MENTARI berkilau-kilauan dari ufuk timur menyinari segenap pelosok tanah airku yang tercinta. Sang embun kian menghilang menandakan kehangatan makin terasa. Kicauan burung bersahut-sahutan menyambut ketibaan pagi yang indah, berterbangan dari satu dahan ke satu dahan yang lain. Dedaun yang menghijau melambai-lambai ditiup angin. Sementara dedaun yang keperangan jatuh melayang meninggalkan tangkainya yang telah layu.
“Hai, apa yang kau fikirkan tu, Ezah? Dari tadi aku tengok kau asyik menongkat dagu saja.” Suara seseorang yang tiba-tiba sahaja kedengaran begitu mengejutkan aku yang sedang hanyut ditelan lamunan.
Terus aku larikan pandangan yang tadinya galak menerobos tingkap di hadapan meja tulis ke arah suara tersebut. Selamat tinggal lamunan.
“Ah, mengejutkan aku ajelah kau ni. Kau janganlah risau pasal aku, tak ada apa-apa pun yang aku fikirkan,” sangkalku, cuba menyembunyikan perasaan yang sedang membelenggu pada saat ini.
“No... no... no... kau tak payahlah cuba tipu aku. Aku tahu, mesti kau tengah ada masalah kan? Tengok tu, muka kau nampak sarat sangat dengan tekanan perasaan. Ezah, kalau betul kau ada masalah, ceritalah kat aku. Kau dah tak percayakan aku lagi, ya?” duga Nora sambil menarik kerusi di sebelahku. Nampaknya dia masih hendak mencungkil perasaan aku.
Aku pandang wajah redup Nora. Ada sedikit riak merajuk pada wajahnya. Mungkin dia serius beranggapan bahawa aku sudah tidak mahu mempercayai dan berkongsi masalah dengannya lagi. Dia sememangnya seorang rakan serumah yang amat memahami. Dialah tempat aku meluahkan perasaan sepanjang berada di sini. Segala suka dan duka aku harungi bersamanya.
“Eh, ke situ pula kau fikir. Tak baik tau kau tuduh aku macam tu. Aku bukannya tak percaya kat kau lagi. Sebaliknya... kalau kau nak tau, kaulah kawan terbaik aku.” Aku cuba mengambil hati Nora.
“Yalah tu, terbaiklah sangat kan. Sebenarnya aku dah lapar sangat ni. Jomlah kita sarapan dulu, aku dah siap hidang kat atas meja tu,” ajak Nora kemudiannya.
Nora terus bangun dan berlalu ke dapur. Malas agaknya dia mahu melayan kerenah aku.
Fuh, selamat.... tak perlu aku susah-susah mahu menjawab soalan Nora. Aku juga turut bangun dan mengekori Nora yang berjalan agak laju.
Selesai bersarapan, aku melangkah longlai menuju ke katil. Aku perasan Nora mengikut aku dari belakang. Tentu sahaja Nora masih tidak berputus asa untuk mengorek rahsia peribadi aku.
***
FIKIRAN aku melayang sekali lagi, mengingati pertemuanku bersama Faizi pada petang semalam...
“Faizi, aku tahu kau sengaja mengheboh-hebohkan cerita yang kononnya aku paksa kau untuk sukakan aku, kan? Eh, kau dengar sini. Kalau kau tak suka aku, aku lagilah tak suka kau, tahu?! Malah, tak ada sekelumit pun rasa suka aku terhadap kau. Kau jangan ingat kau boleh permainkan aku sesuka hati,” marah aku dengan suara yang tertahan-tahan, cuba mengawal panas amarah yang kian terasa di dalam diri.
“Ala... relakslah, Ezah. Janganlah marah sangat. Aku cuma bergurau aje tu. Takkan...”
“Relaks?! Banyaklah kau punya relaks.” Aku memotong percakapan Faizi.
Bagi aku, tidak ada apa-apa yang perlu Faizi jelaskan lagi.
Aku sudah masak dengan sikap Faizi. Dia memang suka bergurau, tetapi tidak pula aku sangka dia sanggup bergurau akan perkara seperti itu.
Ya... sebenarnya aku memang sukakan Faizi. Tetapi aku tidak berani untuk menyimpulkan bahawa perasaan itu adalah cinta. Dan tidak akan sesekali aku luahkan padanya. Biarlah aku simpan sahaja perasaan itu sendiri buat peneman tatkala sunyi bertandang di hati. Aku tidak mahu menggantung harapan padanya. Cukuplah aku dapat melihat wajahnya sahaja.
Hati aku pedih sewaktu mulut menyatakan bahawa tiada sekelumit pun rasa suka terhadap lelaki itu tadi. Namun perasaan aku terhadap Faizi bukanlah tiket untuk aku membiarkan sahaja perbuatannya yang begitu ketara menjatuhkan air mukaku. Dia ingat aku ini terdesak sangat mahu mencari pasangankah? Belajar pun belum habis sudah gatal mahu bercinta.
“Dah la, Ezah. Sebelum kau lebih naik hantu, lebih baik aku angkat kaki dulu. Babai, Ezah... i will miss you. Sorry ya, aku janji takkan buat kau marah lagi,” ujar Faizi dengan gaya bersahaja. Seperti orang tidak mempunyai perasaan walaupun dia sedang meminta maaf.
Belum sempat aku bersuara, Faizi sudah berlalu pergi. Cepat-cepat aku menutup kembali mulutku yang mahu melepaskan kata-kata sebentar tadi.
Kurang asam kau, Faizi. Tergamak kau buat macam tu, ya. Bebel aku di dalam hati.
Nampaknya Faizi seperti cuba mempermain-mainkan perasaan aku. Termangu-mangu aku sendirian apabila Faizi sudah hilang daripada pandangan.
Senangnya kau biarkan dia menang, Ezah! Tahanlah dia! Hatiku memberi arahan.
Namun lidahku seakan kelu.
***
“HAISY, kau ni Ezah... tak habis-habis lagi rupanya. Asyik mengelamun aje kerjanya.” Tiba-tiba terdengar suara Nora yang sekali lagi mengejutkan aku.
Asyik benar rupanya aku melayan perasaan hingga tidak sedar Nora sudah duduk di atas katil.
“Nora,” panggilku lemah.
Kedua-dua bola mata Nora membulat, teruja mendengar panggilanku mungkin.
“Ada apa, Ezah?” Nora menyoalku pantas.
Kini tiba masanya untuk Nora mendengar perkara yang sangat ingin diketahuinya.
“Maafkan aku sebab buat kau risau. Sebenarnya, memang aku ada masalah. Tapi.. masalah aku ni taklah sebesar mana. Cuma aku aje yang asyik memikirkannya.” Aku memulakan sesi meluah perasaan.
Mujurlah ada Nora yang sudi menadah telinga untuk mendengar setiap butir perkataan yang keluar dari mulutku. Jika tidak, bercakaplah aku seorang-seorang di dalam hati.
“Tak kisah la sama ada masalah tu kecil atau besar. Cerita aje la, aku tengah dengar ni,” desak Nora dengan riak wajah yang makin menunjukkan rasa ingin tahu.
“Nora, kau tak pernah timbulkan isu ni dengan aku. Tapi aku yakin, kau tentu dah tahu pasal cerita Faizi yang mengatakan aku paksa dia untuk sukakan aku, kan? Aku geram sangat. Tergamak dia buat aku macam ni. Aku malu, Nora. Malu sangat!” luah aku bersungguh-sungguh.
Terasa beban perasaan yang aku tanggung selama ini sedikit berkurangan. Nora menyentuh bahuku.
“Ezah, memang aku dah tahu pasal cerita tu. Tapi aku yakin kau takkan buat Faizi macam tu, kan? Aku percaya pada kau. Kau tetap kawan yang aku kenal sebelum ni. Faizi memang tak wajar sebar fitnah pasal kau,” balas Nora.
“Aku tak pernah buat salah atau sakitkan hati dia. Tapi kenapa dia buat aku macam ni? Kat mana aku nak letak muka?” Emosi aku semakin tidak terkawal.
“Sabarlah, Ezah. Realitinya memang kau tak pernah buat salah pada dia. Mungkin kau pernah luahkan perasaan dalam mimpi dia. Lepas tu dia syok sendiri lepas terjaga. Siapa tahu, kan?” Nora mula mencipta teori sendiri. Sempat pula melawak.
Aku tersentak. Mungkin.... benarkah Faizi pernah mimpikan aku? Ah, teori karut! Macam manalah Nora boleh berkata seperti itu. Memang sungguhlah Nora membuat lawak.
“Aku gurau ajelah. Otak aku ni memang suka keluarkan teori yang pelik-pelik. Janganlah risau, lambat laun fitnah ni akan lenyap sendiri. Percayalah,” nasihat Nora.
Sedikit sebanyak hatiku sejuk mendengar kata-kata Nora.
“Terima kasih, Nora,” ucapku bersama segaris senyuman nipis.
“Sama-sama. Dah-dah, tak mahulah sedih-sedih. Kalau Faizi buat kacau lagi, kita belasah aje dia,” ujar Nora penuh semangat.
Aku tergelak.
“Macamlah kita ni kuat sangat nak belasah dia. Hmm... betul ni kau tak percaya fitnah tu?” sekali lagi aku inginkan kepastian.
“Betul la. Walau beribu orang percaya cakap dia, tapi aku yang seorang ni tetap takkan percaya. Aku lebih kenal kau daripada dia la, beb!” tegas Nora.
Aku tersenyum sambil mengangguk.
Faizi.... apa sebenarnya yang cuba kau lakukan ni?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan