Selasa, 20 Mac 2012

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 1


JANTUNG Afira berdegup pantas. Tidak terungkap perasaan Afira tika ini. Gembira, sedih, blur, dan segala macam lagi perasaan yang berhimpun di dalam hati. Sejak Afira mula menginjakkan kaki di tanah universiti ini, dia berasa amat asing dan kekok. Pelajar baru, ibu bapa, dan fasilitator yang bersimpang-siur di sekelilingya cukup memeningkan kepala. Sudahlah tiada seorang pun manusia yang dikenali. Dari tadi Afira hanya berdiri tegak dan terkebil-kebil di samping keluarganya sambil memerhatikan pelbagai gelagat manusia di situ.
“Fira, nanti belajar elok-elok tau. Ingat tujuan utama Fira datang ke sini!” pesan Puan Marini kepada anak tunggalnya nan seorang itu.
Afira tidak menampakkan sebarang tindak balas dengan apa yang dipesan ibunya. Riak wajahnya sama seperti tadi. Blur. Ibunya kehairanan.
“Fira!” seru Puan Marini sambil menggoncang kuat bahu Afira.
“Opss, mak kau meletup!!” jerit Afira yang terkejut sebaik sahaja berjaya kembali ke dunia nyata.
Latahan Afira itu hanya disambut dengan senyuman dan gelengan Puan Marini.
Encik Mazdan pula hanya tersenyum, tidak mahu masuk campur akan hal dua beranak itu. Bukannya dia tidak mahu turut menasihati anaknya seperti mana yang dilakukan Puan Marini. Sebaliknya dia telah memberi ingatan dan nasihat tersebut sebelum bertolak tadi. Dan dia faham bahawa sikap anaknya itu amat menyerupai sikapnya yang tidak suka mendengar perkara yang sama secara berulang kali. Jika mood mereka tengah tidak elok, mudah sahaja mereka naik angin.
“Mak siapa pula yang meletup ni? Fira... Fira... dari rumah tadi asyik berangan saja tau. Nanti kalau Fira asyik berangan saja dalam kelas, kan susah,” leter Puan Marini.
Afira tersengih. Dalam diam Afira mengakui kebenaran kata-kata ibunya itu. Memang dia gemar melayan perasaan. Mudah hanyut ke dalam dunianya sendiri. Mudah meninggalkan realiti bersama khayalannya.
“Fira dengar tak apa yang ibu cakap tadi? Belajar elok-elok. Ingat tujuan utama Fira datang ke sini.” Puan Marini mengulang pesanannya.
Mulut Afira tercebik spontan tatkala mendengar ucapan Puan Marini sebentar tadi. Namun tidak berapa lama kemudian dia mengukir senyuman. Nasib baiklah yang bercakap itu adalah ibunya yang tersayang. Jika orang lain, sudah lama dia buat pekak sahaja.
“Ibu janganlah risau, okey. Fira akan cuba buat yang terbaik. Fira mesti belajar elok-elok punya. Sebenarnya Fira bukan suka beranganlah ibu. Kalau ibu nampak Fira sedang berkhayal tu sebenarnya Fira sedang merancang masa depan. Ibu doakanlah Fira berjaya kat sini, ya.” Afira berkata penuh semangat, cuba memberi keyakinan kepada Puan Marini agar ibunya itu tidak akan menambah atau mengulang nasihatnya lagi.
Pandangan Afira tajam menusuk anak mata Puan Marini. Mengeluarkan aura keazamannya yang kuat.
“Ha, baguslah kalau dah macam tu. Tapi ibu tetap risaukan Fira la. Fira kan tak pernah duduk jauh-jauh daripada kami. Duduk asrama lagilah tak pernah. Dahlah tu, ibu tengok Fira ini  suka sangat main-main. Tak pernah nak serius.” Puan Marini meluahkan kerisauannya buat kesekian kali.
Afira mula tarik muka merajuk.
“Ibu niii... dah seratus kali tau ibu cakap macam tu. Ibu janganlah risau, Fira takkan main-main lagi kat sini. Takkanlah Fira nak sia-siakan peluang yang Fira dapat ini. Betul tak ayah?” rengek Afira sambil memaut lengan Encik Mazdan.
Afira cuba meraih perhatian ayahnya. Afira memandang penuh harapan agar ayahnya itu memperkatakan sesuatu untuk membela dirinya. Dia mahukan kata-kata yang boleh menghentikan segala kerisauan Puan Marini.
Afira sudah masak sangat dengan sikap ibunya itu. Jika kerisauan Puan Marini itu tidak dihentikan, alamatnya terpaksalah Afira membuka telinganya seluas telinga gajah  untuk mendengar segala nasihat Puan Marini. Dan dia takut jika telinganya tidak mampu lagi menerima kerana sememangnya dia adalah seorang yang cepat bosan.
“Betul tu, Fira. Anak ayah kan macam ayah dia. Cool saja. Tak kisah walau apapun masalah yang datang, berani menghadapi cabaran. Betul tak?” ujar Encik Mazdan sambil melirik ke arah isteri kesayangannya walaupun apa yang dikatakan itu ditujukan kepada Afira.
Sebenarnya Encik Mazdan mahu isterinya sedar bahawa Afira sudah besar dan mereka harus memberi kepercayaan kepada Afira untuk menguruskan kehidupannya.
Afira tersenyum gembira sebaik sahaja mendengar sokongan ayahnya. Laju sahaja dia mengangguk-angguk. Tidak ubah bagai burung tukang sahaja lagaknya.
“Hmm... kalau sudah ayah dengan anaknya berpakat, macam nilah jadinya. Ayah dengan anak sama sahaja otaknya,” keluh Puan Marini. Mulutnya tercebik tanda tidak puas hati.
“Ha, Fira... bukan ke tadi Fira kata nak cari kedai fotostat. Kat kolej kediaman Fira ni takkanlah tak ada. Cepat fotostat peta universiti dalam fail Fira tu, senang sikit ayah nak keluar waktu balik nanti. Besar juga universiti ni rupanya, boleh sesat,”  kata Encik Mazdan.
Spontan Afira memandang fail berwarna biru yang sejak tadi berada di dalam pelukannya.
“Baik ayah. Ibu dengan ayah tunggu kat sini je tau. Jangan pergi ke mana-mana. Nanti kalau Fira balik sini dan tengok ibu dengan ayah tak ada, Fira meraung kat mikrofon tu,” ujar Afira separuh mengugut sambil melirik ke arah mikrofon yang terdapat di sebelah meja pendaftaran.
“Ha, bagus sangatlah tu. Biar semua orang tahu yang Afira ni manja dengan orang tua,” balas Puan Marini dengan selamba.
Spontan mulut Afira muncung lagi. Puan Marini sengaja mengenakan anaknya. Dia suka melihat wajah Afira yang sedang merajuk-merajuk manja itu. Comel sangat. Selepas dia meninggalkan Afira di universiti ini, pasti dia akan rindu dengan riak wajah anaknya itu.
Alahaii.... jika mahu diikutkan rasa hati, mahu sahaja Puan Marini menghalang anaknya itu daripada meninggalkan rumah keluarganya. Ataupun biar dia sahaja yang menemani dan tinggal bersama Afira di universiti. Semakin difikirkan, semakin mengarut pula apa yang muncul di dalam benak Puan Marini. Namun begitulah hati dan perasaan seorang ibu yang memang amat menyayangi seorang insan bergelar anak.
“Alaa... ibu ini, Fira gurau aje la. Mana ada Fira manja. Fira dah besar, tahu,” bela Afira.
“Sudah... sudah, pergi cepat fotostat peta, Fira. Kau orang berdua ini kalau melayan loyar buruk masing-masing, sampai tahun depan pun takkan habis.” Encik Mazdan cuba meleraikan keadaan.

Sambil tersenyum Afira mula mengorak langkah meninggalkan Encik Mazdan dan Puan Marini.

***

HAYYAA... ramainya orang. Hati Afira berdetik. Afira tidak tahu ke mana harus dia melangkahkan kakinya. Kedai fotostat.... di manakah kau wahai kedai? Keluh Afira di dalam hati. Matanya melilau mencari sesuatu yang dikira boleh membantunya pada saat ini. Akhirnya pandangannya jatuh kepada sebatang tubuh yang pada kiraannya boleh membantu.
Seorang lelaki berpakaian seragam kolej kediaman yang bakal menjadi tempat tinggal Afira  itu pantas tersenyum apabila gadis itu menghadiahkan senyuman paling mesra kepadanya. Laju sahaja Afira memanjangkan langkah bagi mendekatinya.
“Abang, tumpang tanya. Kat sini ada kedai fotostat tak? Kat mana ya?” tanya Afira dengan suara yang dilembutkan sehabis mungkin.
Dia tidak mahu dituduh kasar dan tidak berbudi bahasa. Namun dia terlupa sesuatu.
“Assalamualaikum,” balas lelaki itu.
Opss! Afira mula tersedar. Macam manalah dia boleh lupa untuk mengucap salam terlebih dahulu. Sudahlah dia tidak kenal lelaki itu. Kalau sudah kenal tu bolehlah dimaafkan lagi.
Hisy! Sungguh tidak bersopan aku ini. Bisik Afira di dalam hati sambil menyesali kelupaannya sendiri.
“Err... wa.. waalaikumussalam. Maaf, saya lupa beri salam,” ucap Afira agak tergagap-gagap sambil cuba mengukir senyuman yang dirasakan amat susah untuk dilakukan pada waktu ini. Perasaan malunya di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.
Kelihatan lelaki itu hanya tersenyum.
“Tak mengapa. Kalau awak nak cari kedai fotostat, ada kat sana. Awak jalan terus dan  lepas tu pusing kiri,” tutur lelaki itu kemudiannya.
“Terima kasih ya, bang. Saya minta diri dulu,” balas Afira lalu terus berlalu ke arah yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut.
Sebenarnya Afira sudah tidak mampu berhadapan dengan lelaki itu lama-lama lagi. Jika boleh selepas ini dia tidak mahu terserempak dengan lelaki yang sudah cukup membuatkannya berasa malu.
Ya Allah, janganlah Kau temukan aku dengan dia lagi. Amiinnn. Afira berdoa di dalam hati. 
Tanpa sedar dia telah menaikkan tangannya seperti orang sedang berdoa dan kemudian meraup mukanya. Terdapat beberapa pasang mata di sekitar kawasan itu sedang memandang perlakuan Afira yang kelihatan pelik. Dan gadis itu langsung tidak menyedari bahawa dirinya telah menarik perhatian orang lain.

4 ulasan:

  1. haa,,jumpa pun bab 1 .. ekekek.. best la.. lelaki tu mesti irfan kan?? hehehhe.. :D

    BalasPadam
  2. hehe... Aisya, siapa lelaki tu? jawapannya ada kat bab 2 dan bab seterusnya.

    BalasPadam