Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku - bab 7 (sebelum diedit)


“Hah!! Abang.... apa abang buat tu?!!” Sergah Hakimi tiba-tiba dari arah belakang.

Shahirul Hazami yang sedang khusyuk menatap sekeping gambar amat terperanjat dengan sergahan adik lelakinya nan seorang itu. Cepat-cepat dia menyimpan gambar yang masih tergenggam di telapak tangan. Sementara itu, Hakimi terus galak mentertawakan telatah abangnya. Shahirul Hazami menjegilkan bola mata. Terkejut beruk dia dibuatnya.

“Hei...!! Kimi... apasal kau suka sangat buat abang terkejut hah??”

Marah Shahirul Hazami. Geram juga rasa hati ini. Mana tidaknya, tengah syok merenung buah hati. Ada pula yang kacau daun. Hakimi ketawa lagi. Sememangnya dia merupakan seorang pemuda yang ceria dan lucu. Dia amat suka menyakat abang kesayangannya.

“Oppss... I’m sorry, brother. Janganlah marah.... nanti cepat tua tau! Berkedut sepuluh ribu. Apa orang kata tu? Kerepot? Nanti susah nak cari girlfriend pula,” kata-katanya itu menyebabkan Shahirul Hazami turut tertawa. Kelakar melihat gaya Hakimi menutur bicara. Gaya tersendiri.

“Yalah tu. Lain kali, kalau nak masuk tu ketuklah pintu dulu. Ini tidak, main serbu aje!” Nasihat Shahirul Hazami. Adiknya hanya tersengih.

“Alah bang.... inikan bilik Kimi juga. Cuba abang tengok tu, semua barang-barang Kimi ada kat sini tau!” Ujar Hakimi sambil melempar pandang ke arah katil bujangnya.

Shahirul Hazami dan Hakimi memang tidak dapat dipisahkan sejak kecil. Malah tidak boleh tidur berasingan bilik. Kebiasaan itu terbawa-bawa hingga kini.

“Yalah.... yalah...” Akhirnya Shahirul Hazami mengalah juga. Begitulah abang.... sering mengalah. Tangannya sibuk meraba-raba tempat kertas tadi diselitkan.

“Ahaaa.... apa abang buat sebelum Kimi datang tadi? Khusyuk betul nampaknya. Sampaikan Kimi masuk pun abang tak perasan,” cungkil Hakimi.

“Hah?! Err... tak ada apa-apalah. Abang cuma bosan je. So, abang menunglah,” dalih Shahirul Hazami cekap mencipta alasan.

Mendengarkan alasan Shahirul Hazami itu, Hakimi terus mengerutkan kening. Matanya pula terus merenung tajam wajah kacak Shahirul Hazami. Berkerut dahi Shahirul Hazami dek diperlakukan begitu oleh manusia di hadapannya.

“Hai, menung ke.. merenung? Ohh... abang nak tipu Kimi ya? Abang ingat, mata Kimi ni dah buta ke? Tadi Kimi nampaklah abang buat apa. Abang tengah tenung.....”

“Tenung apa hah? Jangan nak pandai-pandai pula!!” Spontan Shahirul Hazami memotong.

“Ha ha ha... abang.. abang, Kimi tahulah bang. Bagilah Kimi tengok juga. Abang ni... kedekut nak mampuslah! Sekejap je... bolehlah bang yek??” Pandai sahaja Hakimi memujuk.

“Kau ni... macam-macamlah! Nak tengok barang orang pun sempat membodek dan mengutuk abang. Kedekut nak mampuslah... apalah!”

“Okey... okey... Kimi mintak ampun sekali lagi. Abang ni baiklah. Tak kedekut macam orang lain. Sekarang boleh??”

“Ada-ada sahaja. Okeylah!”

Pantas sahaja tangan Hakimi menyambar kertas tersebut. Shahirul Hazami mengalah lagi. Terukir satu senyuman puas di bibir insan bernama Hakimi. Memang tiada rahsia di antara mereka. Tiba-tiba terdengar jeritan Datin Seri Rosleenda memanggil anak-anak bujangnya untuk turun menjamah makan malam.

“Nantilah mama!!!” Jerit Hakimi dan Sahirul Hazami serentak.

Tanpa diduga oleh Hakimi, rupa-rupanya kertas tersebut adalah sekeping gambar. Gambar seorang gadis yang sungguh ayu. Ditenungnya gambar tersebut dengan penuh minat. Shahirul Hazami melambai-lambaikan tangannya di hadapan mata Hakimi apabila mendapati adik kembarnya itu seakan berkhayal.

“Hei... dah... dah!! Kenapa Kimi tenung-tenung gambar ni pula?”

Tanya Shahirul Hazami sambil merampas gambar wanita itu kembali. Hakimi tersentak. Namun selepas itu dia ketawa sepuas hati. Shahirul Hazami pelik. ‘Gambar ni boleh buat dia gila ke? Ketawa tak tentu fasal!’

“Okey, okey.... Kimi tahulah itu abang yang punya! Cemburu ke ha...ha...ha...!” Sakat Hakimi. Berkerut kening Shahirul Hazami.

“Yang kau ketawa macam orang gila tu kenapa?”

Forget it. Tapi... rasa-rasalahkan, macam kenallah dengan perempuan dalam gambar tu,” ujar Hakimi sambil berfikir cuba mengingat sesuatu.

What!! Kau kenal ke? Siapa?” Terburu-buru Shahirul Hazami bertanya.

“Waahh.... gabra nampak!” Usik Hakimi lagi tidak puas-puas.

Be serious, okay?” Marah Shahirul Hazami.

“Gambar tu macam......”

“Zami!!! Kimi!!! Mari turun makan ni! Cepatlah sikit oii. Orang dah kebulur ni...!” Jeritan Datin Seri Rosleenda bergema sekali lagi. Hakimi tidak jadi meneruskan kata-katanya. Shahirul Hazami sedikit kecewa.

“Yalah.... yalah! Kami turun ni!”

Mereka terus turun ke bawah. Kelihatan Datin Seri Rosleenda dan Nazirah sudah duduk menunggu mereka. Nazirah menjeling kedua-dua abang kandungnya itu. Mereka hanya tersengih seperti kerang busuk.

“Mama, cuba mama tengok abang Kimi dengan abang Zami ni. Asyik tersengih-sengih sahaja. Ni mesti cerita pasal perempuan sampai tak nak turun makan,” selamba sahaja Nazirah menuturkan kata-katanya.

“Eh... eh... taklah mama. Mana ada macam tu. Nazirah ni pandai-pandai dia aje!” Dalih Shahirul Hazami pantas.

Datin Seri Rosleenda tersenyum melihat telatah anak-anak kesayangannya. Dia sedar kedua-dua anak bujang terunanya itu sudah besar. Sudah pandai bermain cinta.

“Abang!! Baru Kimi ingat. Gambar tu macam Sheila lah!” Tiba-tiba sahaja Hakimi bercakap tentang gambar milik Shahirul Hazami tadi.

Spontan Shahirul Hazami mengerutkan kening dan menjegilkan mata ke arah Hakimi. Hissyy.. celupar betul mulut Hakimi ni! Hakimi berasa hairan. Namun selepas itu dengan pantas dia menekup mulutnya. Tersedar akan keterlanjurannya.

“Oppss!! Sorry!!” Luah Hakimi. Abangnya hanya menjeling tajam. Datin Seri Rosleenda dan Nazirah pula saling berpandangan.

“Hah, apa yang kamu berdua bualkan ni? Gambar? Sheila?” Datin Seri Rosleenda pelik.

“Eh.... tak mama...”

“Sebenarnya mama... kita orang... kita orang cuma main-main saja! Si Kimilah ni, dari tadi entah apa-apa entah yang dia cakap, tak faham betul!”

Pantas Shahirul Hazami memotong percakapan Hakimi. Takut benar dia jika perkara sebenar diketahui mereka. Dia tidak suka hal peribadinya menjadi tajuk perbualan. ‘Aik, kau kenakan aku? Entah apa-apa kau cakap? Nantilah kau..... naik nanti, jagalah!!’ Geram hati Hakimi dibuatnya.

“Emm... sedap lauk ni mama. Pandai mama masak!” Ujar Hakimi sambil menjeling abangnya.

Shahirul Hazami selamba sahaja. Hakimi semakin berang. Laju sungguh tangannya menyuap lauk ke dalam mulutnya. Mahu cepat habis makan. Cepatlah nanti dia membalas kegeraman yang bertamu. Datin Seri Rosleenda menggeleng-gelengkan kepala. Manakala Nazirah pula tersenyum penuh makna sambil melirik ke arah kedua-dua abangnya itu. Hakimi dan Shahirul Hazami buat-buat bodoh.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Novel: Ops! Pintu Hatiku - bab 6 (sebelum diedit)


Hari ini Eika dan Sheila datang awal ke sekolah. Eika tidak sabar menunggu kedatangan Lizz, Sue, Eida dan Atin. Dia mahukan kepastian adakah benar mereka yang menulis surat daripada PSH. Tambahan pula surat itu tidak berstem. Eika sedang berkira-kira apakah bentuk soalan yang akan ditanyakan nanti. Sementara itu, Sheila yang berada di sebelah pula asyik memerhatikan kelakuan Eika sedari tadi lagi.

“Eh! Apasal kau asyik tengok aku saja ni? Ada apa-apa yang tak kena ke?”

Terpacul juga soalan itu daripada mulut Eika. Sheila hanya membalasnya dengan sengihan. Semakin kuat andaian Eika terhadap mereka. Matanya tepat merenung wajah Sheila dengan penuh keraguan.

“Tak ada apa-apalah!” Jawab Sheila acuh tidak acuh sahaja. Berkerut dahi Eika mendengarkannya. Bibirnya mencebik tidak puas hati.

“Mana boleh tak ada apa-apa! Lebih baik kau berterus-terang!”

“Betullah. Tapi... aku tengok, kau ni semakin cantiklah! Dah ada pakwe baru ke?” Tersedak Eika mendengar soalan Sheila yang langsung tidak disangkanya. ‘Bila pulalah aku ada pakwe lama?’ Soal Eika sendiri.

“Hei... mengarut sahajalah kau ni!!” Terus Eika membantah.

“Okeylah kali ni aku betul-betul. Sebenarnya aku hairan tengok kau. Asyik diam je daripada tadi. Selalunya mulut kau tu tak ubah macam mulut murai tercabut ekor. Dah tu, kalau bercakap tak ada noktah. Macam si Sarimah Ibrahim!”

“Kau nak kutuk aku ke nak perli aku ni?”

“Dua-dua. He... he... tak adalah, aku gurau je. Eh, itu pun dia orang dah sampai!”

Jerit Sheila. Jari telunjuknya dihalakan ke arah mereka. Pantas Eika menoleh. Di hujung bangunan kelihatan rakan ‘Group Pengusik’ yang lain sedang berjalan sambil ketawa riang. Mereka melambai-lambaikan tangan dari jauh. Eika dan Sheila membalasnya.

“Hei kawan-kawan! Cepatlah sikit!” Laung Eika tidak sabar apabila mereka sudah semakin hampir.

“Sebenarnya kau kenapa, Eika? Macam ada sesuatu aje?” Soal Sheila ingin tahu.

“Alah... nanti kau tahulah!”

      Lizz berjalan seperti seorang model. Atin pula seakan-akan tomboy. Manakala Sue dan Eida pula berjalan sopan beriringan. ‘Apa pasal pula dengan budak dua ekor tu? Semacam je!’ Detik hati Atin. Mereka berjalan dengan lebih laju lagi.

“Hai... Assalamualaikum!!”

“Waalaikumussalam... marilah duduk sini kejap. Aku ada something nak tanya kat kau orang ni,” ajak Eika.

“Kenapa? Apa yang kau nak tanya sampai beriya-iya sangat ni?” Soal Lizz.

Ha’ahlah, dari jauh lagi kau orang dah macam ‘panggil-panggil’ kita orang.” Eida pula seperti kurang sabar. Manakala Sue dan Atin pula mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat mereka.

“Err.... kau orang ada buat apa-apa tak?” Tanya Eika memulakan siasatan.

“Buat apa? Kita orang tak fahamlah!”

“Yalah. Maksud aku, kau orang ada tak buat rancangan yang aku tak tau?” Eika seperti mendesak supaya mereka menjawab soalannya.

“Tak adalah. Kita orang tak ada buat apa-apa rancangan pun!” Ujar Sue.

“Betul tu, kenapa pula kau tanya?” Tanya Eida pula.

‘Kalau dia orang tak buat, siapa pula? Kalau tengok daripada gaya dia orang ni memang macam bukan. Lebih baik aku bagi tahu perkara sebenar. Manalah tahu, dia orang boleh tolong aku,’ fikir Eika di dalam hati.

“Kau orang jangan main-main tau!”

“Kita orang seriuslah ni!” Ujar mereka hampir serentak.

Kemudian Eika mengeluarkan failnya yang diletakkan di dalam meja. Surat tersebut tersimpan kemas di dalamnya. Sememangnya, dia ialah seorang yang berani menanggung risiko. Jika ada spot-check, pasti dia akan kena sekiranya dia meneruskan tabiatnya itu. Namun nasibnya selalu sahaja baik. Dia tidak pernah kena tangkap. Malahan dia bijak menyelitkannya di mana-mana.

Perlahan-lahan sepucuk surat dikeluarkan dari dalam fail. Manakala rakan-rakannya yang lain menyaksikan perbuatan Eika dengan penuh minat dan tanda tanya. Perasaan tidak sabar jelas terbayang pada riak wajah rakan-rakannya. Dibukanya surat tersebut lipatan demi lipatan. Sengaja dia melambatkan-lambatkan masa untuk melihat reaksi mereka yang disyaki.

“Eh... eh... suratlah! Surat apa tu Eika?” Tanya Eida spontan.

“Sabarlah dulu, tak larinya surat ni,” balas Eika acuh tak acuh.

“Nah, kau orang bacalah sendiri surat ni! Aku ingatkan, kau orang yang tulis.”

Pantas sahaja mereka menyambar surat tersebut sebaik sahaja Eika menghulurkan. Kemudian, pelbagai reaksi dipamerkan oleh mereka. Ada yang ketawa, ada yang tersenyum penuh makna, dan tak kurang juga yang mencebik. Mungkin meluat dengan bahasa yang digunakan oleh si penulis.

“He’e..... bestnya kau! Ada juga orang yang nak bagi surat. Aku ni, satu hapa pun tak ada,” suara Atin seolah-olah mengeluh.

“Apa pula! Dia tu lagi ramai pakwe, keliling pinggang!” Balas Eika. Atin hanya tersenyum simpul mendengarnya. Betul juga. Detik Atin dalam hati.

“Eika... kau dengar sini ya! Sumpah kita orang tak tulis surat ni. Terpulanglah pada kau sama ada mahu percaya atau tidak,” jelas Sheila bersungguh-sungguh.

Mereka faham dengan perangai Eika yang tidak begitu mudah mempercayai kata-kata seseorang. Hatinya begitu keras hingga sukar dipermainkan. Kerana itulah ramai lelaki yang berputus asa apabila cuba memancing hatinya yang masih belum berpunya.

“Yalah.... aku percaya kat kau orang!!” Balas Eika.

“Apa kata kita selidik siapa yang hantar surat ni. Sekurang-kurangnya.... kita boleh tahu siapa boyfriend Eika. Setuju??” Cadang Sue tiba-tiba.

“Eh... sejak bila pula manusia halimunan ni jadi boyfriend aku hah? Kau orang ni... janganlah cepat sangat buat andaian! Pandai-pandai je. Entah-entah cuma orang nak main-mainkan aku je kot. Siapa tahu?” bantah Eika separuh merajuk.

Group Pengusik’ hanya membiarkan Eika merajuk. Mereka langsung tidak risau memandangkan sikap Eika yang sememangnya tidak suka marah-marah atau merajuk. Jika ada pun mungkin ia hanya lakonan semata-mata. Eika memang ada bakat lakonan semula jadi. Cuma tidak dikembangkan.

Namun demikian, dia begitu gemar menangis. Eloklah tu, boleh bikin gempak dalam lakonan. Eika ni pelik sedikit perangainya. Mana tidaknya, jika orang lain menangis kerana berasa sedih, dia pula menangis kerana berasa geram. Orang lain punyalah sakan menangis kesedihan, dia masih boleh tersenyum lagi. Kelakar tengok riak wajah orang menangis katanya. Suka hati dialah. Asalkan dia bahagia dan yang paling penting... tak menyusahkan sesiapa.

Adakala rakan-rakannya juga sukar memahami sikap Eika walaupun sudah lama berkawan rapat. Ada masanya, tindakan yang dilakukan oleh Eika di luar jangkaan orang lain. Sudah acapkali mereka menasihatinya. Namun dia buat ‘pekak’ sahaja. Tetap keras kepala mengalahkan batu.

“Lantaklah!!” Tiba-tiba Eika menjerit membuatkan rakan-rakannya terkejut.

“Lantaklah apa Eika??”

“Lantak halimunanlah dia nak buat apa pun. Asalkan jangan buat aku marah sudahlah! Sampai ke lubang semut aku akan cari dia. Tak payahlah kau orang nak siasat-siasat. Kan dia sendiri dah cakap, suatu masa nanti aku akan tahu juga. Kalau dia betul-betul jujur dan ikhlas, lambat laun pasti dia akan tunjukkan muka juga. Masa tu, bolehlah kau orang tengok muka dia, handsome ke... tidak ke...muka dia lonjong ke..bulat ke..empat segi ke...!”

Tegas Eika panjang lebar tetap dengan pendiriannya. Langsung menyangkal cadangan mereka. Masih sempat melawak pula dihujung ucapannya. Mereka yang mendengar tidak mampu berkata apa-apa lagi. Hanya gelengan kepala sahaja membalas kata-kata tersebut.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Novel: Ops! Pintu Hatiku - bab 5 (sebelum diedit)


“Kenapa kau tak nak bagi tahu nama kau tadi, Sheila? Rugi tau!” Tanya Sue sebaik sahaja mereka duduk di sebuah pondok selepas meninggalkan geng Shahirul Hazami.

“Malaslah! Bukannya aku kenal dia pun. Tengok pada rambut besarnya tu aje, aku dah geli. Inikan pula nak berkenalan. Heee... tak payahlah!” Jawab Sheila geli geleman.

“Entah-entah malaun yang lagi tiga orang tu dah cakap siapa nama kau. Cuma sengaja dia buat-buat tak tahu. Biasalah, lelaki!” Balas Lizz.

“Ya tak ya juga! Lagi-lagi si Am pakwe si Eida tu. Dia tu memang banyak mulut,” sampuk Atin pula.

“Hei.... sejak bila pula budak banyak mulut tu jadi pakwe aku? Meluat sungguh aku tengok muka sepuluh sen dia tu,” rungut Eida.

“Kau jangan cakap macam tu, Eida. Silap hari bulan, dia tu bakal jadi suami kau nanti ha... ha... ha....” Usik Sheila tidak mahu ketinggalan daripada menyakat Eida.

“Eee... tak kuasa den!”

“Lizz... kau pula, jangan lepaskan si Zaini tu. Yalah, jejaka idaman hati kau!” Tiba-tiba Sue mengusik Lizz.

“Eh, tadi kau orang kenakan Sheila. Lepas tu Eida. Sekarang ni aku pula? Kau orang jangan. Sekali aku belasah kang.... melayang sampai Bangladesh. Nak??” Ugut Lizz.

“Amboi, garangnya mak nenek ni!” Balas Atin. Lizz menjegilkan mata.

“Eh... Eika, kenapa kau diam aje ni? Kau tak gembira ke?” Mereka menukar tajuk perbualan.

Sejak mereka meninggalkan Shahirul Hazami, baru kini Sheila menegur Eika. Sheila tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu. Dia tidak pernah melihat Eika diam seribu bahasa.

“Ha?? Eh, tak adalah. Aku nampak macam tak gembira ke? Tak perasanlah pula. Aku gembira apa ni. He he he...” Eika pura-pura ketawa. Cuba berlagak biasa. Sheila memandangnya dengan penuh makna tersirat.

Akhirnya ‘Group Pengusik’ pulang pada lewat petang. Sheila dan Eika telah berkawan baik sejak dari tadika lagi. Mereka amat faham akan hati budi masing-masing. Maka itulah Sheila sedar dengan perubahan sikap Eika. Mereka tidak pernah bergaduh. Malahan rumah mereka juga berdekatan. Ini semua mengeratkan lagi ikatan persahabatan mereka.

Selain itu, keluarga mereka juga bergaul rapat. Khairul Azlan ialah rakan pena Eika. Mereka agak rapat sejak akhir-akhir ini. Eika senang berkawan dengannya kerana Khairul Azlan berfikiran terbuka.

Kelihatan Eika berjalan mundar-mandir di anjung rumah. Hatinya resah menunggu kepulangan si adik. Eika telah mengarahkan adiknya itu pergi ke kedai untuk mengambil surat. Menurut kata pemilik kedai tersebut, surat Eika telah tersalah hantar. Sepatutnya surat itu dihantar ke peti surat yang terletak di hadapan rumahnya.

Sememangnya Eika sedang menunggu surat daripada seseorang. Jangan tidak percaya, masih ada lagi yang menggunakan surat dalam perhubungan di dalam zaman cyber yang canggih kini. Itulah uniknya cita rasa Eika.

“Hissy... mana pula budak ni pergi? Lambatnya, dia ni ambil surat ke buat surat?!” Rungut Eika sendirian

Tidak berapa lama kemudian, Eddy yang sedang belajar di tingkatan dua itu kelihatan sedang menunggang motosikal menuju ke halaman rumah. Adik lelakinya itu memang sudah pandai menunggang motorsikal walaupun baru berusia empat belas tahun. Lesen? Hmm... sudah pastilah tiada. Umur empat belas tahun tidak layak untuk mengambil lesen memandu. Jika tertangkap polis, tanggunglah sendiri.

Eika pula hanya pandai membonceng motorsikal. Pernah juga dia berangan-angan untuk membawa sendiri motorsikal yang terdapat di rumahnya itu. Namun apabila difikirkan kembali, dia berasa takut. Agaknya mahu start enjin sahaja pun tidak hidup-hidup. Angan-angannya itu terbawa-bawa hingga ke alam mimpi. Apa tidaknya, pernah dia bermimpi menunggang sendiri motorsikal itu. Namun yang hairannya, enjin motorsikal itu mati. Bagaimana motorsikal boleh bergerak dengan enjin yang tidak dihidupkan? Dia terus ketawa terbahak-bahak tatkala bangun daripada tidur. Teringat-ingat akan mimpinya yang kelakar itu. Kesudahannya, basikal sahajalah yang dia terror dalam menunggangnya.

“Akak ni sihat ke tak? Ketawa seorang-seorang!” Sergah Eddy.

Oppocott!! Hisyy... Eddy ni suka buat akak terkejut,” rungut Eika sambil mengurut dadanya yang berombak kencang.

Sorry. He he!” Eddy meminta maaf dengan sengihan kerang busuknya.

“Kenapa adik lambat sangat? Adik ambil surat ke buat surat?” Pantas Eika bertanya. Eddy hanya tersenyum-senyum sambil memegang sepucuk surat berwarna merah tua ditangannya.

“Tadi Eddy tulis surat dulu. Lepas tu Eddy buat sampul surat pula. Sebab tulah Eddy lambat. Sorry ya, kak!” Eddy meminta maaf sambil bergurau.

“Pandailah Eddy nak bodek akak ya! Penat tau akak tunggu kat sini!” Eika masih lagi merungut. Eddy ketawa melihat perangai kakak kesayangannya itu.

“Alah... kakak ni, Eddy dah ambil surat ni pun ucaplah terima kasih. Nanti, kalau Eddy tak nak bagi surat ni kat kakak, baru padan muka! Eddy bagi kat mama,” ujar Eddy seolah-olah mengugut kakaknya.

“Eh... eh... bak sini surat tu!” Pinta Eika.

“Tahu takut, nasib baiklah Eddy ni budak baik tau,” balas Eddy. Eika hanya mencebikkan bibir. Aduhai.... masuk bakul angkat sendirilah pula budak ni.

Eika terus menyambar surat itu daripada tangan Eddy. Kemudian dia terus membawa diri ke dalam bilik tidurnya.

Nur Elliya Shafeika...

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kiranya kehadiran warkah ini telah mengganggu situasi Eika. Sudah pasti Eika tertanya-tanya siapakah saya bukan? Sebenarnya sejak dahulu lagi saya telah memerhatikan Eika. Namun baru kini saya mendapat peluang untuk menulis surat ini.

Kalau Eika nak tahu, sebenarnya saya telah jatuh cinta pada Eika. Saya harap Eika tidak terkejut atau marah dengan pengakuan saya ini. Mungkin ia agak keterlaluan bagi Eika. Sememangnya itulah hakikat sebenar. Ia bukanlah mainan perasaan dalam imaginasi semata-mata.

Usahlah Eika berasa sangsi atau takut. Saya ialah seorang yang jujur. Saya sentiasa rasional dalam bertindak dalam apa jua keadaan. Saya tidak mahu Eika rasa ragu-ragu terhadap saya. Saya hanya perlukan secebis kepercayaan daripada Eika.

Saya akui, selama ini saya telah banyak mempermainkan perasaan insan bernama wanita. Sehinggalah saya menemui Eika. Saya mula mengenal erti rindu. Sekali gus saya bertekad untuk tidak akan memalingkan muka ke belakang lagi. Saya ingin memulakan hidup baru.

Bagaimana saya boleh mengenali Eika? Sedangkan Eika tidak dapat mengenali saya? Ha... itu adalah rahsia. Suatu masa nanti, Eika akan tahu juga. So, tunggu....!

Okeylah.. setakat ini dahulu coretan saya buat puteri idaman hati ini. Opps... sorry, terjiwang pula. Surat yang terhasil daripada coretan tangan ini akan lebih bermakna apabila dibaca. Tidak perlu emel dan tidak perlu SMS. Eika memang unik dan istimewa. Saya akan terus mengutus surat. Dan Eika tidak perlu membalas surat ini mahupun surat-surat yang akan datang. Hairan? Mengapa saya tidak membenarkan Eika membalasnya? Seperti yang saya katakan tadi, suatu hari nanti... Eika akan tahu juga..

Akhir kata, Sambutlah salam mesra penuh kerinduan dan salam perkenalan daripada saya hanya untuk insan yang saya sayangi... Nur Elliya Shafeika. Bye...

-PSH-

Eika terkejut sebaik sahaja selesai membaca isi surat yang baru diperolehinya itu. Dia sangka surat itu datangnya daripada Khairul Azlan. Kini jangkaannya itu meleset sama sekali.

PSH? Dia tertanya-tanya siapakah dan apakah maksud huruf PSH itu. Hatinya dihantui oleh perasaan ingin tahu. Entah mengapa, dia begitu mengambil berat akan kehadiran surat yang tidak diundang itu.

“Issy.... apalah aku ni. Entah malaun mana yang hantar surat ni. Entah-entah, orang nak main-mainkan aku kot! Heee... mengacau saja. Memang aku tak ingin pun nak balas surat kau ni. Mengarut saja!” Getus hati Eika sedikit berang.

“Ha... Eika! Surat daripada siapa tu?”

Soalan daripada Datin Sarina yang datang secara tiba-tiba itu memeranjatkan Eika. Dia langsung tidak perasan bilakah ibunya itu memasuki bilik tidur.

“Hah?? Eh... mama! Kenapa mama terkejutkan Eika. Tadi kalau Eika ada sakit jantung, dah pengsan agaknya,” ujar Eika spontan.

“Hissy kamu ni Eika! Kalau bercakap tu main sedap mulut saja. Cubalah fikir dulu sebelum bercakap. Tak elok buat perangai macam tu!” Nasihat Datin Sarina.

Sememangnya Datin Sarina amat menyayangi anak-anaknya yang cuma dua orang itu. Eika amat bersyukur dan gembira apabila berada di samping keluarga yang amat memahami.

“Okey... okey... Eika minta maaf banyak-banyak ya, mama! Oh ya... ada apa-apa yang mama nak beritahu Eika ke?”

Sengaja Eika menyoal ibunya agar soal surat yang baru diterimanya itu tidak akan ditimbulkan lagi. ‘Manalah tahu, entah-entah rakan ‘Group Pengusik’ yang cuba nak mengenakan aku. Nantilah kau orang! Jagalah!’

“Eh, kenapa dengan kamu ni? Mengelamun saja mama tengok. Ada masalah ke?” Sekali lagi suara Datin Sarina menyentap lamunannya.

“Ah! Tak ada apa-apalah. Apa tadi mama tanya?”

“Hah? Apa kamu ni sakit ke Eika? Mama tak ada tanya apa-apa pun,” hairan Datin Sarina melihat perangai Eika yang seperti orang ‘mamai’. Eika tersengih mendengar kata-kata Datin Sarina. Sebenarnya Eika hanya meneka sahaja. Manalah tahu, Datin Sarina ada menanyakan sesuatu semasa dia berkhayal tadi.

“Sebenarnya mama saje je masuk bilik kamu ni. Mana surat yang Eddy bawa tadi? Tadi mama nampak ada kat tangan kamu. Sekarang dah hilang pula!” Berdebar jantung Eika mendengarkan pertanyaan itu.

“Eika dah simpan tadi. Alah... surat daripada malaun yang Eika sendiri tak kenal. Menyibuk sahaja datang sini!”

Omel Eika agak marah seolah-olah sedang bercakap sendirian. Sementara itu, Datin Sarina kelihatan amat terkejut mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Eika. Sungguh dia tidak menyangka.

“Apa kamu cakap tadi? Malaun?” Pantas Datin Sarina menyoal.

‘Eh... alamak! Macam mana aku boleh terlepas cakap pula ni? Hissy.... lecehnya!’ keluh Eika di dalam hati tatkala menyedari keterlanjuran kata-katanya.

“Err... malaun? Hah... malaun tu nama kawan Eika mama!” Eika terpaksa berbohong.

“Kenapa pelik betul bunyinya tu? Orang apa?”

“Eh, tak mama. ‘Malaun’ tu nama gelaran je.”

“Habis tu? Apa nama sebenarnya? Lelaki ke perempuan?” Datin Sarina masih tidak berpuas hati. Seperti berteh jagung dia melontarkan soalan demi soalan tanpa sempat dijawab.

Pertanyaan Datin Sarina seterusnya itu menyebabkan Eika berfikir panjang untuk mereka-reka cerita. Eika sudah berpuas hati asalkan perkara yang sebenar tidak diketahui oleh ibunya.

“Perempuanlah mama. Namanya Malauni, sebab tulah dipanggil malaun. Sama dengan sebutan mula-mula nama dia tu,” reka Eika.

“Ooo.... pelik-pelik nama budak zaman sekarang ni ya,” suara Datin Sarina kemudian.

Eika ketawa di dalam hati. Kelakar pula melihat gelagat ibunya. Entah faham entahkan tidak dengan keterangannya. Semua itu hanya tipu belaka. Dia berazam tidak mahu menipu ibunya lagi. Tipu sunat apa salahnya? Fikir Eika lagi.

Kemudian Datin Sarina keluar dari dalam bilik Eika. Datin Sarina kembali meninggalkan Eika sendirian. Eika menarik nafas lega. Perasaannya sedikit terganggu. PSH.... masih banyak persoalan mengenainya yang belum terjawab. Dari manakah dia tahu nama dan alamat aku?

Diambilnya kembali surat yang telah berkedut seribu akibat mahu mengelak daripada diketahui oleh Datin Sarina sebentar tadi. Dibacanya sepintas lalu untuk kali kedua. Walaupun dia menganggap surat tersebut sebagai satu gangguan, namun hatinya masih tetap mahu membacanya berulang-ulang kali. Seakan ada daya penarik untuknya berbuat begitu.

Tiba-tiba bayangan rakan-rakannya menjelma kembali. Dia amat berharap ini hanyalah permainan mereka. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu terjebak ke dalam kancah percintaan. Dia berasa gerun apabila mendengar cerita daripada rakan-rakannya yang bercinta telah mengalami kekecewaan. Dia tidak mahu begitu. Jika bercinta pun, biarlah benar-benar bercinta. Bukan dijadikan bahan permainan. Dia benci dengan lelaki yang sewenang-wenangnya menyakitkan hati seorang insan bergelar perempuan. Benci sangat!

Buat masa sekarang, Eika mahukan kehidupan yang ceria. Kehidupan yang bebas daripada sebarang masalah percintaan. Tiba-tiba Eika teringat, Atin dan Eida memang kaki membodek orang. Manakala, Sheila Sue dan Lizz sering pula menyokong mereka.

‘Sampai akulah yang kau orang nak kenakan..... siaplah!!’


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.