Khamis, 14 Mac 2013

Novel: Hati Batu


Tajuk: Hati Batu
(Jalan cerita secara kasar)

Aboi, Badang, Chomel dan Dila merupakan 4 orang sahabat baik. Badang menyukai Chomel lalu dia meluahkan perasaannya kepada Chomel tanpa pengetahuan Aboi. Badang tidak mahu sesiapa tahu bahawa dia telah meluahkan perasaannya kepada Chomel, lalu dia menyuruh Chomel merahsiakan hal tersebut. 

Dalam masa yang sama, Badang selalu memadankan Chomel dengan Aboi. Aboi tidak pernah membantah dengan padanan tersebut. Malah Aboi sendiri gemar memadankan dirinya sendiri bersama Chomel. Hingga akhirnya gosip antara Aboi dan Chomel mula tersebar dengan meluas di kalangan rakan-rakan. 

Chomel menganggap gosip dirinya bersama Aboi hanyalah gurauan kerana hakikatnya mereka hanya berkawan. Namun Chomel berasa hairan dengan sikap Badang. Adakah Badang serius ketika meluahkan perasaan kepada Chomel? Jika ya, mengapa pula Badang seolah-olah cuba merapatkan hubungan Chomel dan Aboi? Di sini Chomel berasa amat keliru.

Chomel membuat keputusan bahawa dia dan Badang hanya mampu meneruskan hubungan sebagai sahabat. Mujur Badang dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Dan Chomel meneruskan kehidupan seperti biasa ditemani dengan usikan rakan-rakan yang suka memadankan dirinya bersama Aboi. Semakin hari, Chomel merasakan Aboi semakin galak memadankan dirinya sendiri bersama Chomel dan Badang seolah-olah menjadi penyokong setia Aboi.  

Sekali lagi Chomel diterpa perasaan hairan. Oh, bukan hairan. Sebenarnya Chomel berasa kagum dengan kekuatan hati Badang dalam menempuh kekecewaan sehingga mampu memadankan wanita yang disukainya bersama orang lain.

Sikap Aboi yang seakan-akan cuba mengambil hati Chomel menyebabkan Chomel mula berfikir. Adakah Aboi benar-benar menyukai Chomel? Lalu Chomel menceritakan persoalannya itu kepada Dila. Dan Dila cuba menyiasat. Setelah diselidik... oh, Aboi telah pun mempunyai teman wanita. Itu yang Aboi katakan kepada Dila. Kebenarannya cuma Aboi yang tahu. Lalu Chomel meneruskan andaian bahawa sejak mula Aboi hanya bergurau tanpa niat. Chomel juga tidak mahu termakan usikan-usikan Aboi hingga membuatkan dia terjatuh hati kepada Aboi. Chomel akan mencegah perasaan itu awal-awal. Maklumlah hati seorang perempuan bukanlah sekuat mana walaupun ia hanya gurauan semata-mata..

Tanpa diduga, Aboi berhenti memadankan dirinya bersama Chomel. Bukan setakat itu, Aboi langsung tidak mahu memandang wajah Chomel. Aboi juga tidak mahu bercakap dengan Chomel. Namun Aboi tidak pula menjauhkan diri daripada Chomel. 

Chomel, Badang, Aboi dan Dila tetap keluar makan bersama. Bezanya, kehadiran Chomel seolah-olah menjadi halimunan pada pandangan mata Aboi. Ada di depan mata tetapi seperti tak kelihatan. Tidak bercakap antara satu sama lain tetapi mendengar suara antara satu sama lain ketika berbual bersama yang lain. Jasad ada disisi namun hanya mampu memandang bayang-bayang. Begitulah ibaratnya hubungan Chomel dan Aboi. Chomel tidak faham, kenapa keadaan seperti itu boleh berlaku?

Akhirnya Comel memutuskan untuk bertanya sendiri kepada Aboi. Mahu bercakap terasa seperti kelu lidah. Lalu Chomel menghantar mesej kepada Aboi. Chomel meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada Aboi. Mengapa tanpa sebab Chomel diperlakukan seperti itu? Namun Chomel tidak lupa untuk meminta maaf sekiranya dia ada terkasar bahasa atau tercuit hati sepanjang tempoh mereka berkawan hingga menyebabkan Aboi berubah dingin seperti itu.

Niat Chomel yang ingin menjernihkan suasana bertukar menjadi perasaan sakit hati apabila Aboi langsung tidak membalas mesej tersebut. Hati Chomel terasa sakit sekali kerana Aboi seolah-olah membiarkan Chomel terus diburu persoalan yang tiada jawapannya. Namun mereka tetap keluar bersama rakan-rakan lain. Fuh, Chomel kagum dengan Aboi. Sungguhlah Aboi masih mampu berada dekat dengan Chomel walaupun tahu bahawa dia masih mempunyai 'hutang' jawapan kepada persoalan yang Chomel utarakan. Manakala Chomel cuba berlagak seperti biasa.

Saat ini Badang masih suka memadankan Aboi bersama Chomel. Mungkin Badang tidak menyedari hubungan dingin antara Chomel dan Aboi. Ataupun Badang sememangnya sedar dan cuba menjernihkan suasana. 

Dari hari ke hari.... Aboi dilihat cuba berbaik-baik semula dengan Chomel. Mengenangkan persahabatan, Chomel cuba melupakan semua yang berlaku. Dan Chomel memberikan tindakbalas positif terhadap perubahan sikap Aboi. Badang juga dilihat sudah menghentikan usikannya terhadap Chomel dan Aboi. Fuh.. lega. Aman hidup Chomel.

Namun pada suatu hari, tiba-tiba Badang mula mengusik mereka kembali.  Dan Aboi mula mengulang perangai yang sama. Sekali lagi Chomel menjadi halimunan pada pandangan mata Aboi. Eh, kenapa kejadian yang sama berulang kembali? Apa salah Chomel? Atau sebenarnya Aboi sedang cuba menafi perasaannya sendiri terhadap Chomel? Apa yang menyebabkan Badang kembali mengusik mereka?

#Jawapannya hanya ada dalam HATI BATU#

Tiada ulasan:

Catat Ulasan