KAKI Afira sudah terasa lenguh kerana berdiri
dengan agak lama. Dia memerhatikan Irfan. Entah apalah yang lelaki itu sedang berbincang
di tepi dewan. Lama betul.
Dibuatnya aku
macam tunggul di atas pentas ini. Sudahlah semua orang pandang aku. Agaknya Irfan
ingat aku ini boneka yang boleh dibuat pameran, yang tiada perasaan dan boleh dibiarkan
lama-lama macam orang bodoh di hadapan orang ramai. Huh! Buat malu sahaja! Bebel
hati Afira berbaur perasaan bengang.
Irfan menoleh kepada
Afira. Seakan tersedar bahawa gadis itu sedang menyumpah seranah dirinya. Laju Irfan
mendekati Afira kembali.
“Oleh kerana ini
kesalahan pertama, saya hanya akan mengenakan hukuman ringan,” ujar Irfan
kemudian. Wajahnya tetap serius.
Bulat mata Afira
mendengar kata-kata Irfan. Dia mula dapat mengagak sesuatu. Mungkinkah tadi Irfan
telah berbincang mengenai hukuman yang bakal dikenakan kepadanya? Bibirnya mula
bergerak seperti mahu memperkatakan sesuatu.
“Tapi... bukan ke
peraturan itu baru dijelaskan tadi. Sepatutnya kesalahan yang dilakukan sebelum
peraturan dijelaskan, boleh dimaafkan,” Afira cuba membela diri. Dia
mengutarakan alasan kukuh. Dilihatnya Irfan sedang mengerut kening. Afira
tidak tahu apakah yang sedang bermain di benak Irfan.
“Oh, belum apa-apa
lagi dah pandai melawan, ya?” gertak Irfan tanpa diduga.
Afira menelan air
liur. Ah... bencinya!!
Afira hanya mampu mendiamkan
diri seribu bahasa kerana tidak berani lagi membalas kata-kata yang keluar dari
mulut Irfan. Hanya mata Afira sahaja yang berani merenung tajam ke wajah Irfan.
Bagai ada makna pula pada renungan Afira itu. Hmmm... sudah semestinya
pandangan itu membawa maksud perasaan geram yang teramat.
Irfan tetap
seperti tadi, serius dan seperti orang tidak mempunyai perasaan. Berbeza
sungguh perwatakan Irfan pada ketika ini. Afira terpaksa menerima hakikat
bahawa Irfan yang ditemuinya pada siang tadi dengan Irfan yang berada di
hadapannya kini adalah orang yang sama. Sama tetapi tidak serupa. Perbezaannya
bagai langit dengan bumi.
“Sebagai hukuman,
awak nampak tak mereka yang berdiri di sekeliling dewan ni?” tanya Irfan sambil
tangannya diarahkan ke sekeliling dewan itu.
“Nampak!” cepat-cepat
Afira menjawab.
Bukan apa, Afira
sekadar tidak mahu mendengar bebelan Irfan jika dia tidak mengikut arahan.
Irfan tersenyum.
Namun seperti tadi, senyuman Irfan itu hanya bertahan selama dua saat sahaja.
Sungguh pelik Afira melihat sikap Irfan itu.
“Okey... mereka ialah
pembantu mahasiswa, PM-PM. Sekarang awak ikut saya!” arah Irfan lalu dia terus
melangkah.
Seperti anak kecil
Afira mengekori langkah Irfan.
Dia ingat aku ini
siapa? Suka-suka hati aje nak arah-arah! Marah Afira di dalam hati. Namun
diturutkan juga kemahuan Irfan itu.
Apa lagi agaknya
yang Irfan mahu lakukan? Afira tertanya-tanya di dalam hati. Kejutan demi
kejutan melanda dirinya. Tidak pernah dia menghadapi situasi seperti ini pada sepanjang
hidupnya.
Akhirnya Irfan
berhenti mengejut di hadapan salah seorang pembantu Mahasiswa. Hampir sahaja
hidung Afira terhenyak pada belakang badan Irfan. Terkial-kial Afira cuba menghentikan langkahnya yang laju sebentar
tadi.
Kedengaran suara
tawa pelajar-pelajar lain tatkala melihat aksi Afira yang tidak disengajakan
itu. Irfan menoleh ke arah pelajar-pelajar baru yang sedang ketawa. Serta merta
suara tawa itu mati begitu sahaja. Kemudian semua orang buat-buat tidak nampak
akan aksi lucu Afira.
Irfan memandang
mereka dengan pandangan yang tajam. Sebenarnya Irfan tidak faham, kenapa
tiba-tiba suasana lucu boleh timbul? Dia juga berasa pelik apabila menyedari
rakan-rakan pembantu mahasiswanya juga ada yang cuba menahan tawa.
Irfan semakin
diburu kehairanan. Namun dibiarkannya sahaja perasaan itu. Mana mungkin Irfan akan
dapat menangkap apa yang baru terjadi. Irfan berjalan di hadapan. Tidak mungkin
dia akan menoleh ke belakang semata-mata untuk melihat Afira berjalan.
Maruahnya perlu dijaga.
“Sekarang awak
tanya nama, fakulti mana, dan asal mana kepada PM ini,” sekali lagi Irfan
mengeluarkan arahan. Afira merapatkan diri ke arah pembantu mahasiswa yang
dimaksudkan oleh Irfan.
“Siapa nama abang?
Eh.. maaf, siapa nama PM?” Ternyata Afira masih janggal untuk menggunakan
panggilan PM.
Afira dapat
menangkap perubahan wajah Irfan sebaik sahaja dia menyebut perkataan ‘abang’.
“Nanti... nanti..
nanti!” celah Irfan sebelum soalan Afira itu sempat dijawab oleh pembantu
mahasiswa terbabit.
“Kalau baru jumpa
orang, takkanlah nak main sergah aje. Bagilah salam dulu. Macam ini, ehem..ehem..
selamat malam, siapa nama PM? Belajar di fakulti mana? Asal PM dari negeri
mana? Lembut sikit. Cuba lagi!” Arah Irfan lengkap dengan contoh yang
diberikan.
Afira terus
menggerutu di dalam hati. Dalam diam Afira terus mengutuk tindakan Irfan.
“Selamat malam,
siapa nama PM? Belajar di fakulti mana? Asal PM dari negeri mana?” Afira
mengulangi bulat-bulat contoh soalan yang diberikan oleh Irfan sebentar tadi
kepada pembantu mahasiswa di hadapannya.
“Ops! Apa ni?
Tanyalah satu-satu. Tanya banyak-banyak macam mana dia nak jawab?” tegur Irfan
sekali lagi. Agak mendatar nada suaranya.
Hati Afira semakin
membengkak. Ada sahaja yang tidak kena tentang dirinya di mata Irfan.
“Selamat malam.
Siapa nama PM?” soal Afira kemudian. Tertahan-tahan lontaran suaranya. Mahu
balik rumah pada masa ini juga rasanya.
“Ikram,” jawab
Pembantu Mahasiswa itu sepatah.
Afira terlongo
seketika. Punyalah Afira sopan bagi salam, hanya itu jawapan yang diperolehi?
Tak berbaloi langsung. Fikirnya lagi.
“PM Ikram belajar
di fakulti mana?” tanya Afira lagi.
“Fakulti Ekonomi,”
sepatah juga jawapan yang keluar. Tidak mesra ‘alam’.
“PM Ikram berasal
dari negeri mana?” Afira melengkapkan soalannya.
“Kuala Lumpur,”
jawab Ikram.
Setelah habis semua
pertanyaannya dijawab oleh Ikram, Afira memandang Irfan kembali. Pandangan yang
penuh makna tersirat. Dia harap Irfan akan memperkatakan sesuatu.
“Okey... okey...
sekarang perkenalkan PM Ikram ini kepada rakan-rakan awak yang lain.” Irfan
meneruskan arahannya.
Dia ingat aku ini
budak sekolah ke apa? Afira berasa semakin geram.
“Kawan-kawan, ini
PM Ikram. Dia belajar di Fakulti Ekonomi. Dan dia berasal dari Kuala Lumpur!” lantang
suara Afira menggunakan mikrofon yang diberikan oleh Irfan kepadanya.
Afira sudah malas
untuk menyusun ayat cantik-cantik. Biarlah kata-katannya itu kedegaran seperti
pelajar darjah satu, dia tidak peduli.
Irfan mengukir
sebuah senyuman lagi. Namun cepat-cepat senyuman itu dimatikan tatkala
menyedari Afira sudah menjadikan wajahnya sebagai sasaran kembali.
Afira mengerutkan
kening. Masuk kali ini, sudah tiga kali dia melihat Irfan tersenyum sebegitu
rupa. Senyuman yang dia boleh klasifikasikan sebagai senyuman dua saat. Ada
juga orang begitu. Fikir Afira dalam diam.
“Bagus! Semua PM
kat sini ada enam puluh orang. Awak tanya satu-satu macam tadi. Lepas itu
perkenalkan balik kepada kawan-kawan awak. Sama macam tadi... senang saja, kan?
Ini merupakan hukuman bagi awak. Mulakan sekarang.” Irfan menyudahkan
arahannya.
Semua? Enam puluh
orang? Gila ke mamat ini? Ini betul-betul satu pembulian! Protes Afira sepuas
hati.
Afira cuba
mengukir senyuman. Sungguh kelat senyuman yang terukir. Panasnya di dalam hati
hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sudahlah telefon bimbit telah dirampas. Tidak
bolehlah dia mengadu kepada keluarganya. Langsung tiada peluang untuk
menghubungi dunia luar.
Baru hari pertama
sudah macam-macam yang terjadi. Bagaimana Afira mahu menghabiskan pengajian
selama tiga tahun di tempat ini? Adeh..
lemah semangat Afira.
Hati Afira menjadi
bertambah sebal tatkala terpandangkan Irfan yang masih kelihatan serius.
Ibu... ayah....
Fira nak balik!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan