Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku! - bab 9 (sebelum diedit)


kring!! Kring!! Kring...!!

Telefon di rumah Sheila menjerit-jerit nyaring minta diangkat. Sheila berjalan malas menuju ke meja telefon. Dia terpaksa juga meninggalkan kaca tv yang sedang menyiarkan rancangan kegemarannya. Dia memang tidak gemar apabila aktivitinya itu diganggu. Akhirnya dia mengangkat gagang telefon itu setelah membiarkannya dengan agak lama sebagai cara melepaskan geram.

“Helo!!” Jawab Sheila dengan suara yang kasar.

“Helo, Sheila ya? Akulah ni!”

“Siapa??” Masih kasar nada suaranya.

“Eikalah, amboi... kasarnya suara kau. Aku ingatkan, minah manalah yang angkat telefon tadi. Ini mesti tengah tengok tv kan?” Duga Eika. Dia faham benar dengan sikap Sheila itu.

“Tahu pun kau,” balas Sheila. Tidak sekasar tadi.

“Aku nak cakap sesuatu kat kau ni. Nak dengar tak?” Tanya Eika.

“Ehm... cakap ajelah.”

“Tadi, aku nampak Sue berjalan dengan seseorang kat Restoran Bayu tau. Amboi, mesra sungguh!” Beritahu Eika penuh ghairah.

Sheila mengerutkan kening. Tertanya-tanya akan kebenaran kata-kata itu. Sheila tahu Eika memang pandai berlakon. Suka sangat mengusik orang.

“Heh.... kau nak main-mainkan aku ya?”

“Eh taklah, ini cerita betul tau. Kau tak payah risaulah, kali ni aku tak reka cerita dan tak berlakon punya,” tegas Eika.

“Okey, dengan siapa?” Tanya Sheila ingin tahu.

“Dengan Reza,” jawab Eika laju.

“Reza mana pula ni? Budak kat kelas sebelah tu ke?” Teka Sheila.

“Yelah, siapa lagi! Si badut sarkis tu. Dah dia je nama Shah Reza kat tingkatan lima ni kan,” jelas Eika.

“Betul ke?” Sheila masih tidak berpuas hati.

“Kenapa? Tak percaya ke?”

“Tapi, aku hairanlah. Sue tak ada pula cakap apa-apa pasal Reza tu kat kita,” tambah Sheila lagi.

Eika ketawa geli hati. Takkanlah Sheila tak faham-faham lagi dengan perangai Sue tu. Dia faham, kalau tidak ditanya, bukannya Sue mahu beritahu sendiri. Kalau boleh, biarlah tiada orang yang tahu sampai bila-bila. Tapi yang peliknya, suka pula membongkar rahsia orang.

“Aii.... kau tak faham-faham lagi ke dengan perangai dia tu?”

“Faham. Masalahnya sekarang, aku tak faham dengan perangai kau ni. Kau telefon aku sebab nak cakap pasal ni sahaja ke?” Ujar Sheila.

“He... he... sorrylah ya. Sebenarnya aku bosanlah. Tapi apa yang aku cakap tadi tu betul tau,” jawab Eika serba salah.

“Aku dah agak dah. Kau ni mengacau aku sahaja. Pelik betullah. Perkara yang tak penting, laju sahaja kau beritahu. Kalau perkara yang penting tu, berbuih mulut baru kau nak bercakap.” Sheila mengomel.

“Taklah, aku rasa perkara yang tak penting tu penting juga.”

Sheila menggaru kepala. “Eh, kau ni cakap berbelit-belitlah. Pening aku dengar. Ada apa-apa lagi yang kau nak cakap ke?”

“Tak ada. Okeylah, bye.... assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” balas Sheila.

Klik. Gagang telefon diletakkan. Sheila kembali semula ke sofa tempat dia duduk tadi. Dia terus menutup suis televisyennya kerana rancangan yang ditontonnya tadi telah pun tamat. “Hai... bosannya. Sudahlah aku seorang kat rumah...” Keluh Sheila sendirian.

“Kalau tadi aku ajak Eika keluar kan best. Dia pun tengah bosan tu. Eh, aku ni asyik nak berseronok sahaja. Buatlah kerja sekolah!” Suara Sheila lagi. Pantas dia berlari-lari anak menuju ke tingkat atas.

“Ha... ha... ha... lawaknya!!” Kedengaran suara Sheila ketawa nyaring seorang diri di dalam bilik. Rupa-rupanya dia bukan mengulang kaji pelajaran. Tetapi, komik pula yang ditatapnya.

Ding....!! dong....!!

Hampir terpelanting komik yang berada dalam genggaman Sheila dek loceng rumah yang tiba-tiba berbunyi. Segera diletakkan komik tersebut di atas katil. Dia tahu pasti ibunya sudah pulang. Seperti lipas kudung dia berlari ke tingkat bawah. Dia malas mahu mengikut ibu dan ayahnya pergi ke Kelantan untuk mengunjungi saudaranya yang melangsungkan majlis perkahwinan.

Tanpa membuang masa Sheila terus membuka pintu. Serta-merta mulutnya terkunci sebaik sahaja pintu rumah terbuka dengan luas. Langsung tidak jadi mahu melaung nama ibunya. Tergamam menerima tetamu yang tidak diundang itu. Tubuhnya kaku tidak bergerak-gerak. Seperti patung cendana. Satu petikan jari hadir tepat di hadapan matanya.

Dia menggosok-gosok matanya berulang kali. Kemudian dia mencubit pipinya yang halus. Takut otaknya silap mentafsir apakah yang sedang terpamer di hadapan mata. Sementara itu, tetamu Sheila yang sedang tercegat itu hanya tersenyum melihat kelakuannya.

“Assalamualaikum!” Sheila terkejut mendengar salam tersebut.

“Wa... wa... waalaikumussalam!” Sambut Sheila tergagap-gagap.

“Err.... awak ni.... Hakimi kan?” Sambung Sheila sambil memandang tepat ke arahnya.

Pemuda itu sedikit terkedu. Mungkin tidak menyangka Sheila akan mengajukan pertanyaan sedemikian rupa. “Tak nak jemput saya masuk ke? Saya ada hal mahu bincang dengan awak,” dia tidak menjawab soalan Sheila. Malah menukar tajuk perbualan.

“Oh... ya.. maaf, silakan!” Pelawa Sheila.

Pemuda itu menjenguk ke dalam rumah dahulu sebelum melangkah masuk. Sheila tersenyum melihat gelagatnya. Kemudian mereka duduk di atas sofa yang paling hampir dengan pintu. Mereka dapat dilihat dari luar supaya tidak menimbulkan fitnah. Di dalam hati, Sheila tertanya-tanya, mengapa Hakimi datang ke rumahnya. Apakah perkara yang mahu dibincangkan itu? Penting sangatkah? Nasib baik ibu dan ayahnya tiada di rumah ketika itu.

“Err...!” Dia tidak jadi mahu bersuara memandangkan pemuda itu juga mempamerkan reaksi yang serupa.

“Tak apa, awak cakaplah dulu,” ujarnya kemudian. Bibirnya terlukis sebuah senyuman. Mungkin geli hati.

Sheila sekadar menganggukkan kepala. Dia juga tersenyum agak malu-malu. Dalam pada itu, dia terfikir mengapa Hakimi membahasakan dirinya ‘saya’ dan memanggilnya ‘awak’. Kebiasaannya Hakimi akan menggunakan perkataan ‘aku’ dan ‘kau’.

“Kenapa awak datang ke rumah saya?” Tanya Sheila ingin tahu. Serta merta wajah pemuda itu berubah. Riak wajah yang kelihatan sedikit gelabah itu dapat dilihat oleh Sheila.

“Yang sebenarnya..... saya, nak mintak maaf dengan awak,” suaranya mula menyampaikan hasrat sebenar.

“Mintak maaf? Oh.... mungkin pasal hari tu masa dekat kelas. Kita orang memang tak patut pandang awak macam itu. Tapi... sepatutnya kita orang yang kena mintak maaf! Bukannya awak,” balas Sheila kehairanan. Dia teringat kembali peristiwa rakan-rakannya yang sepakat memandang Hakimi kerana mengikut saranan Eika.

“Kenapa pula? Setahu saya, sayalah yang bersalah,” nyata sekali pemuda itu juga berasa pelik.

Sheila bertambah hairan melihat sikap pemuda yang disangkanya Hakimi itu. Dia tersedar Hakimi seolah-olah tidak mengerti apa yang telah diperkatakan olehnya sebentar tadi. Keningnya berkerut seperti sedang berfikir.

Tiba-tiba Shahirul Hazami membetulkan kolar kemeja yang dipakainya. Setahu Sheila, Hakimi tidak pernah berbuat seperti itu. Tetapi, Hakimi yang dikenalinya sebelum ini, suka menggaru belakang kepalanya tidak kira di dalam apa jua situasi pun. Malah, tidak pernah dia melihat Hakimi sekemas hari ini.

“Oh god! Maafkan saya. Saya rasa awak ni dah salah faham. Saya sepatutnya memperkenalkan diri saya lebih awal,” kata pemuda tersebut secara tiba-tiba.

Bulat mata Sheila mendengarnya.  
 
“Memperkenalkan diri??” Dia amat terkejut.

“Ya. Sebenarnya, saya bukan.....” Kata-katanya terhenti apabila tiba-tiba terdengar satu teguran dari arah pintu.

Mereka berdua amat terkejut. Dengan pantas mereka menoleh. Sheila lega apabila mendapati Eika yang tercegat di hadapan pintu rumahnya. Mujur bukan orang daripada Badan Pencegah Maksiat. ‘Lagipun inikan waktu siang. Eh, kalau dah duduk berdua-duaan, waktu siang pun boleh kena tangkap,’ fikir Sheila kemudian. Seram pula dia jadinya.

Mulut Eika tersengih memandang Sheila. Namun kemudian dia terkejut tatkala menyedari akan kehadiran Hakimi di dalam rumah tersebut. Sementara itu, Sheila hanya mampu mengetap bibir. Terlalu kerap dia dikejutkan dengan kehadiran Eika yang tidak mahu memberitahunya terlebih dahulu.

Tanpa dipelawa Eika masuk ke dalam rumah. Lalu dia duduk bersebelahan dengan Sheila dan berhadapan dengan pemuda tersebut. Dia terus merenung wajah pemuda di hadapannya tanpa berkelip. Manakala, pemuda itu pula berlagak selamba hingga akhirnya dia berasa serba salah dengan renungan Eika itu.

“Hoi!! Kau nak jadikan dia model ke?? Kau ni memang tak tahu malulah!” Tegur Sheila tiba-tiba.

Eika tersentak. Merah padam wajahnya apabila mengenangkan kelakuannya sebentar tadi. Pemuda itu hanya tersenyum ke arahnya. ‘Kelakar juga kawan Sheila ni,’ desis pemuda itu dalam hati. ‘Aik, sejak bila pula dia ni pandai senyum dengan aku? Tengok dari segi pakaiannya pula, fuh...!! Smart giler. Hampir tergoda aku. Tapi... dia ni kan selekeh sikit orangnya,’ fikir Eika pula.

“Maaflah ya! Dia memang macam ni perangainya. Jangan ambil hatilah,” Sheila meminta maaf bagi pihak Eika. ‘Apasal Sheila sopan sangat bila cakap dengan Kimi?’ Sekali lagi fikiran Eika diserbu persoalan.

Pemuda itu hanya menggeleng yang menandakan dia tidak ambil hati. Eika menyiku lengan Sheila. Mungkin marah kerana Sheila telah membongkar keburukannya. Sheila hanya menjeling.

“Teruskanlah apa yang awak nak cakapkan tadi tu,” pinta Sheila kepada pemuda tersebut.

“Eehh... nanti dulu!! Apa yang kau orang tengah bincangkan?” Pantas Eika memotong.

“Hee... kau ni, kacau daun betullah. Kalau kau nak tahu, dengar sahajalah. Kalau tak nak dengar pun, kau pergi dengar radio tu,” balas Sheila.

“Yalah..... nak halau akulah tu! Okay tak apa. Sebenarnya, aku pun singgah sekejap aje ni! Mama aku tengah tunggu kat luar tu. Aku balik dululah ya. Bye....” Kata Eika lalu bersalaman dengan Sheila. Kemudian dia terus menonong ke pintu.

Sorrylah Sheila, mengacau kau berdua je!!” Sempat lagi dia menjerit walaupun sudah berada di luar rumah.

Sheila menggeleng perlahan. Dia tahu, pasti Eika sedang membuat andaian yang bukan-bukan terhadap dirinya dengan Hakimi. Walhal, dia sendiri masih tertanya-tanya apakah tujuan sebenar kedatangan lelaki itu.

“Baiklah, sebenarnya saya nak beritahu awak. Saya ni sebenarnya bukan..... Hakimi seperti yang awak sangkakan!” Penjelasan itu menyebabkan Sheila tersentak. Sheila memandang tanpa berkelip.

“Awak jangan main-main! Awak nak tukar character ke?”

“Eh, bukan macam tu! Saya betul-betul serious ni. Bukan juga nak tukar character. Hakimi tetap Hakimi dan saya tetap saya!” Tegas pemuda itu lagi.

“Habis tu, siapa awak??”

“Saya tak mahu awak terus salah sangka. Sebenarnya saya ialah abang kepada Hakimi. Nama saya Shahirul Hazami. Selamat berkenalan!” Jelas Shahirul Hazami seraya menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Sheila menyambut juga huluran itu walau hatinya masih berasa ragu dengan kemunculan Shahirul Hazami yang secara tiba-tiba itu. Sheila akui, memang terdapat sedikit perbezaan dari segi perwatakan Shahirul Hazami jika dibandingkan dengan Hakimi. Namun dari segi paras rupa, amat sukar untuk dicari kelainannya. Hari ini Shahirul Hazami tidak mengenakan rambut palsu. Menyebabkan Sheila sukar membezakan wajah pasangan kembar tersebut.

“Tapi, muka awak serupa sangat dengan Kimi. Boleh buat orang keliru. Saya pun hampir tertipu kalau awak tak beritahu tadi,” luah Sheila.

“Kami kan adik-beradik, seibu sebapa. Tak hairanlah bukan?” Balasnya seraya tersenyum manis.

Secara tiba-tiba jantung Sheila berdegup kencang. Dirasakannya senyuman Shahirul Hazami itu amat mempesonakan. Tidak pernah dia berperasaan sebegitu selama ini. Namun dia hanya menyimpan perasaan itu jauh di sudut kalbunya. Sudah menjadi tabiatnya tidak akan meluahkan soal hati kepada orang lain.

“Awak kenal rakan-rakan Kimi?” Sheila bertanya sekadar ingin menguji.

“Maksud awak Zaini, Am dan Mamat ke? Saya teramatlah kenal dengan mereka tu. Maklumlah, kami dah berkawan sejak dahulu lagi!” Jelas Shahirul Hazami bersungguh-sungguh.

Sheila terangguk-angguk mendengar penjelasan tersebut. Shahirul Hazami melemparkan pandangan ke arah perabot dan perhiasan yang ada di sudut ruang tamu itu.

Buat seketika dia menjadi kagum. Letakan perabot dan perhiasannya nampak tersusun dan artistik. Dan gelagatnya itu sedang diperhatikan oleh Sheila dengan teliti. Sheila pantas melarikan matanya apabila Shahirul Hazami mengalihkan pandangan ke arahnya.

“Baiklah, saya percaya kat awak! Tapi..... kenapa awak beritahu semua ni kepada saya?” Pertanyaan Sheila itu menyebabkan Shahirul Hazami kelihatan serba salah.

“Sebab..... err.. saya cin...”

“Apa? Maaf, boleh cakap kuat sikit!” Teguran Sheila memeranjatkan Shahirul Hazami. Dia tidak sedar, rupa-rupanya suara yang keluar daripada kerongkongnya tadi amat perlahan.

“Maaf, sebabnya saya cuma tak mahu awak keliru di antara saya dengan adik saya. Saya teringin sangat nak berkawan dengan awak. Sebenarnya kita dah selalu juga terserempak bersama. Cuma, mungkin masa tu awak tak kenal saya,” bongkar Shahirul Hazami.

“Terserempak?”

“Ya, pernah sekali tu awak layan saya macam Hakimi,” balasnya lagi sambil tertawa kecil.

Sheila terkejut. Alangkah malunya jika benar dia telah tersalah orang. Sheila menundukkan kepalanya.
“Sebenarnya, saya.... saya sukakan awak!” Lancar sahaja pertuturan Shahirul Hazami di akhir ucapannya.

Sepantas kilat kepala Sheila terdongak. Terasa seperti di alam mimpi. Benarkah apa yang aku dengar ini? Benar... benarkah dia sukakan aku? Sukar untuk Sheila mempercayainya. Tiada siapa pun di dunia ini yang pernah meluahkan perasaan terhadapnya. Dia tertanya-tanya bagaimanakah Shahirul Hazami boleh mengetahui nama dan alamat rumahnya. Mungkin Hakimi..... Ah! Biarlah!

Melihat keadaan yang semakin dingin itu, Shahirul Hazami cepat-cepat meminta diri. Tiba-tiba terbit perasaan malu dalam hatinya. Menyesalkah dia kerana membongkar rahsia adik beradik itu? Dan, adakah tidak patut dia meluahkan perasaannya tadi? Mungkin terlalu cepat dan tergesa-gesa. Ahh.... pening!!


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Novel: Ops! Pintu Hatiku! - bab 8 (sebelum diedit)


Krriiiiinnggg!!!!

Loceng tamat waktu persekolahan berdering panjang. Para pelajar pantas berlari keluar dari dalam kelas seperti pelajar darjah satu. Ada juga yang berebut-rebut. Entah apa yang dikejarkan sangat. ‘Group Pengusik’ masih berkumpul di dalam kelas. Sengaja mahu keluar lewat.

Sedari tadi lagi Eika asyik memerhatikan tingkah laku Hakimi yang sedang mengemaskan beg sandangnya. Dia cuba mengingati sesuatu. Wajah Hakimi telah mengingatkannya kepada seseorang. Siapa agaknya ya?? Rakan-rakannya pula asyik memerhatikan kelakuannya itu. Mereka hairan. Apa yang tidak kena dengan Hakimi sampai begitu sekali aksi yang Eika pamerkan??

“Eika, apa yang kau tengok tu? Kenapa dengan Hakimi?” Soal Lizz. Eika tersentak.

“Ah, tak ada apa-apalah! Err... cuba kau orang tengok wajah Kimi. Aku macam pernah nampaklah,” spontan mereka serentak menoleh ke arah Hakimi.

“Eh, selama ni mana kau letak mata tajam kau tu? Dia tu kan pelajar kelas ni. Jadi ketua lagi tu. Mestilah hari-hari menghadap muka dia! Apa kena kau ni?” Balas Eida.

“Bukan itu maksud aku! Cuba kau orang tengok dia betul-betul. Macam ada iras wajah seseorang,” kata Eika lagi.

“Aku pun rasa macam tu gak. Alah kau ni pun.... kan ada tujuh orang muka yang sama. Lagi-lagi muka macam dia tu,” suara Sheila pula.

“Bukan....” kata-kata Eika terus tergantung di situ.

“Eh, kau ni Pelik-peliklah.... entah apa-apa entah!”

Tiba-tiba Hakimi seolah-olah tersedar bahawa dia sedang diperhatikan. Kemudian dia menoleh ke arah ‘Group Pengusik’. Sepantas kilat mereka menoleh ke arah lain. Namun Eika tidak sedar. Dia terus merenung wajah Hakimi. Hakimi jadi serba salah apabila tiada reaksi daripada Eika seperti rakan-rakannya yang lain.

“Kenapa kau tengok aku macam tu?” Tanya Hakimi.

Pertanyaan itu berjaya mengembalikan Eika ke alam realiti. Dia amat terperanjat dan mahu melarikan pandangan matanya. Namun dia tahu dia sudah terlambat untuk bertindak begitu. Serta merta dia berasa amat malu dan menyesal. Terbayang kulit wajahnya yang setabal dua inci menahan malu.

“Hah?! Err... tak... ak... aku....aku cuma tengok stail rambut kau tu je. Sesuai dengan bentuk muka kau,” cepat-cepat dia mencipta alasan. Tak kisahlah walau tergagap-gagap sekali pun. Janji lepas......!

“Ya ke? Tapi....”

“Ah! Sorry Kimi! Aku... aku nak balik dulu. Bye!” Ujar Eika masih tergagap-gagap.

Dia terus melangkah keluar. Rakan-rakannya juga turut mencapai beg masing-masing dan terus mengekori jejak langkah sahabat mereka yang sedang dilanda perasaan malu itu. Sementara itu, di dalam kelas, Hakimi termangu-mangu sendirian kerana diperlakukan sebegitu.

Dia tertanya-tanya di dalam hati. Kelakuan Eika sungguh pelik. Selama ini tidak pernah pula dia berbuat begitu kepadanya. ‘Adakah Eika sudah.... ah... tak mungkin itu! Eika takkan...!!’ Ada sesuatu sedang bermain-main di benak fikiran Hakimi. Sesuatu yang membuatkannya risau. Risau rancangannya terjejas. Rancangan yang hanya dia seorang yang tahu.

Eika berjalan dengan langkah yang amat laju. Sheila terpaksa berlari-lari anak untuk mengejar Eika. Begitu juga rakan-rakannya.

“Kenapa kau orang tak cakap dengan aku tadi? Sampai hati kau orang biarkan aku seorang-seorang dok tengok muka dia. Minta-minta dia tak fikir yang bukan-bukan tentang aku!” luah Eika sebaik sahaja mereka bersaing. Spontan Sue ketawa.

“Ha... kita orang saje je buat macam tu. Manalah tahu, si Kimi tu boleh jadi pakwe kau! Muka pun handsome. Ramai pula tu yang tergila-gilakan dia. Sure ramai orang jealous punyalah,” ujar sue sambil disokong oleh mereka.

Eika hanya tersenyum sinis mendengarnya. Langsung tidak terfikir akan kebenaran kata-kata yang baru diluahkan oleh Sue. Tidak terlintas sama sekali mahu memenangi hati pemuda yang memang digilai oleh ramai wanita itu.

Ah!! Tak mungkinlah!! Harap muka sahaja kacak. Sebagai pengawas dan ketua kelas lagi tu. Tapi.... perangainya? Huh, masha-ALLAH! Teman wanita boleh dikatakan keliling pinggang!

“Hee... budak tu? Kau nak dia jadi pakwe aku? Hai.... sorrylah beb. Kalau dah dasar playboy tu playboy juga. Kirim salam jelah kat dia yek!!” Balas Eika.

“Kau tak boleh cakap macam tu, Eika. Itu dululah. Sekarang dia bukan lagi playboy tau. Untuk pengetahuan kau, dia dah jadi budak baik,” bela Atin. Eika hanya mencebikkan bibirnya.

“Eleh.... dah insaflah tu kononnya. Eh, yang kau ni asyik nak menangkan dia je kenapa? Ha... entah-entah kau yang minat kat dia ya, Atin?” Sindir Eika geram. Atin ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Yalah Atin, kau suka dia ya?” Kali ini Lizz pula yang bertanya.

“Hei... siapa pula kata aku suka dia? Lagipun, aku tengok dia tu asyik pandang tempat Eika je. Takkan kau orang tak perasan kot!” Ujar Atin kemudian.

“Ha... ha... jangan nak buat cerita pula. Aku benci betul lelaki yang suka-suka mempermainkan perasaan wanita. Silap hari bulan, kena juga penumbuk sulung aku ni ha!” bantah Eika sambil mengangkat tangan kanannya.

Ha’ah, yalah tu. Sekarang bolehlah cakap. Silap hari bulan juga, si Hakimi tu bakal jadi suami kau. Baru kau tahu!” Balas Atin lagi.

“Mana kau tahu?”

I knowlah!”

“Hissyy.... sudah-sudahlah tu! Asyik bertikam lidah saja kau orang ni,” lerai Eida.

Akhirnya mereka berpisah di hadapan pagar sekolah. Kini tinggal Eika dan Sheila sahaja. Eika menoleh ke arah Sheila di sebelahnya. Dia sedar bahawa teman karibnya itu asyik membisu sahaja dari tadi.
“Ada apa-apa yang tak kena ke, Sheila?” Tegur Eika tidak lama kemudian.

Sahabat Eika yang seorang ni memang sukar untuk meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Sukar meluahkan walau kepada siapa pun. Dia begitu perahsia. Mujur Eika pandai mencungkil rahsia. Goreng sana goreng sini, keluarlah isi hati Sheila itu.

“Semuanya okey, kau janganlah risau. Cuma mulut aku ni penatlah asyik bercakap sahaja. Sebab tu aku diam.” Sheila mencipta alasan.

“Sheila, kau tak sepatutnya.....”

“Okey, okey.... cukup. Aku tahu kau pun perasan dengan keadaan aku yang senyap je tadi kan? Oleh itu, aku dah malas nak dengar pujukan-pujukan kau yang boleh membuatkan aku terkedu. Susah betul aku nak simpan rahsia daripada kau tau. Ada-ada saja taktiknya,” potong Sheila.

“Ha, macam tulah baru kawan sejati,” ujar Eika sambil tersenyum nakal.

“Sebenarnya tadi aku pelik. Apasal kau pandang Kimi semacam je? Macam nak telan dia hidup-hidup pula,” tanya Sheila.

Spontan Eika membulatkan matanya. Tidak sangka Sheila sedang berfikir tentang kelakuannya terhadap Hakimi. Pemuda yang merupakan pelajar paling popular di sekolah.

Come on... cakaplah Eika. Aku ada something nak cakap tentang dia ni. Tapi, aku tak pasti sama ada dia ialah orang yang sama atau tidak,” kata Sheila separuh mendesak.

“Sebenarnya... aku rasa, wajah Kimi tu macam pernah aku jumpa sebelum ni. Tapi yang pastinya, bukan di daerah ini dan aku tak dapat nak ingat kat mana,” luah Eika kemudian.

“Ha, aku tahu kat mana kau pernah jumpa dia, Ingat tak dulu kita pernah pergi ke Pulau Pangkor?” Duga Sheila.

“Pulau Pangkor? Ya.... baru aku ingat!” Jerit Eika tiba-tiba.

“Muka Kimi macam kawan Zaini, Am dan Mamat tu kan? Tapi, stail rambut dia tu memang kelakar! Sampai kau kata dia badut kan? Tapi... tak mungkin Kimi nak pakai rambut palsu macam tu pula,” kata Sheila hairan.

“Ya tak ya juga! Tapi kan.... masa tu bukankah Kimi ada aktiviti kat sekolah kita. Macam mana dia boleh ada kat sana pula?” Ujar Eika pula.

“Katakanlah, kalau betul Kimi yang ada kat sana kan, kenapa dia tanya siapa nama aku? Siap panggil saudari lagi. Macamlah dia tu tak kenal kita semua. Rakan sekelas dia tau! Tak ke pelik tu?” Sheila dan Eika semakin bingung.

“Eika, dah lama aku nak tanya kau soalan ni. Kenapa perangai kau pelik masa kat Pulau Pangkor dulu??” Serius pertanyaan Sheila.

“Erm.... sebab aku macam kenal dengan lelaki yang kacau kau dulu. Tapi samar-samar. Aku tak dapat lari daripada memikirkan pasal dia. Aku nak tau sangat siapa dia. Dan sekarang, aku dah faham. Aku memang tak kenal dia. Aku yang salah faham... ingatkan Hakimi menyamar jadi orang lain,” luah Eika tanpa berselindung lagi. Tersingkap sudah segala persoalan yang membelenggu fikiran Sheila selama ini.

“Ooh... kau ingat Kimi menyamar. Kalau betul dia menyamar pun, mesti sebab dia nak mengurat kau. Apa kejadahnya dia pegi mengurat aku pula?” Bingung Sheila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Eika.

“Kau percaya tak kalau aku kata..... Kimi sebenarnya suka kat kau?”Eika cuba menduga sesuatu.

“Eh... eh... jangan merepek boleh tak, Eika?” Sheila menyangkal dakwaan yang telah dibuat oleh Eika. Keningnya berkerut. Beg sandang di dalam pelukannya semakin kuat digenggam. Apa agaknya yang ada di dalam fikiran Eika? Sheila tidak dapat mengagak.

“Betul ni. Aku tak merepek la, Sheila. Andai kata..... andai kata Kimi betul-betul suka kat kau. Kau suka kat dia tak?” Eika semakin tegas dengan pertanyaannya. Entah apa tujuannya bertanya begitu.

“Eika, Kimi suka kat kau. Bukan kat aku,” Sheila membela diri. Peliklah Eika ini.

“Kalau aku tak suka dia, kau suka dia tak?” Soalan Eika semakin melalut.

“Kau demam ya, Eika?” Sheila menukar tajuk perbualan.

Jelaslah bayangan Hakimi sering bermain-main di ruang fikiran Eika. Sikap dan tingkah laku kau telah berubah. Kau tidak sedarkah? Kau kelihatan risau. Apa yang kau risaukan, Eika? Aku tak ada hati dengan Kimi. Percayalah.... Sheila mengeluh sendiri.

Pon!! Pon!! Pon....!!

Kedengaran bunyi hon kenderaan yang sangat kuat. Mereka amat terkejut. Terbantut sudah perbualan mereka yang baru sahaja hendak rancak itu. Eika kelihatan agak berang. Sheila menoleh ke belakang. Kereta itu amat dikenalinya. Dia mahu memberitahu namun Eika telah membuka mulutnya terlebih dahulu.

“Menyibuk sahajalah bunyi hon tu! Tak boleh tengok orang senang sikit. Jalan ni pun bukannya kecil sangat. Besar lagi. Buta ke? Sekali aku terajang karang, baru dia kenal siapa Nur Elliya Shafeika.”

Eika terus memarahi tanpa melihat kereta tersebut walau dengan sebelah mata. Sheila hanya menelan liur mendengar kata-kata Eika. Memang dia faham dengan sikap Eika yang tidak suka diganggu. Tambah-tambah lagi jika sedang rancak berbual.

“Hei mak cik oii.... jaga sikit mulut kau tu. Ada orang balik rumah jalan kaki karang. Aku tak tanggung. Baru padan dengan muka tu,” tegur Sheila.

Teguran Sheila itu membuatkan Eika menoleh ke belakang. ‘Alamak.... nasib baik tingkap tertutup. Mesti dia tak dengar apa aku cakap tadi.’ Eika menarik nafas lega. Pemandu di dalam kereta itu kelihatan tersengih memandang Eika. Pantas Eika membalasnya dengan senyuman.

“Alamak, pemandu aku dah sampailah. Aku balik dululah ya. Kau jangan risaulah, dia takkan berani tinggalkan aku kat sini.”

“Ha.... tahu pun nak balik. Lain kali kutuklah lagi. Dibuatnya dia tinggalkan kau betul-betul. Bagus juga, boleh juga exercise!” Sindir Sheila.

“Baiklah nek.... pandai nek bagi nasihat kat cu. Cu janji nek. Cu tak buat lagi ya,” sempat juga dia mengusik Sheila sebelum masuk ke perut kereta mewah milik keluarganya.

Sheila cuma tersenyum sambil menggeleng-geleng kepala. Eika... Eika... kaulah sahabat sejatiku. Usah kau ragui keikhlasanku lagi.


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.