Sabtu, 19 Mac 2011

Novel: Ops! Pintu Hatiku - bab 5 (sebelum diedit)


“Kenapa kau tak nak bagi tahu nama kau tadi, Sheila? Rugi tau!” Tanya Sue sebaik sahaja mereka duduk di sebuah pondok selepas meninggalkan geng Shahirul Hazami.

“Malaslah! Bukannya aku kenal dia pun. Tengok pada rambut besarnya tu aje, aku dah geli. Inikan pula nak berkenalan. Heee... tak payahlah!” Jawab Sheila geli geleman.

“Entah-entah malaun yang lagi tiga orang tu dah cakap siapa nama kau. Cuma sengaja dia buat-buat tak tahu. Biasalah, lelaki!” Balas Lizz.

“Ya tak ya juga! Lagi-lagi si Am pakwe si Eida tu. Dia tu memang banyak mulut,” sampuk Atin pula.

“Hei.... sejak bila pula budak banyak mulut tu jadi pakwe aku? Meluat sungguh aku tengok muka sepuluh sen dia tu,” rungut Eida.

“Kau jangan cakap macam tu, Eida. Silap hari bulan, dia tu bakal jadi suami kau nanti ha... ha... ha....” Usik Sheila tidak mahu ketinggalan daripada menyakat Eida.

“Eee... tak kuasa den!”

“Lizz... kau pula, jangan lepaskan si Zaini tu. Yalah, jejaka idaman hati kau!” Tiba-tiba Sue mengusik Lizz.

“Eh, tadi kau orang kenakan Sheila. Lepas tu Eida. Sekarang ni aku pula? Kau orang jangan. Sekali aku belasah kang.... melayang sampai Bangladesh. Nak??” Ugut Lizz.

“Amboi, garangnya mak nenek ni!” Balas Atin. Lizz menjegilkan mata.

“Eh... Eika, kenapa kau diam aje ni? Kau tak gembira ke?” Mereka menukar tajuk perbualan.

Sejak mereka meninggalkan Shahirul Hazami, baru kini Sheila menegur Eika. Sheila tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu. Dia tidak pernah melihat Eika diam seribu bahasa.

“Ha?? Eh, tak adalah. Aku nampak macam tak gembira ke? Tak perasanlah pula. Aku gembira apa ni. He he he...” Eika pura-pura ketawa. Cuba berlagak biasa. Sheila memandangnya dengan penuh makna tersirat.

Akhirnya ‘Group Pengusik’ pulang pada lewat petang. Sheila dan Eika telah berkawan baik sejak dari tadika lagi. Mereka amat faham akan hati budi masing-masing. Maka itulah Sheila sedar dengan perubahan sikap Eika. Mereka tidak pernah bergaduh. Malahan rumah mereka juga berdekatan. Ini semua mengeratkan lagi ikatan persahabatan mereka.

Selain itu, keluarga mereka juga bergaul rapat. Khairul Azlan ialah rakan pena Eika. Mereka agak rapat sejak akhir-akhir ini. Eika senang berkawan dengannya kerana Khairul Azlan berfikiran terbuka.

Kelihatan Eika berjalan mundar-mandir di anjung rumah. Hatinya resah menunggu kepulangan si adik. Eika telah mengarahkan adiknya itu pergi ke kedai untuk mengambil surat. Menurut kata pemilik kedai tersebut, surat Eika telah tersalah hantar. Sepatutnya surat itu dihantar ke peti surat yang terletak di hadapan rumahnya.

Sememangnya Eika sedang menunggu surat daripada seseorang. Jangan tidak percaya, masih ada lagi yang menggunakan surat dalam perhubungan di dalam zaman cyber yang canggih kini. Itulah uniknya cita rasa Eika.

“Hissy... mana pula budak ni pergi? Lambatnya, dia ni ambil surat ke buat surat?!” Rungut Eika sendirian

Tidak berapa lama kemudian, Eddy yang sedang belajar di tingkatan dua itu kelihatan sedang menunggang motosikal menuju ke halaman rumah. Adik lelakinya itu memang sudah pandai menunggang motorsikal walaupun baru berusia empat belas tahun. Lesen? Hmm... sudah pastilah tiada. Umur empat belas tahun tidak layak untuk mengambil lesen memandu. Jika tertangkap polis, tanggunglah sendiri.

Eika pula hanya pandai membonceng motorsikal. Pernah juga dia berangan-angan untuk membawa sendiri motorsikal yang terdapat di rumahnya itu. Namun apabila difikirkan kembali, dia berasa takut. Agaknya mahu start enjin sahaja pun tidak hidup-hidup. Angan-angannya itu terbawa-bawa hingga ke alam mimpi. Apa tidaknya, pernah dia bermimpi menunggang sendiri motorsikal itu. Namun yang hairannya, enjin motorsikal itu mati. Bagaimana motorsikal boleh bergerak dengan enjin yang tidak dihidupkan? Dia terus ketawa terbahak-bahak tatkala bangun daripada tidur. Teringat-ingat akan mimpinya yang kelakar itu. Kesudahannya, basikal sahajalah yang dia terror dalam menunggangnya.

“Akak ni sihat ke tak? Ketawa seorang-seorang!” Sergah Eddy.

Oppocott!! Hisyy... Eddy ni suka buat akak terkejut,” rungut Eika sambil mengurut dadanya yang berombak kencang.

Sorry. He he!” Eddy meminta maaf dengan sengihan kerang busuknya.

“Kenapa adik lambat sangat? Adik ambil surat ke buat surat?” Pantas Eika bertanya. Eddy hanya tersenyum-senyum sambil memegang sepucuk surat berwarna merah tua ditangannya.

“Tadi Eddy tulis surat dulu. Lepas tu Eddy buat sampul surat pula. Sebab tulah Eddy lambat. Sorry ya, kak!” Eddy meminta maaf sambil bergurau.

“Pandailah Eddy nak bodek akak ya! Penat tau akak tunggu kat sini!” Eika masih lagi merungut. Eddy ketawa melihat perangai kakak kesayangannya itu.

“Alah... kakak ni, Eddy dah ambil surat ni pun ucaplah terima kasih. Nanti, kalau Eddy tak nak bagi surat ni kat kakak, baru padan muka! Eddy bagi kat mama,” ujar Eddy seolah-olah mengugut kakaknya.

“Eh... eh... bak sini surat tu!” Pinta Eika.

“Tahu takut, nasib baiklah Eddy ni budak baik tau,” balas Eddy. Eika hanya mencebikkan bibir. Aduhai.... masuk bakul angkat sendirilah pula budak ni.

Eika terus menyambar surat itu daripada tangan Eddy. Kemudian dia terus membawa diri ke dalam bilik tidurnya.

Nur Elliya Shafeika...

Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kiranya kehadiran warkah ini telah mengganggu situasi Eika. Sudah pasti Eika tertanya-tanya siapakah saya bukan? Sebenarnya sejak dahulu lagi saya telah memerhatikan Eika. Namun baru kini saya mendapat peluang untuk menulis surat ini.

Kalau Eika nak tahu, sebenarnya saya telah jatuh cinta pada Eika. Saya harap Eika tidak terkejut atau marah dengan pengakuan saya ini. Mungkin ia agak keterlaluan bagi Eika. Sememangnya itulah hakikat sebenar. Ia bukanlah mainan perasaan dalam imaginasi semata-mata.

Usahlah Eika berasa sangsi atau takut. Saya ialah seorang yang jujur. Saya sentiasa rasional dalam bertindak dalam apa jua keadaan. Saya tidak mahu Eika rasa ragu-ragu terhadap saya. Saya hanya perlukan secebis kepercayaan daripada Eika.

Saya akui, selama ini saya telah banyak mempermainkan perasaan insan bernama wanita. Sehinggalah saya menemui Eika. Saya mula mengenal erti rindu. Sekali gus saya bertekad untuk tidak akan memalingkan muka ke belakang lagi. Saya ingin memulakan hidup baru.

Bagaimana saya boleh mengenali Eika? Sedangkan Eika tidak dapat mengenali saya? Ha... itu adalah rahsia. Suatu masa nanti, Eika akan tahu juga. So, tunggu....!

Okeylah.. setakat ini dahulu coretan saya buat puteri idaman hati ini. Opps... sorry, terjiwang pula. Surat yang terhasil daripada coretan tangan ini akan lebih bermakna apabila dibaca. Tidak perlu emel dan tidak perlu SMS. Eika memang unik dan istimewa. Saya akan terus mengutus surat. Dan Eika tidak perlu membalas surat ini mahupun surat-surat yang akan datang. Hairan? Mengapa saya tidak membenarkan Eika membalasnya? Seperti yang saya katakan tadi, suatu hari nanti... Eika akan tahu juga..

Akhir kata, Sambutlah salam mesra penuh kerinduan dan salam perkenalan daripada saya hanya untuk insan yang saya sayangi... Nur Elliya Shafeika. Bye...

-PSH-

Eika terkejut sebaik sahaja selesai membaca isi surat yang baru diperolehinya itu. Dia sangka surat itu datangnya daripada Khairul Azlan. Kini jangkaannya itu meleset sama sekali.

PSH? Dia tertanya-tanya siapakah dan apakah maksud huruf PSH itu. Hatinya dihantui oleh perasaan ingin tahu. Entah mengapa, dia begitu mengambil berat akan kehadiran surat yang tidak diundang itu.

“Issy.... apalah aku ni. Entah malaun mana yang hantar surat ni. Entah-entah, orang nak main-mainkan aku kot! Heee... mengacau saja. Memang aku tak ingin pun nak balas surat kau ni. Mengarut saja!” Getus hati Eika sedikit berang.

“Ha... Eika! Surat daripada siapa tu?”

Soalan daripada Datin Sarina yang datang secara tiba-tiba itu memeranjatkan Eika. Dia langsung tidak perasan bilakah ibunya itu memasuki bilik tidur.

“Hah?? Eh... mama! Kenapa mama terkejutkan Eika. Tadi kalau Eika ada sakit jantung, dah pengsan agaknya,” ujar Eika spontan.

“Hissy kamu ni Eika! Kalau bercakap tu main sedap mulut saja. Cubalah fikir dulu sebelum bercakap. Tak elok buat perangai macam tu!” Nasihat Datin Sarina.

Sememangnya Datin Sarina amat menyayangi anak-anaknya yang cuma dua orang itu. Eika amat bersyukur dan gembira apabila berada di samping keluarga yang amat memahami.

“Okey... okey... Eika minta maaf banyak-banyak ya, mama! Oh ya... ada apa-apa yang mama nak beritahu Eika ke?”

Sengaja Eika menyoal ibunya agar soal surat yang baru diterimanya itu tidak akan ditimbulkan lagi. ‘Manalah tahu, entah-entah rakan ‘Group Pengusik’ yang cuba nak mengenakan aku. Nantilah kau orang! Jagalah!’

“Eh, kenapa dengan kamu ni? Mengelamun saja mama tengok. Ada masalah ke?” Sekali lagi suara Datin Sarina menyentap lamunannya.

“Ah! Tak ada apa-apalah. Apa tadi mama tanya?”

“Hah? Apa kamu ni sakit ke Eika? Mama tak ada tanya apa-apa pun,” hairan Datin Sarina melihat perangai Eika yang seperti orang ‘mamai’. Eika tersengih mendengar kata-kata Datin Sarina. Sebenarnya Eika hanya meneka sahaja. Manalah tahu, Datin Sarina ada menanyakan sesuatu semasa dia berkhayal tadi.

“Sebenarnya mama saje je masuk bilik kamu ni. Mana surat yang Eddy bawa tadi? Tadi mama nampak ada kat tangan kamu. Sekarang dah hilang pula!” Berdebar jantung Eika mendengarkan pertanyaan itu.

“Eika dah simpan tadi. Alah... surat daripada malaun yang Eika sendiri tak kenal. Menyibuk sahaja datang sini!”

Omel Eika agak marah seolah-olah sedang bercakap sendirian. Sementara itu, Datin Sarina kelihatan amat terkejut mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Eika. Sungguh dia tidak menyangka.

“Apa kamu cakap tadi? Malaun?” Pantas Datin Sarina menyoal.

‘Eh... alamak! Macam mana aku boleh terlepas cakap pula ni? Hissy.... lecehnya!’ keluh Eika di dalam hati tatkala menyedari keterlanjuran kata-katanya.

“Err... malaun? Hah... malaun tu nama kawan Eika mama!” Eika terpaksa berbohong.

“Kenapa pelik betul bunyinya tu? Orang apa?”

“Eh, tak mama. ‘Malaun’ tu nama gelaran je.”

“Habis tu? Apa nama sebenarnya? Lelaki ke perempuan?” Datin Sarina masih tidak berpuas hati. Seperti berteh jagung dia melontarkan soalan demi soalan tanpa sempat dijawab.

Pertanyaan Datin Sarina seterusnya itu menyebabkan Eika berfikir panjang untuk mereka-reka cerita. Eika sudah berpuas hati asalkan perkara yang sebenar tidak diketahui oleh ibunya.

“Perempuanlah mama. Namanya Malauni, sebab tulah dipanggil malaun. Sama dengan sebutan mula-mula nama dia tu,” reka Eika.

“Ooo.... pelik-pelik nama budak zaman sekarang ni ya,” suara Datin Sarina kemudian.

Eika ketawa di dalam hati. Kelakar pula melihat gelagat ibunya. Entah faham entahkan tidak dengan keterangannya. Semua itu hanya tipu belaka. Dia berazam tidak mahu menipu ibunya lagi. Tipu sunat apa salahnya? Fikir Eika lagi.

Kemudian Datin Sarina keluar dari dalam bilik Eika. Datin Sarina kembali meninggalkan Eika sendirian. Eika menarik nafas lega. Perasaannya sedikit terganggu. PSH.... masih banyak persoalan mengenainya yang belum terjawab. Dari manakah dia tahu nama dan alamat aku?

Diambilnya kembali surat yang telah berkedut seribu akibat mahu mengelak daripada diketahui oleh Datin Sarina sebentar tadi. Dibacanya sepintas lalu untuk kali kedua. Walaupun dia menganggap surat tersebut sebagai satu gangguan, namun hatinya masih tetap mahu membacanya berulang-ulang kali. Seakan ada daya penarik untuknya berbuat begitu.

Tiba-tiba bayangan rakan-rakannya menjelma kembali. Dia amat berharap ini hanyalah permainan mereka. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu terjebak ke dalam kancah percintaan. Dia berasa gerun apabila mendengar cerita daripada rakan-rakannya yang bercinta telah mengalami kekecewaan. Dia tidak mahu begitu. Jika bercinta pun, biarlah benar-benar bercinta. Bukan dijadikan bahan permainan. Dia benci dengan lelaki yang sewenang-wenangnya menyakitkan hati seorang insan bergelar perempuan. Benci sangat!

Buat masa sekarang, Eika mahukan kehidupan yang ceria. Kehidupan yang bebas daripada sebarang masalah percintaan. Tiba-tiba Eika teringat, Atin dan Eida memang kaki membodek orang. Manakala, Sheila Sue dan Lizz sering pula menyokong mereka.

‘Sampai akulah yang kau orang nak kenakan..... siaplah!!’


**Untuk membaca novel "Ops! Pintu Hatiku" yang sudah diedit, sila dapatkan novel ini di pasaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan