Khamis, 22 Mac 2012

Saya Sayang Kamu

Saya nampak anda keluar masuk ke blog saya. Mula-mula saya hanya memandang. Tak apalah, anda hanya membaca apa yang saya paparkan di dalam blog, detik hati saya sejujurnya.

Namun lama kelamaan, hati saya berdetik lagi. Alangkah bagusnya kalau saya dapat berinteraksi dengan anda semua merangkap pembaca kepada karya saya yang tidak seberapa ini. 

Saya menghargai kehadiran anda, saya menyedari kehadiran anda, namun saya tidak dapat menikmati kehadiran anda. Jika sudi, tinggalkanlah jejak anda di ruangan komen atau chatbox supaya saya dapat melihat dan membaca sama seperti anda. 

Saya sayang anda semua kerana saya tahu anda ada di sana walau anda hanya menyepi. 

Saya mahu anda sedar bahawa andalah semangat saya. Tanpa kehadiran anda, tidak mungkin saya mampu berkarya. 

Bagai irama dan lagu... Bagai uda dan dara... Bagai tangkai dan bunga... Bagai tulisan dan pembaca.... Bagai pemberi dan penerima... tanpa salah satu daripadanya, ia bagai tiada makna. Begitulah ibaratnya, saya dan anda.

Muahh ♥ (^_^) ♥ buat semua yang sudi menyokong saya selama ini.
~Sama-sama kita melihat dan membaca~

E-Novel: Sinopsis Ops! Jangan Main Cinta


Sinopsis Ops! Jangan Main Cinta

Nur Elliya Natasha..... dia merupakan seorang gadis yang bermulut lancang. Sejak kecil dia menyukai seseorang. Bila usia meningkat dewasa, dia semakin pasti bahawa lelaki itu adalah lelaki pujaan yang dicintainya. Namun dia tekad untuk menyimpan sahaja perasaan itu kerana sepotong ayat yang pernah diucapkannya kepada lelaki itu. Bak kata peribahasa Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Itulah dia Nur Elliya Natasha, siapa suruh tidak sayangkan mulut. Alahai.... siapa sangka dalam ceria hati merana.

Faizal Azhar.... pengalaman menjadikan dia seorang lelaki yang serius dan sukar didekati. Namun terdapat ciri-ciri hero dalam dirinya kerana dalam tidak sedar segala tindakannya sering membuat hati wanita cair bak lilin dibakar. Cinta? Jangan main-main. Sekali dia mencintai, tidak akan dia lepas pergi. Sekali dia dikhianati, hati seakan mati. Bahaya!

Nur Elliya Natasha dan Faizal Azhar mempunyai ikatan kekeluargaan kerana mereka sepupu. Keluarga masing-masing mempunyai niat untuk menyatukan mereka namun bukan dengan cara memaksa. Zaman makin moden, tak mainlah kahwin-kahwin paksa macam zaman dahulu kala. Namun Nur Elliya Natasha dan Faizal Azhar punya cara fikiran berbeza. Lantas dapatkah mereka bersama?

Nantikan kisah selanjutnya dalam helaian demi helaian.... bab demi bab... hingga ke muka surat terakhir Ops! Jangan Main Cinta. Sebuah kisah kesinambungan generasi kedua dari novel Ops! Pintu Hatiku.

Selasa, 20 Mac 2012

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 1


JANTUNG Afira berdegup pantas. Tidak terungkap perasaan Afira tika ini. Gembira, sedih, blur, dan segala macam lagi perasaan yang berhimpun di dalam hati. Sejak Afira mula menginjakkan kaki di tanah universiti ini, dia berasa amat asing dan kekok. Pelajar baru, ibu bapa, dan fasilitator yang bersimpang-siur di sekelilingya cukup memeningkan kepala. Sudahlah tiada seorang pun manusia yang dikenali. Dari tadi Afira hanya berdiri tegak dan terkebil-kebil di samping keluarganya sambil memerhatikan pelbagai gelagat manusia di situ.
“Fira, nanti belajar elok-elok tau. Ingat tujuan utama Fira datang ke sini!” pesan Puan Marini kepada anak tunggalnya nan seorang itu.
Afira tidak menampakkan sebarang tindak balas dengan apa yang dipesan ibunya. Riak wajahnya sama seperti tadi. Blur. Ibunya kehairanan.
“Fira!” seru Puan Marini sambil menggoncang kuat bahu Afira.
“Opss, mak kau meletup!!” jerit Afira yang terkejut sebaik sahaja berjaya kembali ke dunia nyata.
Latahan Afira itu hanya disambut dengan senyuman dan gelengan Puan Marini.
Encik Mazdan pula hanya tersenyum, tidak mahu masuk campur akan hal dua beranak itu. Bukannya dia tidak mahu turut menasihati anaknya seperti mana yang dilakukan Puan Marini. Sebaliknya dia telah memberi ingatan dan nasihat tersebut sebelum bertolak tadi. Dan dia faham bahawa sikap anaknya itu amat menyerupai sikapnya yang tidak suka mendengar perkara yang sama secara berulang kali. Jika mood mereka tengah tidak elok, mudah sahaja mereka naik angin.
“Mak siapa pula yang meletup ni? Fira... Fira... dari rumah tadi asyik berangan saja tau. Nanti kalau Fira asyik berangan saja dalam kelas, kan susah,” leter Puan Marini.
Afira tersengih. Dalam diam Afira mengakui kebenaran kata-kata ibunya itu. Memang dia gemar melayan perasaan. Mudah hanyut ke dalam dunianya sendiri. Mudah meninggalkan realiti bersama khayalannya.
“Fira dengar tak apa yang ibu cakap tadi? Belajar elok-elok. Ingat tujuan utama Fira datang ke sini.” Puan Marini mengulang pesanannya.
Mulut Afira tercebik spontan tatkala mendengar ucapan Puan Marini sebentar tadi. Namun tidak berapa lama kemudian dia mengukir senyuman. Nasib baiklah yang bercakap itu adalah ibunya yang tersayang. Jika orang lain, sudah lama dia buat pekak sahaja.
“Ibu janganlah risau, okey. Fira akan cuba buat yang terbaik. Fira mesti belajar elok-elok punya. Sebenarnya Fira bukan suka beranganlah ibu. Kalau ibu nampak Fira sedang berkhayal tu sebenarnya Fira sedang merancang masa depan. Ibu doakanlah Fira berjaya kat sini, ya.” Afira berkata penuh semangat, cuba memberi keyakinan kepada Puan Marini agar ibunya itu tidak akan menambah atau mengulang nasihatnya lagi.
Pandangan Afira tajam menusuk anak mata Puan Marini. Mengeluarkan aura keazamannya yang kuat.
“Ha, baguslah kalau dah macam tu. Tapi ibu tetap risaukan Fira la. Fira kan tak pernah duduk jauh-jauh daripada kami. Duduk asrama lagilah tak pernah. Dahlah tu, ibu tengok Fira ini  suka sangat main-main. Tak pernah nak serius.” Puan Marini meluahkan kerisauannya buat kesekian kali.
Afira mula tarik muka merajuk.
“Ibu niii... dah seratus kali tau ibu cakap macam tu. Ibu janganlah risau, Fira takkan main-main lagi kat sini. Takkanlah Fira nak sia-siakan peluang yang Fira dapat ini. Betul tak ayah?” rengek Afira sambil memaut lengan Encik Mazdan.
Afira cuba meraih perhatian ayahnya. Afira memandang penuh harapan agar ayahnya itu memperkatakan sesuatu untuk membela dirinya. Dia mahukan kata-kata yang boleh menghentikan segala kerisauan Puan Marini.
Afira sudah masak sangat dengan sikap ibunya itu. Jika kerisauan Puan Marini itu tidak dihentikan, alamatnya terpaksalah Afira membuka telinganya seluas telinga gajah  untuk mendengar segala nasihat Puan Marini. Dan dia takut jika telinganya tidak mampu lagi menerima kerana sememangnya dia adalah seorang yang cepat bosan.
“Betul tu, Fira. Anak ayah kan macam ayah dia. Cool saja. Tak kisah walau apapun masalah yang datang, berani menghadapi cabaran. Betul tak?” ujar Encik Mazdan sambil melirik ke arah isteri kesayangannya walaupun apa yang dikatakan itu ditujukan kepada Afira.
Sebenarnya Encik Mazdan mahu isterinya sedar bahawa Afira sudah besar dan mereka harus memberi kepercayaan kepada Afira untuk menguruskan kehidupannya.
Afira tersenyum gembira sebaik sahaja mendengar sokongan ayahnya. Laju sahaja dia mengangguk-angguk. Tidak ubah bagai burung tukang sahaja lagaknya.
“Hmm... kalau sudah ayah dengan anaknya berpakat, macam nilah jadinya. Ayah dengan anak sama sahaja otaknya,” keluh Puan Marini. Mulutnya tercebik tanda tidak puas hati.
“Ha, Fira... bukan ke tadi Fira kata nak cari kedai fotostat. Kat kolej kediaman Fira ni takkanlah tak ada. Cepat fotostat peta universiti dalam fail Fira tu, senang sikit ayah nak keluar waktu balik nanti. Besar juga universiti ni rupanya, boleh sesat,”  kata Encik Mazdan.
Spontan Afira memandang fail berwarna biru yang sejak tadi berada di dalam pelukannya.
“Baik ayah. Ibu dengan ayah tunggu kat sini je tau. Jangan pergi ke mana-mana. Nanti kalau Fira balik sini dan tengok ibu dengan ayah tak ada, Fira meraung kat mikrofon tu,” ujar Afira separuh mengugut sambil melirik ke arah mikrofon yang terdapat di sebelah meja pendaftaran.
“Ha, bagus sangatlah tu. Biar semua orang tahu yang Afira ni manja dengan orang tua,” balas Puan Marini dengan selamba.
Spontan mulut Afira muncung lagi. Puan Marini sengaja mengenakan anaknya. Dia suka melihat wajah Afira yang sedang merajuk-merajuk manja itu. Comel sangat. Selepas dia meninggalkan Afira di universiti ini, pasti dia akan rindu dengan riak wajah anaknya itu.
Alahaii.... jika mahu diikutkan rasa hati, mahu sahaja Puan Marini menghalang anaknya itu daripada meninggalkan rumah keluarganya. Ataupun biar dia sahaja yang menemani dan tinggal bersama Afira di universiti. Semakin difikirkan, semakin mengarut pula apa yang muncul di dalam benak Puan Marini. Namun begitulah hati dan perasaan seorang ibu yang memang amat menyayangi seorang insan bergelar anak.
“Alaa... ibu ini, Fira gurau aje la. Mana ada Fira manja. Fira dah besar, tahu,” bela Afira.
“Sudah... sudah, pergi cepat fotostat peta, Fira. Kau orang berdua ini kalau melayan loyar buruk masing-masing, sampai tahun depan pun takkan habis.” Encik Mazdan cuba meleraikan keadaan.

Sambil tersenyum Afira mula mengorak langkah meninggalkan Encik Mazdan dan Puan Marini.

***

HAYYAA... ramainya orang. Hati Afira berdetik. Afira tidak tahu ke mana harus dia melangkahkan kakinya. Kedai fotostat.... di manakah kau wahai kedai? Keluh Afira di dalam hati. Matanya melilau mencari sesuatu yang dikira boleh membantunya pada saat ini. Akhirnya pandangannya jatuh kepada sebatang tubuh yang pada kiraannya boleh membantu.
Seorang lelaki berpakaian seragam kolej kediaman yang bakal menjadi tempat tinggal Afira  itu pantas tersenyum apabila gadis itu menghadiahkan senyuman paling mesra kepadanya. Laju sahaja Afira memanjangkan langkah bagi mendekatinya.
“Abang, tumpang tanya. Kat sini ada kedai fotostat tak? Kat mana ya?” tanya Afira dengan suara yang dilembutkan sehabis mungkin.
Dia tidak mahu dituduh kasar dan tidak berbudi bahasa. Namun dia terlupa sesuatu.
“Assalamualaikum,” balas lelaki itu.
Opss! Afira mula tersedar. Macam manalah dia boleh lupa untuk mengucap salam terlebih dahulu. Sudahlah dia tidak kenal lelaki itu. Kalau sudah kenal tu bolehlah dimaafkan lagi.
Hisy! Sungguh tidak bersopan aku ini. Bisik Afira di dalam hati sambil menyesali kelupaannya sendiri.
“Err... wa.. waalaikumussalam. Maaf, saya lupa beri salam,” ucap Afira agak tergagap-gagap sambil cuba mengukir senyuman yang dirasakan amat susah untuk dilakukan pada waktu ini. Perasaan malunya di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.
Kelihatan lelaki itu hanya tersenyum.
“Tak mengapa. Kalau awak nak cari kedai fotostat, ada kat sana. Awak jalan terus dan  lepas tu pusing kiri,” tutur lelaki itu kemudiannya.
“Terima kasih ya, bang. Saya minta diri dulu,” balas Afira lalu terus berlalu ke arah yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut.
Sebenarnya Afira sudah tidak mampu berhadapan dengan lelaki itu lama-lama lagi. Jika boleh selepas ini dia tidak mahu terserempak dengan lelaki yang sudah cukup membuatkannya berasa malu.
Ya Allah, janganlah Kau temukan aku dengan dia lagi. Amiinnn. Afira berdoa di dalam hati. 
Tanpa sedar dia telah menaikkan tangannya seperti orang sedang berdoa dan kemudian meraup mukanya. Terdapat beberapa pasang mata di sekitar kawasan itu sedang memandang perlakuan Afira yang kelihatan pelik. Dan gadis itu langsung tidak menyedari bahawa dirinya telah menarik perhatian orang lain.

Ahad, 29 Januari 2012

Himpunan Nukilan Serikandi 5

"Tak seindah luaran dan tak seburuk sangkaan." - nukilan serikandi.

"Destinasi itu tujuan. Ke manakah mahu dibawa sesuatu itu jika tanpanya? Ia bergerak bagai awan yang menurut angin." - nukilan serikandi.

"Tiada perkataan sayang kau ucapkan. Tiada pelukan kasih kau hadiahkan. Namun aku meraih aura kasihmu. Aku merasa ketulusanmu. Aku melihat pengorbananmu. Kau zahirkan cinta dan sayangmu..... dengan caramu sendiri." - nukilan serikandi.

"Tiada yang salah dalam seni, hanya ada unik." - nukilan serikandi.

"Tiada paksaan dalam seni, hanya ada rela." - nukilan serikandi.


"Berlarilah sederas aliran rasa,
dalam langkah demi langkah,
diapit riang, tenang dan aman." - nukilan serikandi.


"Saat mendung berarak,
aku rindu awan biru,
Saat senyum semarak,
usah diseru akan sendu." - nukilan serikandi.


"Saat mendung berarak,
aku rindu awan biru,
Saat senyum semarak,
usah diseru awan kelabu." - nukilan serikandi.


"Pelangi yang indah itu tidak akan hadir tanpa wujudnya titis-titis hujan." - nukilan serikandi.

"Apabila huruf-huruf itu membentuk perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan, maka terluahlah seribu satu makna.... tersurat dan tersirat." - nukilan serikandi.

"Sinar mata itu.... terpancar seribu rindu, namun hanya terluah lewat seribu sendu." - nukilan serikandi.

"Di sebalik kata tersimpan rahsia, di sebalik tawa tersimpan duka." - nukilan serikandi.

"Sabarlah hati, usah kau resahkan." - nukilan serikandi.

"Berserah itu pasrah." - nukilan serikandi.

"Perisai ini tetap kupertahan walau tiada tanda badai melanda." - nukilan serikandi

"Nikmati setiap detik yang kita jalani, kerana detik itu tidak mungkin terulang." - nukilan serikandi.

"Sesuatu yang lahir dari hati mencetuskan suatu getaran di hati." - nukilan serikandi.

"Sabar itu kunci." - nukilan serikandi.

"Air tetap mengalir walau berjuta halangan di hadapannya." - nukilan serikandi.

"Serpihan itu punya nilai tersendiri." - nukilan serikandi

"Sungguh rendang pohon itu bagai sekaki payung yang mengembang." - nukilan serikandi.

"Apabila kita mula percaya akan sesuatu, maka kita sudah selangkah ke arahnya." - nukilan serikandi.

"Semua orang punya kebijaksanaan, kebolehan dan kecantikannya yang tersendiri. Itulah keunikan yang ada dalam diri setiap insan. Sedar atau tidak sedar sahaja." - nukilan serikandi.

"Mengharap sesuatu yang mungkin tiada.... haruskah?" - nukilan serikandi.

"Kadang-kadang.... rindu itu indah. Kadang-kadang.... rindu itu pedih." - nukilan serikandi.

"Harapan itu menyeksakan tatkala ia masih di awangan." - nukilan serikandi.

"Bebaskan suaramu serentak langkahmu. Bebaskan suaramu senada persekitaranmu. Bebaskan suaramu seiring hatimu." - nukilan serikandi.

"Lebih mudah mencapai sesuatu andai kita pasti apa yang kita mahukan.... find your goal!" - nukilan serikandi.

"Nilai kemanusiaan menjadikan kita manusia." - nukilan serikandi.

"Cerah... cerah... alam semakin cerah. Mendung berarak pergi.... suria menjamah diri." - nukilan serikandi.

"Kehilangan itu membuktikan sesuatu yang tidak kita sedari selama ini." - nukilan serikandi.

Khamis, 12 Januari 2012

Novel Awal Remaja: Aku Puteri

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Buat julung kalinya saya menghasilkan novel awal remaja bertajuk AKU PUTERI terbitan FAJAR PAKEER. Saya amat berterima kasih kepada PUAN SYIMA SYAWAL yang telah menarik perhatian saya untuk menulis dalam genre ini. Sekalung penghargaan juga saya tujukan kepada CIK AZRINA NUR RUSLY dan rakan-rakan yang telah banyak membantu dan menyokong saya dalam menghasilkan karya kedua saya ini selepas penghasilan novel pertama genre dewasa bertajuk OPS! PINTU HATIKU terbitan KAKI NOVEL.

Inilah dia kulit hadapan novel tersebut:
Dan ini pula ialah blurb (sinopsis kulit belakang novel):


Adriana tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang puteri. Dia hanya seorang gadis biasa yang hidupnya diselubungi kesedihan. Namun tiba-tiba status dirinya berubah dalam sekelip mata....


"Adikku Puteri Adriana, sekarang adik berada di dalam istana. Istana ni rumah kita," beritahu puteri cendana. Adriana pula masih terkebil-kebil memandang wajahnya. 

"kakak ni...kakak Adriana?" teka Adriana. 

"Nama kanda ialah puteri cendana. sudah lama kanda mencari dinda. Nama dinda yang sebenar ialah Puteri Adriana," terang Puteri Cendana, mula menggunakan bahasa istana.

Apakah sebenarnya yang terjadi? Mungkinkah kegembiraan dan kebahagiaan bakal menjadi milik Adriana?


Harganya pula adalah RM 12.00

Jemputlah dapatkan novel ini.

Terima kasih semua (^_^)