Sabtu, 31 Mac 2012

Anak Panah Cinta - Bab 5


“HAHAHA.... aku tak tahan betullah dengan si Afira tu. Kau tau tak, dia terjerit-jerit macam ini, tolong... tolong...  aku tak bersalah, aku dianiaya! Ha..ha..ha...!” Tidak sudah-sudah lagi Irfan mentertawakan kelakuan Afira semasa di bilik sakit pada pagi tadi.
Sudah setengah jam Irfan bercerita mengenai Afira. Ikram yang merupakan sahabat karib merangkap rakan sebilik Irfan juga ketawa terkekeh-kekeh. Irfan kelihatan serius di hadapan semua orang, terutama apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar baru. Keseriusannya itu sudah termaktub di dalam senarai tugasnya sebagai seorang pembantu mahasiswa. Tetapi hakikatnya Irfan adalah seorang yang gila-gila.
“Eh, macam mana kau boleh masuk dalam bilik sakit tu? Bukan ke lelaki tak boleh masuk ke bilik sakit perempuan?” Ikram bertanya hairan.
“Yang kau sibuk-sibuk nak tahu kenapa? Rahsialah!” jawab Irfan sambil tersenyum meleret.
“He’eleh... dengan aku pun nak rahsia-rahsia ke?” balas Ikram tidak puas hati.
“Mestilah!” Irfan bertegas.
“Suatu hari nanti aku mesti tahu punya.” Ikram masih tidak mahu mengalah.
“Ha... kalau macam tu kau tunggulah suatu hari nanti kau tu,” ujar Irfan tanpa perasaan.
“Kurang asam la kau. Okey... aku tunggu!” Ikram berazam.
Irfan masih terus tersenyum-senyum kerana mengingati Afira. Dia kini sudah hanyut di dalam lamunan. Kata-kata Ikram seterusnya sudah tidak singgah lagi di telinganya. Biarlah Ikram membebel sendiri. Kasihan Ikram....
Irfan sebenarnya sudah tidak sabar menunggu hari esok. Dia suka melihat wajah Afira yang comel terutamanya apabila gadis itu berada dalam keadaan kalut. Dan disebabkan itu jugalah semangatnya semakin kuat untuk ‘beramah mesra’ dengan gadis nan seorang itu.
Afira... Afira.... nama itu seperti sudah sebati di dalam jiwa Irfan.
***

“SEMUA dah ada? Tengok kawan-kawan di sekeliling kamu. Kalau tak ada beritahu saya sekarang. Kita dah nak gerak ni. Jangan pula bila dah sampai di fakulti nanti, ada pelajar yang tak ada.” Kedengaran suara lantang Ikram sedang mengingatkan pelajar baru yang menghuni kolej kediaman tersebut.
Mereka kini sudah diasingkan mengikut fakulti. Ikram akan menguruskan segala urusan pendaftaran kursus untuk semester pertama bagi pelajar baru di Fakulti Ekonomi.
Afira tidak melihat kehadiran Irfan. Jika Irfan tiada di sini, bermakna Irfan bukanlah pelajar Fakulti Ekonomi. Yahooo!!!! Afira mula menjerit suka di dalam hati. Kini dia berasa bebas daripada segala pembulian Irfan.
Dengan penuh semangat Afira memastikan keberadaan rakan-rakan sefakulti di sekelilingnya seperti yang diarah oleh Ikram. Semua orang ada. Beres!
“Pastikan juga kamu membawa dokumen-dokumen yang perlu untuk proses pendaftaran kursus. Semak senarai dokumen yang telah diberi. Jangan lupa bawa bersama buku panduan kursus fakulti. Pastikan nanti kamu mendaftar kursus yang betul seperti yang tertera di dalam buku panduan tersebut. Sesiapa yang tertinggal dokumen di dalam bilik, cepat pergi ambil sekarang. Segera!” Ikram bersuara lagi mengingatkan mereka yang kebanyakannya masih kebingungan.
Mereka berdebar-debar. Bimbang terpisah daripada rakan-rakan, nanti susah pula mahu ke fakulti yang mereka sendiri belum tahu di mana kedudukannya. Mereka juga risau jika tersalah mendaftar kursus. Kelihatan wajah masing-masing sudah beriak cuak.
Afira membuka beg sandang untuk menyemak dokumen yang perlu dibawa. Pada awalnya dia berasa malas mahu menyemak kerana yakin bahawa semua dokumen tersebut telah sedia dimasukkan ke dalam beg. Semalam dia sudah memasukkan semuanya ke dalam satu fail sebelum tidur.
“Eh, mana fail tu??” Afira sudah kecut perut. Alamak!!!
Tanpa membuang masa Afira terus berlari meninggalkan rakan-rakannya untuk ke blok kediamannya. Dari tadi tidak mahu semak, kan dah lambat. Afira memarahi dirinya sendiri. Afira lihat sudah ada yang kembali daripada mengambil dokumen yang tertinggal. Sebaliknya dia pula baru terhegeh-hegeh mahu bergerak ke bilik.
Masuk ke dalam bilik sahaja, Afira terus menangkap kelibat fail kesayangannya yang terdampar di atas katil. Huh! Macam mana aku boleh lupa nak masukkan ke dalam beg ni? Rasanya macam dah masukkan.
Hmm.... lantaklah, yang penting fail sudah berada di tangan, fikir Afira. Tergesa-gesa dia mengunci kembali pintu biliknya dan berlari ke tempat berkumpul.
“Aik! Mana dia orang ni?!” Afira terjerit kuat dengan nafas yang termengah-mengah kerana penat naik turun tangga blok kediamannya sebentar tadi.
Huwaaa!! Mahu menangis guling-guling rasanya Afira apabila melihat tempat berkumpul yang tadinya penuh kini sudah kosong. Tiada seorang pun yang berada di situ.
Macam mana aku hendak ke fakulti? Kat mana letaknya Fakulti Ekonomi?? Tolonggggg! Afira merintih di dalam hati.
Di kejauhan Afira dapat melihat segerombolan pelajar sedang berarak. Sudah pasti mereka juga mahu ke fakulti. Dengan pantas Afira membuka langkah seribu mengejar kumpulan pelajar tersebut. Akhirnya  sampai juga diadi bahagian belakang kumpulan tersebut.
“Tumpang tanya, kumpulan ni mahu ke fakulti mana ya?” Tanpa perasaan malu Afira terus sahaja menegur seorang pelajar lelaki yang berbaris di belakang sekali.
Afira tidak boleh malu-malu lagi. Kalau malu bertanya nanti sesat jalan, nanti dia juga yang susah. Berdasarkan baju seragam yang dipakai oleh kumpulan pelajar itu, Afira tahu bahawa mereka berasal dari kolej kediaman lain.
“Fakulti Perniagaan,” jawab lelaki tersebut ringkas  riak wajahnya mempamerkan perasaan terkejut. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dia ditegur dari belakang. Setahunya dialah orang terakhir yang beratur di situ. Sudah pasti dia tertanya-tanya dari manakah munculnya Afira yang baru menegurnya itu.
“Oh, terima kasih!” ucap Afira laju.
Ini tidak boleh jadi. Afira harus mencari kumpulannya yang mahu ke Fakulti Ekonomi. Rasanya tadi tidaklah terlalu lama masa yang diambil untuk mengambil fail. Sudah cukup pantas dia berlari. Tapi... tup... tup... apabila sampai di bawah semula, semua orang sudah menghilang. Macam magik pula.
Afira kembali memecutkan diri dengan berlari selaju mungkin. Dia memintas kumpulan pelajar yang mahu ke Fakulti Perniagaan itu. Afira sedar bahawa kumpulan itu sedang memandang pelik ke arahnya.
Kenapa pelajar perempuan itu bergerak seorang-seorang? Berlari pula tu. Orang lain semuanya bergerak secara berkumpulan.  Afira tahu pasti itu yang sedang bermain di fikiran kumpulan pelajar yang dipintasnya itu. Ahh, Afira tidak peduli!
Afira harus cepat-cepat mendapatkan kumpulannya kembali kerana dia tidak tahu jalan ke Fakulti Ekonomi. Jika dia gagal sampai ke fakulti, bagaimana dia mahu mendaftar kursus untuk semester pertamanya? Dia yakin kumpulannya itu belum bergerak jauh.
Itu pun mereka! Afira dapat mengecam baju seragam kumpulannya. Kejar!
Sepanjang perjalanan Afira dapat melihat banyak monyet saling bergayutan di atas pokok yang merimbun di tepi jalan. Tidak sangka di sini pun ada monyet. Jangan ingat monyet hanya ada di kampung sahaja. Sekali sekala monyet-monyet itu mengeluarkan bunyi nyaring yang menakutkan. Risau juga Afira berlari seorang diri di situ. Adakalanya suara monyet itu kedengaran seperti bunyi ketawa mengekek. Agaknya monyet-monyet itu juga sedang mentertawakan Afira yang sedang kalut. Jangan main-main, monyet di universiti ini bijak-bijak.
Mujurlah Afira bekas pelari pecut sekolah. Sudah biasa lari laju-laju. Jika orang lain yang tidak biasa berlari, sudah pengsan agaknya.
Legaaaa..... Afira bersyukur. Akhirnya dia bersatu kembali setelah tercicir dari kumpulannya.
“Awak dari mana?”
Hampir terloncat Afira mendengar soalan yang baru menerjah ke gegendang telinganya. Terkejut. Baru sahaja dia mahu menarik nafas lega, sudah ada pula yang membuat darahnya berderau. Pantas dia menoleh.
Kelihatan Ikram sedang memandang Afira. Fuh... lagi sekali Afira menarik nafas lega. Mujurlah bukan Irfan yang menegur. Afira tahu bahawa Ikram tidak segarang Irfan. Sebab itulah dia tidak takut sangat dengan Ikram.
“Maafkan saya, PM Ikram. Tadi saya pergi ambil dokumen yang tertinggal di dalam bilik. Bila saya datang balik, tak sangka kumpulan ni dah bergerak,” terang Afira. Semoga sahaja Ikram tidak memarahinya.
“Lain kali cepat sikit. Mujur kitorang belum gerak jauh sangat,” balas Ikram.
“Baik... baik!” suara Afira sambil mengangguk-angguk. Kemudian Ikram terus meninggalkan Afira.
Semenjak Afira memasuki kawasan universiti ini, dia kelihatan seperti budak nakal yang selalu sahaja membuat hal. Tetapi Afira langsung tidak sengaja atas segala perbuatannya. Dia bukanlah seorang yang suka mencari publisiti murahan. Bukan sama sekali!
Cuma Irfan sahaja yang suka mencari peluang bagi mengenakan Afira. Nasib baik Irfan tiada di dalam kumpulan fakulti ini. Fuh, selamat aku!! Jerit hati Afira buat ke sekian kali.

7 ulasan: