Rabu, 28 Mac 2012

Mini Novel: Anak Panah Cinta - Bab 2


MAHU tidak mahu, Afira terpaksa bersesak-sesak duduk di dalam dewan kolej kediaman itu. Minggu orientasi telah bermula.
“Peraturan pertama... sepanjang minggu orientasi ini, awak semua tidak dibenarkan memanggil fasilitator atau pembantu mahasiswa dengan panggilan abang, kakak, adik, mak cik, pak cik atau sebagainya. Sebaliknya awak dikehendaki memanggil mereka dengan panggilan PM, iaitu singkatan kepada Pembantu Mahasiswa. Bukan abang PM atau kakak PM. Hanya PM sahaja. Ingat, awak semua belum rasmi lagi jadi pelajar kat universiti ni. So, jangan nak tunjuk pandai dan jangan nak berlagak kat sini. Ikut peraturan. Faham!” Seorang lelaki di atas pentas memberi arahan dengan suara yang amat tegas.
Glup! Afira menelan air liur tatkala mendengar lontaran suara lelaki itu. Dia masih ingat, lelaki itulah yang menjadi sasarannya pada siang tadi. Tiba-tiba Afira teringat akan panggilan yang telah digunakannya kepada lelaki itu.
Abang, tumpang tanya. Kat sini ada kedai fotostat tak? Kat mana ya?” Terngiang-ngiang pertanyaan yang pernah diucapkan Afira kepada lelaki itu.
Afira telah memanggilnya ‘abang’. Nampaknya, siang-siang lagi Afira telah melanggar peraturan. Mata Afira hampir berair tatkala menyedari bahawa lelaki itu sedang memandang tajam ke arahnya. Perkataan ragging mula bermain di dalam fikiran. Namun Afira berasa lega apabila teringat bahawa ragging di semua universiti telah pun diharamkan.
Dalam ramai-ramai macam ni pun, dapat juga dia cari muka aku! Adehh...! Hati Afira berkeluh kesah.
Tidak senang duduk Afira dibuatnya. Adakah Afira akan dihukum kerana keterlanjuran kata-katanya pada siang tadi? Risau sungguh dia.
Tapi siang tadi kita orang baru sampai. Tak diterangkan lagi tentang peraturan itu. Sepatutnya bolehlah dimaafkan, Afira bermonolog. Sekadar menyedapkan hatinya.
Namun Afira terus diburu resah. Seakan ada sesuatu pada pandangan lelaki di atas pentas itu. Afira sangat berharap lelaki itu tidak akan mengingati wajahnya.
“Nama saya Alif Irfan. Boleh panggil saya PM Irfan. Sebelum saya memperkenalkan PM-PM yang lain, dengan segala hormatnya saya mempersilakan... Nur Afira Nadia untuk naik ke atas pentas ini!”
Hah!! Bukan main terkejut lagi Afira mendengar namanya dipanggil.
Betul ke nama aku yang abang tu panggil? Eh, silap... PM... bukan abang. Nama orang lain kut! Afira membiarkan sahaja arahan Irfan itu berlalu bagai angin, dengan harapan akan ada orang lain tampil ke hadapan. Kalau benar-benar bukan dia, bukankah buat malu sahaja jika dia keluar? Afira tersenyum sendiri mengenangkan apa yang sedang bermain di dalam fikirannya pada ketika ini.
Setelah beberapa ketika, tiada seorang pun yang tampil ke atas pentas. Mata Irfan pula terus terarah ke wajah Afira.
Aduhai... kenapa pula kau pandang aku? Bukan aku kan yang kau panggil? Pandanglah tempat lain! Alahaiii.... Afira buat-buat tidak tahu dan pura-pura memandang ke tempat lain. Resah gelisah di dalam diri Afira pada waktu ini hanya Tuhan yang tahu.
“Siapa di sini yang bernama Nur Afira Nadia? Hai... takkan tak nak mengaku nama sendiri? Penat mak  dan ayah awak bagi nama cantik-cantik. Pelajar baru bernama Nur Afira Nadia, saya nampak awak di situ! Keluar sekarang sebelum awak ditarik keluar!” arah Irfan sekali lagi.
Memang sah memang nama Afiralah yang dipanggil. Bertambah laju degupan jantung Afira. Ibu... ayah... saat ini Afira hanya teringatkan kedua-dua orang tuanya. Tanpa membuang masa, Afira mula mengatur gerak perlahan-lahan dari tempat duduknya.
“Cepat sikit!” sergah Irfan.
Dengan riak muka yang sangat kelat, Afira tergesa-gesa mempercepatkan langkahannya.
 Sabarlah! Sempat  Afira merungut di dalam hati kecilnya. Selama ini, belum ada seorang pun di dalam dunia ini yang pernah berbicara kasar sebegitu terhadapnya.
Macam mana orang nak hormat kepada dia kalau dia sendiri tak mahu hormat kepada orang lain?! Afira terus mengomel di dalam hati. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh lelaki itu.
Afira menyedari bahawa pelajar-pelajar baru yang lain sedang memandangnya dengan riak wajah yang sungguh pelik. Mungkin juga mereka tertanya-tanya mengapa Afira dipanggil sedangkan Afira juga pelajar seperti mereka yang baru tiba di universiti ini. Namun Afira tidak hairan. Dia tahu bahawa dia telah melakukan kesalahan tanpa sengaja. Diingatkan sekali lagi... TANPA SENGAJA!
Afira sempat menoleh ke arah mereka yang sedang berdiri di tepi dewan. Kesemua mereka berpakaian seragam, sama seperti Irfan. Mungkin mereka juga ialah pembantu mahasiswa. Namun wajah mereka amat serius. Tiada seorang pun yang sudi memaniskan wajah Afira.
Malang sungguh nasib yang Afira rasakan. Belum apa-apa lagi sudah menjadi perhatian. Afira tidak berani memandang tepat ke wajah Irfan yang kini sudah berada betul-betul di hadapannya.
“Awak tahu tak kenapa saya panggil?” soal Irfan. Tidak ubah bagai seorang anggota polis.
“Err… tak tahu!” jawab Afira teragak-agak.
Afira sengaja jawab tidak tahu. Afira mula membayangkan wajahnya yang buruk dalam keadaan begini. Di hadapan orang ramai pula tu. Haisyy! Malu!
“Betul awak tak tahu? Okey... saya bagi peluang kedua. Saya tanya lagi sekali... awak tahu kenapa saya panggil?” Irfan mengulangi soalannya.
Terkebil-kebil mata Afira kerana diperlakukan begitu. Terasa sungguh dirinya kini sedang berada di dalam kandang bersalah sebuah mahkamah. Afira memberanikan diri untuk memandang tepat ke wajah Irfan.
Tiba-tiba sahaja hati Afira terasa panas. Afira merasakan dia sedang dibuli oleh lelaki bernama Irfan itu. Takkanlah hanya kerana kesalahan kecil yang tidak disengajakan itu, Afira terpaksa menanggung malu seisi dewan besar? Afira mengetap bibir.
Demi terlihat sahaja wajah Irfan yang amat serius tanpa secalit kemesraan, Afira terpaksa akur dengan keadaan dirinya. Kini bukan masanya untuk Afira memberontak. Afira tiada pilihan lain, dia terpaksa mengikut rentak Irfan. Alahai.... nasib badan!
“Saya tahu... saya bersalah. Saya minta maaf,” mendatar sahaja suara Afira mengakui kesalahannya.
Barulah kelihatan Irfan tersenyum sedikit. Namun cepat-cepat pula Irfan mematikan senyumannya. Afira tidak tahu kenapa Irfan berubah serius kembali secara tiba-tiba.
“Bagus! Macam nilah ciri-ciri orang yang berani mengakui kesalahan. Beritahu saya, apakah kesalahan yang telah awak buat?” soal Irfan dihujung ucapannya.
Sekali lagi hati Afira mendidih.
Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Sengaja aje, nak kenakan akulah tu! Memang sah aku kena buli! Hati Afira terus mengomel. Namun tiada seorang pun yang dapat mendengar omelan hatinya itu.
“Saya panggil awak... err... saya panggil PM Irfan dengan panggilan abang,” jelas Afira dengan tergagap-gagap. 
Afira perasan akan jegilan mata Irfan apabila dia terlanjur mengucapkan perkataan ‘awak’ sebentar tadi. Pelajar-pelajar lain yang duduk bersila di dalam dewan itu mula mengeluarkan bunyi seperti lebah. Berbisik-bisik sesama sendiri.
“Heii... hei... siapa suruh awak semua bising? Ada saya suruh awak semua bisik-bisik? Kalau teringin sangat nak bercakap, naiklah atas pentas ni. Saya boleh bagi mikrofon kat awak. Macam tu barulah berani. Cakap-cakap orang berbisik ni cara orang pengecut saja. Dah masuk universiti mestilah kena berani! Peraturan kedua, dilarang bercakap kecuali ditanya. Faham?!” jerit Irfan. Lantang sungguh nada suaranya. Sudah kedengaran seperti suara komander askar.
Kecut perut Afira menahan telinga di sebelah Irfan. Afira memang cukup benci melihat manusia yang suka terjerit-jerit. Macam orang lain pekak sahaja lagaknya.
Dalam sekelip mata suasana di dalam dewan besar itu sudah menjadi senyap sunyi bagai tiada orang langsung. Wajah masing-masing sudah seperti udang kena bakar. Tidak kurang juga ada yang beriak wajah blur. Mungkin masih terkejut dengan suasana dan persekitaran baru di universiti itu. Sejujurnya Afira juga berasa terkejut.
“Kalau saya tanya faham ke tidak tu, jawablah faham... janganlah diam saja! Tadi saya tak tanya boleh pula awak semua bising-bising. Satu dewan ni bergema dengan suara-suara awak. Peraturan kedua, dilarang bercakap kecuali ditanya, faham?” ulang Irfan. Sempat juga dia membebel.
“Faham,” jawab pelajar-pelajar baru tersebut.
“Kuatlah sikit, tak bersemangat langsung!” Irfan tidak berpuas hati.
“Faham!!” Kali ini bergema suluruh isi dewan. Irfan mengangguk-angguk tanda dia puas hati.
Kemudian Irfan meninggalkan Afira seorang diri di atas pentas. Dia melangkah ke arah salah seorang pembantu mahasiswa yang berada di tepi dewan.
Terlopong mulut Afira melihat tindakan Irfan. Apa aku nak buat seorang-seorang di atas pentas ini? Hati Afira berdetik bimbang. Perasaan Afira sudah mula tidak tentu arah.

2 ulasan:

  1. hehehe.. best la novel akak ni.. ekekke.. best2 je irfan buli fira... heheh.. :D

    BalasPadam
  2. tq Aisya.. mmg syok je Irfan buli Fira.

    BalasPadam