Jumaat, 23 Mac 2012

Novel: Sudikah Kau Terima? - Bab 1

          “Leena, sebenarnya.... saya... saya...”

          Lama Aleena menunggu Taufiq menghabiskan ayat. Namun semakin lama dia menunggu, semakin sesak pula nafasnya. Penat Aleena menahan nafas demi mahu mendengar kata-kata Taufiq, tapi kesudahannya kata-kata itu tetap tergantung di situ.

          “Sebenarnya saya apa, wahai Encik Taufiq?” Sengaja Aleena bertanya.

          “Saya cintakan awak, Leena!” Tiba-tiba laju pula Taufiq menuturkan kata-kata itu.

          Mata Aleena terbeliak. Bergetar juga rasa hatinya apabila ada seorang lelaki berkata begitu kepadanya. Sepantas itu juga Aleena menggeleng. Gagal! Pada pendapat Aleena, lelaki di hadapannya itu telah gagal. Tapi alang-alang sedang berlakon, lebih baik aku layankan sahaja si Taufiq ini, detik hati Aleena.

          Hai... Taufiq... Taufiq... kau yang mahu mengurat anak dara orang, aku pula yang menjadi mangsa. Apalah salahnya kalau kau terus meng‘ayat’ wanita pujaan hati kau itu? Ini tidak, aku pula yang kena menyamar jadi si dia untuk memudahkan kau berlatih. Sempat lagi Aleena merungut di dalam hati. Tapi jangan salah faham pula. Aleena memang ikhlas mahu membantu Taufiq. Cuma hati dan mulutnya sahaja yang suka membebel macam mak nenek.

          “Hei, awak ni dah gila ke? Awak ni siapa? Tiba-tiba saja awak kata cintakan saya. Dah buang tabiat ke?” balas Aleena bersungguh-sungguh.

          “Sampai hati kau kata aku macam tu. Tak nak berlatih lagi la kalau macam ni.” Taufiq merajuk. Sesi latihan yang mereka sedang jalani itu terus tamat.

          “Laaa.... takkanlah itupun kau nak merajuk. Taufiq, kau kena sedar. Kau tak boleh la tiba-tiba saja kata kau cintakan dia. Dia tak kenal kau, tahu. Mula-mula kau kenalah berkawan dengan dia dulu. Lepas tu barulah kau boleh luahkan perasaan cinta tu. Kalau kau terus cakap macam tadi, tak mustahil la dia pun akan kata kau gila,” terang Aleena separuh membebel.

          Taufiq menggaru kepala sambil berfikir. Oh, tak boleh ke? Tapii.....

          “Sebenarnya, dia pun dah lama kenal aku. Cuma aku tak tahu apa perasaan dia terhadap aku,” bongkar Taufiq kemudiannya.

          “Ohh, kenapa kau tak cakap awal-awal? Buang air liur aku aje la terangkan tadi.” Aleena sudah membebel kembali.

          Agaknya memang membebel itu sudah menjadi hobi Aleena. Hai... nasiblah kau Taufiq. Redha sahajalah.

          “Kau tak tanya, kau yang suka-suka hati anggap dia tak kenal aku. Apa kata kita berlatih sekali lagi. Nak tak?” ajak Taufiq.

          “Tak naklah! Sebenarnya aku tak ada kaitan pun dalam perhubungan antara kau dengan dia. Apa kata kau terus saja beritahu perasaan kau pada dia. Lagipun, kau orang dah lama kenal kan? Apa lagi masalahnya?” Aleena cuba mengelak.

          “Alaa.... pleaseee... aku belum cukup berani nak berterus terang dengan dia. Aku kena berlatih dulu. Tolonglah jadi partner latihan aku,” rayu Taufiq.

          Aleena mula menongkat dagu. Dipandang wajah Taufiq sehingga lelaki itu kelihatan serba salah. Aleena tersenyum, suka benar dia menyakat Taufiq.

          Taufiq memang seorang yang pemalu. Aleena sendiri tidak sangka dia akan berkawan rapat dengan Taufiq. Bagaimana mereka boleh berkenalan? Haa... mereka merupakan rakan sekolah. Cuma di sekolah dahulu persahabatan mereka tidaklah serapat hari ini. Kini masing-masing sudah bekerja. Jika dilihat pada umur mereka, memang sudah layak sangat untuk berkahwin. Cuma pasangan masing-masing sahaja yang belum ada.

          “Hmmm.... okey, aku akan tolong. Tapi, boleh aku tanya satu soalan?” Aleena bersuara setelah mempertimbangkan permintaan Taufiq.

          Kasihan pula Aleena melihat Taufiq yang tidak pandai memikat wanita idamannya. Taufiq... Taufiq...

          “Tolong jangan tanya siapakah perempuan yang aku tengah pikat tu,” putus Taufiq kemudian.

          “Alaaa...” Spontan Aleena mengeluh panjang.

          Aleena menyedut air minuman di hadapannya sehingga habis. Melepaskan perasaan geram kerana Taufiq tidak mahu memberitahunya.

          “Macam mana kau boleh tahu yang aku nak tanya soalan tu? Kau boleh baca hati orang ya?” usik Aleena.

          “Tak adalah. Kalau aku boleh baca hati orang, mesti aku dah tahu apa perasaan perempuan tu terhadap aku,” luah Taufiq dalam nada sedih. Tangkap lelehlah pula...

          Hmm... kasihannya Taufiq, detik hati Aleena. Memendam perasaan adalah lebih menyiksakan berbanding meluahkan. Tetapi jika hati sudah tidak berani berterus terang, apa lagi yang boleh dibuat? Ternganga sahajalah gamaknya.

          “Mesti perempuan tu adalah seorang yang istimewa kan? Hisyy, cemburulah aku macam ni!”

          Kata-kata Aleena itu membuatkan Taufiq tersentak.

          “Kau cemburu? Maksudnya... kau sukakan aku ke?” Laju Taufiq bertanya tanpa ragu-ragu.

          “Eh... eh... tolong sikit. Kau adalah kawan aku. Friend forever. Aku cemburu sebab... sebab nanti mesti kau kahwin dulu daripada aku. Kau dah ada calon, aku belum ada. Tapi aku tak kisah pun. Kalau dah jodoh tak ke mana,” jawab Aleena.

          Taufiq memandang tepat ke arah anak mata Aleena.

          Hisy... apa pasal pula Taufiq ni pandang aku macam nak telan? Aku bukannya makanan yang boleh ditelan-telan, tahu. Tak selesa betullah. Bebel hati Aleena sambil melarikan pandangannya ke arah lain.

          Haa... pandang jalan raya kat luar tu lagi bagus daripada pandang muka Taufiq pada waktu sekarang. Menakutkan! Kata hati Aleena lagi.

          “Betul tu. Kalau dah jodoh, tak ke mana. Kadang-kadang jodoh kita dah ada depan mata, tapi kita tak sedar,” ucap Taufiq.

          Kening Aleena berkerut. Apabila difikirkan, lain macam pula maksud ayat Taufiq itu. Haa... Aleena sudah faham.

          “Sedarlah Taufiq, jodoh kau dah ada kat depan mata kau tu. Kau saja yang tak berani nak luahkan perasaan. Cepat la Taufiq, luahkan sebelum dia jadi hak milik orang lain. Masa tu nanti mulut kau juga yang terlopong,” nasihat Aleena.

         Taufiq menepuk dahi, nampaknya dia sudah termakan oleh kata-kata sendiri.

          “Mulalah nak buat muka blur tu. Sudahlah, aku nak balik rumah. Dah petang sangat ni. Lain kali aku tolong kau berlatih lagi ya. Oh ya, nanti jangan lupa perkenalkan wanita idaman kau tu pada aku ya. Teringin jugak nak tau siapa orangnya. Mesti cun meletop punya, kan? Hehe... okey, Papaiii!” Aleena mematikan perbualan.

          Belum sempat Taufiq membalas apa-apa, Aleena sudah berlalu dari kedai makan tersebut. Dia hanya mampu menggeleng melihat tingkah laku Aleena.

          “Aleena... Aleena... dari dulu, perangai dan karakter kau tu tak pernah berubah.” Tanpa sedar Taufiq menuturkan ayat itu sambil tersenyum.

          “Abang, kenapa abang senyum seorang-seorang?” Satu teguran tiba-tiba menerjah ke telinga Taufiq.

          Serta-merta Taufiq menoleh. Kelihatan Zaim, pembantu kedai di situ sudah tercegat di tepi meja. Baru tiga minggu Zaim bekerja di kedai makan itu dan dia sudah biasa menerima kunjungan Taufiq yang menjadi pelanggan tetap. Zaim sebenarnya sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Daripada dia duduk ‘tanam anggur’ di rumah, lebih baiklah dia bekerja buat sementara. Bolehlah juga mendatangkan pendapatan.

          “Mana ada abang senyum seorang-seorang. Agaknya Zaim tak perasan kut yang muka abang ni memang jenis muka senyum. Kalau abang tak senyum pun orang akan ingat abang senyum,” balas Taufiq, sengaja mencipta alasan.

          “Perasanlah abang ni. Dah senyum seoang-seorang, tapi tak nak mengaku pula. Abang, saya nak tanya sikit ni, siapa perempuan tadi tu? Teman wanita abang ya? Cantiklah! Selalu nampak dia keluar makan dengan abang,” ujar Zaim secara tiba-tiba.

          “Eh... eh... yang Zaim menyibuk ni kenapa? Dah... dah... lebih baik Zaim bagi bil,” suruh Taufiq, malas dia mahu melayan Zaim.

          Akur dengan arahan pelanggan, tanpa membuang masa Zaim terus berlalu ke kaunter dan mengambil bil yang dimaksudkan. Taufiq pula menggeleng-geleng.

          “Buat lawak pulak si Zaim ni. Kalau la si Aleena tu dengar apa yang Zaim cakap tadi, mahu aku kena gelak guling-guling.” Taufiq berkata sendiri.

          Jangan orang lain ingat dia gila sudah. Jatuh saham!

7 ulasan:

  1. salam akak.. cite ni pun best.. :D xsabar nk baca bab seterusnya..ni hero n heroin ekh?? :D

    BalasPadam
  2. tq Aisya, yup.. tu hero n heroin :-)

    BalasPadam
  3. :) nmpknya..byk lagi novel akk y saya x beli :( smua nyer best2....

    BalasPadam
  4. yang ini belum terbit lagi aisya. memang belum boleh beli lagi kan hehe

    BalasPadam
  5. alaa... akk xnak sambung letak sikit ke lam nih?? nakk baca... huk2.. :)

    BalasPadam
  6. memang nak masukkan lagi ke dalam ni. tp belum lagi.

    BalasPadam
  7. bestlah novel ni

    BalasPadam