Sabtu, 25 Oktober 2014

Cerpen: Laili Si Tukang Cuci

                      
PUAN NANI sedang memerhati para pekerja yang sedang elok berbaris di hadapannya. Beginilah rutin harian yang dilakukan mereka sebelum memulakan tugas. Seketika, pandangan Puan Nani jatuh ke wajah Laili.
“Laili, hari ni Syafiq cuti kecemasan. Nanti awak tolong bersihkan tempat dia sekali, ya!” arah Puan Nani, penyelia bagi kumpulan kerja yang disertai oleh Laili.
Laili yang baru seminggu bekerja di situ pantas mengangguk laju.
“Baik, puan! Saya akan bekerja sebaik mungkin,” sahutnya dengan penuh semangat palsu.
Penyapu jerami di tangannya digenggam sekuat hati. Jiwa Laili mahu memberontak, namun cuba ditahan perasaannya.
Puan Nani  pantas tersenyum sebaik sahaja mendengar kata-kata Laili.
“Bagus! Saya suka dengan semangat awak. Pekerja-pekerja lain harus mencontohi semangat yang ada pada Laili,” puji Puan Nani sambil memandang anak-anak buahnya yang lain.
Oh... tidak! Puan Nani sudah tersalah sangka. Hati Laili terus menjerit. Genggaman eratnya pada penyapu jerami itu bukanlah membawa maksud yang positif. Sebaliknya penyapu jerami itu hanya menjadi mangsanya untuk melepaskan perasaan tidak senang. Laili tidak suka dengan pekerjaannya sekarang. Langsung tidak suka!
Syafiq pun satu, waktu-waktu macam inilah mahu bercuti. Entah-entah cuti kecemasan tipu. Bukannya Laili tidak tahu, sahabatnya yang bernama Syafiq itu memang kerap bangun lewat. Hendak-hendak pula malam tadi terdapat siaran langsung perlawanan bola sepak di kaca televisyen. Sibuk berjaga sampai pagilah agaknya.
‘Hai... Syafiq... Syafiq.... kalau aku jumpa kau nanti, siaplah! Aku cuci kau cukup-cukup,’ bebel Laili dalam hati.
“Baiklah, jika tiada apa-apa masalah, kamu semua boleh mula bekerja. Ingat ya, jika bangunan kolej ini bersih, bersihlah imej kamu. Sebaliknya kalau kotor, kotorlah imej kamu. Selamat bertugas!” Jelas ucapan Puan Nani itu pada telinga setiap orang yang mendengar. Lontaran suara Puan Nani memang lantang.
“Baik, Puan Nani!” balas pasukan kerja pencuci bangunan kolej itu hampir serentak.
“Bagus. Terima kasih!” Setelah mengakhiri ucapannya, Puan Nani melangkah meninggalkan anak-anak buahnya.
Laili menarik nafas lega sebaik kelibat Puan Nani hilang daripada pandangan. Sebenarnya dia sudah mula bosan mendengar ucapan merangkap amanat daripada Puan Nani yang hampir sama sahaja setiap pagi. Bagaimana agaknya mereka yang sudah bertahun-tahun kerja di situ mampu bertahan mendengar ucapan Puan Nani itu?
Dilihatnya rakan-rakan sejawat yang lain sudah mula bergerak mahu ke kawasan kerja masing-masing. Tanpa menunggu lama, Laili juga terus berlalu mahu melaksanakan tugasnya. Tugas apa? Tugas apa lagi.... tugas cuci mencuci dan gosok menggosoklah.

Gosok... jangan tak gosok...
Gosok sampai berkilat...
Gosok sampai kau nampak wajahmu...

Ah.... Laili benci tatkala teringat lagu dendangan kumpulan Spider yang dia tidak ingat tajuknya itu. Sejak dia bergelar tukang cuci, lagu itu selalu dinyanyikan oleh adik beradiknya yang nakal sewaktu di rumah.
Bukannya Laili tidak cuba mencari pekerjaan lain yang lebih baik. Tetapi sudah puas dia mencari. Namun sukar untuk dia mendapatkannya. Zaman sekarang, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan pendidikan terlalu sengit. Pencari kerja sepertinya perlu berusaha lebih kuat.
Ada sejarahnya yang tersendiri bagaimana Laili boleh tercampak di situ sebagai tukang cuci. Semuanya gara-gara Syafiq. Sewaktu mereka sedang berbincang mengenai pekerjaan sambil menunggu makanan di sebuah restoran, Laili telah memarahi seorang pencuci wanita yang bertugas di situ.
*     *     *

Imbas kembali…
“Laili, apa rancangan kau lepas ni? Kau nak minta kerja kat mana?” soal Syafiq dengan penuh rasa ingin tahu.
“Entahlah Syafiq..... aku tak tahu nak cari kerja kat mana lagi. Semua syarikat tak nak ambil aku. Nak kata aku tak ada kelayakan pendidikan.... ada. Ijazah sarjana muda yang ada dalam genggaman aku ni, tak cukup ke bagi dia orang? Dan lagi satu, nak kata aku ni tak cantik.... cantik. Apa lagi yang dia orang nak?” Jawapan yang keluar dari mulut Laili sudah kedengaran seperti satu bebelan.
Dahi Syafiq berkerut seribu mendengar bahagian hujung kata-kata Laili sebentar tadi.
“Eh, apa kena mengena cantik atau tak cantik dengan kerja? Kau kata apa tadi, kau cantik? Hahaha...” Sebaik menghabiskan kata-katanya, Syafiq terus ketawa berdekah-dekah.
“Lainlah kalau kau nak jadi peragawati ke.... artis ke... pramugari ke... barulah kecantikan itu akan diambil kira. Aku tak sangkalah pula kalau-kalau kau ada impian untuk menjawat kerja-kerja yang macam aku cakap tu. Hahaha!” Syafiq menyambung kata-katanya dalam tawa yang semakin galak.
Berubah terus riak wajah Laili. Keningnya berkerut dan hampir bercantum. Giginya diketap penuh kemarahan.
‘Kurang asam punya kawan. Berani kau memperlekeh kecantikan aku, ya?’ gumam hati Laili dengan perasaan yang panas membara.
Laili mengangkat tinggi tangannya, mahu menepuk meja bagi menghentikan ketawa Syafiq yang sudah kedengaran seperti orang gila terlepas dari Tanjung Rambutan. Buruk sungguh bunyinya.
Namun belum sempat tapak tangan Laili menyentuh meja, gelas air tembikai di hadapannya itu terlebih dahulu menjadi sasaran tangannya.... tanpa sengaja. Lalu berhamburanlah air berwarna merah di atas meja dan lantai. Bunyi gelas yang jatuh melantun berdentingan menarik perhatian sekalian yang ada di dalam restoran itu.
Seorang pencuci dengan peralatan membersihnya tergesa-gesa merapati meja yang diduduki mereka. Laili menekup mulutnya sendiri mengenang apa yang telah dilakukannya.
Mulut Syafiq terlopong melihat sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Laili sepanjang dia mengenali gadis itu. Seketika, mereka berpura-pura tidak mengendahkan pandangan sinis daripada pengunjung lain di restoran tersebut. Malu!
Laili dan Syafiq hanya duduk mematung diri sambil memerhati tukang cuci melakukan kerja-kerja membersih. Setelah selesai melakukan tugasnya, tukang cuci wanita itu mahu melayangkan kain lap ke atas bahu. Namun entah bagaimana silapnya, kain lap itu boleh pula terlayang ke muka Laili. Tersilap sasaran, terlebih tenaga sewaktu melayangkan kain lap tersebut.
Arghh! Wajah Laili merah padam menahan perasaan malu bercampur marah. Sekali lagi hati Syafiq dijentik kegelian. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia ketawa sepuas-puasnya. Namun terpaksa ditahannya apabila melihat sudah ramai pengunjung lain yang ketawa geli hati. Kasihan pula Syafiq kepada Laili.
“Maaf. Saya tak sengaja!” ucap tukang cuci wanita yang tidaklah terlalu tua itu. Barangkali umurnya dalam lingkungan awal 40-an. Tanpa membuang masa, tukang cuci wanita itu mengambil kain lapnya dari wajah Laili.
“Macam mana kau buat kerja, ni? Kau ada masalah rabun ke sampai tak dapat bezakan antara penyidai kain dengan muka aku? Kain lap kau tu kotor, tahu tak? Hisy! Rosakkan solekan akulah kau ni!” marah Laili sebelum tukang cuci itu sempat menggerakkan kakinya untuk berlalu dari situ. Laili sibuk menggosok-gosok pipinya sendiri.
Terkedu tukang cuci wanita itu mendengar kata-kata kurang sopan yang begitu lancang keluar dari mulut Laili. Maruahnya seperti sedang dicarik-carik dan dipijak-pijak oleh mulut Laili yang memang ternyata tidak berinsuran itu. Wajah Laili di hadapannya dipandang tajam. Baginya, manusia tidak bersopan seperti Laili itu perlu diajar beradab.
Riak wajah Syafiq juga terus berubah. Tiada lagi rasa ingin ketawa. Sungguh dia tidak menyangka Laili tergamak berkata sekasar itu. Lebih dia tidak percaya lagi apabila Laili tergamak menghina peralatan kerja tukang cuci itu. Ternyata rakan sepermainannya sewaktu kecil dahulu sudah berubah.
Perpisahan selama lima tahun demi menyambung pelajaran masing-masing telah mengubah sikap Laili.
“Cik... belajarlah mengenal kehidupan.” Dalam maksud kata-kata yang baru diucap oleh tukang cuci itu.
Tanpa menunggu balasan daripada Laili, tukang cuci itu terus berlalu mahu menyambung kerja-kerjanya yang lain di Restoran Indah Maya.
Sedikit pun tukang cuci itu tidak melenting. Jauh sekali mahu membalas setiap perkataan yang menghiris hatinya. Tipulah jika dia mengatakan bahawa hatinya tidak tersentap tatkala gegendang telinganya menyerap setiap lantunan butir bicara Laili sebentar tadi. Jauh di sudut hatinya, ada tangisan yang sedang mengalir. Namun tidak akan sesekali dia menunjukkan kesedihan atau kelemahan dirinya di hadapan orang lain.
Dia mahu menjadi orang yang terhormat. Ya.... tukang cuci terhormat. Tukang cuci juga punya maruah dan kehormatannya yang tersendiri. Pekerjaan sebagai tukang cuci adalah pekerjaan yang mulia walaupun ramai yang memperlekeh dan memandang negatif terhadapnya.
Hanya mereka yang pernah menjadi tukang cuci sahaja akan memahami betapa pekerjaan itu tidak harus dipandang hina. Betapa mereka juga punya hati dan perasaan yang perlu dijaga.
Tidak pernah wujud peraturan yang menyatakan bahawa tukang cuci boleh dimarah dan dicerca sesuka hati. Bukan pujian membukit yang mereka harapkan. Namun cukuplah sekadar sekelumit rasa saling menghormati antara insan yang sama-sama menumpang teduh di muka Bumi kurniaan Allah ini.
“Apa yang perempuan tu cakap tadi, Syafiq? Aku tak faham langsung! Aku tanya dia tu ada masalah rabun, ke? Lain pula yang dijawabnya,” omel Laili seperti manusia tidak berperasaan.
Syafiq tidak membalas pertanyaan Laili. Dia hanya memandang wajah Laili yang memang tidak dinafikan kecantikannya. Tadi dia hanya mahu mengusik Laili dengan mempersoalkan kecantikan gadis itu. Dia memang sengaja berkata begitu. Namun kecantikan yang terpamer di hadapannya kini seakan pudar sedikit demi sedikit ditelan buruk laku si pemilik wajah itu. Sayang sahabat, Syafiq harus melakukan sesuatu.
“Muka aku ni ada terlekat biji tembikai ke? Kenapa kau pandang aku macam nak telan?” tegur Laili dengan kuat.
"Biji tembikai tu tak ada la. Tapi, biji mata ada!” balas Syafiq.
Terjegil biji mata Laili mendengarnya.
Syafiq cuma tersenyum melihat reaksi Laili yang memang sudah diduganya itu.
“Main-main pula! Orang tengah panas hati ni, tahu tak?” marah Laili. Sungguh dia tidak puas hati melihat ketidakseriusan Syafiq.
“Baik! Aku serius. Aku rasa, kau tak patut marah tukang cuci tu tadi.” Syafiq bersuara penuh hati-hati.
“Kenapa pula? Muka aku ni dah kena selimut dengan kain lap kotor dia tu, mestilah aku marah!” luah Laili dalam nada suara yang makin meninggi.
Hmm..... sudah Syafiq agak. Laili akan melenting mendengar tegurannya.
“Kan dia tak sengaja. Bukan dia suka-suka nak sidai kain lap tu kat muka kau. Kau sendiri pun nampak yang dia sebenarnya nak letak kain tu kat bahu dia. Apa salahnya kau maafkan saja dia,” nasihat Syafiq.
No way!” balas Laili.
Syafiq menggeleng. Laili tidak boleh terus berperangai begini.
“Laili, kau belum dapat kerja lagi, kan? Apa kata kalau aku tolong kau carikan kerja?” usul Syafiq secara tiba-tiba. Mengubah topik. Tetapi dia punya tujuan tersendiri dengan pertanyaannya itu.
Mata Laili bersinar mendengar tawaran Syafiq. Senyumannya melebar.
“Mestilah nak. Kerja apa yang kau nak tolong carikan ni?” Laili terus bertanya dengan perasaan teruja.
Syafiq bersyukur melihat reaksi positif yang ditonjolkan oleh Laili. Dia amat berharap, rancangan yang sudah tersemat kemas di dalam kotak fikirannya akan mampu direalisasikan dengan jayanya. Dia tidak suka Laili yang berada di hadapannya kini. Sebaliknya dia mahukan Laili yang dahulu, seorang wanita yang bersopan santun dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Jadi, dia mesti lakukan sesuatu.
“Hmm.... buat masa ni, aku tak boleh beritahu kerja apa. Sampai masanya nanti, kau akan tahulah. Tapi ada satu syarat,” ujar Syafiq. Jari telunjuknya mula mengetuk perlahan meja restoran itu.
Kecil mata Laili melihat wajah Syafiq. Keningnya berkerut memikirkan syarat yang mahu dikenakan kepadanya.
“Apa syaratnya?” Tidak mahu berteka teki, laju Laili bertanya.
“Syaratnya... kau tak boleh tolak kerja tu nanti. Setuju?” Itulah syarat Syafiq.
Terherot mulut Laili mendengar syarat itu. Hmm..... macam mana, ya? Saat ini otak Laili sibuk berfikir. Mahu ditolak, menolak tuah namanya. Mahu diterima, dia tidak tahu apakah kerjanya.
Susah Laili mahu membuat keputusan. Kali ini jari jemari Laili pula yang mula mengetuk meja. Lagak orang sedang memikirkan masalah Negara.
“Macam mana aku nak setuju kalau aku sendiri tak tahu apa kerjanya?” Laili meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya.
“Terpulanglah kepada kau. Aku tak paksa,” balas Syafiq tanpa ada tanda-tanda mahu mendedahkan butir pekerjaan yang mahu ditawarkannya.
Riak kecewa mula terpamer di wajah Laili. Nampaknya memang tiada harapan untuk dia mencungkil maklumat.
“Bukan kerja sebagai tukang cuci macam perempuan tadi, kan? Kalau kau tawarkan gaji sejuta pun belum tentu aku nak terima. Tak sesuai tau. Apa kelas jadi tukang cuci?” Laili masih tidak berputus asa untuk mendapatkan maklumat. Sempat dia menghina pekerjaan itu.
Hai... Laili... Laili.... sudah ada orang mahu membantu mendapatkan pekerjaan pun masih lagi banyak ‘bunyi’. Tapi, benar juga apa yang dikata oleh Laili itu. Mana boleh dia bersetuju secara hentam keromo sahaja. Dibuatnya pekerjaan sebagai pelayan kelab malam, macam mana? Bukan ke menganiaya diri namanya nanti.
“Terpulanglah kepada kau nak fikir apakah jenis pekerjaan yang aku maksudkan. Sekarang ni yang aku nak tau, kau setuju atau pun tak? Itu saja.” Kata-kata Syafiq terus mematikan harapan Laili untuk terus melakukan desakan.
Mulut Laili terkunci.
“Kau janganlah risau sangat. Aku takkan jual kau punya. Niat aku baik.” Bersungguh-sungguh Syafiq cuba meyakinkan Laili.
“Oh ya, lupa aku nak tanya. Dulu kau ambil ijazah apa?” soal Syafiq kemudian.
“Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.” Pantas Laili menjawab.
“Bagus!” suara Syafiq.
Tiba-tiba senyuman terukir di bibir Laili. Pasti Syafiq akan mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang disandangnya. Jawatan Pegawai Akaun.... mungkin? Hatinya mula berbunga riang. Imej wanita berbaju kot sambil memegang fail berwarna hitam sedang bermain-main di ruang fikirannya.
“Erm..... baik! Aku setuju! Aku akan terima apa saja kerja yang kau carikan. Aku tak kisah. Terima kasih!” Akhirnya Laili membuat keputusan.
Mulut Laili sahaja yang mengatakan dia tidak kisah. Namun hakikatnya, di dalam kotak fikirannya itu hanya ada satu jawatan sahaja, iaitu Pegawai Akaun. Entah bagaimana dia boleh terlalu yakin yang Syafiq akan mendapatkan jawatan itu untuknya. Tunggu dan lihat sahajalah.
Seminggu kemudian Syafiq mengajaknya kembali ke Restoran Indah Maya.
“Laili, aku nak ucapkan tahniah kat kau. Sebab hari ni, kau dah boleh mula kerja.” Tanpa bertangguh Syafiq terus memberitahu berita yang dibawanya.
Mulut Laili ternganga luas. Terkejut. Apakah kata-kata Syafiq itu menandakan bahawa dia sudah mendapat pekerjaan? Ya.... dia bukan penganggur lagi. Yahooo! Tapi.....
“Eh, tak payah temuduga dulu ke?” Laili bertanya sangsi.
“Tak payah. Kau anggaplah aku yang temuduga kau masa kita berbual hari tu,” jawab Syafiq dengan nada selamba.
“Hahaha...... kiranya kau bos akulah ni?” soal Laili dengan tujuan mengusik Syafiq.
“Ya, aku bos kau. Kau pekerja aku,” ujar Syafiq. Tenang sahaja gayanya.
Amat sukar untuk dipastikan sama ada Syafiq itu sedang bergurau atau sememangnya serius dalam setiap patah perkataan yang diucapkannya.
“Sudahlah tu, Syafiq. Mulut aku ni dah tak larat nak ketawa banyak-banyak. Penatlah. Buat lawak saja la kau ni. Kau bos aku? Oh! No way! Kalau aku kawan kau, itu barulah betul,” kata Laili bersungguh-sungguh.
Syafiq hanya tersengih.
“Eh Syafiq, hari ni kau tak kerja ke? Boleh ajak-ajak aku keluar pula. Entah-entah kau pun tak kerja macam aku tak? Kau nak main-mainkan aku ya pasal aku dapat kerja yang kau cakap tu?” Sambil menyuap nasi goreng pattaya, mulut Laili sibuk bertanya itu dan ini tanpa sempat Syafiq menjawabnya terlebih dahulu satu demi satu.
Syafiq menghirup air milo ais yang sememangnya menjadi minuman paling digemarinya.
“Aku kerjalah. Sedapnya mulut kau mengata aku main-mainkan kau, ya? Muka aku ni tak cukup ikhlas ke nak yakinkan kau?” bidas Syafiq.
Laili mencebik. Tidak percaya.
Okey! Jom kita pergi kerja!” ajak Syafiq.
Berkerut kening Laili mendengar ajakan Syafiq. Jom kita pergi kerja? Maknanya, pergi kerja sekarang, ke? Perkataan ‘kita’ tu  maksudnya, Laili dengan Syafiq pergi kerja sama-sama? Riak wajah Laili kelihatan blur.
“Tunggu apa lagi? Nak kerja ke tak nak ni?” Teguran Syafiq itu membuatkan Laili terperanjat.
“Kejap.... kejap.... maksudnya, aku kerja sama-sama dengan kau? Dekat mana?” Tidak jemu-jemu Laili melontarkan soalan demi soalan. Tetapi sayang, tidak ada satu pun jawapan yang diperolehi.
“Ya, memang kita kerja sama-sama. Tapi kau jangan risaulah, aku takkan jadi bos kau punya. Kita cuma rakan sejawat. Aku peliklah, kenapa kau tak suka kalau aku jadi bos kau? Best apa, nanti kau mesti jadi anak buah aku yang paling aku sayang,” ujar Syafiq dengan sengihan yang makin meleret.
Yak! Untuk pengetahuan kau, aku tak rela jadi anak buah kau. Malulah! Kau kan kawan aku, mana boleh jadi bos aku. Tapi, kat mana tempat kerja tu? Hisy... kau ni, takkanlah masih nak rahsia, kut!” Laili bertanya soalan yang satu itu sekali lagi.
Laili terlalu ingin tahu dengan lebih lanjut perihal pekerjaan yang baru diperolehinya tanpa temuduga itu.
Syafiq tersenyum panjang. Hai... syafiq ini asyik tersenyum dan tersengih sahaja. Apa agaknya yang ada dalam fikiran dia?
“Malu kenapa? Kalau kawan tak boleh jadi bos, ke?” Sengaja Syafiq bertanya.
Sambil itu, Syafiq menghabiskan sisa air milo ais di dalam gelasnya. Syafiq perlu lekas-lekas membawa Laili ke tempat kerjanya. Tetapi banyak pula soalan Laili yang menangguh-nangguhkan masanya. Syafiq pun silap juga, yang dia pergi melayan kerenah Laili itu siapa suruh? Bukankah itu namanya cari penyakit?
Laili memejamkan matanya rapat-rapat. Argh.... sakit hati Laili mendengar soalan Syafiq. Geramnya.... sungguh-sungguh dia geram. Sejak bila si Syafiq ini tidak faham Bahasa Melayu? Lain yang Laili tanya, lain pula yang Syafiq jawab. Malah dirinya pula yang disoal kembali. Tekanan perasaan betullah kalau macam ini.
“Heee...... kau memang sengaja main tarik tali dengan aku, kan? Arghh! Malaslah layan kau. Aku nak balik. Aku tak nak kerja!” Laili membentak keras.
“Eh.... nanti.... nanti..... ok... ok... aku akan terangkan... aku akan terangkan!”
Cepat-cepat Syafiq menahan gerakan Laili yang sudah mencapai beg tangannya yang cantik seperti beg tangan datin-datin. Alah... nampak sahaja mahal. Tapi beli kat pasar malam sahaja.
Mendengar kata-kata Syafiq, Laili membetulkan kembali duduknya di atas kerusi. Tangannya pula mengemas-ngemas baju blaus berwarna ungu dan seluar panjang hitam yang dipadankan bersamanya.
Setelah itu Laili meleretkan senyuman seraya meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas riba. Dia mengangguk perlahan sebagai arahan agar Syafiq meneruskan penerangan seperti yang sudah dijanjikannya sebentar tadi.
Gulp! Apa aku nak terangkan, ni? Telan liur Syafiq melihat Laili yang sudah bersedia mahu mendengar penerangannya. Mengenangkan Laili yang semakin panas baran, nampaknya dia wajib memberi penerangan.
“Cepatlah terangkan!” Laila mendesak. Bertambah sakit hati pula dia apabila melihat Syafiq yang hanya terkebil-kebil seperti tertelan cicak.
Okey... okey... relaks! Tempat kerja tu kat Kolej Kristal. Itu saja maklumat yang aku boleh bagi. Jomlah kita pergi. Dah lambat ni!” jawab Syafiq, mengajak Laili sekali lagi.
Biji mata Laili membulat.
“Kolej? Kerja sebagai pensyarah, ke?” Laili masih tidak penat untuk meneka.
Syafiq ketawa spontan mendengar tekaan Laili yang seratus peratus salah itu.
‘Kau akan tahu juga nanti Laili. Masa tu kau tak boleh tolak lagi kerja tu. Sebabnya, kau dah janji akan terima apa sahaja pekerjaan yang aku tawarkan,’ kata hati Syafiq.
“Sudah... sudah... tak payahlah kau nak teka-teka lagi. Buat penat otak kau saja. Kalau kau nak kerja, cepat ikut aku.” Seusai ayat itu, Syafiq terus bangun.
Melihat Syafiq yang sudah semakin jauh berjalan, Laili cepat-cepat bangun dan mengejar lelaki itu. Syafiq yang perasan akan pergerakan Laili itu sempat tersenyum panjang. Yes!!!

*     *     *
“OH! Ini ke pekerja baharu tu, Syafiq?” soal Puan Nani dengan mimik muka tidak senangnya. Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki, Puan Nani memerhatikan Laili.
“Ya, Puan. Inilah dia orangnya,” jawab Syafiq.
Kelihatan Puan Nani mengangguk.
Beberapa orang pekerja lain yang berada berhampiran mesin perakam waktu pejabat itu kelihatan menjeling-jeling melihat kehadiran Laili yang baru tiba bersama Syafiq.
Terdapat dua orang pekerja lain sedang berjalan. Mata masing-masing terlekat kepada wajah Laili yang tidak pernah mereka kenali itu. Siapakah dua orang pekerja itu? Merekalah Bunga dan Cempaka. Wow! Klasiknya nama mereka. Cantik namanya semanis orangnya. Tetapi perangainya bagaimana pula? Lihat sahajalah nanti, ya!
“Siapa tu?” Terdengar soalan Bunga dalam nada bisikan.
“Entah! Aku dengar-dengar, ada pekerja baharu nak masuk hari ni. Perempuan tulah agaknya. Tapi pagi tadi tak ada pula,” jawab Cempaka dengan bibir yang tercebik seperti orang tidak puas hati.
“Eh, waktu rehat dah nak tamat ni. Habis kita nanti kalau Puan Nani nampak kita masih berlegar-legar kat sini,” ucap Bunga secara tiba-tiba. Gaya percakapannya ala-ala pekerja cemerlang gitu.
Pantas wajah Bunga ditatap seketika sebelum Cempaka bersuara. “Tak payah nak berlagak baiklah, weh!”
Cempaka pura-pura tidak mendengar kata-kata sahabat baiknya itu. Suara Puan Nani yang tiba-tiba menerjah gegendang telinga Cempaka dan Bunga mengalihkan perhatian. Mereka mula memasang telinga.
“Awak ni..... nak pergi kerja kat sini ke atau nak pergi temuduga sebagai pegawai bank?” tanya Puan Nani. Garang betul. Sekali lagi dia memandang tubuh Laili dari atas ke bawah.
Laili berasa serba salah apabila diperhatikan begitu rupa. Dahinya berkerut seribu. Apa yang tidak kena dengan penampilan aku? Fikir Laili.
“Nak... nak ker... kerja kat sini, puan,” tergagap-gagap Laili menjawab.
“Baik. Esok jangan pakai macam ni lagi. Tak sesuai. Cempaka! Mari sini!” arah Puan Nani seraya memanggil Cempaka yang dilihatnya masih tercegat berhampiran mesin perakam waktu.
Riak terkejut jelas kelihatan pada wajah Cempaka dan Bunga. Secepat mungkin mereka mula menghampiri Puan Nani.
“Ya, puan?” sapa Cempaka sesopan yang mungkin.
“Ini ada pekerja baharu. Err... siapa nama, awak?” soal Puan Nani kepada Laili.
“Laili... Laili Arifah binti Ahmad Nazim.” Laili memberitahu nama penuhnya. Puan Nani mengangguk dan pandangannya kembali terarah kepada Cempaka.
“Laili akan masuk team Cempaka. Nanti awak tunjuk ajar dia apa yang patut,” arah Puan Nani.
Spontan Cempaka dan Bunga memandang wajah Laili. Dahi kedua-dua sahabat baik itu berkerut. Entah apa yang sedang difikirkan mereka. Laili cuba senyum. Namun cepat-cepat senyumannya itu mati apabila tiada balasan. Renungan tajam daripada Bunga dan Cempaka menyeramkan dirinya. Sungguh!
“Laili, Cempaka merupakan  team leader awak. Dan Bunga adalah pembantunya. Setiap team mempunyai lebih kurang lima hingga sepuluh orang. Nanti awak berkenal-kenalanlah dengan mereka. Awak ada apa-apa soalan?” tanya Puan Nani di hujung penerangannya.
“Err.... apa kerja yang saya perlu buat?” Terpacul soalan tersebut dari mulut comel Laili.
Bulat mata Puan Nani, Bunga dan Cempaka mendengar soalan Laili. Masakan Laili tidak tahu? Fikiran mereka diserbu persoalan yang kurang logik.
Seketika, baru mereka teringat akan kehadiran Syafiq. Lelaki itu pasti ada jawapan kepada persoalan yang sedang menghantui mereka. Namun didapati Syafiq sudah tiada. Entah bila masa pula dia menghilang.
Cleaner!” Puan Nani, Bunga dan Cempaka menjawab serentak.
Serta merta mulut Laili terlopong. Matanya membulat, lebih bulat daripada mata ketiga-tiga manusia yang terkejut dengan soalannya sebentar tadi. Dia rasa seperti sedang berada di alam mimpi. Terngiang-ngiang jawapan mereka di cuping telinganya.
‘Tidak! Aku tak percaya! Syafiq!!’ Hati Laili menjerit berang. ‘Apa yang kau dah buat kepada aku ni, Syafiq?’ Laili hanya mampu memberontak di dalam hati, kerana hakikatnya dia hanya senyap dan berdiri tegak seperti patung.
“Awak tak tahu, ke?” Pantas Bunga dan Cempaka bertanya. Hampir serentak bunyinya.
Biji mata Laili terkebil-kebil sambil memandang wajah Bunga dan Cempaka.
“Err... tahu.. tahu, cuma... kerja cleaner tu, macam mana?” Laili mengutarakan soalan bodoh.
Sekali lagi tiga orang manusia di hadapan Laili itu tercengang.
Bukannya Laili tidak tahu bagaimana pekerjaan tersebut. Cuma soalan itu terbit kerana dia masih tidak dapat menerima hakikat akan jawatan tukang cuci yang sedang disandangnya.
Sebenarnya Laili hanya tidak mahu kelihatan kalah di hadapan mereka. Mereka tidak boleh tahu perkara yang sebenar, sebab itulah Laili bertanyakan soalan bodoh secara tidak sengaja.
‘Aku harapkan kerja pegawai, rupa-rupanya kerja cleaner yang aku dapat! Memang cari nahaslah kau, Syafiq. Aku cincang-cincang kau lepas ni! Tanya aku mempunyai ijazah apa konon. Takkanlah pekerjaan cleaner seperti ini memerlukan ijazah dalam bidang akaun?’ Laili terkenang soalan Syafiq yang ternyata langsung tidak relevan.
“Eh, kau biar betul tak tahu kerja cleaner tu macam mana? Kau ni orang bumi ke orang bulan?” Spontan Bunga bertanya.
Cempaka menyenggol siku Bunga. Dia memberi amaran dengan ekor matanya supaya Bunga tidak terus bertanya soalan yang bukan-bukan. Tetapi Bunga kelihatan selamba sahaja. Malah Bunga sendiri tidak menyedari Puan Nani merenung tajam ke arah wajahnya sebaik mendengar soalan kurang sopan yang baru dilontarkannya.
“Sudah... sudah, Laili nanti awak ikut Cempaka,” lerai Puan Nani. Setelah itu Puan Nani terus berlalu menuju ke arah mejanya di dalam pejabat itu.
“Jom!” ajak Cempaka tanpa membazir masa lagi.
Bunga mengekori langkah Cempaka dan Laili. Mata Bunga masih tidak lepas daripada memandang pelik ke arah Laili. ‘Aneh sungguh perempuan ni,’ fikir Bunga. ‘Makhluk asing ke dia? Aku rasa, budak kecil pun tahu kerja cleaner tu macam mana.’ Tidak habis-habis lagi Bunga bermain kata-kata di dalam hati.
“Eh, kat mana ni?” soal Laili sebaik mereka tiba di dalam sebuah bilik yang yang dipenuhi perkakas seperti sabun, penyapu, penyedut hampagas, mop dan bermacam-macam lagilah.
“Ini namanya stor. Bunga, aku rasa aku tengah mengajar budak umur dua tahunlah.” Cempaka bersuara kepada Bunga yang sejak tadi hanya berdiri di sebelahnya.
Mengekek Bunga ketawa mendengar kata-kata Cempaka. Laili menjeling tajam ke arah mereka dengan kening yang dikerutkan.
“Kau tau tak benda alah ni, apa namanya?” soal Cempaka sambil memegang sarung tangan berwarna kuning terang.
Kuat Laili menggigit bibir. Namun matanya tetap melihat sarung tangan yang dikibar-kibarkan di hadapan matanya.
“Taulah!!” Tidak ikhlas Laili menjawabnya.
“Ingatkan tak tahu,” balas Cempaka. Sekali lagi bilik stor itu bergema dengan suara tawa Bunga dan Cempaka.
“Ni, tau tak?” Kali ini Bunga pula yang bertanya.
Laili diam. Hati Laili semakin panas membara. Bulat matanya memandang penyapu jerami yang dipegang oleh Bunga. Laili menarik nafas dalam-dalam. Sabarlah wahai hati!
“Tak apa-tak apa, aku tau kau tau. Pandai... pandai...” ucap Bunga sambil menahan tawanya daripada meledak sekali lagi.
Cempaka pula sudah menutup mulutnya, juga sedang menahan ketawa.
“Sekarang, kau ambil sarung tangan, penyapu, sabun, berus tandas, kain lap, plastik sampah dan masukkan semua tu ke dalam troli kuning. Lepas tu kau pergi tandas aras satu, bersihkan tandas tu. Oh ya, jangan lupa ambil papan tanda yang ada tulis ‘Awas! Pembersihan sedang dijalankan’ ni. Letak dekat pintu masuk tandas. Jangan bagi orang masuk. Nanti tak pasal-pasal, kau kena kacau dengan lelaki miang pula,” panjang lebar Cempaka memberi penerangan sambil mengunjukkan papan tanda yang dimaksudkan kepada Laili.
‘Lelaki miang? Ada lelaki miang ke kat sini? Basuh tandas? Oh, no!!’ Dalam terpaksa, Laili menyambut juga papan tanda dihulurkan oleh Cempaka.
“Sebelum aku lupa, aku sebagai leader nak nasihatkan kau sikit. Esok pakai T-shirt saja. Tak payah nak pakai blaus dan beg mak datin kau ni. Kau ingat kau kerja pensyarah ke kat Kolej Kristal, ni?” sambung Cempaka.
Seperti biasa Bunga sudah ketawa terkekeh-kekeh mendengar kata-kata Cempaka. Bunga membuka almari yang terdapat di dalam stor tersebut. Dia mengeluarkan sehelai baju berwarna hijau.
“Nah! Ini baju seragam kita sebagai tukang cuci kat kolej ni. Ambil dan pakai. Baju blaus cantik kau tu tak laku kat sini, tau,” ujar Bunga sambil menghulurkan baju seragam ditangannya.
Bunga memang tidak sayangkan mulut. Ucapannya selalu sahaja menyakitkan hati. Lebih kurang sahaja sikapnya dengan Cempaka. Namun mulut Bunga lebih teruk daripada Cempaka.
‘Arghh! Geramnya!!’ jerit Laili dalam hati.
Hmmm..... begitulah al-kisahnya yang membawa Laili ke tempat kerjanya sekarang.
*     *     *

“WOI... gila, ke?” Tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki memarahi Laili.
Ah.... rupa-rupanya Laili sedang berkhayal. Bayangan wajah Bunga dan Cempaka terus menghilang ditelan suara lantang yang menengkingnya sebentar tadi. Terkebil-kebil dia memandang wajah lelaki itu.
“Awak kata saya gila?” soal Laili kembali kepada lelaki di hadapannya. Ada perasaan marah dalam hatinya.
“Lain kali, kalau nak kerja tu buatlah cara nak kerja. Cuba tengok, apa yang awak dah buat kat kasut saya, ni?” marah lelaki itu.
Sepantas kilat pandangan Laili terhala ke bawah. Memandang kasut lelaki itu yang sudah penuh dengan sampah sarap dan debu halus. Serta merta Laili menjadi panik.
Kasut hitam berkilat itu sudah bertukar menjadi warna kelabu kerana debu simen. Serpihan plastik gula-gula juga elok tertenggek di atas kasut tersebut. Percikan air sirap daripada sampah plastik minuman turut menjadi ‘perhiasan’ di sekitar lelaki itu.
Laili tidak sedar, bila masa pula dia menyapu sampah sarap ke arah kasut lelaki itu? Inilah bahananya jika suka berkhayal pada waktu kerja.
Laili cuba membersihkan kotoran itu menggunakan penyapu jeraminya.
“Hei... awak ingat kasut saya ni sampah, ke? Boleh pulak awak nak sapu-sapu kasut yang tengah saya pakai ni dengan penyapu? Awak ni tak ada otak, ke?” Sekali lagi Laili disergah oleh lelaki itu.
Laili terkebil-kebil. Ketika ini otaknya langsung tidak dapat berfungsi dengan baik. Tiba-tiba terbit suatu perasaan asing. Dia terasa seperti mahu menangis.
Hati Laili diterjah perasaan sayu... sedih...
‘Tergamaknya lelaki itu menengking aku sesuka hati. Bersepai rasanya maruah aku... sampainya hati dia,’ rintihnya dalam hati.
Laili berdiri tegak tidak bergerak. Hanya deruan nafasnya sahaja yang kelihatan melalui turun naik dadanya.
Entah bagaimana tiba-tiba dia teringat akan tukang cuci wanita yang pernah dihinanya dahulu. Mungkin inilah perasaan yang wanita itu alami. Sedih......
“Err... maafkan saya, encik. Boleh tak encik boleh tinggalkan kasut kat sini? Nanti saya basuhkan kasut encik.” Dalam kekalutan situasi itu, Laili cuba menyelesaikan masalah.
Kening lelaki itu berkerut sebaik mendengar usul Laili yang baginya langsung tidak masuk akal.
“Awak nak saya tinggalkan kasut dekat sini? Dan lepas tu awak nak suruh saya berjalan kaki ayam? Macam tu, ke?” balas lelaki itu kembali.
Ya, tak ya juga. Masakan lelaki itu akan berjalan kaki ayam. Laili menggaru-garu kepala. Fikirannya benar-benar buntu. Macam mana, ni?
“Bagi saya pinjam selipar awak,” kata lelaki itu tiba-tiba. Matanya melirik selipar jepun yang elok terletak di dalam troli kuning milik Laili.
“Hah!” Laili terjerit kecil. Mulutnya ternganga.
“Awak nak saya ulang seratus kali, ke?” ucap lelaki itu.
Bukan Laili tidak mahu memberikannya, tetapi Laili cuma tidak sampai hati mahu memberikan selipar jepunnya kepada lelaki itu. Masakan tidak, selipar itu baru sahaja digunakan untuk membersihkan tandas. Pastinya sisa air sabun masih melekat pada selipar tersebut.
“Err.... tapi... encik tak kisah, ke? Encik dah pakai baju elok-elok, tapi pakai selipar?” soal Laili dalam ragu-ragu.
“Habis tu? Awak ada cadangan lain?” soal lelaki itu kembali.
“Hmm....” Laili menggeleng laju.
So?” Lelaki itu merenung mata Laili.
Laili terpana menatap renungan tersebut. Sebelum terjadi adegan renung merenung, lebih baik Laili mengalah. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya.
“Baik.. baik.. saya ambil selipar sekarang.” Laili bersuara lantas mengambil seliparnya di dalam troli kuning.
“Jangan lupa basuh bersih-bersih. Ini kad saya, nanti hantarkan kasut saya ikut alamat dalam kad ni.” Setelah menyarungkan selipar jepun dan memberikan kad namanya, lelaki itu terus berlalu meninggalkan Laili.

Muhammad Akasyah Danish
Pensyarah
Jabatan Statistik
Kolej Kristal

Laili membaca kad yang baru diterimanya. Macam tu gaya pensyarah? Pensyarah tak berbudi bahasa. Amboi Laili, mengutuk nampak!

*     *     *

SUDAH puas Laili bergolek-golek di atas katil. Bosan. Hari ini hari cuti. Berkali-kali dia cuba menghubungi Syafiq. Namun panggilannya tidak berjawab. Kenapa dengan Syafiq?
Sejak Laili bekerja sebagai tukang cuci, Laili sudah jarang bertemu Syafiq. Memang Syafiq bekerja juga sebagai tukang cuci di Kolej Kristal, tetapi Syafiq selalu sahaja cuti. Namun yang peliknya, tiada pula Puan Nani marah.
Sejujurnya Laili belum puas membebel kepada Syafiq kerana memberikannya pekerjaan sebagai tukang cuci. Akibat sudah terlanjur berjanji, Laili terpaksa meneruskan pekerjaan itu. Itu pun setelah Syafiq memberitahu bahawa Laili hanya perlu bekerja sebagai tukang cuci selama tiga bulan. Selepas itu, Laili boleh meletakkan jawatan.
Telefon bimbit Laili berbunyi menandakan ada mesej masuk. Syafiq hantar mesej? Cepat-cepat Laili membukanya.

Aku bercuti tanpa gaji selama dua bulan lebih. Jangan lupa janji kita. Aku akan bom rumah kau kalau kau berhenti kerja – Syafiq
    
Kenapa nak cuti? Kau nak pergi mana? – Laili

Jangan tanya. Habis cuti nanti aku mesti beritahu – Syafiq

Ala.... beritahu la sekarang! – Laili

Syafiq tidak membalas mesej Laili yang terakhir itu. ‘Huh!!’ Laili mengeluh kasar. Selepas dua bulan lebih maka genaplah tempoh tiga bulan. Ini bermakna Laili dan Syafiq hanya akan bertemu selepas Laili berhenti kerja. Laili tidak peduli, dia mesti berhenti kerja selepas tempoh yang diberikan tamat.

*     *     *

“OPSS! Sorryy.... tak sengaja!” ucap Bunga selepas dia terlanggar bahu Laili.
Beg kertas yang tadinya kemas dalam pegangan tangan Laili sudah terhempas di atas lantai. Isi beg kertas yang sudah terkeluar itu menarik perhatian Bunga. Pantas Bunga mencapainya untuk melihat lebih dekat.
“Kasut siapa, ni?” Soalan itu meluncur keluar dari mulut Bunga.
Laili terkejut. Apakah yang harus dijawabnya?
“Err.....” Laili tidak mampu meneruskan kata-katanya. Sungguh dia tidak tahu alasan apakah yang patut diberikan.
“Ini kasut lelaki. Awak jangan buat onar kat sini.” Bunga memberi amaran.
Tersentak Laili mendengar kata-kata berbaur tuduhan daripada Bunga. Cepat-cepat dia menggeleng.
“Eh... tak! Saya tak buat apa-apa!” sangkal Laili.
“Betul ke? Habis tu, kasut siapa ni?” sekali lagi Bunga bertanya.
“Errr.... kasut ayah saya!” Meluncur alasan itu dari mulut Laili.
Kecil mata Bunga mendengar alasan Laili itu.
“Hah? Buat apa bawa kasut ayah awak pergi kerja?” Sudah seperti anggota polis pula Bunga melemparkan soalan demi soalan.
Laili semakin mati kutu. Tiba-tiba muncul satu akal dalam fikirannya.
“Ayah saya suruh betulkan tapak kasut tu nanti bila dah habis kerja.” Laili menokok tambah cerita.
Bunga membelek-belek kasut hitam ditangannya. Kiri kanan depan belakang.
“Elok saja saya tengok kasut ni. Macam tak ada apa-apa yang rosak pun!” duga Bunga kemudiannya.
“Dah tampal tapak tu kat rumah tadi... tapi takut tak kuat, tu yang kena bawa pergi jumpa ‘doktor’ kasut juga.” Semakin jauh Laili memutar belit ceritanya.
“Ya, ke?” Kelihatannya Bunga masih tidak mahu percaya.
“Sudahlah. Yang awak sibuk dengan kasut ayah saya tu, kenapa? Tak ada kena mengena dengan awaklah,” kata Laili sambil merampas kembali kasut tersebut. Sepantas mungkin dia meninggalkan Bunga.
“Tak ada kena mengena dengan awaklah. Eleh.... gedik.” Bunga mengajuk percakapan Laili sambil menjuihkan bibirnya.

*     *     *

LAILI berhenti dari satu pintu ke satu pintu pejabat yang ada di Kolej Kristal. Akhirnya dia menemui nama Muhammad Akasyah Danish pada salah satu pintu. Perlahan-lahan diketuknya pintu tersebut. Tidak berapa lama kemudian terdengarlah suara dari dalam yang memintanya masuk. Tanpa membuang masa Laili memulas tombol pintu dan meloloskan diri ke dalam pejabat.
“Assalamualaikum, Encik Akasyah Danish.” Laili mengucap salam.
Danish mendongakkan wajah seraya menjawab, “Waalaikumussalam.”
“Maaf, saya terpaksa mengganggu encik,” ucap Laili apabila melihat Danish yang seperti sedang asyik bekerja. Mejanya penuh dengan kertas dan buku.
“Oh.. tak apa. Awak datang ni, sebab nak hantar kasut saya, ke?” soal Danish sambil melirik ke arah beg kertas yang dipegang Laili.
“Ya, Encik Akasyah Danish. Saya minta maaf sekali lagi. Saya dah basuh bersih-bersih, tau. Dijamin bersih berkilat dan boleh dibuat cermin muka.” Bersemangat Laili menuturkan kata-katanya. Berani pula dia berseloroh.
Danish tergelak kecil, menyerlahkan lesung pipit di pipi kanannya. Dia tidak menyangka Laili akan mengeluarkan kata-kata seperti itu.
Laili pula terkejut melihat reaksi Danish. Encik Akasyah Danish tergelak? Betul ke? Maksudnya, dia sudah tidak marahkan Laili. Lama Laili memandang wajah Danish sehingga Danish menjadi serba salah.
“Awak.... awak tak apa-apa?” Teguran Danish mengejutkan Laili.
“Err.. tak.. saya tak apa-apa. Encik Akasyah Danish, saya minta maaf atas kejadian semalam,” ujar Laili kemudian.
Kelihatan Danish menggeleng. Wajah Laili bertukar muram. Mungkinkah gelengan itu menandakan bahawa Danish tidak mahu memaafkannya?
“Awak ni.... saya dah lama maafkan awak. Perkara kecil sahaja tu. Saya pun minta maaf juga. Saya tak patut marah-marah awak macam tu.” Kali ini Danish pula yang meminta maaf.
“Tak apa. Memang salah saya pun,” balas Laili sambil menundukkan wajah.
Laili tidak pernah berharap Danish akan meminta maaf dengannya. Sebaliknya dia yang harus berterima kasih kepada lelaki itu. Kemarahan dan teguran Danish itulah yang telah menyuntik kesedaran di dalam dirinya.
Laili menjadi sedar bahawa seorang tukang cuci juga punya hati dan perasaan. Berpakaian seragam hijau itu, Laili sentiasa berasa rendah diri apabila berjalan di mana-mana. Untuk berbual-bual seperti sekarang ini bersama Danish juga dia berasa tidak layak. Rasanya dia hanya layak untuk mencuci sahaja.
“Saya letak kasut ni kat sini ya,” kata Laili lantas meletakkan kasut Danish di atas kerusi.
Kemudian Laili mengeluarkan plastik hitam dari dalam poket baju seragam yang dipakainya. Lalu dia memasukkan sampah yang terdapat di dalam bakul sampah di sebelah meja Danish ke dalam plastik tersebut. Semua kelakuan Laili itu diperhatikan oleh Danish.
“Terima kasih!” ucap Danish tiba-tiba.
Laili mengerutkan kening. “Terima kasih untuk apa?” Laili bertanya.
Kelihatan Danish tersenyum. “Terima kasih untuk semuanya,” jawab Danish.
Bertambah berkerut kening Laili. Tidak faham dengan ayat Danish itu.
“Terima kasih sebab menjadi seorang yang bertanggungjawab dan..... terima kasih sebab ambil sampah kat bakul sampah saya,” tambah Danish sambil tangannya ditunjukkan ke arah bakul sampah.
Spontan Laili tersenyum. “Sama-sama. Itu dah memang kerja saya,” balas Laili.
Perasaan gembira menyelinap ke segenap pembuluh darah Laili. Dia seronok apabila Danish mengucapkan terima kasih kepadanya. Terasa dirinya sungguh dihargai. Terasa hilang segala penat lelahnya bekerja. Dia puas dengan apa yang dikerjakannya.
Hanya dengan ucapan terima kasih, Laili memperoleh nikmat yang tidak pernah dirasainya. Selama ini dia hanya buat bodoh tanpa mengucapkan terima kasih apabila terdapat tukang cuci yang membersihkan meja makannya di mana-mana restoran.
Laili tidak akan menghina apa-apa pekerjaan yang ada di dunia ini lagi. Baginya setiap pekerjaan itu mempunyai kepuasannya yang tersendiri. Dalam diam Laili berazam untuk meminta maaf kepada tukang cuci wanita yang pernah dihinanya dahulu.
Cik... belajarlah mengenal kehidupan.”

Tiba-tiba kata-kata tukang cuci wanita sewaktu di Restoran Indah Maya bergema di ruang ingatannya. Dahulu, Laili langsung tidak memahami maksudnya. Tetapi kini dia semakin memahami. Hidup ini bagai putaran roda. Sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah. Dahulu dia menghina pekerjaan tukang cuci. Tetapi kini dia sedang bekerja sebagai tukang cuci.
‘Minta maaf, kak....’ ucap Laili dalam hati. Tidak semena-mena air mata Laili jatuh setitis demi setitis.
“Awak menangis?” tegur Danish melihat perubahan mendadak Laili.
Laili tersentak. Bagaimana dia boleh tidak sedar yang dia masih berada di dalam pejabat Danish?
“Eh.. tak ada la... masuk habuk saja. Saya keluar dulu.” Cepat-cepat Laili meminta diri. Dia terus meluru keluar tanpa menoleh ke arah Danish lagi.
Tanpa Laili sedari, kehadirannya di pejabat Danish telah disaksikan oleh sepasang mata. Sepasang mata milik Bunga.

*     *     *

DARI hari ke hari, Laili semakin seronok bekerja. Dia sudah tidak terpaksa lagi melakukan tugasnya. Apa yang penting, dia enjoy.
Apabila Laili tertekan dengan sesuatu perkara, Laili akan mencuci sepuas-puas hatinya. Terasa hilang segala tekanan yang dirasai apabila melihat apa yang dicucinya menjadi bersih berkilat. Ya... mencuci dan mengemas memang dapat mengurangkan tekanan jika dilakukan dengan seikhlas hati.
Dengan menggunakan penyedut hampagas, Laili kelihatan leka menyedut segala kekotoran yang melekat pada karpet yang terletak di hadapan pintu keluar pejabat. Dahulu dia sungguh malu untuk membersihkan karpet yang berada di situ, kerana kedudukannya yang mudah dilihat orang ramai. Tetapi kini dia sudah tidak malu-malu lagi. Dia sudah biasa.
Entah apa yang silap, penyedut hampagas yang digunakan mati secara tiba-tiba. Laili mengerutkan kening. Puas dia menekan-nekan butang ‘on’ pada penyedut hampagas yang berwarna merah jambu itu. Namun tidak ada sebarang perubahan yang berlaku.
‘Kenapa, ni?’ Dalam pada dia berfikir-fikir itulah telinganya menangkap suara ketawa dari arah belakang. Pantas dia menoleh.
“Awak? Kenapa matikan suis elektrik tu?” marah Laili kepada Danish.
Kini mereka sudah berkawan baik. Laili juga sudah tidak memanggil Danish dengan panggilan Encik. Danish yang memintanya.
“Sengaja.” Mudah sahaja jawapan Danish. Laili menjegilkan biji matanya.
“Hidupkan balik!” arah Laili.
“Tak mahu,” balas Danish dengan selambanya.
“Hidupkan!” Laili menekan suaranya.
“Awak janganlah marah-marah. Cuba awak jadi macam vacuum awak tu. Senyum saja. Vacuum awak memang tak pandai nak marah, ke?” soal Danish.
‘Vacuum aku senyum? Biar betul Danish ni.’ Serta merta Laili memandang penyedut hampagas kesayangannya. Yalah.... terdapat lukisan mata, hidung dan mulut yang sedang tersenyum pada badan penyedut hampagas itu. ‘Comelnya! Macam mana selama ni aku boleh tak perasan?’ fikir Laili sambil senyum meleret.
Sorry. Mana ada saya marah. Tertinggi suara sajalah,” ujar Laili.
Okey. Kalau tak marah, jom ikut saya keluar makan,” ajak Danish.
Seperti dengar tidak dengar sahaja Laili dengan ajakan Danish. Buang tabiat agaknya Danish ini. Tidak pernah-pernah Danish ajak Laili keluar makan pada waktu kerja. Memanglah sebentar lagi waktu rehat Laili akan tiba, tetapi masakan dia mahu keluar dengan Danish. Dengan berbaju seragam tukang cuci berjalan di sisi Danish, tidak malu ke Danish nanti?
“Laili!” Terdengar suara seseorang memanggil nama Laili.
Laili pantas menoleh ke arah suara tersebut. Senyumannya terus melebar dan matanya membulat.
“Syafiq!!” Laili menjerit sebaik melihat kelibat Syafiq bersama seorang perempuan.
“Kau sihat? Macam mana kerja?” soal Syafiq kemudiannya.
“Aku sihat-sihat saja. Kau sihat?” Giliran Laili pula bertanya kepada Syafiq yang sudah lama tidak ditemuinya, hampir dua bulan lebih.
Mungkin Syafiq sudah kembali bekerja. Dan Laili pula sedang menghitung hari-hari terakhirnya sebagai tukang cuci walaupun dia semakin serasi dengan pekerjaannya.
“Sihat juga,” jawab Syafiq.
Jauh di sudut hati, Syafiq bersyukur. Nampaknya Laili Arifah yang dahulu sudah kembali. Selamat tinggal Laili Arifah yang angkuh. Syafiq merasakan bahawa sudah tiba masa yang tepat untuk dia menyempurnakan rancangannya.
“Aku tak sangka kau mampu bertahan sampai hari ni. Hmm.. bertahan sebagai tukang cuci. Laili si tukang cuci,” ujar Syafiq sambil tersenyum.
Laili turut tersenyum. Dia tidak marah Syafiq menggelarkannya ‘Laili si tukang cuci’.
“Aku patut berterima kasih kat kau, Syafiq. Kalau bukan sebab kau yang paksa aku kerja sebagai tukang cuci ni, mesti aku tak jadi macam sekarang. Banyak sangat yang aku belajar. Aku dah faham dengan sesuatu yang aku tak faham sebelum ni,” luah Laili.
 “Baguslah. Aku tumpang gembira. Ini barulah kawan aku yang dulu,” kata Syafiq.
“Ini.... siapa?” soal Laili sambil memandang seorang perempuan yang sejak tadi hanya berdiri di sisi Syafiq.
“Oh.. maaf.. aku lupa nak kenalkan. Ini staf di ibu pejabat. Aku sengaja bawa dia tengok-tengok cawangan kita kat sini.” Syafiq menjawab tanpa ragu-ragu.
“Staf di ibu pejabat? Cawangan?” Laili bertanya kembali. Dia tidak faham.
“Alamak!” Tiba-tiba Syafiq menjerit sambil menekup mulutnya.
“Encik Syafiq ni memang tak pandai simpan rahsia.” Perempuan itu bersuara setelah lama membisu.
“Kau ni siapa sebenarnya, Syafiq?” soal Laili lagi.
“Aku... aku....” Kata-kata Syafiq tergantung.
“Encik Syafiq ni adalah salah seorang daripada ahli lembaga pengarah syarikat pembersihan kita ni.” Perempuan itu membongkar rahsia yang sudah tersimpan sekian lama.
“Syafiq, kenapa kau tak pernah beritahu aku?” Laili bertanya lagi.
“Aku minta maaf. Aku tak boleh beritahu kau sebab.... sebab... haa, kau kan tak suka aku jadi bos kau. Ingat lagi tak kau pernah cakap macam tu dulu?” Tiba-tiba Syafiq mendapat idea.
“Hai... kau ni... takkan kau nak ambil serius dengan kata-kata aku yang tu? Aku main-main sajalah,” tegas Laili.
“Aku harap kau rahsiakan identiti aku. Semua pekerja kat sini tak tahu siapa aku yang sebenarnya, kecuali Puan Nani dan Bunga,” beritahu Syafiq.
“Patutlah Puan Nani tak pernah marah kau. Ponteng berhari-hari pun dia buat selamba saja. Rupa-rupanya kau ni tukang cuci yang menyamar. Tapi, macam mana Bunga boleh tahu?” Banyak benar persoalan yang keluar dari mulut Laili.
“Sayalah Bunga. Awak tak perasan, ke? Irmalah nama sebenar saya,” bongkar Irma a.k.a Bunga.
Spontan Laili meneliti wajah Irma yang mengaku sebagai Bunga. Betullah... wajah Irma memang seiras dengan Bunga. Dia hampir tidak mengenali Bunga kerana selama ini dia hanya mengenali Bunga yang berbaju seragam hijau dan tanpa solekan di wajah.
“Saya minta maaf kalau selama ni saya dah menyinggung perasaan awak, Laili. Itu semua lakonan saja. Saya ni sebenarnya baik orangnya.” Sempat Irma memuji diri sendiri.
“Tak apa. Saya tak ambil hati pun. Tapi.... kenapa semua orang nak menyamar?” Laili mengutarakan soalan. Otak Laili memang tidak mahu berhenti daripada berfikir tentang itu.
“Sebenarnya ini merupakan prosedur biasa. Setiap tahun memang kami akan lakukan penyamaran untuk menyelidik keadaan sebenar di setiap cawangan.” Syafiq memberi penerangan.
“Oh, macam tu,” ujar Laili mulai faham.
“Jadi.... kau benar-benar bercuti tanpa gaji atau....” Laili tidak sempat menghabiskan kata-katanya kerana dipotong Syafiq.
“Aku buat lawatan ke cawangan lain. Sama macam yang aku buat kat sini, menyamar.   Kebetulan sekarang ni giliran aku buat penyamaran. Nanti kalau dah ramai yang kenal aku, aku pakailah jambang ke, misai ke... Peace! Hehe...” ucap Syafiq sambil menaikkan dua jarinya sebagai isyarat ‘aman’. Dia tidak mahu Laili marah-marah.
“Ceh! Kau tipu aku?” Laili melenting juga. Namun kedengaran seperti lentingan manja.
Laili teringat Danish secara tiba-tiba. Alamak! Bukan sengaja dia mahu melupakan Danish. Laili menoleh ke arah tempat Danish berdiri. Namun kelibat lelaki sudah tiada. Di manakah dia? Mungkinkah dia berkecil hati kerana aku tidak menghiraukan dia setelah bertemu dengan Syafiq? Danish.... minta maaf banyak-banyak, bukan itu maksud aku. Aku janji, aku akan kenalkan kau kepada Syafiq.

*     *     *
DI BILIK mesyuarat.......
So... apa pendapat kau tentang Laili?” soal Syafiq kepada sahabatnya, Danish.
“Hmmm... aku rasa... dia okey. Dia seorang yang bertanggungjawab, berani mengakui kesalahan diri, jujur, rajin, ceria, cantik...” Semakin meleret pula jawapan yang diberikan oleh Danish.
Stop.... stop.... lain macam saja bunyi hujung jawapan kau tu, Danish,” potong Syafiq sambil tersengih.
Danish ikut tersengih.
“Irma? Awak rasa macam mana?” Syafiq bertanya kepada Irma pula.
“Bagi saya, Laili seorang yang tidak mudah mengalah dan sanggup menerima cabaran. Buktinya dia tetap meneruskan kerjayanya sebagai tukang cuci sampai ke hari ni. Sedangkan dia sebenarnya boleh berhenti bila-bila masa yang dia suka, kan? Dan lagi.... bukan mudah untuk orang yang ada Ijazah Sarjana Muda Perakaunan macam Laili sanggup menjawat jawatan sebagai tukang cuci.
Mula-mula dulu memang saya nampak dia macam tak suka. Tapi saya tak tahu apa yang telah merubah dia, dan sekarang dia kelihatan gembira dengan tugasnya. Kalau saya jadi Encik Syafiq, saya akan terima dia.” Irma memberikan pendapatnya yang panjang lebar.
“Kalau aku jadi kau pun, aku akan terima Laili tu,” sampuk Danish pula.
“Kau orang nak tahu kenapa Laili tak berhenti kerja? Sebab saya pernah ugut dia yang saya akan bom rumah dia kalau dia berhenti kerja.” Selamba Syafiq berkata.
“Apa?” Hampir serentak jeritan Irma dan Danish.
            “Tapi saya gurau sajalah. Saya dah lama kenal dia. Dia takkan ambil peduli dengan gurauan-gurauan saya. Tapi kalau tentang dari tak gembira kepada gembira kerja tu, saya tak taulah apa pula sebabnya. Agaknya dia ada terpikat kepada siapa-siapa kat sini tak?” seloroh Syafiq kemudian.
            Irma dan Danish ketawa. Masakanlah Laili terpikat kepada siapa-siapa.
“Syafiq, kalau kau tak nak terima Laili, aku akan terima dia.” Tiba-tiba Danish berkata seperti itu.
“Kau nak terima dia sebagai apa? Sebagai pembantu penyelidikan kau?” soal Syafiq dalam nada hairan. 
“Taklah. Aku akan terima dia sebagai isteri aku.” Danish tergelak-gelak selepas menuturkan kata-katanya. Nampak sangat dia sedang bergurau.
“Ah... itu tak menjejaskan apa-apa. Kalau aku terima dia pun kau tetap boleh pinang dia sebagai isteri,” balas Syafiq laju.
“Betul ni, boleh?” tanya Danish.
“Betul!” tegas Syafiq sambil mengangguk-angguk.
“Encik Syafiq dengan Encik Danish ni buat saya macam tak wujud kat sini pula, kan?” tegur Irma yang sudah mula rasa terasing daripada perbualan dua orang lelaki itu.
Sorry Irma! Danish yang mulakan dulu. Baiklah, kembali kepada topik perbincangan. Dengan ini saya memutuskan bahawa Laili Arifah binti Ahmad Nazim akan menjadi Pegawai Akaun di syarikat pembersihan ini. Irma, nanti awak sediakan surat tawaran, ya. Terima kasih banyak-banyak, Danish. Sebab kau dah tolong aku. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,” ucap Syafiq sekali gus membuat keputusan terhadap topik perbincangan mereka.
“Baik, Encik Syafiq,” sahut Irma. Manakala Danish hanya mengangguk.
Sungguh unik cara Syafiq membuat pemilihan untuk mengambil pekerja di syarikat pembersihan milik ayahnya. Kasihan Laili kerana dia tidak sedar bahawa dia sedang dinilai sewaktu bekerja.
Syafiq hanya mahu membantu Laili mendapatkan pekerjaan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menawarkan terus jawatan pegawai itu kepada Laili. Namun jika difikirkan kembali, mana mungkin seseorang yang membenci pekerjaan tukang cuci seperti Laili boleh bekerja di syarikat pembersihan dengan baik.
Syafiq mahukan staf yang menghargai produk dan perkhidmatan syarikat. Justeru dia mengambil Laili sebagai tukang cuci terlebih dahulu agar gadis itu dapat belajar menghargai pekerjaan yang pernah dilekehkannya dahulu. Syafiq mengutamakan minat dalam segala-galanya. Baginya, berbekal minat yang ada, seseorang itu akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik.
 “Hmm.... Syafiq, tak apa ke kalau aku pinang Laili? Kau tak marah?” Sengaja Danish mahu menduga.
Tak habis-habis lagi rupanya Danish memikirkan tentang itu.
“Nak marah buat apa? Kalau kau pinang Laili, nanti aku pinang Irma. Apa susah?” Mudah sahaja jawapan yang keluar dari mulut Syafiq.
Irma sudah malu-malu.
“Tapi Syafiq, kau jangan pula bagitau yang kita pernah berpakat nak selidik dia. Depan Laili, kau buat-buat tak kenal aku. Okey?” pinta Danish.
“Okey! No problem!” balas Danish.
Bukan niat Danish juga mahu marah-marah kepada Laili suatu waktu dahulu. Semuanya hanya lakonan semata-mata. Demi menilai dan mengubah persepsi negatif Laili terhadap kerjaya tukang cuci.

*     *     *

Sedut jangan tak sedut...
Sedut sampai hilang semua debuuu...
Sedut jangan tak sedut..
Sedut sampai....

Nyanyian lagu daripada kumpulan Spider yang sesuka hati diubah liriknya oleh Laili terus terhenti apabila penyedut hampagas yang digunakannya mati secara tiba-tiba. Spontan Laili menyentuh dagunya menggunakan jari telunjuk. Dia tahu kenapa alat yang sentiasa tersenyum itu boleh mati. Pasti angkara Danish!
“Danish! Jangan main-main boleh, tak?” Teriak Laili sambil mengalihkan posisi tubuhnya menghala ke belakang.
“Danish?” tegur Syafiq.
Laili terpana melihat kehadiran Syafiq yang mengenakan kemeja berwarna biru lembut. Sangkanya Danish yang datang, kerana hanya Danish yang suka mematikan suis elektrik seperti sekarang.
Sorry, Syafiq! Aku ingatkan.... Danish tadi...” Laili meminta maaf.
“Rindu kat Danish, ke?” Sengaja Syafiq bertanya.
“Rindu!” Laju sahaja mulut Laili mengucapkannya.
Biji mata Syafiq terbeliak. Salah dengarkah telinganya ini?
“Betul kau rindukan dia? Aku serius, ni!” tegas Syafiq kemudian.
Syafiq memberi isyarat tangan supaya Laili turut duduk bersamanya di atas kerusi yang terdapat berhampiran mereka. Laili menurutinya. Bukan senang bos nak ajak rehat-rehat waktu kerja macam ini. Sekarang peluang dah datang. Apa lagi, kita enjoyyy!
Laili menyandarkan badan ke belakang kerusi sambil memejamkan mata... Hmm... leganya... Laili seakan terlupa untuk menjawab soalan Syafiq.
“Danish suka matikan suis macam yang aku buat tadi, ke?” Syafiq mengutarakan soalan lain.
Terus sahaja Laili menegakkan badan seraya membuka matanya luas-luas.
“Ha’ah.... banyak kali dah aku terkena. Dia tu kelakar, kan? Mula-mula kenal dulu dia garang nak mampus. Tapi rupa-rupanya, sweet juga perangai dia.” Laili membuat penilaian terhadap karakter Danish.
Bibir Laili menguntum senyuman manis.
“Kalau Danish pinang kau, kau terima tak?” Syafiq menjalankan siasatan.
Terherot mulut Laili memikirkan soalan Syafiq yang satu itu. Tiba-tiba pula Syafiq bertanya soalan macam itu. Pelik juga Laili dibuatnya.
“Kita orang tak bercinta. Macam buang tabiat pula kalau dia pinang aku.” Akhirnya Laili menjawab.
“Aku kata kalau, kalau dia pinang kau?” Syafiq menegaskan soalannya. Jelas dia tidak berpuas hati dengan jawapan Laili.
Sekali lagi Laili mempamerkan aksi berfikir masalah Negara. Khusyuk benar gayanya. Danish telah menyedarkan diri Laili daripada terus memperlekeh pekerjaan sebagai tukang cuci. Danish jugalah yang telah membuka mata dan membuatkan Laili menghargai sesuatu.
“Hmm... maybe...” Perlahan perkataan itu keluar dari mulut Laili.
Maybe? Maksudnya, kau akan terima dia?” Syafiq inginkan kepastian.
Laili hanya mengangguk. Syafiq tersenyum. Laili memang sudah berubah. Tiada lagi keegoan. Kini, masa yang dinanti-nanti sudah tiba. Syafiq membuka fail yang dipegangnya sejak tadi.
“Aku ada berita baik untuk kau. Kau anggaplah ini sebagai hadiah daripada aku,” ucap Syafiq sambil menghulurkan sepucuk surat kepada Laili.
Laili menyambutnya dengan kening yang berkerut. Hairan. Surat apakah? Tanpa membuang masa Laili terus membuka dan membacanya. Dia hampir terloncat kegembiraan apabila habis membaca isi surat tersebut. Syafiq seperti biasa, hanya tersenyum.
“Surat... tawaran... pekerjaan... sebagai... Pegawai... Akaun?” Lambat-lambat Laili membaca satu per satu perkataan yang tertera di dalam sura itu.
“Ya!” Syafiq mengiyakan.
“Ya Allah.... aku bersyukur. Terima kasih, Syafiq!” ucap Laili dengan perasaan yang semakin berbunga riang.
“Sama-sama. Ini rezeki kau. Kau layak dapat pekerjaan ni,” balas Syafiq.
“Tapi.....” suara Laili tiba-tiba. Wajahnya bertukar muram.
Syafiq mengerutkan dahi.
“Kenapa?” Tidak sabar, Syafiq terus bertanya.
“Tapi, kalau aku terima tawaran ni.... bermaksud... aku akan keluar dari kolej ni, kan?” teka Laili.
“Ya! Kau akan berpindah ke ibu pejabat,” terang Syafiq.
“Maksudnya... aku akan berpisah dengan Danish, kan?” Laili bersuara lagi.
Syafiq terpana mendengar ayat Laili yang satu itu. Danish.... nampaknya Laili sudah benar-benar jatuh cinta kepada Danish. Mungkin benar tekaan Syafiq tempoh hari. Laili gembira bekerja di sini kerasa adanya Danish di sisi.
“Syafiq.... macam mana kau boleh kenal Danish? Hari tu aku tak sempat nak kenalkan dia kat kau lagi,” soal Laili tiba-tiba.
Soalan Laili itu pantas mengingatkan Syafiq kepada janji yang telah dibuatnya bersama Danish. Janji bahawa dia akan berpura-pura tidak mengenali Danish. Kelihatannya dia sudah melanggar janji. Sungguh dia terlupa kerana tanpa sedar dia telah bertanya mengenai Danish kepada Laili.
‘Mampuslah aku kali ni!’ detik hati Syafiq.  Kulit wajah Syafiq sudah mulai pucat.
Akhirnya Syafiq terpaksa mendedahkan identiti Danish yang merupakan sahabat baiknya. Dan Laili berjanji tidak akan bertanya apa-apa mengenai Syafiq kepada Danish. Syafiq yang meletakkan syarat itu sebelum berterus terang mengenai Danish.
Namun kisah Laili yang dijadikan bahan penyiasatan oleh Danish dan Irma a.k.a Bunga tetap menjadi rahsia mereka bertiga. Kisah itu sudah tamat. Laili tidak perlu tahu jika hanya akan menarik Laili kembali ke ‘belakang’. Biarkanlah Laili terus mengorak langkah ke hadapan, menggapai impiannya.

*     *     *
“LAILI, nanti awak masuk pejabat saya sekejap, ya!” arah Danish yang muncul secara tiba-tiba.
Laili hampir terloncat kerana terkejut dengan kehadiran Danish. Belum sempat Laili berkata apa-apa, Danish sudah menghilang. Cepat-cepat Laili menyudahkan tugasnya.
Seperti yang dimahukan, Laili sudah berada di dalam pejabat Danish.
“Laili.... kita kahwin?” ucap Danish tanpa bertangguh.
“Hah?” Mulut Laili terlopong. Apakah Danish sedang melamar Laili?
“Saya tahu kita tak pernah bercinta. Tapi saya sudah memilih awak untuk menjadi permaisuri dalam hati saya,” sambung Danish dengan seribu keyakinan.
Gulp. Laili menelan air liurnya sendiri.
“Awak tak malu ke.... memperisterikan seorang tukang cuci macam saya?” Sengaja Laili bertanya.
“Tukang cuci itu kan pekerjaan yang halal. Saya akan malu kalau saya memperisterikan seorang wanita yang mempunyai kerjaya hebat, tetapi dia mengabdikan diri kepada kerjayanya hingga mengabaikan tanggungjawabnya yang lain. Bahagia itu bukan terletak kepada paras rupa, bukan juga terletak kepada pangkat. Tetapi bahagia itu terletak kepada hati kita. Hati yang sentiasa bersyukur akan segala nikmat dan anugerah yang telah diberi olehNya.” Panjang lebar Danish berhujah. Mulut Laili semakin terlopong.
Sesungguhnya Danish tidak bertepuk sebelah tangan. Memang sudah lama Laili tertarik hati kepada lelaki itu. Tiada keraguan lagi, Laili terus mengangguk bersama senyuman manis yang terbit di bibirnya.
Maka bolehlah Laili menerima tawaran pekerjaan sebagai Pegawai Akaun dengan senang hati, kerana dia tidak akan berpisah dengan lelaki yang semakin mendapat tempat di dalam hatinya.
Yahooo.... Danish bersorak gembira dalam hati apabila melihat anggukan gadis di hadapannya!
“Terima kasih, sayang,” ucap Danish nakal.
Terbeliak biji mata Laili mendengar ucapan sayang itu. Gatal juga Muhammad Akasyah Danish ini rupanya. Laili mempamerkan riak wajah marah. Namun, amatlah comel riak wajah Laili itu pada pandangan mata Danish.
*     *     *

LAILI dan Danish sudah selamat diijab kabul. Kini mereka hidup bahagia. Manakala Syafiq sudah bertunang dengan Irma. Nampaknya Syafiq benar-benar mengotakan apa yang pernah dikatakannya kepada Danish dahulu. Seandainya Danish meminang Laili, Syafiq akan meminang Irma. Dan itulah yang telah berlaku.
Di seberang jalan, Laili menangkap kelibat seseorang yang seakan dikenalinya. Oh ya, itulah tukang cuci wanita yang pernah dihinanya dahulu. Laili memanjat rasa kesyukuran kepada Yang Masa Esa.
Sudah lama Laili mencari wanita itu. Namun tidak pernah bersua memandangkan wanita itu sudah tidak lagi bekerja di restoran Indah Maya. Kali ini Laili akan berpeluang untuk memohon maaf atas segala keterlanjuran perkataannya dahulu.
Wanita itu mahu melintas jalan. Namun sebuah kereta berwarna merah yang meluncur laju telah melanggar wanita tersebut. Spontan Laili menjerit sekuat hati. Namun kejadian itu berlaku sekelip mata. Wanita itu sudah terlantar tidak bergerak di atas jalan raya. Terus air mata Laili jatuh berlinangan. Dia tidak sempat memohon maaf.
‘Ya Allah, Kau ampunkanlah dosaku. Layakkah aku untuk mendapat keampunan-Mu seandainya keampunan daripada orang yang pernah aku sakiti di dunia ini tidak pernah aku perolehi? Sesungguhnya aku lebih hina daripada wanita yang pernah aku hina itu. Aku insaf. Ya Allah, aku insaf....’ Laili menangis teresak-esak. Badannya sudah terjelepok di pinggir jalan. Sedu sedannya kian tidak terkawal.
“Sayang! Bangun sayang!” Danish menggoncang bahu isterinya yang sedang menangis bagai tidak mahu berhenti itu.
Menangis dalam tidur? Danish berasa pelik. Dilihatnya Laili masih tidak sedarkan diri walaupun sedu sedannya jelas kedengaran di cuping telinga Danish.
“Laili! Laili!”
Setelah Danish memanggil berkali-kali, barulah Laili tersedar. Laili terus bangun dan memeluk Danish yang sudah menjadi suaminya. Namun tidak berapa lama kemudian Laili cepat-cepat meleraikan pelukannya.
“Aku kat mana, ni?” Laili seakan bertanya kepada dirinya sendiri.
“Laili, ini abang sayang. Sayang kat rumah kita.” Danish cuba menyedarkan isterinya.
Laili memandang semua yang ada di persekitarannya. Lama kelamaan barulah dia sedar akan realiti yang berada di hadapannya. Tiada tukang cuci wanita. Tiada juga jalan raya dan  kereta berwarna merah. Rupa-rupanya sebentar dia hanya bermimpi.
“Laili minta maaf, abang. Laili dah mengganggu tidur abang,” ucap Laili perlahan.
“Laili mimpi apa?” soal Danish ingin tahu.
“Laili.... mimpi ngeri. Laili takut.” Laili meluahkan apa yang sedang dirasainya.
Danish terus memeluk tubuh Laili yang sudah menggeletar.
“Jangan takut, sayang. Itu Cuma mimpi. Mimpi kan mainan tidur. Dah.. dah.. sayang sambung tidur, ya,” pujuk Danish kemudian.
Perlahan-lahan Danish membaringkan tubuh Laili. Dengan penuh rasa kasih, Danish mengusap dahi Laili yang sudah berpeluh. Kemudian dia mengesat sisa air mata yang masih membasahi pipi isterinya. Belaian suaminya itu membuatkan Laili kembali terlena.

*     *     *
DING! DONG!                                                   
Deringan loceng rumah mengejutkan Laili yang sedang melipat pakaian di ruang tamu. Spontan Laili memandang Danish yang sedang khusyuk menonton televisyen.
“Siapa yang datang malam-malam buta ni, bang?” Pantas Laili bertanya.
“Pembantu rumah kita. Dia datang dari jauh, sebab tu sampai sini malam. Dia ni orang susah. Kawan abang yang cadangkan dia,” Danish menjawab dalam nada bersahaja.
Dahi Laili sudah berkerut.
“Abang tak pernah cakap pun yang abang nak ambil pembantu rumah?” ujar Laili.
“Abang nak bagi surprise kat sayang. Isteri abang ni kan bekerja. Penat, kan? Ni dah jauh malam pun tak habis-habis lagi lipat kain. Esok dah nak kerja balik. Sayang kena tidur awal tau,” balas Danish. Saat ini keprihatinan Danish begitu terserlah.
Laili mengeluh. “Tapi Laili tak abaikan tanggungjawab kan, abang?” Laili bertanya lagi. Dia tidak mahu menjadi isteri yang mengabaikan suami.
“Tak, sayang,” jawab Danish sambil mencubit pipi gebu isterinya.
“Laili ada satu syarat. Pembantu rumah tu nanti boleh buat semua kerja yang ada kat rumah ni. Tapi, bahagian memasak untuk abang, biar Laili yang buat.” Laili menetapkan syaratnya.
“Bagusnya isteri abang, ni. Okey, syarat diterima. Dah, pergi buka pintu tu. Nanti dia kesejukan pula kat luar,” arah Danish.
Tanpa membuang masa Laili terus bangkit. Sebaik pintu terbuka, Laili terkejut melihat pembantu rumah yang dimaksudkan oleh Danish. Spontan Laili memeluk wanita yang kini berada di hadapan matanya.
Terpana wanita itu sebentar. Jelas mata wanita itu terkebil-kebil kerana belum pun sempat dia mengucap salam, Laili sudah memeluk dirinya.
“Saya minta maaf, kak!” ucap Laili sambil menangis.
Dahi wanita itu berkerut seribu. Tidak faham mengapa tiba-tiba Laili meminta maaf kepada dirinya.
“Adik ni, siapa?” soal wanita itu bagi meleraikan persoalan yang membelenggu dirinya.
“Kakak tak ingat saya? Dah lama saya cari kakak. Tapi tak jumpa. Syukurlah Tuhan telah menghantar kakak ke sini. Saya nak minta maaf. Saya pernah terlanjur menghina kakak semasa kat restoran dulu.” Laili membuka cerita sekali gus memohon keampunan.
Wanita itu memandang wajah Laili dalam-dalam. Akhirnya dia mengangguk.
“Oh, akak dah ingat. Akak dah lupakan semuanya, dik. Itu dugaan yang Allah beri kepada akak. Akak terima dengan hati yang terbuka. Akak dah lama maafkan adik,” balas wanita tersebut.
“Terima kasih, kak. Barulah lega hati saya,” luah Laili kelegaan.
Terasa hilang semua beban perasaan yang ditanggungnya selama ini. Inilah nikmat sebuah kemaafan.
“Kenapa berdiri saja kat pintu? Masuk.. masuk...” suara Danish yang kedengaran secara tiba-tiba itu menghentikan babak ala-ala jejak kasih yang sedang berlangsung di pintu masuk.
Danish sudah berdiri di sebelah Laili.  
“Terima kasih, abang,” ucap Laili tiba-tiba.
“Sama-sama. Tapi pembantu rumah ni bukan nak ajar Laili jadi malas tahu.” Danish memberi amaran.
“Baik, abang! Laili tak akan jadi pemalas! Berita faham!” Teriak Laili sambil memberi tabik hormat kepada suaminya.
Danish menggeleng sambil tersengih melihat sikap keanak-anakan isterinya. Setelah membawa masuk beg besar pembantu rumah mereka, Danish menutup pintu rumahnya perlahan-lahan.

*     *     *

LAILI sedang menyisir rambut apabila terdengar namanya dipanggil oleh Danish. Dia terus berpaling menghadap Danish yang sedang duduk di atas katil.
“Abang ada sesuatu untuk Laili, ambillah,” tawar Danish sambil mengunjukkan sesuatu di tangannya.
Sebuah kotak yang sudah berbalut kemas bersama sekuntum bunga ros di atasnya kini beralih tangan. Dengan mimik wajah yang pelik Laili memerhatikan kotak ala-ala hadiah itu.
“Hadiah sempena apa, ni? Hari ulang tahun kelahiran Laili lama lagilah, bang. Abang demam, ya?” ujar Laili sambil menyentuh dahi Danish. Manalah tahu suaminya itu benar-benar demam sampai tidak sedar berapa tarikh hari ini.
Danish ketawa kecil. Dia mencapai tangan Laili lalu diggenggamnya erat.
“Abang sihat. Ini bukan hadiah hari jadi. Tapi hutang abang kepada sayang,” terang Danish. 
“Hutang?” Laili terpinga-pinga. Dia tidak mengerti.
“Kalau Laili nak tahu hutang apa, Laili bukalah bungkusan tu. Mungkin Laili dah lupa. Tapi abang tak pernah lupa, tau. Sebab benda kat dalam bungkusan tu, memang milik Laili,” kata-kata Danish membuatkan Laili teruja.
Laili membuka bungkusan yang ada di tangannya perlahan-lahan. Hampir tersembul biji mata Laili melihat isi di dalamnya. Mulut Laili terlopong seketika sebelum dia memuntahkan tawanya.
“Abang.... ini selipar jepun Laili masa jadi tukang cuci dulu. Abang simpan lagi?” luah Laili sambil menyentuh selipar jepun yang sudah diubahsuai oleh Danish. Terdapat simbol  love terlekat di kedua-dua belah selipar.
Laili mengeluarkan selipar itu lalu disarungkan ke kaki. Alangkah comelnya!
“Mestilah abang simpan. Dulu kan abang pinjam selipar tu, bukannya minta. Sesuatu yang dipinjam mestilah kena pulangkan. Abang dah basuh selipar tu, tau. Tak ada bau sabun cuci tandas lagi dah.” Danish masih sempat mengusik di hujung ucapannya.
“Mana abang tahu selipar ni dulu ada bau sabun cuci tandas? Abang cium, ya?” Laili ketawa terbahak-bahak sebaik menyudahkan ayatnya.
“Oh.... perli abang, ya? Nak kena, ni!” ujar Danish. Kemudian dia menggeletek pinggang isterinya.
Laili menjerit kegelian. Lantas dia bangkit untuk mengelak daripada terus menjadi mangsa jari jemari Danish yang sudah kelihatan seperti kaki labah-labah itu. Maka berkejaranlah merpati dua sejoli itu di dalam bilik.
Semoga mereka terus dilimpahi sejuta kebahagiaan dan keceriaan. Amin.


TAMAT.