Sabtu, 7 April 2012

Cover suka suki, Kisah Hati & Puncak Kasih

Assalamualaikum semua....
Nampaknya, mood saya pada kali ini masih dalam bab design-design cover. 
Jadi, ini adalah cover novel terbaru yang saya buat iaitu berjudul Kisah Hati. 
Cerita ini ditulis oleh Mia Kaftiya. 
Ini pula ialah cover novel berjudul Puncak Kasih. Cerita ini ditulis oleh Syima Syawal.

Khamis, 5 April 2012

Cover Suka-Suki

Hai... hai.. hai...

Malam ni saya nak kongsi cover-cover yang pernah saya buat.
cover di atas ni... baru beberapa minit saya buat
cover di bawah ni pula... cover yang saya buat sebelum ni
















 



Sabtu, 31 Mac 2012

Anak Panah Cinta - Bab 5


“HAHAHA.... aku tak tahan betullah dengan si Afira tu. Kau tau tak, dia terjerit-jerit macam ini, tolong... tolong...  aku tak bersalah, aku dianiaya! Ha..ha..ha...!” Tidak sudah-sudah lagi Irfan mentertawakan kelakuan Afira semasa di bilik sakit pada pagi tadi.
Sudah setengah jam Irfan bercerita mengenai Afira. Ikram yang merupakan sahabat karib merangkap rakan sebilik Irfan juga ketawa terkekeh-kekeh. Irfan kelihatan serius di hadapan semua orang, terutama apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar baru. Keseriusannya itu sudah termaktub di dalam senarai tugasnya sebagai seorang pembantu mahasiswa. Tetapi hakikatnya Irfan adalah seorang yang gila-gila.
“Eh, macam mana kau boleh masuk dalam bilik sakit tu? Bukan ke lelaki tak boleh masuk ke bilik sakit perempuan?” Ikram bertanya hairan.
“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu kenapa? Rahsialah!” jawab Irfan sambil tersenyum meleret.
“He’eleh... dengan aku pun nak rahsia-rahsia ke?” balas Ikram tidak puas hati.
“Mestilah!” Irfan bertegas.
“Suatu hari nanti aku mesti tahu punya.” Ikram masih tidak mahu mengalah.
“Ha... kalau macam tu kau tunggulah suatu hari nanti kau tu,” ujar Irfan tanpa perasaan.
“Kurang asam la kau. Okey... aku tunggu!” Ikram berazam.
Irfan masih terus tersenyum-senyum kerana mengingati Afira. Dia kini sudah hanyut di dalam lamunan. Kata-kata Ikram seterusnya sudah tidak singgah lagi di telinganya. Biarlah Ikram membebel sendiri. Kasihan Ikram....
Irfan sebenarnya sudah tidak sabar menunggu hari esok. Dia suka melihat wajah Afira yang comel terutamanya apabila gadis itu berada dalam keadaan kalut. Dan disebabkan itu jugalah semangatnya semakin kuat untuk ‘beramah mesra’ dengan gadis nan seorang itu.
Afira... Afira.... nama itu seperti sudah sebati di dalam jiwa Irfan.
***

“SEMUA dah ada? Tengok kawan-kawan di sekeliling kamu. Kalau tak ada beritahu saya sekarang. Kita dah nak gerak ni. Jangan pula bila dah sampai di fakulti nanti, ada pelajar yang tak ada.” Kedengaran suara lantang Ikram sedang mengingatkan pelajar baru yang menghuni kolej kediaman tersebut.
Mereka kini sudah diasingkan mengikut fakulti. Ikram akan menguruskan segala urusan pendaftaran kursus untuk semester pertama bagi pelajar baru di Fakulti Ekonomi.
Afira tidak melihat kehadiran Irfan. Jika Irfan tiada di sini, bermakna Irfan bukanlah pelajar Fakulti Ekonomi. Yahooo!!!! Afira mula menjerit suka di dalam hati. Kini dia berasa bebas daripada segala pembulian Irfan.
Dengan penuh semangat Afira memastikan keberadaan rakan-rakan sefakulti di sekelilingnya seperti yang diarah oleh Ikram. Semua orang ada. Beres!
“Pastikan juga kamu membawa dokumen-dokumen yang perlu untuk proses pendaftaran kursus. Semak senarai dokumen yang telah diberi. Jangan lupa bawa bersama buku panduan kursus fakulti. Pastikan nanti kamu mendaftar kursus yang betul seperti yang tertera di dalam buku panduan tersebut. Sesiapa yang tertinggal dokumen di dalam bilik, cepat pergi ambil sekarang. Segera!” Ikram bersuara lagi mengingatkan mereka yang kebanyakannya masih kebingungan.
Mereka berdebar-debar. Bimbang terpisah daripada rakan-rakan, nanti susah pula mahu ke fakulti yang mereka sendiri belum tahu di mana kedudukannya. Mereka juga risau jika tersalah mendaftar kursus. Kelihatan wajah masing-masing sudah beriak cuak.
Afira membuka beg sandang untuk menyemak dokumen yang perlu dibawa. Pada awalnya dia berasa malas mahu menyemak kerana yakin bahawa semua dokumen tersebut telah sedia dimasukkan ke dalam beg. Semalam dia sudah memasukkan semuanya ke dalam satu fail sebelum tidur.
“Eh, mana fail tu??” Afira sudah kecut perut. Alamak!!!
Tanpa membuang masa Afira terus berlari meninggalkan rakan-rakannya untuk ke blok kediamannya. Dari tadi tidak mahu semak, kan dah lambat. Afira memarahi dirinya sendiri. Afira lihat sudah ada yang kembali daripada mengambil dokumen yang tertinggal. Sebaliknya dia pula baru terhegeh-hegeh mahu bergerak ke bilik.
Masuk ke dalam bilik sahaja, Afira terus menangkap kelibat fail kesayangannya yang terdampar di atas katil. Huh! Macam mana aku boleh lupa nak masukkan ke dalam beg ni? Rasanya macam dah masukkan.
Hmm.... lantaklah, yang penting fail sudah berada di tangan, fikir Afira. Tergesa-gesa dia mengunci kembali pintu biliknya dan berlari ke tempat berkumpul.
“Aik! Mana dia orang ni?!” Afira terjerit kuat dengan nafas yang termengah-mengah kerana penat naik turun tangga blok kediamannya sebentar tadi.
Huwaaa!! Mahu menangis guling-guling rasanya Afira apabila melihat tempat berkumpul yang tadinya penuh kini sudah kosong. Tiada seorang pun yang berada di situ.
Macam mana aku hendak ke fakulti? Kat mana letaknya Fakulti Ekonomi?? Tolonggggg! Afira merintih di dalam hati.
Di kejauhan Afira dapat melihat segerombolan pelajar sedang berarak. Sudah pasti mereka juga mahu ke fakulti. Dengan pantas Afira membuka langkah seribu mengejar kumpulan pelajar tersebut. Akhirnya  sampai juga diadi bahagian belakang kumpulan tersebut.
“Tumpang tanya, kumpulan ni mahu ke fakulti mana ya?” Tanpa perasaan malu Afira terus sahaja menegur seorang pelajar lelaki yang berbaris di belakang sekali.
Afira tidak boleh malu-malu lagi. Kalau malu bertanya nanti sesat jalan, nanti dia juga yang susah. Berdasarkan baju seragam yang dipakai oleh kumpulan pelajar itu, Afira tahu bahawa mereka berasal dari kolej kediaman lain.
“Fakulti Perniagaan,” jawab lelaki tersebut ringkas  riak wajahnya mempamerkan perasaan terkejut. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dia ditegur dari belakang. Setahunya dialah orang terakhir yang beratur di situ. Sudah pasti dia tertanya-tanya dari manakah munculnya Afira yang baru menegurnya itu.
“Oh, terima kasih!” ucap Afira laju.
Ini tidak boleh jadi. Afira harus mencari kumpulannya yang mahu ke Fakulti Ekonomi. Rasanya tadi tidaklah terlalu lama masa yang diambil untuk mengambil fail. Sudah cukup pantas dia berlari. Tapi... tup... tup... apabila sampai di bawah semula, semua orang sudah menghilang. Macam magik pula.
Afira kembali memecutkan diri dengan berlari selaju mungkin. Dia memintas kumpulan pelajar yang mahu ke Fakulti Perniagaan itu. Afira sedar bahawa kumpulan itu sedang memandang pelik ke arahnya.
Kenapa pelajar perempuan itu bergerak seorang-seorang? Berlari pula tu. Orang lain semuanya bergerak secara berkumpulan.  Afira tahu pasti itu yang sedang bermain di fikiran kumpulan pelajar yang dipintasnya itu. Ahh, Afira tidak peduli!
Afira harus cepat-cepat mendapatkan kumpulannya kembali kerana dia tidak tahu jalan ke Fakulti Ekonomi. Jika dia gagal sampai ke fakulti, bagaimana dia mahu mendaftar kursus untuk semester pertamanya? Dia yakin kumpulannya itu belum bergerak jauh.
Itu pun mereka! Afira dapat mengecam baju seragam kumpulannya. Kejar!
Sepanjang perjalanan Afira dapat melihat banyak monyet saling bergayutan di atas pokok yang merimbun di tepi jalan. Tidak sangka di sini pun ada monyet. Jangan ingat monyet hanya ada di kampung sahaja. Sekali sekala monyet-monyet itu mengeluarkan bunyi nyaring yang menakutkan. Risau juga Afira berlari seorang diri di situ. Adakalanya suara monyet itu kedengaran seperti bunyi ketawa mengekek. Agaknya monyet-monyet itu juga sedang mentertawakan Afira yang sedang kalut. Jangan main-main, monyet di universiti ini bijak-bijak.
Mujurlah Afira bekas pelari pecut sekolah. Sudah biasa lari laju-laju. Jika orang lain yang tidak biasa berlari, sudah pengsan agaknya.
Legaaaa..... Afira bersyukur. Akhirnya dia bersatu kembali setelah tercicir dari kumpulannya.
“Awak dari mana?”
Hampir terloncat Afira mendengar soalan yang baru menerjah ke gegendang telinganya. Terkejut. Baru sahaja dia mahu menarik nafas lega, sudah ada pula yang membuat darahnya berderau. Pantas dia menoleh.
Kelihatan Ikram sedang memandang Afira. Fuh... lagi sekali Afira menarik nafas lega. Mujurlah bukan Irfan yang menegur. Afira tahu bahawa Ikram tidak segarang Irfan. Sebab itulah dia tidak takut sangat dengan Ikram.
“Maafkan saya, PM Ikram. Tadi saya pergi ambil dokumen yang tertinggal di dalam bilik. Bila saya datang balik, tak sangka kumpulan ni dah bergerak,” terang Afira. Semoga sahaja Ikram tidak memarahinya.
“Lain kali cepat sikit. Mujur kitorang belum gerak jauh sangat,” balas Ikram.
“Baik... baik!” suara Afira sambil mengangguk-angguk. Kemudian Ikram terus meninggalkan Afira.
Semenjak Afira memasuki kawasan universiti ini, dia kelihatan seperti budak nakal yang selalu sahaja membuat hal. Tetapi Afira langsung tidak sengaja atas segala perbuatannya. Dia bukanlah seorang yang suka mencari publisiti murahan. Bukan sama sekali!
Cuma Irfan sahaja yang suka mencari peluang bagi mengenakan Afira. Nasib baik Irfan tiada di dalam kumpulan fakulti ini. Fuh, selamat aku!! Jerit hati Afira buat ke sekian kali.

Jumaat, 30 Mac 2012

Perubahan Jadual Karya

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua....

Saya ingin membuat perubahan kepada jadual karya yang telah saya buat sebelum ini. Ini dia jadualnya: 
Setiap hari, saya akan menaip cerita yang berlainan. Belum cuba belum tahu. Tetapi setelah beberapa hari saya cuba mengaplikasikan jadual ini, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan otak saya. Takut pula watak atau jalan cerita antara satu cerita dengan satu cerita yang lain akan bercampur. 

Jadi.... akhirnya saya membuat satu keputusan. Selepas ini, saya akan menaip dua cerita iaitu 'Anak Panah Cinta' dan 'Faezah Hani & Daniel Faizi' sehingga habis.  Selepas itu barulah saya akan menaip cerita yang lain iaitu 'Ops! Jangan Main Cinta' dan 'Sudikah Kau Terima?'. Mengikut perancangan, saya mahu menyiarkan bab baru pada setiap hari. Tapi takut pula saya tidak sempat menaipnya. Jadi bila siap satu bab saja saya akan terus memasukkannya ke dalam blog ini. Dua cerita ni sebenarnya ialah mini novel. Tetapi jika had muka suratnya sudah terlebih, saya akan menjadikannya novel.

Untuk cerpen pula, saya tetap akan menaipnya, jika tiada aral melintang cerpen akan disiarkan di blog ini dan di laman penulisan2u.my pada hari sabtu atau ahad. 

Harap maklum ya semua..... terima kasih. 

Salam sayang teristimewa,
Noraz Ikha

Rabu, 28 Mac 2012

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 4


BUNYI ketukan pintu yang berselang seli dengan bunyi siren pembesar suara kini bergema di seluruh kolej kediaman. Serta-merta tidur Afira yang amat lena itu terganggu. Mata yang tadinya terpejam rapat kini sudah  terbuka luas tidak berkelip. Begitu juga dengan Hani dan Iza, rakan sebiliknya. Seperti terkena kejutan elektrik Afira pantas bangkit dari katil.
Seketika kemudian mereka cepat-cepat mencapai baldi kecil masing-masing dan berlari ke bilik air. Persis lipas kudung mereka cuba mempersiapkan diri untuk turun ke gelanggang perhimpunan minggu haluansiswa.
Takut-takut Afira, Hani dan Iza bergerak mendekati gelanggang. Kelihatan pelajar baru yang lain sudah bersiap sedia beratur mengikut kumpulan masing-masing. Terdapat juga tiga orang pelajar berdiri di hadapan gelanggang. Sudah pasti Afira dan rakan-rakan sebiliknya itu akan menyertai mereka yang berada di hadapan gelanggang itu.
“Dipersilakan tuan puteri dan dayang-dayang sekalian. Sudilah kiranya tuan puteri mengepalai perhimpunan ini,” ucap Irfan sambil berjalan mengiringi langkah Afira, Hani dan Iza.
Irfan sengaja memanggil mereka dengan gelaran terhormat tersebut. Bukan ke biasanya tetamu-tetamu terhormat sahaja yang diberi keistimewaan untuk menjadi orang terakhir yang tiba dalam satu-satu majlis? Kiranya mereka tetamu terhormatlah itu.
 Spontan riak wajah Afira berubah dengan tindakan Irfan. Apa pula yang Irfan mahu lakukan pada kali ini? Soalan itu mula berlegar di dalam fikiran Afira.
Terkulat-kulat Afira bergerak menghampiri pentas kecil di hadapan gelanggang. Langkahnya agak kurang stabil kerana masih terasa kesan bangun mengejut. Kepalanya pening.
 Malang apa pula yang bakal menimpa aku pada kali ini?? Dalam diam Afira meratapi nasib diri semenjak dia memasuki universiti penuh kebanggaan ini.
Tiba-tiba sahaja pandangan Afira berubah. Pembantu-pembantu mahasiswa yang elok berbaris berdekatan pentas gelanggang perhimpunan itu sudah berubah wajah menjadi seperti hakim di dalam mahkamah. Pelajar-pelajar baru yang kemas berbaris mengikut kumpulan masing-masing itu pula sudah berubah karakter menjadi penonton di dalam mahkamah. Mereka seperti sedang khusyuk menyaksikan Afira yang sedang berjalan menuju ke kandang pesalah.
Arghh!! Kenapa dengan penglihatan aku? Di mana aku sekarang? Afira seakan berada di dalam dunianya sendiri. Pandangan Afira semakin berbalam sehingga akhirnya dia bertukar tempat lagi ke dalam dunia yang gelap gelita....... pengsan?! 

***

“NUR Afira Nadia, kamu dijatuhkan hukuman penjara dua ratus tahun!” Bergema suara itu di dalam mahkamah, terngiang-ngiang di telinga Afira. Bagai mahu pecah rasanya gegendang Afira sewaktu mendengar hukuman itu.
“Tolong... tolong! Aku tak bersalah, aku dianiaya!!” Afira tidak peduli, dia menjerit sekuat hati. Bagai mahu terkeluar anak tekaknya.
Hukuman apakah itu? Penjara dua ratus tahun? Teruknya! Logikkah manusia akan menginjak usia sehingga dua ratus tahun? Tidak logik, tidaaakk! Jantung Afira sudah berdebar-debar tidak keruan.
Empangan air matanya mula pecah dan merembes deras. Bibirnya pula tercebik menahan perasaan sambil memerhatikan manusia-manusia di dalam mahkamah yang sungguh pelik itu. Keluarga Afira pula dilihat sedang saling erat berpelukan seperti sedang melampiaskan rasa kesedihan yang melampau.
“Tolong Fira, ibu, ayah! Fira tak bersalah,” rengek Afira dalam kebingitan suasana di situ. Tenggelam timbul suaranya, entah-entah hanya dia seorang sahaja yang mampu mendengar rengekannya.
Di satu sudut mahkamah tersebut, Afira melihat sekumpulan manusia yang sedang sakan bergelak ketawa. Ada yang mempamerkan isyarat ‘padan muka’ kepadanya, dan ada juga yang sedang tersenyum mengejek.
Eh... eh... apa hal? Air mata Afira terus terhenti dan berubah terus riak wajahnya. Mengapa mereka terlalu gembira? Adakah hukuman yang aku terima ini merupakan angkara mereka? Jika benar, tunggulah kalian akan pembalasan yang aku akan lakukan. Aku akan membuat perhitungan selepas aku keluar dari penjara nanti! Tunggulah!
“Aku akan balas dendam!!” jerit Afira sesungguh hati. Tekadnya sudah bulat.
“Aku akan balas dendam! Kau orang tunggulah!” laungnya lagi buat kali kedua, kali ini suaranya lebih kuat hinggakan tiba-tiba sahaja semua orang menjadi kaku.
Afira mengepal-ngepal penumbuknya ke tapak tangan. Dia melepaskan dirinya daripada pegangan pengawal keselamatan yang sudah menjadi ala-ala patung itu. Kemudian dia merenung gari yang mencengkam kedua-dua belah tangannya. Tidak semena-mena segaris cahaya laser berwarna biru muncul menerusi sinar matanya dan dengan pantas menyuluh ke arah gari tersebut. Serta-merta gari itu pun terbuka, jatuh dan terus lenyap ditelan lantai. Fuh! Sejak bila aku mempunyai kuasa?
Afira terkebil-kebil melihat keajaiban yang berlaku. Dilihatnya sekumpulan manusia yang tadinya bergelak ketawa dan mengejek dirinya masih lagi kaku. Inilah peluang Afira untuk melepaskan geram. Tanpa membuang masa Afira terus berlari dan satu penumbuk padu dihadiahkan ke arah pipi salah seorang daripadanya. Sekali lagi Afira terpana melihat manusia yang baru ditumbuknya itu melayang tinggi hingga menembusi siling mahkamah, dan manusia itu tidak turun kembali selayaknya tarikan graviti.
“Kuasa apakah ini?” Afira menyoal dirinya sendiri sambil membelek-belek penumbuknya. Selama ini mahu menolak ayahnya pun dia tidak berdaya. Dia semakin dihantui perasaan pelik.
Ah... aku sudah ada kuasa! Hati Afira berdetik. Mereka sudah kaku. Inilah peluang untuk dia melarikan diri. Tidak perlu dia  menjalani hukuman gila penjara dua ratus tahun itu. Baru sahaja dia mahu mengangkat kakinya, tiba-tiba semua orang yang berada di dalam mahkamah itu mula bergerak.
Belum sempat Afira bertindak, satu tamparan kuat singgah di pipi Afira dan pandangannya mula berpinar. Bintang dan bulan sudah berlegar-legar di atas kepalanya.
“Aduh!! Sakitnya!!” Afira meraung kesakitan.
Seketika kemudian Afira cuba membuka matanya perlahan-lahan. Kelopak matanya semakin terbuka dan wajah bengis lelaki bernama Irfan sudah terpapar di ruang matanya.
Irfan? Diakah yang telah menghadiahkan tamparan yang amat kuat itu? Kedua-dua bola mata Irfan terus memandang wajah Afira tanpa berkelip. Manakala bibir Irfan pula serius tidak tersenyum langsung.
Sudah bertukar menjadi robotkah dia ini? Sebelum ini adalah juga dia tersenyum walaupun hanya bertahan selama dua saat sahaja, detik Afira di dalam hati.
“Kenapa awak tumbuk muka saya sampai lebam? Padan muka awak, kan dah kena tampar!” tegur Irfan sambil menggosok-gosok pipinya.
Hah? Aku tumbuk Irfan ke? Tapi... manusia yang aku tumbuk tadi tu tak nampak macam muka Irfan pun? Fikir Afira. Biji matanya sudah terkebil-kebil seperti mata cicak.
“Siapa yang aniaya kau? Aku ke?” soal Irfan lagi walaupun segala soalannya sebentar tadi tidak dijawab oleh gadis di hadapannya itu.
Irfan tersenyum. Dia sudah tidak tahan melihat gelagat Afira yang sangat kelakar sebentar tadi. Sudahlah pengsan di hadapan semua orang. Apabila sudah sedar, merapu yang bukan-bukan pula.
Lawak betullah perempuan ini. Fikir Irfan. Dia cepat-cepat mematikan senyumannya apabila tersedar bahawa senyuman yang terukir di bibirnya itu kini sudah semakin meleret.
Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Afira. Ternyata dia masih berada dalam keadaan bingung dan biji matanya masih berpinar dek penangan tamparan kuat Irfan. Setelah pandangannya jelas, dia memerhatikan keadaan persekitaran.
Kini Afira faham, rupa-rupanya dia hanya bermimpi ketika pengsan.
Jadi yang aku terjerit-jerit di dalam mahkamah tadi tu..... Irfan dengar ke?? Dan manusia yang aku tumbuk dengan kuasa magik aku tadi itu..... Irfan ke? Alamak!!
Afira menatap wajah irfan dengan rasa bersalah. Dia ingin meminta maaf tetapi suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Irfan pula sudah terasa seperti hendak ketawa sambil berguling-guling ketika itu. Namun cuba ditahannya seboleh mungkin. Dia tidak boleh berbuat begitu di hadapan Afira.Tugasnya dalam sesi orientasi ini tidak membenarkannya berkelakuan mesra.
Mimpi apakah Afira tadi? Tiba-tiba sahaja Irfan terasa ingin tahu.
“Awak nak balas dendam kepada saya ke? Kenapa? Awak tak puas hati dengan denda hari tu ke?” Sekali lagi Irfan mengungkit apa yang keluar dari mulut Afira sewaktu pengsan.
Mulut Afira ternganga luas. Sah... memang sah, Irfan telah mendengar semua butir bicaranya sewaktu di dalam mahkamah mimpi tadi. Irfan terus tersenyum di dalam hati. Suka benar dia menyakat Afira. Irfan tahu bahawa Afira tidak akan berani untuk melawannya. Takut kena denda. He.. he.. he..