ngeri.
Laili takut.” Laili meluahkan apa yang sedang dirasainya.
Danish terus memeluk
tubuh Laili yang sudah menggeletar.
“Jangan takut, sayang.
Itu Cuma mimpi. Mimpi kan mainan tidur. Dah.. dah.. sayang sambung tidur, ya,”
pujuk Danish kemudian.
Perlahan-lahan Danish
membaringkan tubuh Laili. Dengan penuh rasa kasih, Danish mengusap dahi Laili
yang sudah berpeluh. Kemudian dia mengesat sisa air mata yang masih membasahi
pipi isterinya. Belaian suaminya itu membuatkan Laili kembali terlena.
* *
*
DING! DONG!
Deringan loceng rumah
mengejutkan Laili yang sedang melipat pakaian di ruang tamu. Spontan Laili
memandang Danish yang sedang khusyuk menonton televisyen.
“Siapa yang datang
malam-malam buta ni, bang?” Pantas Laili bertanya.
“Pembantu rumah kita.
Dia datang dari jauh, sebab tu sampai sini malam. Dia ni orang susah. Kawan
abang yang cadangkan dia,” Danish menjawab dalam nada bersahaja.
Dahi Laili sudah
berkerut.
“Abang tak pernah cakap
pun yang abang nak ambil pembantu rumah?” ujar Laili.
“Abang nak bagi surprise kat
sayang. Isteri abang ni kan bekerja. Penat, kan? Ni dah jauh malam pun tak habis-habis
lagi lipat kain. Esok dah nak kerja balik. Sayang kena tidur awal tau,” balas
Danish. Saat ini keprihatinan Danish begitu terserlah.
Laili mengeluh. “Tapi
Laili tak abaikan tanggungjawab kan, abang?” Laili bertanya lagi. Dia tidak
mahu menjadi isteri yang mengabaikan suami.
“Tak, sayang,” jawab
Danish sambil mencubit pipi gebu isterinya.
“Laili ada satu syarat.
Pembantu rumah tu nanti boleh buat semua kerja yang ada kat rumah ni. Tapi,
bahagian memasak untuk abang, biar Laili yang buat.” Laili menetapkan
syaratnya.
“Bagusnya isteri abang,
ni. Okey, syarat diterima. Dah, pergi
buka pintu tu. Nanti dia kesejukan pula kat luar,” arah Danish.
Tanpa membuang masa
Laili terus bangkit. Sebaik pintu terbuka, Laili terkejut melihat pembantu
rumah yang dimaksudkan oleh Danish. Spontan Laili memeluk wanita yang kini
berada di hadapan matanya.
Terpana wanita itu
sebentar. Jelas mata wanita itu terkebil-kebil kerana belum pun sempat dia
mengucap salam, Laili sudah memeluk dirinya.
“Saya minta maaf, kak!”
ucap Laili sambil menangis.
Dahi wanita itu berkerut
seribu. Tidak faham mengapa tiba-tiba Laili meminta maaf kepada dirinya.
“Adik ni, siapa?” soal
wanita itu bagi meleraikan persoalan yang membelenggu dirinya.
“Kakak tak ingat saya?
Dah lama saya cari kakak. Tapi tak jumpa. Syukurlah Tuhan telah menghantar
kakak ke sini. Saya nak minta maaf. Saya pernah terlanjur menghina kakak semasa
kat restoran dulu.” Laili membuka cerita sekali gus memohon keampunan.
Wanita itu memandang
wajah Laili dalam-dalam. Akhirnya dia mengangguk.
“Oh, akak dah ingat. Akak
dah lupakan semuanya, dik. Itu dugaan yang Allah beri kepada akak. Akak terima
dengan hati yang terbuka. Akak dah lama maafkan adik,” balas wanita tersebut.
“Terima kasih, kak.
Barulah lega hati saya,” luah Laili kelegaan.
Terasa hilang semua
beban perasaan yang ditanggungnya selama ini. Inilah nikmat sebuah kemaafan.
“Kenapa berdiri saja kat
pintu? Masuk.. masuk...” suara Danish yang kedengaran secara tiba-tiba itu
menghentikan babak ala-ala jejak kasih yang sedang berlangsung di pintu masuk.
Danish sudah berdiri di
sebelah Laili.
“Terima kasih, abang,”
ucap Laili tiba-tiba.
“Sama-sama. Tapi
pembantu rumah ni bukan nak ajar Laili jadi malas tahu.” Danish memberi amaran.
“Baik, abang! Laili tak
akan jadi pemalas! Berita faham!” Teriak Laili sambil memberi tabik hormat
kepada suaminya.
Danish menggeleng sambil
tersengih melihat sikap keanak-anakan isterinya. Setelah membawa masuk beg
besar pembantu rumah mereka, Danish menutup pintu rumahnya perlahan-lahan.
* *
*
LAILI sedang menyisir rambut apabila terdengar namanya dipanggil oleh
Danish. Dia terus berpaling menghadap Danish yang sedang duduk di atas katil.
“Abang ada sesuatu untuk
Laili, ambillah,” tawar Danish sambil mengunjukkan sesuatu di tangannya.
Sebuah kotak yang sudah
berbalut kemas bersama sekuntum bunga ros di atasnya kini beralih tangan.
Dengan mimik wajah yang pelik Laili memerhatikan kotak ala-ala hadiah itu.
“Hadiah sempena apa, ni?
Hari ulang tahun kelahiran Laili lama lagilah, bang. Abang demam, ya?” ujar
Laili sambil menyentuh dahi Danish. Manalah tahu suaminya itu benar-benar demam
sampai tidak sedar berapa tarikh hari ini.
Danish ketawa kecil. Dia
mencapai tangan Laili lalu diggenggamnya erat.
“Abang sihat. Ini bukan
hadiah hari jadi. Tapi hutang abang kepada sayang,” terang Danish.
“Hutang?” Laili
terpinga-pinga. Dia tidak mengerti.
“Kalau Laili nak tahu
hutang apa, Laili bukalah bungkusan tu. Mungkin Laili dah lupa. Tapi abang tak
pernah lupa, tau. Sebab benda kat dalam bungkusan tu, memang milik Laili,”
kata-kata Danish membuatkan Laili teruja.
Laili membuka bungkusan
yang ada di tangannya perlahan-lahan. Hampir tersembul biji mata Laili melihat
isi di dalamnya. Mulut Laili terlopong seketika sebelum dia memuntahkan
tawanya.
“Abang.... ini selipar
jepun Laili masa jadi tukang cuci dulu. Abang simpan lagi?” luah Laili sambil
menyentuh selipar jepun yang sudah diubahsuai oleh Danish. Terdapat simbol love
terlekat di kedua-dua belah selipar.
Laili mengeluarkan
selipar itu lalu disarungkan ke kaki. Alangkah comelnya!
“Mestilah abang simpan.
Dulu kan abang pinjam selipar tu, bukannya minta. Sesuatu yang dipinjam
mestilah kena pulangkan. Abang dah basuh selipar tu, tau. Tak ada bau sabun
cuci tandas lagi dah.” Danish masih sempat mengusik di hujung ucapannya.
“Mana abang tahu selipar
ni dulu ada bau sabun cuci tandas? Abang cium, ya?” Laili ketawa terbahak-bahak
sebaik menyudahkan ayatnya.
“Oh.... perli abang, ya?
Nak kena, ni!” ujar Danish. Kemudian dia menggeletek pinggang isterinya.
Laili menjerit kegelian.
Lantas dia bangkit untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa jari jemari
Danish yang sudah kelihatan seperti kaki labah-labah itu. Maka berkejaranlah
merpati dua sejoli itu di dalam bilik.
Semoga mereka terus
dilimpahi sejuta kebahagiaan dan keceriaan. Amin.
TAMAT.