Khamis, 14 Mac 2013

Novel: Hati Batu


Tajuk: Hati Batu
(Jalan cerita secara kasar)

Aboi, Badang, Chomel dan Dila merupakan 4 orang sahabat baik. Badang menyukai Chomel lalu dia meluahkan perasaannya kepada Chomel tanpa pengetahuan Aboi. Badang tidak mahu sesiapa tahu bahawa dia telah meluahkan perasaannya kepada Chomel, lalu dia menyuruh Chomel merahsiakan hal tersebut. 

Dalam masa yang sama, Badang selalu memadankan Chomel dengan Aboi. Aboi tidak pernah membantah dengan padanan tersebut. Malah Aboi sendiri gemar memadankan dirinya sendiri bersama Chomel. Hingga akhirnya gosip antara Aboi dan Chomel mula tersebar dengan meluas di kalangan rakan-rakan. 

Chomel menganggap gosip dirinya bersama Aboi hanyalah gurauan kerana hakikatnya mereka hanya berkawan. Namun Chomel berasa hairan dengan sikap Badang. Adakah Badang serius ketika meluahkan perasaan kepada Chomel? Jika ya, mengapa pula Badang seolah-olah cuba merapatkan hubungan Chomel dan Aboi? Di sini Chomel berasa amat keliru.

Chomel membuat keputusan bahawa dia dan Badang hanya mampu meneruskan hubungan sebagai sahabat. Mujur Badang dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Dan Chomel meneruskan kehidupan seperti biasa ditemani dengan usikan rakan-rakan yang suka memadankan dirinya bersama Aboi. Semakin hari, Chomel merasakan Aboi semakin galak memadankan dirinya sendiri bersama Chomel dan Badang seolah-olah menjadi penyokong setia Aboi.  

Sekali lagi Chomel diterpa perasaan hairan. Oh, bukan hairan. Sebenarnya Chomel berasa kagum dengan kekuatan hati Badang dalam menempuh kekecewaan sehingga mampu memadankan wanita yang disukainya bersama orang lain.

Sikap Aboi yang seakan-akan cuba mengambil hati Chomel menyebabkan Chomel mula berfikir. Adakah Aboi benar-benar menyukai Chomel? Lalu Chomel menceritakan persoalannya itu kepada Dila. Dan Dila cuba menyiasat. Setelah diselidik... oh, Aboi telah pun mempunyai teman wanita. Itu yang Aboi katakan kepada Dila. Kebenarannya cuma Aboi yang tahu. Lalu Chomel meneruskan andaian bahawa sejak mula Aboi hanya bergurau tanpa niat. Chomel juga tidak mahu termakan usikan-usikan Aboi hingga membuatkan dia terjatuh hati kepada Aboi. Chomel akan mencegah perasaan itu awal-awal. Maklumlah hati seorang perempuan bukanlah sekuat mana walaupun ia hanya gurauan semata-mata..

Tanpa diduga, Aboi berhenti memadankan dirinya bersama Chomel. Bukan setakat itu, Aboi langsung tidak mahu memandang wajah Chomel. Aboi juga tidak mahu bercakap dengan Chomel. Namun Aboi tidak pula menjauhkan diri daripada Chomel. 

Chomel, Badang, Aboi dan Dila tetap keluar makan bersama. Bezanya, kehadiran Chomel seolah-olah menjadi halimunan pada pandangan mata Aboi. Ada di depan mata tetapi seperti tak kelihatan. Tidak bercakap antara satu sama lain tetapi mendengar suara antara satu sama lain ketika berbual bersama yang lain. Jasad ada disisi namun hanya mampu memandang bayang-bayang. Begitulah ibaratnya hubungan Chomel dan Aboi. Chomel tidak faham, kenapa keadaan seperti itu boleh berlaku?

Akhirnya Comel memutuskan untuk bertanya sendiri kepada Aboi. Mahu bercakap terasa seperti kelu lidah. Lalu Chomel menghantar mesej kepada Aboi. Chomel meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada Aboi. Mengapa tanpa sebab Chomel diperlakukan seperti itu? Namun Chomel tidak lupa untuk meminta maaf sekiranya dia ada terkasar bahasa atau tercuit hati sepanjang tempoh mereka berkawan hingga menyebabkan Aboi berubah dingin seperti itu.

Niat Chomel yang ingin menjernihkan suasana bertukar menjadi perasaan sakit hati apabila Aboi langsung tidak membalas mesej tersebut. Hati Chomel terasa sakit sekali kerana Aboi seolah-olah membiarkan Chomel terus diburu persoalan yang tiada jawapannya. Namun mereka tetap keluar bersama rakan-rakan lain. Fuh, Chomel kagum dengan Aboi. Sungguhlah Aboi masih mampu berada dekat dengan Chomel walaupun tahu bahawa dia masih mempunyai 'hutang' jawapan kepada persoalan yang Chomel utarakan. Manakala Chomel cuba berlagak seperti biasa.

Saat ini Badang masih suka memadankan Aboi bersama Chomel. Mungkin Badang tidak menyedari hubungan dingin antara Chomel dan Aboi. Ataupun Badang sememangnya sedar dan cuba menjernihkan suasana. 

Dari hari ke hari.... Aboi dilihat cuba berbaik-baik semula dengan Chomel. Mengenangkan persahabatan, Chomel cuba melupakan semua yang berlaku. Dan Chomel memberikan tindakbalas positif terhadap perubahan sikap Aboi. Badang juga dilihat sudah menghentikan usikannya terhadap Chomel dan Aboi. Fuh.. lega. Aman hidup Chomel.

Namun pada suatu hari, tiba-tiba Badang mula mengusik mereka kembali.  Dan Aboi mula mengulang perangai yang sama. Sekali lagi Chomel menjadi halimunan pada pandangan mata Aboi. Eh, kenapa kejadian yang sama berulang kembali? Apa salah Chomel? Atau sebenarnya Aboi sedang cuba menafi perasaannya sendiri terhadap Chomel? Apa yang menyebabkan Badang kembali mengusik mereka?

#Jawapannya hanya ada dalam HATI BATU#

Jumaat, 1 Februari 2013

Hai, kawan-kawan! Yoyoyooo

Assalamualaikum kawan-kawan!
Jangan ada yang terkejut pulak ya bila saya update post dekat sini. Sebabnya saya memang jarang sangat update berkaitan diri saya di dalam blog saya ni. Biasanya saya cuma update cerpen dan novel sahaja. Tapi tiba-tiba hari ni, saya teringin pula hendak berbual-bual di sini. Jadinya tak ada la blog ni nampak macam terlalu skema kan? Bosan la skema-skema ni. Tak suka.. tak suka... no.. no... okay! Hehehe.....

Apa ya yang saya nak cerita ni? Ha... korang nak tahu cerita tentang apa? Okay la, kita start dengan perkembangan terbaru diri saya. Ceh... ni bukan bajet artis popular tau... no.. no.. Sebenarnya saya sudah lama tak menulis cerpen atau novel ni. Tak tahu la boleh menulis lagi ke tidak kan. Sedih... sedih... ni la padahnya bila kita stop menulis terlalu lama. Lama-lama sindrom kemalasan akan melanda kita. Harap-harap bila saya rajin update blog ni dengan post seperti ini, akan datang la mood saya untuk mengupdate novel-novel saya yang dah lama tertangguh tak tersambung tu kan. 

Rindu sebenarnya mahu menulis. Jadi saya mulakan mood menulis dengan update blog ni terlebih dahulu. Teringat cerita bertajuk Anak Panah Cinta yang baru sahaja sampai bab 6. Cerita Mencari Yang Pertama yang baru sampai bab 1, Cerita Sudikah Kau Terima? pun baru sampai bab 1... dan banyak lagi cerita yang baru sampai bab2 awal. Insya-Allah saya akan sambung semua cerita-cerita itu. 

Sudah cukup lama saya berehat. Enjoy sana enjoy sini sampai  terabai penulisan. Lepas ni akan cuba ruangkan masa untuk menulis. Chaiyookkkk... Cakap kat diri sendiri, "Jangan malas-malas lagi tahun ni, wahai Noraz Ikha!!"

Azam tahun 2013 ni, saya mahu keluarkan karya saya. Satu naskah pun jadi la. Sama ada kompilasi cerpen atau novel. Tungguu.... doakan saya tau! Sayang korang semua yang selama ni sudi menyokong saya dari belakang. Love... muah! muah!!

Okay, sampai kita bertemu lagi pada post yang akan datang. Semoga cepat la sawang dekat blog ni hilang. :-) Papaiiii...... <3 br="">


Rabu, 26 September 2012

Video himpunan karyaku





Sebenarnya, tidak pernah rancang pun mahu membuat video ini. Semuanya terjadi dengan spontan. Jemputlah tonton ya.

Ahad, 24 Jun 2012

Novel: Mencari Yang Pertama - Bab 1, part 1

Bab 1
 Part I

      “Nanti majlis kahwin Diana, mama sekalikan dengan majlis kahwin kakak!”

            Hah?! Spontan mulutku terlopong luas. Apa kena dengan mama ni? Huwaa....  tak mahulah macam itu. Aku memandang Kak Liana. Boleh pula kakak aku nan seorang itu buat-buat tidak tahu. Memandang aku pun tidak. Dok kusyuk sangatlah itu kononnya menonton televisyen. 

Aku mencebik. Macamlah aku tidak tahu yang dia itu cuma pura-pura sahaja. Dengan orang lain bolehlah kau tipu, tapi dengan aku jangan kau haraplah. Ini Diana Amir tau. Eh, apa pula nama pelakon perempuan itu yang keluar. Nama aku Diana Nur Aisyah, orang panggil aku Diana.  Inilah padahnya apabila mendengar kenyataan mama. Buat jantung aku berdegup tidak mengikut rentak yang betul. Tak keruan. Bercakap pun berterabur tak tentu kata.

Mama sudah berlalu dari ruang tamu. Meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga.

“Kak! Apa kakak dah cakap kat mama?” soal aku pantas. Tak puas hati ni.

“Mana kakak ada cakap apa-apa. Mama yang memang nak sekalikan majlis kahwin kita. Bukan kakak yang cucuk mama, tau,” bela Kak Liana.

Tajam mata aku memandang wajah Kak Liana. Boleh percayakah kata-kata dia?

“Kakak dah ada boyfriend. Dah memang plan nak kahwin dah pun. Yang Diana ni ada apa? Diana tak ada siapa-siapa pun yang boleh digelarkan sebagai boyfriend. Habis tu Diana nak kahwin dengan siapa?” luah aku bersungguh-sungguh.

“Carilah boyfriend,” usul Kak Liana bersahaja.

Mata aku terbeliak. Ewah, senangnya kakak aku ini berkata-kata.

“Kakak ingat, nak cari boyfriend tu macam nak cari ikan kat pasar malam ke? Kalaulah semudah itu kak, dah lama Diana kahwin, tahu!” protes aku.

Kak Liana tergelak. Hisy, orang tengah serius ni boleh pula dia gelak-gelak macam orang senang hati. Tahu tak hati aku ini dah tak senang? Kepala berserabut.

“Itulah Diana, dah lama mama bagi hint. Suruh cari calon suami, kenalkan kat dia. Tapi Diana buat apa? Buat bodoh aje, kan? Mama dah lama sangat tunggu. Mama dah penat nak membebel, itu sebab dia bagi arahan terus. Ha, sekarang, padanlah dengan muka tu,” bebel Kak Liana. Dia seperti menyalahkan aku pula.

Huwaaa.... kenapalah semua orang tak mahu faham dengan keadaan aku?

“Kakak pujuk la mama. Tak payah sekalikan majlis kahwin tu. Diana janji, lepas majlis kahwin kakak, Diana mesti kenalkan calon suami Diana. Pleaseee.....” rayu aku kepada Kak Liana. Bahunya aku goncang-goncangkan dengan kuat, sampai terdorong badannya yang kurus itu ke hadapan.

“Kakak tak nak masuk campur. Kalau Diana nak, Diana cakap sendiri dengan mama,” balas Kak Liana.

“Alaaa... susah laaa...”

Aku terus bangun dan masuk ke bilik dengan fikiran yang berkecamuk. Mama.... kenapa buat Diana macam ni? Diana belum puas jadi anak manja mama. Belum puas nak hidup enjoy sebagai orang bujang. Lagipun, Diana belum bersedia nak kahwinlah, mama.

Memasak pun aku tak reti, tahunya masak nasi, masak air, masak maggi dan goreng telur. Kalau aku kahwin sekarang, tak ke kesian pada suami aku. Kurus kering jadinya nanti dek tak cukup makan. Kan dah menganiaya anak orang namanya tu?

Lagu dendangan Ayushita bertajuk Tuhan Beri Aku Cinta tiba-tiba sahaja menerjah pendengaran. Lagu ni best, sebab itu aku setkan sebagai lagu mesej pada telefon bimbit aku. Pantas aku buka mesej yang datang.

“Diana Nur Aisyah, sudikah Diana 
menjadi isteri Aaron?” - Aaron

Hampir terjojol biji mata aku membaca mesej tersebut.

Hai... Diana, tadi kata tiada boyfriend. Habis tu, siapa jejaka si penghantar mesej yang sangat romantik itu?

bersambung dalam bab 1, part II.... akan disambung nanti...

Sabtu, 7 April 2012

Cover suka suki, Kisah Hati & Puncak Kasih

Assalamualaikum semua....
Nampaknya, mood saya pada kali ini masih dalam bab design-design cover. 
Jadi, ini adalah cover novel terbaru yang saya buat iaitu berjudul Kisah Hati. 
Cerita ini ditulis oleh Mia Kaftiya. 
Ini pula ialah cover novel berjudul Puncak Kasih. Cerita ini ditulis oleh Syima Syawal.